Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Ahad, Julai 11, 2010

PERJALANAN YANG PANJANG?

Terlalu lama blog ini dibiarkan sepi tanpa entri terbaru. Entah apa sebenarnya yang melanda diri pengurus blog ini pun sukar untuk diceritakan. Mungkin itu hanya sekadar kata-kata biasa untuk menyedapkan mata orang yang membaca dan diri yang menulis dari apa yang tidak sepatutnya dibaca dan ditulis.

Mungkin ianya serupa dengan keadaan beberapa rakan JLU meranggkap blogger-blogger j-QAF di utara sana yang telah membiarkan blog-blog mereka sepi sejak lebih lama dari saya membiarkan blog ini sepi. Walaupun mungkin ada persamaan tetapi yang pasti ianya tidak sama. Keadaannya tidak sama, penerimaannya tidak sama malah akhirnya juga tidak sama.

Sejak dua bulan yang lalu blog ini tiada entri baru yang saya tulis. Namun tempoh tersebut bagaikan satu tempoh yang terlalu singkat bagi saya. Masa berjalan dirasakan bagai air yang mengalir deras.

Jadual kerja yang ketat, luar dan dalam sekolah.
Date line tugasan yang rapat, perlu dibuat, perlu diserah.
Masa untuk berehat pun tidak ada bila tiba cuti sekolah.
Mujur diri ini masih sihat, walau tak henti-henti berpenat lelah.

Hmm.. dah macam puisi pulak perenggan atas ni. :)

Kesibukan saya terhadap tugas-tugas di luar teruji dengan ketiadaan pembantu rumah sejak lebih sebulan yang lalu. Proses menyesuaikan diri tanpa pembantu rumah memerlukan kesabaran setelah lebih kurang tiga tahun bergantung harap padanya untuk segala urusan dan hal yang berkaitan di rumah. Namun setelah hampir sebulan setengah ini, semuanya menjadi alah bisa tegal biasa. Saya, isteri dan anak-anak lebih rasa selesa dan seronok tanpa pembantu rumah. Semuanya diuruskan bersama-sama dan ini menjadikan hubungan kami lebih rapat dan saling bekerjasama.

TUGASAN DI SEKOLAH

Seperti guru-guru yang lain, saya juga tidak terlepas dari sebarang tugas-tugas di sekolah. Samada tugas tersebut merupakan tugasan wajib bagi seorang guru, mahupun tugasan tambahan yang tidak dapat lari dari melaksanakannya.

Pengajaran mesti berjalan mengikut perancangan yang telah dibuat. Ada yang tercicir dek kerana ketiadaan saya di sekolah, terpaksa diganti dan dikejar semula.

Ujian dan penilaian juga perlu dijalankan dengan betul mengikut jadual yang telah ditetapkan walaupun saya kerap membuat kerja di luar berhari-hari. Bukanlah menjadi satu pengecualian untuk saya mengetepikan tugas-tugas tersebut dek kerana tugas-tugas lain yang saya pikul di peringkat jabatan mahupun kementerian.

TUGASAN DI LUAR SEKOLAH

Diperingkat Negeri Johor, status pelaksanaan Plan-J bahasa Arab masih dalam proses pemurnian. Awal Julai lalu, pemurnian pertama telah berlangsung dengan jayanya bagi tahun 2, 3, 5 dan 6. Manakala tahun 1 dan 4 pula terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan bahan baru yang digunapakai tahun hadapan untuk diproses menjadi Plan-J bahasa Arab Negeri Johor.

IPGM Kampus Temenggong Ibrahim Johor Bahru juga telah mengundang saya untuk kesekian kalinya menyumbangkan khidmat di sana pada cuti sekolah awal Jun yang lalu. 10 jam diberikan kepada saya untuk menghabiskan modul 3 bahasa Arab minor untuk pelatih guru pendidikan Islam j-QAF kumpulan 2 ambilan Julai 2009. Alhamdulillah, kesempatan kedua saya mengajar mereka adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Selepas ini sudah tidak ada lagi kelas bahasa Arab bersama mereka. Apapun, terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang saya menjadi tutor anda. Tapi jangan lupa hantar assignment sebelum tamat praktikum ya!

Diperingkat kementerian pula, saya telah menghadiri beberapa siri mesyuarat di bawah anjuran Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Jika dilihat jadual mesyuarat saya pada tahun ini, sejak Mac hingga Julai, setiap bulan saya telah memenuhi undangan BPK bagi tujuan mesyuarat dan pemurnian pelaksanaan PKSR dalam KSSR dan KBSR tahun hadapan.

13 - 16 Julai adalah tarikh kursus bagi Jurulatih Utama bahasa Arab j-QAF peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Hotel Royal Bintang, Seremban. Lebih kurang 4 orang jurulatih utama setiap negeri akan berkumpul di sana bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan pelaksanaan bahasa Arab j-QAF bagi tahun 2011. Di sini jugalah semua jurulatih-jurulatih utama akan berkumpul, bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta masalah dan penyelesaiannya disamping mendapatkan input-input, teknik/kaedah serta segalanya yang berkaitan dengan bahasa Arab dan j-QAF untuk disampaikan di negeri masing-masing dalam kursus-kursus diperingkat negeri pada penghujung tahun ini.

Antara fokus utama dalam kursus kali ini adalah berkenaan transformasi pendidikan melalui pelaksanaan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang akan dilaksanakan bermula bagi murid tahun satu 2011 bagi menggantikan KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) yang bermula pelaksanaannya pada Januari tahun hadapan. Selain itu seperti tahun-tahun lepas, pendedahan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) yang baru adalah fokus kursus seperti ini. Namun tahun ini fokus diberikan kepada HSP bahasa Arab tahun empat. Di harap kesemua peserta kursus (jurulatih-jurulatih utama bahasa Arab) dapat memberikan tumpuan untuk memahami intipati penyampaian penceramah setiap slot dalam kursus ini.

Sedikit kelainan dalam kursus jurulatih utama bahasa Arab peringkat kebangsaan pada tahun ini, beberapa pensyarah dari IPGM seluruh negara akan diundang sebagai peserta kursus kali ini. Ini bertujuan untuk mendapatkan kerjasama yang erat diantara jabatan pelajaran negeri dan pensyarah-pensyarah IPGM di negeri masing-masing dalam pelaksanaan kursus di peringkat negeri nanti. Semoga kerjasama ini akan menjadikan penyampaian maklumat kepada guru-guru lebih tepat dan betul. InsyaAllah.

Sejak saya menjadi jurulatih utama bahasa Arab Negeri Johor pada awal tahun 2007, setiap tahun saya telah terpilih untuk menghadiri kursus jurulatih utama bahasa Arab peringkat kebangsaan ini. Namun pada tahun ini, kehadiran saya ke kursus ini bukan lagi sebagai peserta, tetapi telah diamanahkan oleh pihak BPK untuk menyampaikan satu slot selama 2 jam. Pada awalnya saya cuba menolak tanggungjawab berat ini memandangkan saya bukanlah orang yang layak untuk bercakap di hadapan jurulatih-jurulatih utama bahasa Arab seluruh negara yang hebat-hebat belaka. Namun, atas dorongan dan semangat yang diberikan oleh insan-insan di sekeliling saya, saya menyahut cabaran ini untuk cuba menyampaikannya nanti. Semoga penyampaian saya dapat difahami dan diambil intipatinya oleh semua peserta kursus ini nanti.

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu