Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Ahad, Ogos 15, 2010

P&P Berkesan Berpandukan HSP

Sambungan dari entri lalu...


"P&P Berkesan Berpandukan HSP" merupakan tajuk pertama dari tiga tajuk yang saya sampaikan dalam slot Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 di Hotel Royale Bintang, Seremban pada Julai yang lalu. Namunpun begitu, tajuk yang saya nyatakan di atas bagi saya bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lebih dua tahun yang lalu, saya telah cuba mengetengahkan isu ini di pelbagai peringkat. Jika dilihat penulisan entri saya yang pertama, kedua dan ketiga diawal kelahiran blog ini juga menyentuh tentang penggunaan  dan fokus kepada HSP dalam proses P&P di sekolah. Kursus-kursus samada di peringkat negeri atau daerah, saya sering bercakap tentang hal ini. Hinggakan ketika saya ditemuduga untuk kursus guru bahasa Arab selama sebulan di Oman pada tahun 2009 yang lalu, antara ujiannya adalah penulisan essei dalam bahasa Arab berkenaan "permasalahan bahasa Arab di sekolah dan penyelesaiannya", saya juga menulis tentang hal yang sama. Alhamdulillah, akhirnya dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, usaha ini berbaloi apabila dipersetujui untuk dibentangkan dalam kursus bahasa Arab untuk jurulatih utama peringkat kebangsaan pada tahun ini, untuk disebarkan di seluruh negara.

Biarpun pada pra pembentangan saya bagi tajuk ini mendapat sedikit tentangan dari sebilangan kecil panel penilai, namun akhirnya mereka terpaksa akur apabila saya mendapat sokongan yang lebih kuat dari kalangan mereka yang  lebih tinggi kedudukannya di kementerian. Alasan bagi sokongan ini juga logik dan telah diuji keberkesanannya sebelum ianya diputuskan untuk dibentangkan di dalam kursus tersebut. "Sehingga bila guru hanya akan bergantung kepada buku teks untuk mengajar? Tidak ada buku teks? Tidak boleh mengajar?  Dan sehingga bila guru akan faham isi kandungan dan kehendak sukatan, dan seterusnya dapat mengajar dengan cara yang betul mengikut kehendak sukatan itu sendiri?"

Apakah sumber pertama pengajaran anda? Mungkin ada yang menjawab buku teks, panduan guru, rancangan tahunan (RPT), sukatan pelajaran (SP) mahupun huraian sukatan pelajaran (HSP). Apakah pula sumber kedua pengajaran anda? Jawapan yang pasti adalah antara jawapan lain bagi jawapan soalan pertama.

Adakah anda mampu mengikut perancangan pengajaran tahunan RPT seperti yang dirancang?  Adakah anda mampu menghabiskan sukatan pelajaran bagi tahun pengajaran semasa yang anda ajari? Adakah pengajaran anda menepati kehendak HSP? Tiga soalan berangkai ini mempunyai hubung kait dan persamaan. Sekiranya "RPT" merupakan jawapan bagi soalan pertama atau kedua dalam perenggan di atas, sudah pasti jawapan bagi tiga soalan berangkai ini adalah YA! Bererti anda mampu mengikut perancangan RPT dengan betul kerana ia merupakan sumber pengajaran anda yang pertama atau kedua. Tapi, benarkah ini benar-benar terjadi dalam pengajaran anda? Dan bagaimana pula sekiranya jawapan anda bagi tiga soalan berangkai ini adalah TIDAK? Maka saya hampir yakin 100% bahawa rujukan atau sumber pengajaran anda bukanlah berfokuskan kepada SP dan HSP. Adakah anda setuju dengan saya?

Sebagai guru bahasa Arab, kita wajib faham segala yang berkaitan dengan SP dan HSP. Apakah persamaan dan perbezaan di antara SP, HSP dan RPT? Dewasa ini saya lihat, masih ramai guru-guru bahasa Arab yang terus keliru dengan ketiga-tiga dokumen ini. Dan terus bertanya kenapa guru bahasa Arab (GBA) perlu mengajar berpandukan HSP ini diutamakan?

Mengapa?

1. Guru akan menjadi lebih fokus kepada objektif yang telah digariskan di peringkat kementerian dan penggubal sukatan.
2. Mengurangkan kebergantungan guru kepada buku teks.
3. Menjimatkan masa guru untuk mengajar kerana fokus diberikan kepada kandungan HSP dan bukannya kandungan buku teks yang lebih banyak perlu diajar.
4. Memudahkan pelaksanaan PKSR yang telah ditentukan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum/Kementerian Pelajaran Malaysia.
5. Meningkatkan kreativiti guru dalam P&P melalui Elemen Merentas Kurikulum (EMK).

Mengapa lagi?
6. Murid-murid lebih faham isi kandungan pelajaran melalui fokus kepada kandungan sukatan dan bukan kandungan buku teks yang lebih luas.
7. Mencungkil kreativiti murid-murid dalam pembelajaran di kelas melalui aktiviti-aktiviti gantian yang sesuai bagi mencapai objektif sukatan.
8. Menambahkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Arab kerana subjek menjadi lebih mudah, menarik dan mudah untuk mencapai markah yang tinggi.
9. Murid akan berusaha untuk mencapai standard yang telah ditentukan di peringkat kementerian. 

Pelaksanaan pengajaran berpandukan HSP ini boleh dikategorikan kepada 4 langkah ;
1. Pra Perancangan
2. Perancangan
3. Pelaksanaan
4. Penilaian

PRA PERANCANGAN
Dalam peringkat ini, saya mengandaikan guru akan berangan-angan dengan pengajarannya. Ini berlaku setelah guru merujuk kepada HSP dan RPT. Pertamanya guru melihat kandungan HSP tentang tajuk yang ingin diajarkan dengan merujuk sampingan kepada RPT. RPT dirujuk bagi memastikan tajuk yang diajar masih berada dalam perancangan tahunan. Tempoh mengajar dan agihan subtajuk untuk diajar. HSP pula dirujuk bagi melihat secara jelas mufradat yang akan diajar, nizom sorfi/tarkibi/sauti yang terkandung di dalam tajuk tersebut, atau 'adad wal arqom yang terdapat di dalamnya. Setelah itu, guru perlu menentukan objektif yang ingin dicapai dalam pengajarannya dengan melihat kepada kandungan HSP. Seterusnya beranganlah dengan pengajaran anda! (dalam erti kata mencari ilham - ilham akan datang dengan adanya keikhlasan di hati).

PERANCANGAN
Setelah objektif pengajaran ditentukan, ilham juga telah diperolehi, kemahiran juga perlu ditentukan sekurang-kurangan satu atau dua kemahiran. Tidak menjadi salah seandainya aktiviti kita pada hari itu merangkumi 3 kemahiran sekaligus, andai ianya bersesuaian dengan masa dan aktivitinya. Tetapi agak mustahil bagi seorang guru dapat memberi fokus kepada 4 kemahiran sekaligus dalam satu waktu pengajaran  (Wallahu'alam).

Setelah semuanya selesai, barulah guru boleh menulis rancangan hariannya di dalam buku rekod mengajar dan diakhiri dengan pemilihan/penyediaan bahan bantu mengajar.

Perenggan di atas ini merupakan penyataan yang telah menjadi pertikaian antara saya dengan seorang ketua jabatan bahasa Arab di salah sebuah institut perguruan Malaysia (IPGM) ketika pra pembentangan saya sebelum kursus yang lalu. Kenyataan di atas adalah kenyataan yang beliau kehendaki iaitu guru menulis rancangan dan kemudiannya menyediakan bahan. Sedangkan apa yang saya cuba utarakan sebelumnya adalah, "guru menyediakan bahan terlebih dahulu dan kemudiannya barulah guru menulis rancangan mengajar di dalam buku rekod pengajarannya".

Apakah alasan beliau mempertahankan kenyataan di atas dan apakah pula alasan saya untuk berkata demikian? Alasan beliau adalah setelah sekian lama guru-guru di maktab atau di IPGM telah dilatih berbuat demikian, dan sekiranya saya ingin mengubahnya ini telah menjadi bertentangan dengan apa yang telah diajarkan kepada pelatih-pelatih guru di semua maktab/IPGM. Saya menerima alasan beliau kerana saya juga telah dididik sedemikian, dan saya juga menghormatinya sebagai orang yang lebih dalam ilmu perguruannya berbanding saya.

Alasan saya pula untuk mengubah cara tersebut daripada "menulis kemudian mencipta bahan" kepada "mencipta bahan terlebih dahulu dan kemudiannya menulis" adalah kerana, saya sering mengalami percambahan idea ketika saya membuat sesuatu bahan pengajaran. Percambahan idea tersebut saya lakukan dan laksanakan di kelas tanpa catatan di dalam buku rekod mengajar kerana ianya telah siap ditulis sebelum bahan dibuat. Ruangan menulis juga telah penuh untuk ditambah. Alangkah ruginya apa yang kita lakukan tidak kita catatkan. Ia akan hilang begitu sahaja.

Berbanding dengan cara kita mencipta bahan terlebih dahulu. Sewaktu itu kita akan menggunakan kreativiti kita untuk mencipta sesuatu bahan yang boleh mencapai objektif yang telah kita tentukan dari HSP. Sewaktu proses ini berlaku, otak kita sentiasa bergerak dan berkembang sehingga terjadinya percambahan idea yang lebih baik dari idea sebelumnya. Dengan itu, kita telah mencipta satu bahan terbaik untuk pengajaran kita, seterusnya ditulis di dalam buku rekod mengajar.

Begitu juga dengan menggunakan bahan sedia ada di sekolah. Adakah kita menulis rancangan dahulu kemudiannya baru mencari bahan tersebut di bilik BBM? Atau kita mencari bahan terbaik yang ada di bilik BBM (mahupun di kedai) terlebih dahulu, dah dapat, dah jumpa, baru kita buat penulisan rancangan! Yang mana satu lebih baik?

Inilah idea saya yang ditolak dalam pra pembentangan slot saya ini yang lalu. Saya mungkin kalah kerana saya tidak ada fakta tentang proses otak. Apa yang ada hanyalah pengalaman yang berkali-kali saya rasai. Itu memang tidak cukup. Apapun, saya merasa puas apabila idea ini saya nyatakan secara lisan dalam kursus JLU kebangsaan yang lalu, dan majoriti menyokong idea ini.

PELAKSANAAN
Pelaksanaan pengajaran berpandukan HSP ini berlaku dalam minggu yang pertama sesuatu tajuk bermula, di mana guru-guru tidak menggunakan buku teks dalam minggu yang pertama untuk tajuk yang baru ini. Guru hanya fokuskan kepada mufradat atau 'ibaraat yang terkandung di dalam HSP. Dengan instrumen ini, guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang sesuai seperti latih tubi menyebut, membaca mahupun menulis sehingga murid-murid boleh mencapai objektif menghafaz dan memahami instrumen tersebut. Permainan bahasa sangat membantu murid untuk mencapai objektif ini.

Pada minggu yang kedua tajuk tersebut, guru sudah boleh menggunakan buku teks untuk mengajar. Pada waktu ini, guru akan mendapati, proses pengajaran berlaku dengan lebih lancar kerana aktiviti menterjermah kurang malah hampir tidak perlu dilakukan. Ini terjadi kerana murid-murid telah faham kandungan perkataan dan ayat dalam buku teks kerana penguasaan mereka terhadap instrumen HSP dalam minggu pertama sebelumnya. Dan ketika ini juga penilaian PKSR boleh dimulakan dari minggu kedua pengajaran tajuk tersebut sehingga ke minggu akhir sebelum masuk ke tajuk yang baru.

PENILAIAN
Setiap pengajaran mestilah diakhiri dengan proses penilaian untuk mengukur keberkesanan pengajaran dan pencapaian objektif yang telah disasarkan. Manakala penilaian PKSR pula yang bermula dari minggu kedua pengajaran sesuatu tajuk hingga ke minggu akhir sebelum memasuki ke tajuk yang baru.

Pelbagai cara, kaedah dan masa boleh digunakan dalam membuat penilaian kepada murid samada penilaian tersebut adalah penilaian pengajaran mahupun penilaian PKSR. Cara ini akan saya terangkan dalam tajuk kedua slot saya dalam entri yang akan datang.


2 comments:

salam..ustaz..personally saya menyokong pandaangan ustaz kerana scra peribadi saya juga mencari/menyedia/mencipta BBM dahulu sblm menulis RPH.

mmg berbeza betul impaknya..antara mencari BBM slps RPH berbnding dgn sebaliknya.

Sewaktu prktikum dhulu-ketika mula2 membuat RPH, jika saya menulis dhulu perancangan..utk BBM pula sy perlu berfikir lama utk melaksanakan xtvt yg menarik.seolah terikat dgn apa yg ditulis..

tetapi..jika saya sudah bersiap sedia dgn BBM. Penulisan saya akan lebih mudah terutama ketika membahagikan masa dan flow P&P bg RPH yg ditulis..

sehingga sekarang kepala saya lebih ligat mencari/mencipta BBM dahulu drpd menulis RPH..

ustaz,
keadaan/tradisi penulisan RPH yg diamalkan sejak sekian lama, mungkin sukar utk diubah..

Pada sayalah,pendekatan yg cuba ustaz ketengahkn ini sebenarnya bukanlah mengubah tradisi/amalan yg sedia ada sebaliknya sbg IMPROVEMENT..

Bukankah rakyat negara ini, dianjur spy bersifat produktif, inovatif, dan kreatif serta berani mencuba.

Cuma, mungkinlah (pd pandangan saya).. guru2 yg kreatif bg mereka menyediakan BBM terlebih dahulu sblm menulis RPH lebih mudah.

dan bagi guru2 yg kurang kreatif mereka lebih gemar menulis RPH dahulu kemudian br menyediakan BBM.


kedua2 kaedah ini sebenarnya dan hakikatnya adalah perkara yg BETUL dan ia sesuai dilaksanakan bergantung kepada kesesuaian diri guru itu sendiri-yg mana lebih mudah bg mereka.

lebih kurang jugak dgn salah satu kaedah P&P yg boleh dilaksanakan; Induktif dan deduktif..

waAllahu'alam

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu