Travelog Oman 2009 - episod 7 : Gelora
Sebentar lagi saya akan mula bergerak ke Hotel Allson Klana, Bandar Baru Nilai. Ini bererti saya akan memulakan langkah pertama ke Oman sebentar sahaja lagi. Debaran kian kuat terasa. Debaran untuk memikul tanggungjawab yang berat ini. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan perjalanan kursus di sana nanti. (Tugas pertama saya akan bermula pada malam ini sebagai pengacara majlis perasmian kursus yang akan dihadiri oleh pengarah dan yang lain-lain untuk menyampaikan amanat-amanat mereka kepada kami sebelum berangkat pergi ke Oman esok).
Segala barang-barang keperluan yang ingin dibawa telahpun disiapkan dan disusun rapi di dalam bagasi. Tidak lama untuk saya mengemas. Mungkin kerana tidak banyak barang pun yang saya bawa. Hanya dua bagasi tarik bersaiz kecil dan sederhana. Semuanya ada di dalam keduanya. Tidak ada anak-anak beg lagi. Beg laptop pun saya masukkan sekali dalam bagasi kecil tu.
Saya baru mula menyusun baju dan barang-barang yang ingin dibawa pada pagi ahad yang lalu. Petangnya pula saya ke pasaraya mencari barang-barang keperluan lain yang saya masih belum miliki. Kemudian sepanjang Isnin dan selasa (semalam) saya tidak menyentuhnya lagi sehinggalah ke pagi ini. Double checkup dibuat untuk memastikan barang-barang yang mana perlu dan yang mana tidak perlu. Hmm.. Adalah dua tiga barang yang sudah dimasukkan saya keluarkan semula setelah mendapati kegunaannya mungkin boleh diganti dengan barang yang lain.
Dua tiga hari yang lepas, perasaan saya tidak menentu. Saya juga buntu dan binggung bila tiba-tiba saya jadi begitu sayu. Mungkin kerana saya akan merindui keluarga dan anak-anak. Mungkin juga saya akan merindui rakan-rakan dan anak-anak murid saya di sekolah. Mungkin juga debaran memikul tanggungjawab ini semakin terasa. Segala-galanya mungkin. Saya sendiri tidak pasti apakah puncanya. Tetapi yang pasti perasaan saya mudah terasa pilu dan sayu. Hinggakan zaujah memarahi anak sulung kerana lambat bersiap ke sekolah pun hati saya tiba-tiba terasa sebak dan hampir menitiskan air mata. Sebelum ini saya tidak pernah begini. Tak tahu kenapa.. Wallahu'alam.
Sepanjang dua hari yang lepas juga saya banyak menyendiri. Di sekolah saya banyak menghabiskan masa sendirian di surau sekolah. Di rumah juga begitu. Saya ingin mencari dan mengembalikan kekuatan dalam diri. Bermonolog sendirian setelah solat dan membaca al-Quran. Memohon kepadaNya semoga dilimpahkan keberkatan dan kerahmatanNya kepada kita semua... Amin ya rabbal 'Alamien...
0 comments:
Catat Ulasan