Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Rabu, April 15, 2009

Travelog Oman 2009 - episod 3: Langkah Pertama

16 JANUARI 2009 (JUMAAT)
SK Taman Suria

Ketika saya sedang membuka pintu kereta untuk segera pulang ke rumah kerana akan bersolat Jumaat, tiba-tiba telefon saya berbunyi dengan paparan nama Ustaz Zakuan JPNJ. Saya menjawabnya, dan dalam perbualan ringkas tersebut, beliau meminta saya hadir ke pejabatnya pada sebelah petang. Menurutnya ada surat penting untuk saya yang perlu diserahkan. Saya pun bertanya surat apa? Dan beliau hanya menjawab... "Ada lah..! Datang lah dulu.."

Dan petang tu setelah solat Jumaat, saya terus ke JPN Johor bertemu Ustaz Zakuan seperti yang telah dijanjikan. 

Kebetulan, apabila saya sampai, Ustaz Zakuan perlu menghadiri satu mesyuarat tergempar. Maka saya tidak punya banyak masa untuk berbual dengan Ustaz Zakuan. Lantas beliau terus mengajukan surat tawaran Pencalonan dan Temuduga Peserta Kursus Guru j-QAF di Oman. Dan itulah kali pertama saya tahu sememangnya saya telah dicalonkan untuk mengikuti kursus ini.

Terkejut! Itulah reaksi pertama saya. Berdebar.. itulah perasaan saya... tatkala menerima surat tersebut. Apa tidaknya? Kerana tiba-tiba saya dipilih oleh jabatan untuk menghadirinya. Tambahan lagi tarikh temuduga tersebut adalah pada 21 Januari 2009, 4 hari dari tarikh hari itu. Bererti saya tidak punya banyak masa untuk membuat persediaan.

Ustaz Zakuan juga memaklumkan bahawa calon-calon lain yang akan bersama saya ke temuduga tersebut ialah Ustaz Nazihar dari Kulai dan Ustaz Mohaizan dari Kluang. Kedua-duanya adalah sahabat yang benar-benar rapat dan baik dengan saya.

#######

21 JANUARI 2009 (RABU)
BILIK MESYUARAT ANJUNG, JPN MELAKA
TEMUDUGA PESERTA KURSUS GURU JQAF DI OMAN, ZON SELATAN

Seawal pukul 6.05 pagi, saya sudah keluar dari rumah. Memandu sendirian ke Tol Kulai untuk mengambil Ustaz Nazihar yang menanti di sana. Tetapi saya yang sudah sampai terlebih dahulu daripadanya. Lebih kurang pukul 6.45 pagi kami berdua sudah pun bergerak ke Tol Ayer Hitam untuk menjemput Ustaz Mohaizan pula. Seterusnya kami bertiga dalam satu kereta yang sama menuju ke JPN Melaka untuk menghadiri temuduga yang amat mendebarkan ini. Lebih-lebih lagi bagi saya. Ini kerana saya merasa amat sedikit persediaan yang saya lakukan untuk menghadapi temuduga ini. Namunpun begitu sewaktu dalam perjalanan, kami bertiga sempat bertukar-tukar maklumat dan berbincang tentang perkara-perkara yang difikirkan penting sebagai persediaan terakhir.

Kami sampai lebih kurang 15 minit lebih awal dari waktu yang telah ditentukan. Setelah berkenal-kenalan dengan 6 orang peserta lain (masing-masing 3 dari Melaka dan Negeri Sembilan), ujian penulisan pun bermula sebagai peringkat pertama temuduga tersebut. Sememangnya kami semua tidak dimaklumkan akan adanya ujian penulisan ini. Tetapi masing-
masing nampaknya begitu yakin menulis karangan pendek berkenaan tajuk yang diberikan iaitu "Permasalahan j-QAF dan penyelesaiannya". 

Alhamdulillah, saya telah dapat menulis satu permasalahan yang mula-mula saya tulis di dalam blog ini iaitu "Mengapa Guru-Guru Bahasa Arab Tidak Mampu Menghabiskan Sukatan Bila Tiba Penghujung Tahun?". Lebih kurang 3 atau 4 perenggan sahaja yang saya dapat tulis. Kerana masa yang diberikan hanyalah 15 minit sahaja. Walaupun begitu, saya masih sempat membuat penutup dan kesimpulan pada karangan saya itu dengan menulis jalan penyelesaian bagi menjawab tajuk tersebut.

Setelah selesai peringkat pertama, maka bermulalah peringkat kedua yang mana ia dinamakan "Muqabalah". Seorang demi seorang akan bertemu dengan 2 orang penemuduga dari Bahagian Pendidikan Islam BPI, Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya merupakan peserta ke dua yang dipanggil masuk selepas peserta dari Melaka. Manakala Ustaz Nazihar peserta ke 5 dan Ustaz Mohaizan peserta ke 7.

Soalan yang diajukan tidak banyak beza dari peserta-peserta yang lain. Sudah tentu ia memberi kelebihan kepada peserta-peserta selain peserta pertama dan kedua kerana mereka akan mendapat gambaran soalan yang akan di tanya nanti. Soalannya banyak berkisar tentang isu semasa seperti PPSMI, Palestin, isu-isu semasa dalam negara, masalah j-QAF di sekolah, pengalaman mengajar dan belajar di universiti dan sebagainya. Ianya di tanya berselang seli dalam bahasa Arab dan Melayu.

Selain itu, ujian membaca karangan bahasa Arab tanpa baris dengan membunyikan baris akhir juga diadakan sebelum mengakhiri muqabalah tersebut. Itulah ujian yang saya pandang mudah tetapi sebenarnya memang susah! Saya bagaikan murid yang baru pandai membaca. Terangkak-rangkak memerhati setiap perkataan untuk membaris dan membunyikan baris-baris akhir. Sesudah membacanya kami dikehendaki pula menterjemahkan apa yang kami baca. Hal itu membuatkan saya terpaksa membaca secara laju di dalam hati untuk membuat kesimpulan dari apa yang saya baca, kerana sewaktu pertama kali saya membaca, saya langsung tidak menumpukan kepada makna karangan yang saya baca. Lemahnya saya...

Walaupun begitu, saya telah mencuba menjawab kesemuanya dengan sehabis baik sekadar kemampuan yang saya ada sehingga akhirnya saya berjaya juga melepasi ujian-ujian ini dan terpilih ke Oman kini...

#######

Setelah temuduga berakhir, saya menyerahkan segala-gala kehadratNYA untuk menentukan siapakah yang bakal terpilih untuk menyertai kursus ini. Beberapa kali juga saya meluahkan kepada Ustaz Zakuan tentang kegelisahan hati saya untuk memikul tanggungjawab berat ini seandainya saya benar-benar terpilih. Hinggakan beberapa kali juga saya memujuk hati sendiri agar melepaskan tanggungjawab ini kepada Ustaz Nazihar atau Ustaz Mohaizan seandainya saya yang bakal terpilih nanti. Takutnya saya...

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu