Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Disember 02, 2010

Modul Pengajaran KSSR. Jangan Keliru!



Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau lebih dikenali dengan KSSR sudah hampir sampai kepada tempoh pelaksanaannya di sekolah pada awal JANUARI 2011 akan datang. Pendedahan demi pendedahan telah dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi memastikan semua guru yang berkenaan di sekolah mendapat pendedahan tentang pelaksanaannya nanti. Kurikulum Standard Bahasa Arab Sekolah Rendah (KSBASR) juga menerima proses yang sama dengan mata pelajaran yang lain. Dalam pada itu, perbincangan demi perbincangan telah saya lihat dan sebahagiannya telah pun saya ikuti dalam mendapatkan dan memberi kefahaman yang lebih terhadap pelaksanaannya itu nanti.

Bermula dari Dokumen Standard yang mengandungi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran sebagai gantian kepada Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), penerapan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) yang mengandungi tiga elemen penting yang terdiri daripada Kreativiti dan Inovatif, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, seterusnya penulisan rancangan pengajaran harian (RPH) yang telah berubah bentuk format penulisannya, sampailah kepada isu yang dilihat besar oleh sebahagian guru iaitu pembinaan modul pengajaran berteraskan empat fasa terarah.

Di sini saya ingin menyentuh isu terakhir yang saya sebutkan tadi, iaitu Pembinaan Modul Pengajaran Berteraskan Empat Fasa Terarah".

Dalam sebuah laman web popular guru j-QAF semalaysia, ada menyebut tentang "guru j-QAF tidak perlu menyediakan modul pengajaran" tersebut. Ianya hanya diwajibkan kepada pelatih-pelatih guru di institusi-institusi pendidikan guru Malaysia di seluruh negara.

Setelah membaca kenyataan tersebut, saya berpendapat bahawa kenyataan ini boleh disalah ertikan oleh guru-guru j-QAF yang tidak begitu memahami konsep sebenar KSSR dan pelaksanaannya. Ia boleh menjurus kepada pengabaian modul empat fasa terarah ini oleh guru-guru j-QAF, seterusnya menjadikan pelaksanaan KSSR tidak menepati standard yang telah ditetapkan. Ini sangat bahaya!

Walaupun tidak terdapat mana-mana pekeliling dari kementerian berkenaan pembinaan modul pengajaran oleh guru, namun itu tidak membuktikan bahawa guru perlu mengabaikan pembinaan modul tersebut. Inilah yang perlu difahami oleh guru sebaiknya. Bagaimana?

Sebelum saya jelaskan mengapa, ingin saya menyentuh maksud pembinaan modul pengajaran empat fasa terarah ini mengikut kefahaman saya. Pada awalnya saya juga terkeliru tentang apakah yang dikatakan modul ini. Adakah ia berbentuk latihan murid bagi tajuk-tajuk pengajaran? Maka ramailah yang bercita-cita  membinanya untuk dijadikan salah satu punca rezeki melalui cetakan buku atau modul dan dipasarkan. Namun ianya salah! Adakah pula ianya sebuah kertas perancangan pengajaran berpandukan dokumen standard atau sukatan? Bagaimana pula bentuknya? Pelbagai pandangan dan mazhab telah dilontarkan oleh golongan-golongan tertentu berkenaannya. Ada yang betul dan ada juga yang kurang tepat. Namun, setelah melalui beberapa perbincangan demi perbincangan bersama individu-individu penting dalam pelaksanaan KSSR ini di kementerian, begitu juga dengan melihat hasil-hasil bengkel pembinaan modul yang diadakan di peringkat kementerian, akhirnya saya mendapat sebuah kesimpulan berikut.

Modul Pengajaran Berteraskan Empat Fasa Terarah ini merupakan sebuah rancangan pengajaran kreatif yang lengkap, yang terdiri daripada empat fasa, bermula dengan Fasa Persediaan, diikuti dengan Fasa Imaginasi, seterusnya Fasa Perkembangan dan diakhiri dengan Fasa Tindakan. (Saya akan bercerita tentang empat fasa ini di lain waktu).

Pengajaran berteraskan empat fasa ini merupakan langkah pengajaran kreatif yang menggantikan cara lama pengajaran iaitu pendahuluan, set induksi, langkah 1, 2, dan 3 serta penutup, yang selama ini kita praktikan  di sekolah, hasil pembelajaran kita sewaktu di maktab dahulu.

Suatu waktu dahulu (ketika kita di maktab), inilah langkah-langkah pengajaran yang kita praktikan di dalam latihan-latihan pengajaran kita samada di dalam pengajaran mikro mahupun makro. Ianya telahpun sebati dalam diri kita. Kita hanya melakukan penulisan rancangan pengajaran yang lengkap sehingga berhelai-helai  banyaknya hanya ketika kita di dalam latihan atau praktikum sahaja. Setelah itu, ianya sudah menjadi nadi pengajaran kita setiap hari tanpa membina rancangan seperti itu lagi.

Namun, bagaimana pula dengan langkah-langkah pengajaran kreatif melalu empat fasa terarah yang ditekankan di dalam KSSR ini? Adakah kita juga sudah sebati dengan pelaksanaannya? Apakah yang perlu guru lakukan dalam setiap fasa tersebut? Soalan bagaimanakah yang perlu guru ajukan di dalam setiap fasa tersebut? Apakah yang murid perlu lakukan dalam setiap fasa tersebut? Semua ini masih baru lagi bagi kita!

Maka di sinilah perlunya kita memulakan langkah pertama kita dengan membina modul pengajaran kreatif melalui empat fasa terarah ini. Bentuk modul ini tidak salah andai saya katakan ianya menyerupai penulisan rancangan pengajaran sewaktu kita di dalam tempoh praktikum dahulu. Sememangnya banyak kerja yang perlu kita lakukan untuk membiasakan dengan kaedah pengajaran kreatif ini. Namun alah bisa, tegal biasa. Lama-kelamaan, kita sudah tidak perlu lagi membina modul pengajaran kreatif ini kerana kita sudah terbiasa dengan pelaksanaan empat fasa terarah dalam pengajaran kreatif ini. Bayangkan andai guru itu terus mengabaikan pelaksanaan pengajaran kreatif melalui empat fasa terarah ini di dalam modul yang sepatutnya dibina, sudah tentu guru tersebut akan mengajar murid-muridnya menggunakan Dokumen Standard dengan cara yang lama (pengajaran biasa seperti sebelum ini). Wallahu'alam.

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 5

(Sambungan dari entri bahagian 1, 2, 3 dan 4)


Kaedah terakhir yang ingin saya kongsikan di sini bagi melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung ialah ;

KAEDAH MEWARNA

Kaedah ini bagi saya merupakan satu kaedah yang mudah dilaksanakan dan praktikal selain murid-murid juga seronok melaluinya. Bagaimana?

(klik untuk besarkan gambar)

1. Sediakan gambar untuk diwarna seperti gambar sepuluh biji anggur di atas. Anda boleh menukar apa sahaja gambar yang difikirkan sesuai seperti sepuluh kuntum bunga, atau sepuluh bintang dan sebagainya.

2. Caranya pelaksanaannya sama dengan Kaedah Carta Bintang yang telah saya ceritakan sebelum ini.

3. Perbezaannya adalah, kaedah ini memerlukan murid yang dinilai akan mewarna sendiri nombor soalan pada gambar sekiranya ia dapat menjawab dengan betul setelah guru mengarahkan ia mewarnakan ruangan nombor soalan yang dinilai.

4. Gambar ini boleh diperbanyakkan untuk semua murid dan ditampal di dalam buku latihan atau buku kerja murid.

5. Guru perlulah memberi ingatan kepada murid agar tidak mewarnakan sendiri gambar atau nombor soalan pada gambar melainkan dengan arahan guru. Guru juga perlulah memantaunya melalui tandatangan guru ketika guru menyemak buku latihan murid tersebut.

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 4


(Sambungan dari entri bahagian 1, 2 dan 3)

Cara kedua bagi melaksanakan penilaian PKSR (khasnya bahasa Arab) sewaktu pengajaran dan pembelajaran di kelas ialah ;

CARTA BINTANG

(klik gambar untuk besarkan)

Kaedah ini bukanlah satu kaedah yang asing bagi seorang guru. Malah kaedah ini sering digunapakai di kelas-kelas bagi meningkatkan motivasi murid untuk bersungguh-sungguh dalam aktiviti pembelajaran di kelas. 

Kaedah Carta Bintang ini merupakan satu kaedah praktikal bagi seorang guru untuk melaksanakan PKSR bahasa Arab dengan menggunakan sepuluh item/soalan untuk setiap tajuk bagi menilai empat kemahiran (mendengar, menyebut, membaca dan menulis) yang telah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

1. Ketika hari pertama guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sesuatu tajuk yang baru, guru perlu meneliti dan memastikan 10 item/soalan yang ingin dinilai pada semua murid.

2. Guru menyediakan Carta Bintang seperti rajah di atas. Carta ini boleh disediakan dalam apa juga bentuk dan saiz seperti menggunakan manilakad atau kertas lukisan, atau kertas A4, atau apa sahaja yang difikirkan sesuai.

3. Satu Carta Bintang memadai dengan empat atau lima orang bagi sesebuah kumpulan yang telah ditetapkan oleh guru.

4. Carta Bintang mengandungi sepuluh ruangan markah (rujuk rajah). Setiap satu ruang markah merupakan  pencapaian bagi satu soalan dari sepuluh soalan yang ingin dinilai.

5. Guru boleh menilai mana-mana soalan dahulu tanpa mengikut urutan agar jawapan yang diberikan murid bukanlah berpandukan kepada jawapan rakannya, tetapi bersandarkan kepada kebolehannya dalam sesuatu kemahiran tersebut.

6. Penilaian boleh dilakukan ketika guru sambil mengajar tanpa menggunakan sebarang kertas soalan. Contohnya, guru menilai soalan satu dan dua (menilai kemahiran mendengar) hanya menggunakan perkataan pada kad imbasan atau tulisan di papan tulis atau sebagainya. Ataupun guru menilai soalan lapan hingga sepuluh (kemahiran membaca) dengan merujuk buku teks atau carta di hadapan kelas. Ataupun juga guru menilai soalan tiga dan empat (kemahiran mendengar dan menulis) dengan meminta murid mendengar perkataan yang disebut dan menuliskannya di papan tulis di hadapan kelas.

7. Bagi murid-murid yang dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh guru, satu pelekat bintang / cop bintang akan diberikan pada ruangan soalan yang dinilai. Manakala bagi murid yang tidak dapat menjawab, tiada tanda bintang yang diberikan kepadanya dalam ruangan tersebut. Guru boleh menilai kembali soalan yang sama pada sesi kelas yang berikutnya sebelum memasuki ke tajuk yang baru. Ini membuktikan guru sentiasa memberi peluang kepada murid untuk memperbaiki kelemahannya dan membimbingnya untuk mencapai tahap yang telah ditentukan.

Read More......

Sabtu, November 27, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 3


(Sambungan dari entri bahagian 2)
atau dari entri sebelumnya (bahagian 1)


Bagaimanakah yang dikatakan seperti tajuk entri bersiri ini,
"Bagaimana melaksanakan PKSR sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlaku?"

dan daripada persoalan ini, sudah pasti terbit persoalan... 
"Bagaimana melaksanakannya SENDIRIAN ketika guru bahasa Arab menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut?"

Dua persoalan ini akan cuba pula saya perincikan dalam entri bahagian yang ketiga ini.

Sebenarnya bagi menjawab dua persoalan ini, kita hanya memerlukan satu jawapan yang ringkas, tepat dan padat, tetapi menjawab keseluruhan dua persoalan tersebut.

Jawapannya adalah "TEKNIK YANG BETUL".

Ya. Teknik pelaksanaan yang betul mampu menjadikan pelaksanaan PKSR tersebut mampu dilakukan sepanjang proses pengajaran guru dan pembelajaran murid berlaku di kelas. Tanpa perlu menanti hingga ke akhir bulan atau tajuk atau semester. Begitu juga dengan tanpa mengharap dan menanti rakan-rakan lain membantu bagi melicinkan perlaksanaannya.

Sebenarnya guru boleh melakukan apa sahaja teknik penilaian yang tidak bercanggah dengan konsep dan ciri-ciri pelaksanaan PKSR. Ianya tidak terikat dengan satu-satu cara atau kaedah sahaja. Malah guru yang kreatif akan sentiasa mempelbagaikan teknik penilaian di dalam kelas bagi menjamin keberkesanan pengajarannya.

Di sini saya ingin berkongsi tiga teknik penilaian yang mudah untuk dilaksanakan di dalam waktu pengajaran guru dan pembelajaran murid. Antaranya :
1. Penilaian menggunakan Kotak Pencapaian.
2. Penilaian menggunakan Carta Bintang.
3. Penilaian menggunakan Kaedah Mewarna, dan sebagainya.

KOTAK PENCAPAIAN


Kaedah ini membolehkan guru menilai murid atau melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Namun begitu, sedikit kelemahan yang terdapat pada kaedah ini ialah di mana guru hanya boleh menilai satu kemahiran sahaja atau dua kemahiran gabungan (seperti mendengar dan menyebut) dalam satu-satu masa untuk semua murid.

Cara melaksanakan kaedah ini adalah.
1. Guru menyediakan potongan-potongan kertas yang tertulis nama semua murid yang berada di dalam kelas atau nama murid yang hendak di nilai.
2. Nama-nama tersebut disimpan di dalam sebuah bekas atau kotak (lihat gambar ; bekas bulat).
3. Guru juga menyediakan 3 kotak lain bagi tujuan pengasingan nama murid kelak mengikut pencapaian mereka. Kotak boleh disediakan dalam apa jua bentuk bagi membezakan di antara satu sama lain samada melalui label seperti A, B dan C mahupun warna dan sebagainya.
4. Ketika guru mengajar sesuatu kemahiran (contohnya mendengar dan menyebut), guru boleh bertanya kepada murid bagi melihat keberhasilan pengajarannya walaupun guru tersebut masih mengajar.
- Guru akan memilih secara rawak mana-mana potongan nama murid yang tersedia di dalam bekas bulat pertama tadi untuk di soal. Selain itu, guru juga boleh meminta mana-mana murid bagi memilih nama murid lain yang akan di soal.
- Setelah guru mendapat nama murid yang akan di soal, maka soalan boleh terus diajukan ketika itu juga.
- Murid yang dipilih akan cuba menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Soalan ini mestilah soalan yang berkaitan dengan hasil pengajaran kemahiran yang hendak dinilai itu tadi, atau lebih mudah guru menggunakan salah satu item soalan yang terkandung dalam set soalan PKSR yang telah dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum BPK melalui laman sesawangnya.
- Seandainya murid dapat menjawab dengan baik, potongan kertas yang telah dipilih itu tadi akan dimasukkan ke dalam kotak penilaian A sebagai menandakan murid tersebut telah berjaya menguasai kemahiran yang ingin di nilai itu tadi.
- Sekiranya pula murid itu tadi hanya dapat menjawab dalam kadar yang sederhana, maka potongan kertas nama murid tersebut hendaklah di masukkan ke kotak pencapaian sederhana atau kotak B dan begitulah sekiranya murid tersebut langsung tidak dapat menjawab pertanyaan guru itu tadi, maka potongan kertas namanya akan dimasukkan ke dalam kotak pencapaian lemah atau kotak C.
- Guru boleh melakukan aktiviti ini secara tidak berterusan. Bererti guru boleh melakukannya berselang seli dengan aktiviti pengajaran yang seterusnya.
- Bagi murid-murid yang telah berjaya namanya dimasukkan ke dalam kotak A, ia tidak perlu di nilai oleh guru lagi. Manakala murid-murid yang sebaliknya, guru boleh membimbing mereka dan bertanyakan semula soalan kepada mereka yang masih berada di kotak B dan C sahaja sebagai amalan atau penilaian berterusan bagi memastikan mereka juga mencapai tahap yang telah ditentukan.
- Seandainya tempoh pengajaran telah sampai kepada satu tempoh yang telah ditetapkan, maka guru bolehlah menetapkan bahawa itulah pencapaian mereka untuk sesuatu tajuk atau kemahiran yang dinilai. Tindakan susulan perlu diberikan kepada mereka yang masih belum mencapai tahap pembelajaran yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka tidak keciciran.
- Setelah itu, guru bolehlah menyalin nama-nama yang terdapat dalam kotak-kotak A, B dan C ke dalam rekod pencapaian murid ketika di bilik guru mahupun di rumah.

Secara peribadi, saya melihat kaedah ini sesuai dijalankan bagi guru yang mempunyai murid yang sedikit bagi menilai mereka di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Ini adalah kerana kaedah ini hanya menilai dari satu aspek penilaian sahaja. Tidak boleh mempelbagaikan variasi soalan dari pelbagai kemahiran.

Saya akan berkongsi lagi kaedah kedua iaitu kaedah carta bintang dan kaedah mewarna dalam melaksanakan PKSR ketika proses p&p berlangsung dalam entri bahagian yang seterusnya.

Bersambung...

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 2



SALAH KONSEP

Isu utama yang menjadi masalah dalam pelaksanaan PKSR adalah kekeliruan konsep dalam proses penilaian yang ingin dijalankan terhadap murid. Sebelum ini ramai dikalangan guru berpendapat bahawa PKSR dijalankan pada satu tempoh tertentu seperti di setiap akhir bulan pengajaran, atau di setiap akhir tajuk pelajaran mahupun ada yang lebih malang berpendapat bahawa PKSR dijalankan setelah melalui satu tempoh yang lebih panjang seperti dua atau tiga bulan malah ada yang menanti hingga 5 bulan!

Inilah punca kenapa PKSR tidak dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah. Kekeliruan pelaksanaan konsep PKSR di kalangan guru mengakibatkan PKSR bahasa Arab di sekolah-sekolah rendah menjadi ibarat melepaskan batuk di tangga. Asalkan ada.

Sekiranya kita melihat kepada ciri-ciri konsep PKSR itu sendiri kita akan dapat melihat bahawa antara tujuan PKSR adalah untuk menilai murid SECARA BERTERUSAN agar kelemahan murid TIDAK TERHIMPUN. Bererti PKSR bukan dijalankan secara berkala atau bermusim! Bahkan ia dijalankan di dalam setiap P&P!

Dahulu pernah guru-guru bahasa Arab j-QAF ditekankan tentang pelaksanaan PKSR dalam waktu pengajaran. Namun tidak pernah ada sesiapa yang menunjuk cara yang betul, mudah dan tepat untuk guru-guru bahasa Arab tersebut melaksanakannya. Apa yang ada hanyalah penentuan pada elemen-elemen penilaian yang sarat, yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Guru terpaksa mencari alternatif atau memikirkan cara tersendiri untuk menilai semua elemen yang telah ditentukan tersebut kepada semua murid dalam pada kesibukan-kesibukan lain yang terpaksa dijalankan sebagai aktiviti tambahan yang bukan menjadi sasaran kerja tahunan (SKT) di sekolah. Keadaan ini membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF tersebut dalam keadaan tersepit antara bebanan tugas PKSR yang banyak dan kehendak agar tidak dipandang sebagai perumpamaan "kera sumbang" dalam komuniti sekolah.

Guru Lain Membantu

Keadaan ini juga telah membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF telah meminta guru-guru lain seperti guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF yang lain bagi membantu pelaksanaan PKSR ini. Hal ini banyak terjadi di sekolah-sekolah j-QAF sehingga ke hari ini.

Sekiranya kita melihat dalam buku panduan pelaksanaan dan ciri-ciri PKSR, ia ada menyebut bahawa PKSR ini hendaklah dijalankan oleh guru itu sendiri. Kenyataan ini boleh saya tafsirkan sebagai guru bahasa Arab itu sendirilah yang perlu menilai semua muridnya sendiri dan bukannya guru lain walaupun guru tersebut ada mengajar murid tersebut dalam kelas yang sama tetapi mata pelajaran berbeza seperti Pendidikan Islam mahupun mata pelajaran yang lain.

Mengapa saya bersetuju dengan kenyataan yang saya gelapkan di atas? Baiklah, cuba kita fikirkan sejenak tentang sifat kita sebagai manusia yang sentiasa mempunyai persepsi dalam diri. Kemudian kita fikirkan pula sejenak tentang perasaan setiap murid kita yang belajar dengan kita dan guru-guru yang lain. 

Setiap murid mempunyai kecenderungan minat yang berbeza. Keadaan ini menjadikan murid-murid kita berada dalam pelbagai kepandaian dan kecenderungan terhadap sesuatu mata pelajaran. Ada murid yang suka belajar bahasa Arab dan ada murid yang tidak suka. Ada murid yang pandai dalam mata pelajaran- mata pelajaran yang lain, tetapi langsung tidak pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab. Kesemuanya ini bergantung kepada persekitaran dan penerimaan mereka terhadap apa yang mereka belajar. Seandainya murid itu suka akan guru bahasa Arabnya, kecenderungan ia untuk pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab  tersebut adalah tinggi. Seandainya ia tidak suka, maka hal sebaliknya yang akan berlaku walaupun ia merupakan murid cemerlang di kelas tersebut. Begitu juga ada murid yang terlalu pandai dalam bahasa Arab kerana latar belakang keluarganya yang mahir dalam bahasa Arab. Dalam waktu yang sama, mungkin dia tidak cemerlang dalam pendidikan Islam kerana perasaan tidak sukanya kepada guru Pendidikan Islam yang mengajarnya. Ini sebagai contoh.

Maka, cuba kita fikirkan pula diri kita sebagai guru yang hendak menilai tetapi tidak mengajar mata pelajaran yang kita hendak nilai. Seandainya kitalah guru Pendidikan Islam yang tidak disukai oleh murid tersebut tetapi ingin membantu rakan kita melaksanakan PKSR bahasa Arab seperti ujian lisan dan sebagainya, maka persepsi kita telah ada bahawa murid yang kita hendak nilai ini merupakan murid yang lemah berdasarkan dari pengalaman kita dalam kelas Pendidikan Islam bahawa murid ini selalu tidak memberi respon terhadap pengajaran kita. Maka dikhuatiri kita akan tidak berlaku adil dalam pemberian markah terhadap murid tersebut melalui persepsi yang telah sedia ada dalam diri kita. Setuju?

Maka, saya menyarankan kepada semua rakan-rakan j-QAF agar pelaksanaan PKSR hendaklah dijalankan disetiap waktu pengajaran oleh guru bahasa Arab itu sendiri dan bukannya oleh guru-guru lain yang mungkin sentiasa berlapang dada untuk membantu kita.

bersambung di entri yang akan datang..

Read More......

Jumaat, November 26, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 1

Sepertimana topik atau isu "Bagaimana melaksanakan P&P Berkesan Berpandukan HSP" yang telah saya kupas dalam entri saya lebih kurang tiga bulan lepas, topik atau isu kali ini (Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P?) tidak kurang pentingnya dalam menghasilkan mutu pengajaran bahasa Arab dengan lebih baik dari aspek penilaian yang lebih holistik dan telus.

PENDAHULUAN

PKSR atau nama penuhnya Penilaian Kendalian Sekolah Rendah bagi mata pelajaran bahasa Arab bukanlah satu perkara asing bagi guru khasnya guru-guru bahasa Arab (yang ingin saya fokuskan mereka di sini). Malahan sejak dari awal pelaksanaan j-QAF ini lagi guru-guru bahasa Arab j-QAF telah bertungkus lumus dalam melaksanakan "PKSR mengikut skala kadar" yang telah ditentukan oleh penggubal dasar dan termaktub di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF ketika itu. Ketika itu juga pelaksanaannya pernah menjadi isu besar guru-guru bahasa Arab j-QAF seluruh negara bilamana kaedah tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan di sekolah, lebih-lebih lagi bagi sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan kelas yang banyak dalam satu aliran termasuk sekolah saya walaupun bilangan kelasnya hanyalah sederhana (3 atau 4 kelas untuk satu aliran).

Saya masih teringat bilamana hampir kesemua guru bahasa Arab yang saya temui samada di dalam daerah, dalam negeri mahupun di negeri-negeri lain, masing-masing tidak mampu melaksanakan PKSR mengikut skala kadar tersebut. Kebanyakkan mereka hanya mengisi data markah yang direka cipta melalui "teknik sihir" bagi memenuhi data e-pelaporan j-QAF ketika itu. Maka sudah tentulah analisa pelaporan tersebut merupakan bukan analisa sebenar bagi menunjukkan prestasi bahasa Arab j-QAF ketika itu.

Bertitik tolak dari situ, ketika saya pernah diajukan soalan oleh pegawai khas bahasa Arab Jabatan Pelajaran Johor (ketika itu Ustaz Ahmad Zakuan bin Md Khudzari) tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru bahasa Arab j-QAF di negeri Johor, saya lantas mencadangkan agar fokus diberikan kepada penyelesaian masalah pelaksanaan PKSR bahasa Arab oleh guru-guru bahasa Arab j-QAF negeri Johor.  Maka, bermulalah tugas saya dalam membentuk satu konsep baru PKSR bahasa Arab yang berlandaskan prinsip dan ciri-ciri PKSR yang telah digariskan di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF. Bengkel pertama telah diadakan di Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat bersama 20 peserta dikalangan jurulatih utama bahasa Arab dan guru-guru bahasa Arab negeri Johor.

Akhirnya dengan izin Allah, konsep PKSR yang baru ini siap di bina dengan model-model soalan yang lengkap bagi semua aliran. Dengan izinNYA juga, konsep ini telah dibawa ke kementerian dan dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat sebelum ianya diterima pakai dan dapat dilaksanakan di seluruh negara. Alhamdulillah.

Bersambung...

Read More......

Ahad, Ogos 15, 2010

P&P Berkesan Berpandukan HSP

Sambungan dari entri lalu...


"P&P Berkesan Berpandukan HSP" merupakan tajuk pertama dari tiga tajuk yang saya sampaikan dalam slot Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 di Hotel Royale Bintang, Seremban pada Julai yang lalu. Namunpun begitu, tajuk yang saya nyatakan di atas bagi saya bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lebih dua tahun yang lalu, saya telah cuba mengetengahkan isu ini di pelbagai peringkat. Jika dilihat penulisan entri saya yang pertama, kedua dan ketiga diawal kelahiran blog ini juga menyentuh tentang penggunaan  dan fokus kepada HSP dalam proses P&P di sekolah. Kursus-kursus samada di peringkat negeri atau daerah, saya sering bercakap tentang hal ini. Hinggakan ketika saya ditemuduga untuk kursus guru bahasa Arab selama sebulan di Oman pada tahun 2009 yang lalu, antara ujiannya adalah penulisan essei dalam bahasa Arab berkenaan "permasalahan bahasa Arab di sekolah dan penyelesaiannya", saya juga menulis tentang hal yang sama. Alhamdulillah, akhirnya dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, usaha ini berbaloi apabila dipersetujui untuk dibentangkan dalam kursus bahasa Arab untuk jurulatih utama peringkat kebangsaan pada tahun ini, untuk disebarkan di seluruh negara.

Biarpun pada pra pembentangan saya bagi tajuk ini mendapat sedikit tentangan dari sebilangan kecil panel penilai, namun akhirnya mereka terpaksa akur apabila saya mendapat sokongan yang lebih kuat dari kalangan mereka yang  lebih tinggi kedudukannya di kementerian. Alasan bagi sokongan ini juga logik dan telah diuji keberkesanannya sebelum ianya diputuskan untuk dibentangkan di dalam kursus tersebut. "Sehingga bila guru hanya akan bergantung kepada buku teks untuk mengajar? Tidak ada buku teks? Tidak boleh mengajar?  Dan sehingga bila guru akan faham isi kandungan dan kehendak sukatan, dan seterusnya dapat mengajar dengan cara yang betul mengikut kehendak sukatan itu sendiri?"

Apakah sumber pertama pengajaran anda? Mungkin ada yang menjawab buku teks, panduan guru, rancangan tahunan (RPT), sukatan pelajaran (SP) mahupun huraian sukatan pelajaran (HSP). Apakah pula sumber kedua pengajaran anda? Jawapan yang pasti adalah antara jawapan lain bagi jawapan soalan pertama.

Adakah anda mampu mengikut perancangan pengajaran tahunan RPT seperti yang dirancang?  Adakah anda mampu menghabiskan sukatan pelajaran bagi tahun pengajaran semasa yang anda ajari? Adakah pengajaran anda menepati kehendak HSP? Tiga soalan berangkai ini mempunyai hubung kait dan persamaan. Sekiranya "RPT" merupakan jawapan bagi soalan pertama atau kedua dalam perenggan di atas, sudah pasti jawapan bagi tiga soalan berangkai ini adalah YA! Bererti anda mampu mengikut perancangan RPT dengan betul kerana ia merupakan sumber pengajaran anda yang pertama atau kedua. Tapi, benarkah ini benar-benar terjadi dalam pengajaran anda? Dan bagaimana pula sekiranya jawapan anda bagi tiga soalan berangkai ini adalah TIDAK? Maka saya hampir yakin 100% bahawa rujukan atau sumber pengajaran anda bukanlah berfokuskan kepada SP dan HSP. Adakah anda setuju dengan saya?

Sebagai guru bahasa Arab, kita wajib faham segala yang berkaitan dengan SP dan HSP. Apakah persamaan dan perbezaan di antara SP, HSP dan RPT? Dewasa ini saya lihat, masih ramai guru-guru bahasa Arab yang terus keliru dengan ketiga-tiga dokumen ini. Dan terus bertanya kenapa guru bahasa Arab (GBA) perlu mengajar berpandukan HSP ini diutamakan?

Mengapa?

Read More......

Khamis, Ogos 12, 2010

Salam Ramadhan...

Read More......

Khamis, Ogos 05, 2010

ESQ - Satu Penilaian



Ramai rakan-rakan menyedari bahawa saya merupakan salah seorang alumni ESQ165 yang menjadi kontroversi lewat ini kerana pewartaan haram oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ramai juga rakan-rakan yang meminta saya memberi pandangan dan ulasan berkenaan hal demikian. Berikut saya bawakan satu penilaian ESQ yang menjadi isu pengharamannya yang saya salin dari : Tanyajwab ESQ.

.......

Mengapa ESQ diharamkan di Wilayah Persekutuan tetapi dibenarkan di Negeri-Negeri lain? Mengapa tidak diselaraskan fatwa supaya masyarakat tidak keliru? Mungkinkah Mufti Wilayah melakukan kajian yang detail sedangkan majlis Fatwa Kebangsaan tidak?


Dari soalan di atas ada 3 isu.

Isu Pertama : Mengapa ESQ diharamkan di Wilayah Persekutuan tetapi dibenarkan di negeri-negeri lain?

Di dalam membincang dan menilai hal ini, mari kita lihat dan pertimbangkan KENYATAAN MEDIA PENGERUSI JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA MENGENAI ISU KURSUS ESQ LEADERSHIP TRAINING yang ditandatangani oleh Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Bin Hj Husin (sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan), 14 Julai 2010.

Di point no 1 dinyatakan ;

“Seperti yang termaktub di dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah kuasa negeri.”

Untuk menjawab isu kedua, iaitu mengapa fatwa tidak diselaraskan supaya masyarakat tidak keliaru? Kita lihat point 7 dari kenyataan Media Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ;

“Di sini juga ingin saya menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Muzakarah tidak mempunyai kuatkuasa dari segi undang-undang dan hanya bersifat pandangan hukum, terpulanglah kepada pihak negeri untuk menerima pakai atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sepertimana yang diperuntukkan DI BAWAH ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM NEGERI-NEGERI, SEKIRANYA ISU YANG BERLAKU MENYENTUH KEPENTINGAN NASIONAL, MAKA PANDANGAN MUZAKARAH PERLU DIRUJUK TERLEBIH DAHULU SEBELUM SEBARANG FATWA DIKELUARKAN OLEH NEGERI. Matlamatnya ialah bagi MEWUJUDKAN PENYELARASAN DALAM HUKUM HAKAM YANG DIKELUARKAN DI MALAYSIA.”

Dari sini jelas, usaha kearah menyelaraskan fatwa telah diusahakan kerana itulah antara fungsi Majlis Muzakarah Fatwa kebangsaan diwujudkan. Masalah timbul kerana ia tidak dipatuhi.


Isu ke tiga iaitu apakah mungkin Wilayah melakukan kajian yang detail sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak ?

Saya ambil point ke 2 dari Kenyataan Media Pengerusi Majlis Fatwa;

“Merujuk kepada isu kursus ESQ Leadership Training yang diasaskan oleh Dr Ary Ginanjar Agustian, suka saya memaklumkan bahawa MUZAKARAH TELAH MEMBINCANGKAN ISU INI SEBANYAK 7 KALI bermula pada April 2009 sehingga DIMUKTAMADKAN PADA 16 JUN 2010. Kajian telah dibuat oleh Jakim dan Panel Pemantau ESQ yang ditubuhkan oleh Jakim. Selain itu Muzakarah juga TELAH MENGADAKAN PERBINCANGAN DAN DIALOG dengan pihak pengurusan tertinggi ESQ yang dihadiri oleh DR ARY GINANJAR AGUSTIAN BERSAMA PANEL SYARIAH ESQ yang dipengerusikan oleh Dato’ Mustafa Abd. Rahman, mantan Ketua Pengarah Jakim.

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan terdiri daripada 14 orang Mufti Negeri-negeri, 4 orang ahli akademik dan seorang ahli undang-undang yang berpengalaman. Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dipengerusikan oleh seorang yang sangat berwibawa dan seorang pakar dibidang Usulluddin iaitu Prof. Tan Sri Syukor Bin Haji Husin, yang kini menjawat jawatan Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Semua hasil kajian Panel Aqidah Jakim dan Panel Pemantau (yang dilantik oleh Jakim) yang dianggap terperinci dan ilmiah itu telah dibentangkan di hadapan semua ahli Fajlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan ia telah diperbincangkan sebanyak 7 kali. Dari pembentangan dan kajian itulah Majlis memutuskan hal-hal yang menimbulkan keraguan itu boleh diperjelas dan diperbetulkan.

Di dalam Sighah/Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training, point (i.)

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli serta rumusan awal yang telah dibuat pada Muzakarah Khas pada 14 April 2010, Muzakarah berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan dijelaskan.”

Malah Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan bertindak dengan sangat adil apabila Pengasas ESQ sendiri iaitu Dr Ary Ginanjar Agustian telah diberi kesempatan menjelaskan apa-apa yang menjadi tuduhan dan keraguan. Hingga akhirnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah bersepakat memutuskan bahawa ESQ boleh diteruskan di Malaysia.

Di dalam point terakhir, Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis fatwa Kebangsaan, beliau menyampaikan ;

“Suka juga saya memaklumkan bahawa dalam apa jua isu hukum hakam yang dibincangkan, Muzakarah lebih megutamakan pendekatan berbincang dan membuat keputusan secara jama’i.

Saya tidak pasti bagaimana Fatwa di Wilayah diputuskan dan siapa yang terlibat di dalam memutuskan keputusan itu. Dan setiap kajian tidak boleh dianggap terperinci apatah lagi ilmiah, jika orang yang terlibat di dalam tuduhan (Penulis buku ESQ dan pengasas ESQ, Dr Ary Ginanjar), dan mereka yang terlibat secara langsung dengannya (Syarikat ESQ Leadership Center yang menganjurkan Training) tidak pernah dipanggil membuat penjelasan sebelum keputusan dibuat. Hal ini sangat berbeza dengan pendekatan Majlis Fatwa Kebangsaan yang adil, berwibawa dan bersesuaian dengan fungsi membimbing dan mendidik masyarakat.



Mengapa ESQ begitu penting dipertahankan di Malaysia, sedangkan ia sebuah syarikat yang membuat untung (profit making organization) di Malaysia hingga menyebabkan umat Islam di Malaysia berpecah?


ESQ Leadership Training adalah sebuah pelatihan pembangunan modal insan yang telah terbukti keberkesanannya hingga ia begitu berkembang dengan pesat (65 ribu peserta yang telah mengikutinya dalam masa 4 tahun Training ini mula masuk ke Malaysia). Ia adalah sebuah syarikat di bawah peruntukan undang-undang Suruhanjaya Syarikat-syarikat di Malaysia dan beroperasi secara sah di Malaysia.

Untuk kelangsungan sesebuah syarikat, ia perlu membuat untung dan mampu membiayai kos penyelenggaraannya dan membayar gaji pekerja-pekerjanya yang terdiri daripada rakyat Malaysia. Ini isu yang diperbesarkan sedangkan ia adalah situasi biasa di era globalisasi sekarang. Berapa banyak syarikat gergasi di Malaysia termasuk Petronas dan Sime Darby, menjalankan operasi yang menguntungkan di Indonesia dan Negara-negara lain. Syarikat-syarikat Malaysia ini dilindungi kepentingannya dengan undang-undang perniagaan di Negara-negara asing itu. Tiada berbezanya dengan ESQ Training.

Sebagai sebuah Training Pembangunan Modal Insan, ESQ telah terbukti berjaya meningkatkan produktiviti syarikat dan menyelesaikan banyak masalah ‘sikap’ (Attitude) yang selama ini merupakan masalah paling sukar di tangani oleh Pengurusan Syarikat dan bahagian sumber manusia. Berjuta ringgit selama ini wang rakyat dan kerajaan Malaysia di gunakan untuk membawa masuk pelbagai Training bertaraf Antarabangsa ke Malaysia (Dari Amerika juga dari Jepun), yang yurannya berkali-kali ganda dari bayaran yang ditetapkan oleh ESQ Training di Malaysia.

Apa yang lebih mendasar ialah, training-training dari barat itu sangat jelas tidak menggunakan pendekatan Islam. Malah pengasasnya ada yang pendita Yahudi dan Kristian. Mereka dibenarkan memberi training pada jutaan rakyat di Malaysia dan tidak dikaji atau dipantau kandungan modulnya kerana tidak menggunakan Al Quran dan Al Sunnah.

ESQ Training mengambil rukun Islam, Iman dan Ihsan sebagai asas kepada modulnya. Dengan pendekatan moden dan berteknologi tinggi yang digunakan, ESQ boleh diterima oleh golongan professional yang selama ini tidak banyak terdedah dengan kaedah Islam di bidang pengurusan dan sumber manusia. Ada juga yang menganggap Islam hanya untuk ibadah khusus, tidak boleh dibawa ke dalam perniagaan atau pengurusan syarikat. Malah apabila bercakap tentang Islam, dianggap tidak professional. ESQ Training telah merubah scenario ini. ESQ Training bersaing secara sihat dengan training-training dari barat ini. Para korporat dan golongan professional mula melihat Islam sebagai solution umat, bukan hanya kepada masalah sosial tetapi juga di dalam masalah pengurusan dan perniagaan.

Saya tersentuh dengan kata-kata Pak Nasaruddin Umar (Derjen Diparment Menteri Agama, Indonesia) sewaktu ditemui selepas menghadiri acara penutupan Musabaqah Al Quran, di Kuala Lumpur (beliau hadir sebagai wakil Menteri Agama Indonesia),

“Apa yang kami lakukan selama 100 tahun tak sama dengan apa yang Pak Ary lakukan sekarang. Orang-orang korporate, orang-orang level tertinggi ikut training dan ‘kembali kepada Islam’. Dan ketika orang-orang ini ikut, bawahan mereka ada yang 20 ribu, banyak sekali yang turut ikut atasan mereka yang berubah itu…”

Namun sesuatu yang baru, pasti menimbulkan pertikaian dan perbezaan cara pandang. Rakyat Malaysia bebas membuat penilaian sendiri. Sama ada mahu ayat Al Quran dan Hadis hanya dibicarakan di masjid dan surau-surau sahaja, atau mahu Al Quran dan As Sunnah menjadi panduan dan digunakan di pentadbiran syarikat-syarikat gergasi di Malaysia ini. Sekiranya kita bimbang Al Quran dan As Sunnah ‘disalah’ guna, inilah peranan para ulama membimbing dan menuntun para rakyat. Inilah fungsi Panel Syariah & Akidah, bukan melindungi Al Quran dan As Sunnah hingga rakyat takut menggunakannya, tetapi mendekatkan Al Quran dan As Sunnah hingga menjadi ‘cara hidup’ yang mudah diikuti dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia dalam setiap kehidupan.
ESQ Training adalah training yang terbuka kepada sesiapa saja, hingga ia bebas dinilai oleh sesiapa sahaja. Walaupun ia ditolak oleh segolongan pihak, namun ia juga telah sangat-sangat dialu-alukan oleh pelbagai golongan di Malaysia yang telah merasai manfaatnya.

ESQ Training perlu dipertahankan di Malaysia adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia sendiri. Adalah menjadi dasar rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka dan mencintai ilmu, sentiasa mengalukan pendekatan dan ilmu yang terbukti keberkesanannya, membawa perubahan peribadi ribuan individu di Malaysia dan memperbaiki ribuan institusi kekeluargaan dan syarikat di Malaysia. Tidak salah untuk kita belajar dari kejayaan masyarakat di Barat, di Jepun begitu juga dengan rakyat serumpun dan seagama iaitu dari Indonesia.

Kebanyakan peserta Training ESQ adalah mereka yang mengkagumi barat dan jauh dari ilmu agama. Namun apabila didedahkan dengan kehebatan Al Quran dan kebenaran Islam, mereka kembali menjadikan “Islam The Way Of Life”. Yang tidak solat, belajar mengerjakan solat. Yang tidak pernah ke masjid, mula ke masjid dengan majlis-majlis pengajian ilmu. Anak-anak yang melawan ibu bapa, kembali menyedari kesalahan dan berubah. Ibu bapa yang selama ini hanya mementingkan pendidikan akademik, mula mendidik anak-anak berlandaskan agama Islam. Secara umumnya, boleh disimpulkan bahawa masyarakat yang jauh dari agama, kini dibawa mendekatinya dengan cara yang hikmah tanpa paksaan. Harga kesedaran ini tidak ternilai.

Mari kita hayati sharing Dato’ Hushamuddin, CEO Karangkraf ini ;

“32 tahun saya mengamalkan ilmu barat yang jelas di ambil dari Yahudi, orang memuji management saya hebat. Tapi baru 2 tahun saya belajar dari orang Islam dan mengamalkan ilmu pengurusan Islam dari nilai rukun Islam, Iman dan Ihsan yang jauh lebih hebat dari barat… orang menuduh saya Yahudi…”

Training ESQ juga diikuti oleh para cerdikpandai, ilmuan, professor, ahli akademik, ulama dan para mufti yang sangat menyokong pendekatan dan modul yang digunakan. Seperti kenyataan Tan Sri Harussani ;

“… lapan orang Mufti telah menghadiri sendiri program latihan ESQ, tidak seorangpun di antara mereka yang telah menghadiri latihan ini mengungkapkan keraguan dan percanggahan kandungan modul dengan akidah”

Apakah sebenarnya yang sedang terjadi? Mari kita renungkan bersama. Kita diberikan akal untuk berfikir dan membuat pertimbangan. Bukan mempertahankan ESQ yang menyebabkan umat Islam berpecah, tetapi kenyataannya umat Islam di Malaysia telah lama berpecah dan dari hari ke hari masalah ini semakin parah…

Read More......

Selasa, Julai 27, 2010

Seni Bahasa - Kursus JLU BA Kebangsaan.

Jazakallah kepada Ustaz Ahmad Zakuan yang telah memuat naik video-video persembahan JLU-JLU Kebangsaan dalam Slot فن تقديم اللغة, Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada 13-16 Julai yang lalu bertempat di Hotel Royale Bintang, Seremban.




إنني أهوى بلادي، حبها ملء فؤادي
وأنا أحمى حماها، ولها كل جهاد

أنا فرع وهي أصل، أنا منها وإليها
كيف لا يعشق طفل، بلدة يحيى عليها

أرضنا الخضراء عندي، فتنة للناظرين
ماءها عذب نمير، وحياة للمخلصين





أنا أحب أبي، هو هو هُ
اسمه عبد الله، هو هو هُ

أنا أحب أمي، هي هي ها
اسمها عزيزة، هي هي ها

أنا أحب أخي، هو هو هُ
اسمه محمد، هو هو هُ

أنا أحب أختي، هي هي ها
اسمها فاطمة، هي هي ها

Dan lakonan mantap dari JLU Bahasa Arab Johor, Ustazah Maizathul Sazila dari JB dan Ustazah Faizah Hamzah dari Batu Pahat. (Takallam Kabir)...

Read More......

Khamis, Julai 22, 2010

Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan 2010


Alhamdulillah. Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab peringkat kebangsaan bagi Zon A (negeri-negeri semenanjung) tahun 2010 telahpun berjaya dilaksanakan pada tahun ini selama 4 hari 3 malam di Hotel Royale Bintang, Seremban (13 - 16 JULAI 2010). Hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Royal Adelphi adalah merupakan tempat perhimpunan pertama jurulatih-jurulatih utama (JLU) bahasa Arab j-QAF seluruh Malaysia pada tahun 2007 yang lalu. Maka kehadiran saya ke kursus pada kali ini mengimbau sedikit kenangan pada kursus yang sama tahun 2007 tersebut. Namun, hampir separuh daripada peserta kursus kali ini bukanlah lagi orang yang sama pada tahun 2007, dan juga tahun-tahun yang lalu. Ramai muka-muka baru yang ditampilkan oleh jabatan pelajaran negeri masing-masing seperti Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain. Namun apa yang penting, kehadiran semua JLU-JLU ini mempunyai matlamat yang sama, memahami isi kandungan kursus seterusnya akan menjadi medium penyampai kepada guru-guru bahasa Arab di negeri masing-masing. Tahniah diucapkan kepada Ust. Ahmad Zakuan, Penolong Pengarah Unit Bahasa Arab, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertungkus lumus mengendalikan kursus ini dari awal hingga akhirnya sehingga berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Sejak saya menjadi JLU Bahasa Arab Negeri Johor pada tahun 2007, ini merupakan kali ke lima saya menghadiri kursus seumpama ini di peringkat kebangsaan. Namun, kalau mahu dihitung mesyuarat di peringkat kebangsaan yang telah saya hadiri sejak saya menjadi JLU, sudah tak terhitung lagi banyaknya! Apapun saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan dan peluang ini kepada saya untuk membantu, menyumbang usaha, tenaga dan bakti kepada kementerian untuk dimurnikan, digunapakai dan disalurkan kepada seluruh anak didik di seluruh negara. Semoga usaha kecil ini menjadi salah satu ibadah di jalan Allah untuk dihitung di Hari Perhitungan kelak.

2007
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan telah diadakan selama 4 hari 3 malam di Royal Adelphi, Seremban, Negeri Sembilan. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri kursus besar seperti ini. Perasaan seronok dan takut bercampur baur. Antara rakan JLU dari Johor ialah Ust. Zulrahim dari Pasir Gudang, Ust. Shahran dari Johor Bahru dan Ust. Khairozi dari Muar. Manakala pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor yang menyertai ialah Ust. Khahar bin Bachok.


2008
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada tahun ini telah diadakan sehari sahaja di Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Putrajaya yang dulu dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM). Hanya saya dan Ust. Nizam Noh dari Bandar Penawar sahaja yang mewakili Negeri Johor dalam kursus sehari ini dengan diiringi oleh Pegawai Khas Bahasa Arab JPN Johor ketika itu, Ust. Ahmad Zakuan.

2008
Tahun yang sama juga saya telah diarah oleh JPN Johor untuk menghadiri Kursus JLU Pendidikan Islam Kebangsaan selama 4 hari 3 malam di Hotel Goldcost, Klang Selangor. Antara rakan JLU yang mewakili Johor ialah ; Ust. Hamdan dari Ulu Tiram dan 6 orang JLU yang lain. Pegawai j-QAF JPN Johor yang mengiringi kursus pada kali ini ialah Ust. Khahar bin Bachok. Sedikit kenangan yang tidak dapat dilupakan pada kursus kali ini adalah bilamana saya telah dilantik menjadi penghulu di dalam kursus besar ini.

2009
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada tahun ini telah di adakan pada bulan Ramadhan di tempat yang sama dengan tahun sebelumnya iaitu di Hotel Goldcost, Klang Selangor selama 4 hari 3 malam. Pada tahun ini Negeri Johor telah menghantar 3 lagi JLU baru iaitu Ust. Nazihar bin Sisak dari Kulai, Ustazah Faizah dari Batu Pahat dan Ustazah Maizathul Sazila dari Johor Bahru. Manakala Ust. Nizam Noh dari Bandar Penawar telah dilantik menjadi penceramah slot Sukatan Pelajaran Bahasa Arab tahun 3 dalam kursus tersebut. Ust. Ahmad Zakuan pula sekali lagi mengiringi kami ke kursus ini.

2010
Peserta kursus dari Negeri Johor pada tahun ini merupakan orang yang sama dengan tahun lepas. Namun tahun ini merupakan tahun yang paling mendebarkan saya sebagai JLU Bahasa Arab negeri Johor bilamana saya telah diamanahkan oleh BPK untuk menyampaikan satu slot yang pada saya agak berat dan sensitif. Tambahan lagi peserta kursus kali ini bukan sahaja dikalangan JLU Bahasa Arab negeri dan pegawai jabatannya, malah sekurang-kurangnya seorang pensyarah dari setiap Institut Perguruan Malaysia (IPGM) telah diundang menjadi peserta kursus. Dua orang jemaah nazir dari kementerian juga telah diundang sebagai pemerhati di dalam kursus ini.

Tajuk slot yang telah saya sampaikan dalam kursus ini ialah "P&P Berkesan dan Kaedah Penilaiannya serta Penggunaan Lughatul Fasli di Kelas". 3 Tajuk telah digabungkan menjadi satu tajuk, dan tempoh yang telah diberikan ialah 1 jam 30 minit.

Sejak daripada saya mendapat tahu berkenaan amanah dan kepercayaan ini (MAC 2010), saya selalu resah dan bimbang tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Namun, atas dorongan isteri, keluarga, ketua-ketua dan rakan karib, saya gagahkan juga untuk menyahut cabaran ini. Sewaktu pra pembentangan slot saya di hadapan pegawai-pegawai BPK, JPN, pensyarah IPGM dan JLU pada akhir JUN yang lalu, saya teruk dihujani dengan pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan dari apa yang cuba saya paparkan. Walaupun saya cuba pertahankan apa yang ingin saya sampaikan, namun saya terpaksa akur dengan pengalaman dan ilmu yang mereka ada. Seterusnya saya terpaksa membuat sedikit perubahan dalam paparan slot saya sebelum ianya dibentangkan. 

Walaupun saya agak merasa kekok, gementar dan gugup ketika menyampaikan slot saya di hadapan JLU-JLU negeri yang hebat, pegawai-pegawai kementerian dan pensyarah-pensyarah IPGM, namun saya merasa sangat puas dengan respon positif yang saya terima dari mereka. Bertalu-talu soalan dan pertanyaan yang positif, dan apa yang lebih penting percambahan idea yang sangat berguna yang saya terima dari peserta ketika saya menyampaikan slot tersebut. Saya juga telah menyampaikan idea saya yang pernah ditolak dalam pra pembentangan lalu melalui lisan tanpa paparan slide, dan amat menakjubkan bilamana idea tersebut diterima dan dipersetujui oleh majoriti peserta kursus! Alhamdulillah.

Apakah idea yang saya maksudkan itu? dan apakah pula isi-isi penting yang dibincangkan di dalam kursus tersebut? Saya akan sambung lagi penulisan ini dengan paparan isi-isi penting kursus sebagai muqaddimah kepada pembaca dan pengunjung sebelum ianya dibentangkan di peringkat negeri nanti. InsyaAllah.


Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan oleh pengurus projek Ust. Ahmad Zakuan, Penolong Pengarah Bahasa Arab, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.



Kredit untuk Ustaz Ahmad Zakuan bin Md. Khudzari

Read More......

Isnin, Julai 12, 2010

Tahniah Kokuria!

Tahniah! Congrate! Mubarak!
Tahniah diucapkan kepada para pemenang Kokuria (Aktiviti Kokurikulum Bahasa Arab) Peringkat Daerah Johor Bahru yang telah berjaya dilaksanakan pada 10 JULAI 2010, bertempat di tiga buah sekolah berjiranan, SK Temenggong Abdul Rahman 1 dan 2 serta SK (P) Sultan Ibrahim (STAR 1, STAR 2 & SIGS), Johor Bahru.

Alhamdulillah, majlis ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya meskipun terdapat beberapa masalah yang berlaku pada awalnya. Apa yang penting, pujian harus diberikan kepada semua guru-guru bahasa Arab Daerah Johor Bahru yang terlibat sebagai jawatankuasa pelaksana majlis ini. Begitu juga dengan beberapa individu penting dalam memastikan perjalanan majlis ini berjalan dengan lancar dan berjaya iaitu Ust. Norzaidi bin Ismail, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Unit Pendidikan Islam, Ust. Zaidi bin Ismail (Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Unit j-QAF - Tahniah di atas perlantikan dan tahniah juga di atas kejayaan majlis pertama anda) dan Ustazah Norhashimah (Penyelaras Pendidikan Islam). 

Pujian juga harus diberikan kepada urusetia-urusetia majlis, Ustazah Maizathul Sazila Othman (STAR 1), Ustazah Zakiah (SK Sri Amar) dan Ustazah Norasyikin yang bekerja keras siang dan malam membantu pihak pengurusan PPD bagi menjayakan dan melancarkan lagi program ini kelmarin. Walaupun (rupanya) saya masih merupakan Setiausaha Panitia Bahasa Arab Daerah Johor Bahru (yang tidak diterima perletakan jawatan saya) dan juga merupakan salah seorang urusetia yang dilantik (disaat akhir - tiga hari sebelum majlis) oleh PPD, tetapi saya merasa terlalu kecil sumbangan yang telah saya berikan (dalam tempoh tiga hari tersebut). Dalam tempoh yang singkat sebelum majlis berlangsung barulah saya berkesempatan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa pelaksana dan membantu apa yang boleh dibantu disaat-saat akhir. Saya memohon jutaan maaf di atas kelemahan ini.

Saya mendoakan agar majlis seperti ini boleh diadakan lagi dengan meneliti lebih banyak perkara melalui perbincangan demi perbincangan meja bulat oleh jawatankuasa induk agar ianya lebih realistik, berjaya dan berkualiti. Amin.

Tahniah kepada para jemaah hakim yang bertungkus lumus meneliti setiap persembahan yang dipersembahkan dan seterusnya memilih pemenang-pemenang berikut ;

1. Dikir Barat Bahasa Arab : 
Johan : SK Kampung Maju Jaya (3 tahun berturut-turut menjadi johan dan mewakili daerah Johor Bahru).
N.Johan : SK Taman Tun Aminah 2
Ketiga : SK Taman Universiti 4

2. Kalam Jamaei : 
Johan : SK IJ Convent.
N. Johan : SK Tanjung Puteri
Ketiga : SK (P) Sultan Ibrahim (SIGS)

3. Tilawah Lelaki : 
Johan : SK Bandar Uda 2
N. Johan : SK Taman Universiti 1
Ketiga : SK Taman Universiti 4

4. Tilawah Perempuan :
Johan : SK Kompleks Uda
N. Johan : SK Taman Bukit Mewah
Ketiga : 

5. Nashid Bahasa Arab (Tahap 1)
Johan : SK (P) Sultan Ibrahim (SIGS)
N. Johan : SK Kempas
Ketiga : SK Seri Melati

6. Kuiz Bahasa Arab
Johan : SK Taman Bukit Mewah
N. Johan : SK Taman Universiti 3
Ketiga : SK Taman Universiti 4

7. Hiwar (Perbualan Bahasa Arab)
Johan : SK Tebrau Bakar Batu
N. Johan : SK (P) Sultan Ibrahim (SIGS)
Ketiga : SK Kempas

8. Khat (Lelaki)
Johan : SK Taman Suria
N. Johan :
Ketiga : 

9. Khat (Perempuan)
Johan : 
N. Johan : SK Taman Suria
Ketiga : 

10. Bacaan Lancar Bahasa Arab (Lelaki)
Johan :
N. Johan :
Ketiga : 

11. Bacaan Lancar Bahasa Arab (Perempuan)
Johan :
N. Johan :
Ketiga : 

12. Syarahan Bahasa Arab (Lelaki)
Johan : SK Kempas
N. Johan : SK Taman Perling
Ketiga : SK Damai Jaya

13. Syarahan Bahasa Arab (Perempuan)
Johan : SK Kompleks Uda
N. Johan : SK Tanjung Puteri
Ketiga : SK Sri Skudai

14. Bercerita Bahasa Arab (Lelaki) (Tahap 1)
Johan : SK Kempas
N. Johan : SK Taman Bukit Mewah
Ketiga : SK Temenggong Abdul Rahman 2 (STAR 2)

15. Bercerita Bahasa Arab (Perempuan) (Tahap 1)
Johan : 
N. Johan :
Ketiga : 

16. Imlak (Lelaki) (Tahap 1)
Johan : SK Taman Universiti 4
N. Johan : SK Sri Tebrau
Ketiga : SK Taman Mutiara Rini 1

17. Imlam (Perempuan) (Tahap 1)
Johan : SK Tanjung Puteri
N. Johan : SK Perling 2
Ketiga : SK Nong Chik

*maaf kerana saya tidak berkesempatan untuk merakam walau sekeping gambar dalam majlis ini.

Read More......

Ahad, Julai 11, 2010

PERJALANAN YANG PANJANG?

Terlalu lama blog ini dibiarkan sepi tanpa entri terbaru. Entah apa sebenarnya yang melanda diri pengurus blog ini pun sukar untuk diceritakan. Mungkin itu hanya sekadar kata-kata biasa untuk menyedapkan mata orang yang membaca dan diri yang menulis dari apa yang tidak sepatutnya dibaca dan ditulis.

Mungkin ianya serupa dengan keadaan beberapa rakan JLU meranggkap blogger-blogger j-QAF di utara sana yang telah membiarkan blog-blog mereka sepi sejak lebih lama dari saya membiarkan blog ini sepi. Walaupun mungkin ada persamaan tetapi yang pasti ianya tidak sama. Keadaannya tidak sama, penerimaannya tidak sama malah akhirnya juga tidak sama.

Sejak dua bulan yang lalu blog ini tiada entri baru yang saya tulis. Namun tempoh tersebut bagaikan satu tempoh yang terlalu singkat bagi saya. Masa berjalan dirasakan bagai air yang mengalir deras.

Jadual kerja yang ketat, luar dan dalam sekolah.
Date line tugasan yang rapat, perlu dibuat, perlu diserah.
Masa untuk berehat pun tidak ada bila tiba cuti sekolah.
Mujur diri ini masih sihat, walau tak henti-henti berpenat lelah.

Hmm.. dah macam puisi pulak perenggan atas ni. :)

Kesibukan saya terhadap tugas-tugas di luar teruji dengan ketiadaan pembantu rumah sejak lebih sebulan yang lalu. Proses menyesuaikan diri tanpa pembantu rumah memerlukan kesabaran setelah lebih kurang tiga tahun bergantung harap padanya untuk segala urusan dan hal yang berkaitan di rumah. Namun setelah hampir sebulan setengah ini, semuanya menjadi alah bisa tegal biasa. Saya, isteri dan anak-anak lebih rasa selesa dan seronok tanpa pembantu rumah. Semuanya diuruskan bersama-sama dan ini menjadikan hubungan kami lebih rapat dan saling bekerjasama.

TUGASAN DI SEKOLAH

Seperti guru-guru yang lain, saya juga tidak terlepas dari sebarang tugas-tugas di sekolah. Samada tugas tersebut merupakan tugasan wajib bagi seorang guru, mahupun tugasan tambahan yang tidak dapat lari dari melaksanakannya.

Pengajaran mesti berjalan mengikut perancangan yang telah dibuat. Ada yang tercicir dek kerana ketiadaan saya di sekolah, terpaksa diganti dan dikejar semula.

Ujian dan penilaian juga perlu dijalankan dengan betul mengikut jadual yang telah ditetapkan walaupun saya kerap membuat kerja di luar berhari-hari. Bukanlah menjadi satu pengecualian untuk saya mengetepikan tugas-tugas tersebut dek kerana tugas-tugas lain yang saya pikul di peringkat jabatan mahupun kementerian.

TUGASAN DI LUAR SEKOLAH

Diperingkat Negeri Johor, status pelaksanaan Plan-J bahasa Arab masih dalam proses pemurnian. Awal Julai lalu, pemurnian pertama telah berlangsung dengan jayanya bagi tahun 2, 3, 5 dan 6. Manakala tahun 1 dan 4 pula terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan bahan baru yang digunapakai tahun hadapan untuk diproses menjadi Plan-J bahasa Arab Negeri Johor.

IPGM Kampus Temenggong Ibrahim Johor Bahru juga telah mengundang saya untuk kesekian kalinya menyumbangkan khidmat di sana pada cuti sekolah awal Jun yang lalu. 10 jam diberikan kepada saya untuk menghabiskan modul 3 bahasa Arab minor untuk pelatih guru pendidikan Islam j-QAF kumpulan 2 ambilan Julai 2009. Alhamdulillah, kesempatan kedua saya mengajar mereka adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Selepas ini sudah tidak ada lagi kelas bahasa Arab bersama mereka. Apapun, terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang saya menjadi tutor anda. Tapi jangan lupa hantar assignment sebelum tamat praktikum ya!

Diperingkat kementerian pula, saya telah menghadiri beberapa siri mesyuarat di bawah anjuran Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Jika dilihat jadual mesyuarat saya pada tahun ini, sejak Mac hingga Julai, setiap bulan saya telah memenuhi undangan BPK bagi tujuan mesyuarat dan pemurnian pelaksanaan PKSR dalam KSSR dan KBSR tahun hadapan.

13 - 16 Julai adalah tarikh kursus bagi Jurulatih Utama bahasa Arab j-QAF peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Hotel Royal Bintang, Seremban. Lebih kurang 4 orang jurulatih utama setiap negeri akan berkumpul di sana bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan pelaksanaan bahasa Arab j-QAF bagi tahun 2011. Di sini jugalah semua jurulatih-jurulatih utama akan berkumpul, bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta masalah dan penyelesaiannya disamping mendapatkan input-input, teknik/kaedah serta segalanya yang berkaitan dengan bahasa Arab dan j-QAF untuk disampaikan di negeri masing-masing dalam kursus-kursus diperingkat negeri pada penghujung tahun ini.

Antara fokus utama dalam kursus kali ini adalah berkenaan transformasi pendidikan melalui pelaksanaan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang akan dilaksanakan bermula bagi murid tahun satu 2011 bagi menggantikan KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) yang bermula pelaksanaannya pada Januari tahun hadapan. Selain itu seperti tahun-tahun lepas, pendedahan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) yang baru adalah fokus kursus seperti ini. Namun tahun ini fokus diberikan kepada HSP bahasa Arab tahun empat. Di harap kesemua peserta kursus (jurulatih-jurulatih utama bahasa Arab) dapat memberikan tumpuan untuk memahami intipati penyampaian penceramah setiap slot dalam kursus ini.

Sedikit kelainan dalam kursus jurulatih utama bahasa Arab peringkat kebangsaan pada tahun ini, beberapa pensyarah dari IPGM seluruh negara akan diundang sebagai peserta kursus kali ini. Ini bertujuan untuk mendapatkan kerjasama yang erat diantara jabatan pelajaran negeri dan pensyarah-pensyarah IPGM di negeri masing-masing dalam pelaksanaan kursus di peringkat negeri nanti. Semoga kerjasama ini akan menjadikan penyampaian maklumat kepada guru-guru lebih tepat dan betul. InsyaAllah.

Sejak saya menjadi jurulatih utama bahasa Arab Negeri Johor pada awal tahun 2007, setiap tahun saya telah terpilih untuk menghadiri kursus jurulatih utama bahasa Arab peringkat kebangsaan ini. Namun pada tahun ini, kehadiran saya ke kursus ini bukan lagi sebagai peserta, tetapi telah diamanahkan oleh pihak BPK untuk menyampaikan satu slot selama 2 jam. Pada awalnya saya cuba menolak tanggungjawab berat ini memandangkan saya bukanlah orang yang layak untuk bercakap di hadapan jurulatih-jurulatih utama bahasa Arab seluruh negara yang hebat-hebat belaka. Namun, atas dorongan dan semangat yang diberikan oleh insan-insan di sekeliling saya, saya menyahut cabaran ini untuk cuba menyampaikannya nanti. Semoga penyampaian saya dapat difahami dan diambil intipatinya oleh semua peserta kursus ini nanti.

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu