Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Memaparkan catatan dengan label Persoalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persoalan. Papar semua catatan

Khamis, Februari 16, 2012

Laporan Pelaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab Tahun Satu 2012

Esok, 17 FEBRUARI 2012 adalah tarikh akhir untuk penghantaran Laporan Pelaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab Tahun Satu bagi tahun 2012 ini.

Disebabkan itu, hampir setiap setengah jam saya akan menerima panggilan telefon yang kesemuanya saya tidak kenali. Namun itu bukanlah masalah bagi saya untuk menjawabnya. Panggilan-panggilan tersebut kebanyakkannya bertanyakan tentang laporan pelaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab tahun satu yang perlu diisi dan dihantar segera. Kebanyakan mereka bermasalah untuk menemukan format laporan tersebut di dalam laman sesawang Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) seperti yang diberikan.

Rata-rata guru mengharapkan format borang yang diperlukan boleh ditemui di muka hadapan laman sesawang tersebut. Tidak ramai yang cuba meng-explore  untuk mencari sendiri format laporan yang sememangnya ada di sana tetapi agak tersembunyi. Saya tidak menyalahkan guru-guru kerana masalah ini. Saya terfikir kemungkinan masalah kemudahan talian internet di tempat mereka terlalu perlahan dan menyukarkan aktiviti eksplorasi untuk mendapatkan borang laporan tersebut. Akhirnya sayalah yang akan cuba untuk terus membantu satu persatu sesiapa yang menelefon dan mengajukan masalah yang sama dan berkaitan.

Berikut adalah panduan mudah untuk anda yang masih tercari-cari format borang laporan pelaksanaan Modul Transisi tersebut ;

1. Taip pada ruangan alamat internet browser anda http://www.moe.gov.my/bpk/
2. Klik pada tab KSSR
4. Klik pada pautan mata pelajaran Bahasa Arab
5. Klik pada pautan Borang Laporan Pelaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab untuk muat turun borang laporan tersebut.



Seterusnya, borang laporan yang telah lengkap diisi perlulah dilampirkan di dalam emel dan dialamatkan kepada unitarab_bpk@yahoo.com

FAQ

Berikut adalah beberapa soalan yang kerap ditanya kepada saya dalam mengisi borang laporan tersebut ;

1. Mengapa skala 2, 3 dan 4 digelapkan dan tidak dapat dipilih?
Jawapan : Sememangnya skala tersebut sengaja digelapkan untuk memberi pilihan jawapan kepada 1 atau 5 sahaja. Ini membawa erti, guru perlu menjawab soalan yang diajukan dengan jawapan yang diperlukan hanyalah YA atau TIDAK sahaja.

Walaubagaimanapun, skala 1 hingga 5 boleh dipilih untuk menjawab soalan-soalan kefahaman di bahagian bawah borang tersebut.

2. Mengapakah setelah catatan ditulis pada ruangannya, catatan tersebut menjadi tulisan ########### ?
Jawapan : Itu adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. Walaubagaimanapun, guru boleh terus membiarkan tulisan catatan tersebut menjadi tulisan ######### kerana hakikatnya ia masih boleh dibaca dengan mengetik dua kali pada kotak catatan tersebut.

3. Perlukan Laporan dihantar dalam bentuk hard copy?
Jawapan : Tidak kepada BPK. Namun begitu, mungkin ianya diperlukan di peringkat PPD atau JPN.

4. Perlukan sekolah yang tidak mempunyai mata pelajaran Bahasa Arab menghantar laporan ini.
Jawapan : Tidak perlu. Laporan ini perlu dihantar oleh sekolah-sekolah yang memilih Bahasa Arab sebagai Modul Elektif dalam KSSR.

5. Siapakah yang perlu mengisi borang laporan ini?
Jawapan : Ketua Panitia Bahasa Arab, atau guru Bahasa Arab tahun satu, atau mana-mana guru yang ditugaskan untuk melaksanakan modul ini.

MIORjQAF : Kalau tak sempat siap esok, boleh la lagi hantar sampai minggu depan! ;-)

Read More......

Khamis, Februari 02, 2012

PKSR Bahasa Arab 2012


Ramai yang bertanya kepada saya tentang status pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR) bagi mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah-sekolah kebangsaan yang melaksanakannya.

Bagi tahun 2012, BPK telah memutuskan bahawa kelas-kelas yang menjalankan KSSR (iaitu tahun satu dan dua) hendaklah menjalankan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan menggunakan Dokumen Standard Prestasi yang telah disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Ini bererti, guru yang mengajar tahun satu dan dua pada tahun ini tidak lagi perlu menjalankan PKSR bagi mata pelajaran ini sepertimana tahun-tahun sebelum.

Sehubungan itu, pada tahun 2012 ini, PKSR hanya dijalankan kepada murid-murid tahun tiga, empat, lima dan enam sahaja. Konsep pelaksanaan PKSR bagi kelas-kelas ini adalah sama dengan tahun-tahun yang lepas, iaitu tahun tiga dilaksanakan pada setiap topik manakala bagi kelas-kelas tahap dua (tahun empat, lima dan enam) pelaksanaannya dilakukan pada pertengahan dan akhir tahun.

Bagi soalan PKSR tahun tiga, guru boleh menggunakan soalan sama yang digunakan pada tahun lepas. Ianya juga masih boleh dimuat turun  di laman WEB BPK di 
atau di pautan berikut ; 



Soalan PKSR pertengahan dan akhir tahun bagi kelas-kelas tahun empat, lima dan enam pula, akan dimuat naik di dalam laman WEB tersebut selewat-lewatnya pada bulan April nanti. Ini berikutan BPK sedang berusaha untuk menambah baik soalan-soalan tersebut.


Kesemua markah murid dari PKSR ini perlu dilaporkan di dalam E-Pelaporan j-QAF sepertimana biasa.


MIORjQAF : Semoga guru dapat melaksanakan penilaian dan pentaksiran dengan lebih baik tanpa rasa terbeban.




KEMASKINI - 4 MEI 2012
PERHATIAN!
SILA DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI
BERKENAAN PELAKSANAAN
PKSR BAHASA ARAB 2012

Read More......

Ahad, Januari 16, 2011

RPT & Saya

Saya boleh angkat topik ini sebagai topik terhangat pada setiap awal tahun. Masakan tidak, lapan dari setiap sepuluh orang yang menghubungi saya akan bertanyakan tentang RPT. Huh.. :)

RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN
Rancangan Pengajaran Tahunan atau disebut RPT merupakan satu komponen penting yang perlu disediakan oleh kita sebagai guru di sekolah bila tiba awal tahun. Ini merupakan sesuatu yang wajib sebagai persediaan kita untuk merancang pengajaran sepanjang tahun pengajaran semasa. Ianya perlu untuk mencapai kesemua objektif kurikulum dengan merangkumi kesemua topik pengajaran yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sepanjang tahun pengajaran. Maka bertungkus lumuslah kita semua menyediakan RPT tersebut. Ada yang merancang sendiri RPTnya dan tak kurang juga yang mengikut rancangan orang lain. Apa yang penting, kehendak pihak pentadbiran (jarang yang melihat ianya adalah kehendak sendiri) agar komponen itu ada, dapat disediakan apabila buku rekod mengajar kita dinilai diawal tahun ini. Bagi saya, apalah gunanya ada rancangan tersebut andai tidak mampu menurutinya sepanjang tahun nanti. Selalunya ini  bakal terjadi bilamana rancangan itu tidak dirancang sendiri oleh guru tersebut.

ENTRI TERDAHULU
Awalnya saya sudah tidak mahu menulis tentang tajuk ini lagi memandangkan pelbagai respon yang saya terima setelah pertama kali saya menulis berkaitannya pada tahun lepas. Namun lama-kelamaan ia menjadi satu tuntutan pada saya untuk menulis sekali lagi tentang topik yang sama. Tetapi kesibukan pula menjadi penghalang pada blogger yang kurang komited seperti saya. Sehinggalah ke hari ini, barulah saya berpeluang dan berkesempatan untuk berkongsi dan mengekspresikan diri saya tentang topik yang saya anggap hangat ini.

MASALAH YANG SAMA
Rasanya sudah jelas dan terang apa yang pernah saya utarakan sebelum ini. RPT seharusnya BUKAN DI CARI, tetapi dihasilkan sendiri oleh kita yang mengajar atau lebih baik oleh ahli kumpulan panitia mata pelajaran tersebut di sesebuah sekolah. Ini bukan pendapat saya, tetapi ianya juga hasrat dan kehendak kementerian sendiri terhadap kita. Malangnya keperluan ini jarang dapat difahami dengan baik oleh kita sendiri untuk direalisasikan di sekolah. Hasilnya, pengajaran kita jadi tidak berfokus dan pastinya matlamat sukar dicapai. Buktinya berapa ramai rakan-rakan kita yang tidak mampu menghabiskan sukatan pelajaran kurikulumnya sepanjang tahun tersebut. Setiap tahun saya bertanyakan kepada peserta-peserta kursus yang saya hadir sebagai penceramah, berapa ramai yang boleh dan mampu menghabiskan sukatan pelajaran masing-masing di sekolah. Maka di situ saya dapati lebih 60% di kalangan kita gagal! Apa puncanya? Dimana silapnya? Adakah silap kurikulum yang digubal? Adakah silap pihak sekolah yang memberi tugas terlalu banyak kepada guru hingga kita terlalu terbeban? Namun berapa ramai yang dapat bertanya kepada diri sendiri, dimana silap diri kita sendiri sebagai guru hingga gagal mengajar kesemua tajuk / sukatan yang telah disediakan. Siapa yang rugi? Sudah pasti anak-anak didik kita. Sukatan kurikulum yang mereka perlu belajar itu adalah hak mereka, dan mengapa kita tidak memberikan hak mereka itu sepenuhnya? Mari sama-sama kita fikirkan.

MENGAPA?
Mengapa saya beriya-iya benar menyuruh dan menggalakkan rakan-rakan guru merancang sendiri RPT mereka? Persoalan ini bagi saya telah saya jawab dalam perenggan di atas. Terlalu banyak kelemahan bilamana RPT tidak dirancang sendiri oleh guru mengikut takwim semasa sekolahnya. Akan saya sambung penjelasannya nanti.

Mengapa pula di blog saya terdapat menu muat turun RPT sedangkan saya bersungguh-sungguh menggalakkan rakan-rakan guru menyediakannya sendiri?
Walaupun di blog saya terdapat menu muat turun yang memuatkan contoh-contoh RPT, namun sekalipun saya tidak pernah menggunakannya di sekolah. Alasannya adalah RPT tersebut bukan saya yang sediakan dan rancang, tetapi ianya disediakan oleh insan-insan mulia yang bermurah hati dan ingin mengongsikannya. Malangnya rancangan yang telah dirancang itu tidak menepati takwim persekolahan saya dan minggu-minggu pengajaran saya. Jadi bagaimana saya hendak menurutinya agar pengajaran saya dapat dihabiskan sebelum penilaian akhir tahun berjalan? Maka menu muat turun RPT tersebut  di blog saya, saya hanya jadikan sebagai perantaraan untuk rakan-rakan guru melihatnya dan memuat turunnya, Namun sekalipun saya tidak pernah menyuruh dan menggalakkan agar ianya di guna bulat-bulat oleh sesiapa yang memuat turun darinya.

CUBA FIKIRKAN
Saya ingin mengajak rakan-rakan guru agar sama-sama melihat RPT yang banyak dikongsikan merata-rata di internet. Pernah tak kita meneliti RPT tersebut sebelum ianya kita jadikan rancangan pengajaran sepanjang tahun untuk kita? Bagi yang meneliti dan menyesuaikan dengan takwim sekolahnya, saya ucapkan tahniah. Tetapi dari pengamatan saya, amat jarang yang dapat meneliti RPT tersebut. Kebanyakkannya hanya menerima bulat-bulat perancangan yang berhelai-helai tersebut tanpa diteliti dan disemak, kemudian dicetak, dibukukan dan disediakan dengan kemas dan cantik di dalam buku rekod mengajar masing-masing. Bila nak buat rancangan pengajaran harian (RPH), maka kita pun terus merujuk minggu pengajaran kita dan minggu pengajaran dalam RPT, seterusnya diadaptasikan di dalam buku rekod mengajar. Benarkan? 

Kita hanya percaya kepada yang membuat perancangan tersebut. Bagi kita, sudah tentu yang merancang dan menyediakan RPT ni orangnya hebat! Kalau tak hebat, tak kan dia boleh buat. Kita tak hebat sebab kita tak boleh buat RPT sendiri. Kalau kita hebat, kita pun boleh buat RPT sendiri macam mereka. DAN SEMEMANGNYA KITA ADALAH HEBAT! Dan sebenarnya kita sangat mampu menyediakan RPT kita sendiri yang sama-sama hebat! Malah RPT kita lebih baik dan boleh dituruti hingga akhir tahun dan mampu mencapai objektif yang disasarkan. Nanti saya kongsikan rahsianya.

PENGAMATAN
Dari pengamatan saya, kebanyakkan RPT yang dikongsikan diinternet perlu diteliti, dinilai dan diubah suai mengikut kesesuaian kita dan bukannya diterima bulat-bulat. Saya ingin sentuh mengapa ianya tidak boleh diterima bulat-bulat.

PERTAMA : Bilangan Minggu.
Dari beberapa RPT yang saya lihat di internet, ada berbagai-bagai jumlah minggu yang disusun. Ada yang merancang untuk 40 minggu pengajaran, ada pula yang merancang hingga minggu maksimum iaitu 42 minggu. Dari sini saya ingin mengajak kita sama-sama berfikir. Adakah kita mengajar sepanjang tahun ini selama 42 minggu? Atau 40 minggu? Atau kurang dari itu? Cuba semak takwim sekolah masing-masing. Kerana itu saya selalu tekankan, RPT mesti dibuat mengikut takwim persekolahan masing-masing.

Jika mengikut takwim sekolah saya, dari 42 minggu maksimum persekolahan, saya hanya tinggal 40 minggu persekolahan sahaja. 2 minggu di tolak kerana cuti berganti yang mencukupkan seminggu cuti perayaan Tahun Baru Cina dan seminggu lagi cuti perayaan Deepavali. Bakinya tinggal 40 minggu. Jadi bagaimana saya boleh menuruti RPT yang telah siap disusun oleh insan-insan mulia tersebut untuk 42 minggu? Dan bagi sekolah saya juga selama 40 minggu persekolahan itu bukan semuanya minggu pengajaran.

Di atas saya telah menggunakan istilah "minggu pengajaran" dan "minggu persekolahan". Kedua-dua istilah ini perlu difahami betul-betul. Minggu pengajaran adalah minggu-minggu yang kita akan mengajar mengikut sukatan yang telah disediakan. Manakala minggu persekolahan pula adalah minggu-minggu kita dan murid hadir ke sekolah tetapi mungkin tidak berlaku aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada ketika itu. Contohnya minggu ujian atau minggu peperiksaan. Selain dari itu adalah minggu sukan yang sudah tentu membuatkan minggu persekolahan pada minggu tersebut sedikit terganggu dengan aktiviti-aktiviti sukan sekolah seperti latihan sukan, acara sebelum sukan, sukantara, sukaneka dan sebagainya. Jadi, bolehkah pada minggu sukan tersebut kita jadikan minggu pengajaran dalam RPT kita? Bagaimana kalau kita tidak dapat langsung mengajar pada minggu sukan tersebut? Sudah tentu akan terjejas perancangan pengajaran kita. Itu belum di campur tolak dengan minggu-minggu bagi aktiviti-akviti yang lain seperti minggu yang ada mesyuarat PIBG, minggu yang ada pertandingan j-QAF dan sebagainya. Inilah realiti. Sedangkan minggu-minggu tersebut termasuk dalam 40 atau 42 minggu persekolahan yang ada dalam RPT yang banyak terdapat di internet. Bagai saya minggu-minggu persekolahan yang bukan minggu pembelajaran seperti minggu sukan ini boleh dijalankan minggu aktiviti seni bahasa Arab terhadap murid-murid sebagai aktiviti sokongan yang menyeronokkan mereka.

Saya juga melihat dalam RPT yang banyak dikongsikan di internet ini juga merancang pengajaran semaksimum minggu persekolahan tanpa mengambil kira minggu-minggu peperiksaan. Sebagai contoh, saya telah melihat satu RPT bahasa Arab tahun satu yang dirancang untuk semester pertama selama 20 minggu. Sedangkan dalam takwim persekolahan yang ada dalam semester pertama adalah sebanyak 19 minggu sahaja. Itu ketidaksesuaian pertama. Ketidaksesuaian kedua adalah, dalam takwim persekolahan saya, pada minggu ke 17 adalah minggu peperiksaan pertengahan tahun. Sedangkan dalam RPT tersebut tertulis pengajaran tajuk ke 5 untuk setengah tahun berakhir pada minggu ke 20. Sedangkan minggu ke 20 dalam takwim sekolah saya adalah minggu pertama semester kedua. Jadi, bolehkah murid kita dinilai dalam peperiksaan pertengahan tahun pada minggu ke 17 persekolahan sebelum tajuk 5 habis di ajar pada mingu ke 20? Kalau dah habis ajar, bagaimana guru mengajar sehingga sudah habis tajuk 5 sedangkan RPT yang kita jadikan rancangan pengajaran kita belum lagi sampai ke akhir tajuk tersebut? Jadi, mari kita fikir dan nilaikan semula RPT yang kita ambil di internet.

Begitu juga jika dilihat dalam takwim sekolah saya di mana minggu ke 36 adalah minggu peperiksaan akhir tahun. Ini bererti saya mesti tamat mengajar seluruh sukatan selewat-lewatnya pada minggu ke 34 kerana pada minggu ke 35 saya akan membuat ulangkaji untuk peperiksaan akhir tahun pada minggu ke 36. Namun, jika kita lihat dalam RPT yang tersebar luas di internet, pada minggu ke 40 barulah kita tamat mengajar seluruh tajuk. So, adakah murid kita akan dinilai pada minggu ke 41 setelah tamat persekolahan? Cuba kita fikirkan.

KEDUA : Ikut Takwim Masing-masing.
Sememangnya RPT mesti dirancang sendiri oleh guru atau panitia dengan berpandukan takwim sekolah masing-masing.

Sebagai contoh saya telah mengosongkan minggu pembelajaran pada minggu ke 22 dalam RPT saya kerana pada minggu tersebut sekolah saya menganjurkan kejohanan sukan tahunan sekolah. Sukan sekolah saya tidak sama berlangsungnya dengan sukan sekolah jiran saya apalagi sekolah-sekolah yang lebih jauh. Kebarangkalian sama itu mungkin ada tetapi ia hanyalah kebetulan. Namun walaupun minggu sukan sekolah saya mungkin sama dengan minggu sukan sebuah sekolah yang lain, tetapi mungkin pula minggu-minggu ujian dan peperiksaan tidak sama! Sebagai contoh, minggu ujian di sekolah saya adalah pada minggu ke 7 dan ke 14 sebelum berlangsungnya minggu peperiksaan pertengahan tahun pada minggu ke 17, mungkin berbeza dengan minggu-minggu ujian di sekolah yang lain. So, perancangan pengajaran tahunan atau RPT kita semua tidak sama kerana mengikut perancangan takwim sekolah masing-masing! Kerana itu kita tidak boleh berkongsi RPT.

Saya juga melihat RPT bahasa Arab tahun 1 di internet yang telah meletakkan minggu pertama sudah masuk minggu pengajaran. Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa pada minggu pertama hingga ke empat adalah minggu transisi bagi murid tahun 1. Jumlah minggu transisi ini adalah mengikut sekolah masing-masing. Contohnya dalam takwim sekolah saya telah menentukan bahawa pelaksanaan minggu transisi hanya seminggu, tetapi di sekolah jiran pula selama dua minggu. Malah ada sekolah yang terus sampai ke empat minggu. Dan jika di lihat dalam RPT di internet tersebut, minggu pertama sudah masuk pengajaran tanpa mengambil kira minggu transisi tersebut. Jadi bagaimana kita nak ikut RPT tersebut sehingga ke akhir tahun?

Ketiga : Objektif dan Sukatan
Persoalan ketiga ini adalah berkaitan dengan satu soalan yang pernah diajukan kepada saya oleh beberapa orang guru yang ingin belajar menyediakan RPT sendiri daripada saya. Saya puji guru ini dan bangga dengannya. Soalannya berbunyi, "Objektif pengajaran perlu di letak atau tidak dalam RPT?"

Bagi menjawab soalan ini, saya telah menjawabnya dengan beberapa soalan. Sekiranya dia dapat menjawab soalan saya tersebut, barulah saya akan menjawab soalannya. Soalan bagi jawapan soalan tersebut ialah, 
"Cuba sebutkan sebab kenapa kita semua perlu sediakan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) atau Dokumen Standard (DS) atau Dokumen Kurikulum (DK) dalam buku rekod pengajaran kita? Adakah ianya hanya untuk memenuhi syarat permintaan pentadbiran agar ianya mesti ada dalam buku rekod mengajar kita sebagai hiasan? Atau adanya dokumen kurikulum tersebut untuk menjadi rujukan kita bila merancang sesuatu pengajaran harian? Dan bila masa pula kita perlu merujuknya?

Saya fikir jawapan bagi soalan-soalan yang saya baru ajukan ini boleh menjawab soalan samada perlu atau tidak kita letakkan objektif dalam RPT kita.

Sebenarnya bukanlah menjadi satu isu atau masalah samada kita nak menentukan objektif pengajaran dalam RPT atau membiarkan ianya kosong dan akan ditentukan kelak ketika kita merancang pengajaran harian. Bagi saya, tidak menentukan objektif pengajaran terlalu awal lebih baik dan mudah malah menjadikan RPT kita lebih ringkas, fleksibel dan mudah untuk dituruti seterusnya dapat memandu kita untuk melengkapkan pengajaran bagi kesemua sukatan pelajaran atau tajuk pengajaran yang telah digariskan.

Menentukan objektif pengajaran terlalu awal juga bagi saya telah menyekat perkembangan murid-murid kita. Seandainya kita telah memilih dan menentukan beberapa objektif yang tersusun di dalam dokumen kurikulum untuk dijadikan objektif pengajaran kita sepanjang tahun terhadap murid-murid ktia, bererti kita hanya meletakkan satu aras pencapaian sahaja kepada murid-murid kita. Berbanding dengan kita membiarkan waktu yang menentukan untuk kita menurunkan atau menaikkan objektif pengajaran kita bergantung kepada tahap pencapaian murid-murid kita, bagi saya itu lebih baik.

Bagi saya juga, apa yang penting di dalam RPT adalah perancangan dari sudut agihan minggu pengajaran yang kita akan mengajar dengan tajuk-tajuk dan sub tajuk agar kesemuanya dapat ditamatkan sebelum berlangsungnya penilaian pertengahan atau akhir tahun, dan bukannya pada minggu akhir persekolahan yang sudah pasti bukan minggu pembelajaran murid. Manakala objektif pengajaran bagi saya boleh dirujuk sepanjang masa di dalam HSP atau DS sewaktu kita merancang pengajaran harian (RPH). Dengan ini kita akan sentiasa menggunakan dokumen kurikulum sebagai panduan untuk kita menentukan matlamat pengajaran kita dan pastinya tidak akan jauh tersasar dari kehendak kurikulum itu sendiri. Berbanding dengan guru yang langsung tidak pernah menyentuh dan membuka dokumen kurikulum tersebut malah tidak tahu dan tidak faham kehendak kurikulum yang sedang diajarinya kepada anak-anak muridnya. Buktinya, berapa ramai guru-guru tidak faham dan tidak tahu mengajar 4 kemahiran berbahasa. Baginya murid faham dan boleh buat sudah memadai sedangkan itu bukanlah matlamat utama kurikulum bahasa Arab yang kita sedang laksanakan ini. Kecenderungan dalam kemahiran berbahasa itulah yang menjadi pokok keutamaan kepada murid. Namun berapa ramai yang tidak menyedarinya kerana jauhnya diri kita dengan dokumen kurikulum tersebut.

Akhir kata buat kali ini, saya mendoakan agar kita semua sentiasa diberi bimbingan dalam melaksanakan amanah yang amat berat ini. Perkongsian untuk fungsi dan manfaat yang lebih besar adalah lebih baik dari pemberian yang tidak memberi apa-apa makna. Inilah yang cuba saya sampaikan. Namun ramai yang tidak menyedarinya. Bagi yang faham, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kerana andalah guru cemerlang yang diharapkan untuk membentuk generasi berilmu dan bertaqwa, insyaAllah. Kesungguhan itu adalah jalan menuju keabdian pada Yang Esa. Manakala sikap sambil lewa dan acuh tak acuh adalah jalan kematian.

Wallahu'alam.

Read More......

Sabtu, November 27, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 3


(Sambungan dari entri bahagian 2)
atau dari entri sebelumnya (bahagian 1)


Bagaimanakah yang dikatakan seperti tajuk entri bersiri ini,
"Bagaimana melaksanakan PKSR sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlaku?"

dan daripada persoalan ini, sudah pasti terbit persoalan... 
"Bagaimana melaksanakannya SENDIRIAN ketika guru bahasa Arab menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut?"

Dua persoalan ini akan cuba pula saya perincikan dalam entri bahagian yang ketiga ini.

Sebenarnya bagi menjawab dua persoalan ini, kita hanya memerlukan satu jawapan yang ringkas, tepat dan padat, tetapi menjawab keseluruhan dua persoalan tersebut.

Jawapannya adalah "TEKNIK YANG BETUL".

Ya. Teknik pelaksanaan yang betul mampu menjadikan pelaksanaan PKSR tersebut mampu dilakukan sepanjang proses pengajaran guru dan pembelajaran murid berlaku di kelas. Tanpa perlu menanti hingga ke akhir bulan atau tajuk atau semester. Begitu juga dengan tanpa mengharap dan menanti rakan-rakan lain membantu bagi melicinkan perlaksanaannya.

Sebenarnya guru boleh melakukan apa sahaja teknik penilaian yang tidak bercanggah dengan konsep dan ciri-ciri pelaksanaan PKSR. Ianya tidak terikat dengan satu-satu cara atau kaedah sahaja. Malah guru yang kreatif akan sentiasa mempelbagaikan teknik penilaian di dalam kelas bagi menjamin keberkesanan pengajarannya.

Di sini saya ingin berkongsi tiga teknik penilaian yang mudah untuk dilaksanakan di dalam waktu pengajaran guru dan pembelajaran murid. Antaranya :
1. Penilaian menggunakan Kotak Pencapaian.
2. Penilaian menggunakan Carta Bintang.
3. Penilaian menggunakan Kaedah Mewarna, dan sebagainya.

KOTAK PENCAPAIAN


Kaedah ini membolehkan guru menilai murid atau melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Namun begitu, sedikit kelemahan yang terdapat pada kaedah ini ialah di mana guru hanya boleh menilai satu kemahiran sahaja atau dua kemahiran gabungan (seperti mendengar dan menyebut) dalam satu-satu masa untuk semua murid.

Cara melaksanakan kaedah ini adalah.
1. Guru menyediakan potongan-potongan kertas yang tertulis nama semua murid yang berada di dalam kelas atau nama murid yang hendak di nilai.
2. Nama-nama tersebut disimpan di dalam sebuah bekas atau kotak (lihat gambar ; bekas bulat).
3. Guru juga menyediakan 3 kotak lain bagi tujuan pengasingan nama murid kelak mengikut pencapaian mereka. Kotak boleh disediakan dalam apa jua bentuk bagi membezakan di antara satu sama lain samada melalui label seperti A, B dan C mahupun warna dan sebagainya.
4. Ketika guru mengajar sesuatu kemahiran (contohnya mendengar dan menyebut), guru boleh bertanya kepada murid bagi melihat keberhasilan pengajarannya walaupun guru tersebut masih mengajar.
- Guru akan memilih secara rawak mana-mana potongan nama murid yang tersedia di dalam bekas bulat pertama tadi untuk di soal. Selain itu, guru juga boleh meminta mana-mana murid bagi memilih nama murid lain yang akan di soal.
- Setelah guru mendapat nama murid yang akan di soal, maka soalan boleh terus diajukan ketika itu juga.
- Murid yang dipilih akan cuba menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Soalan ini mestilah soalan yang berkaitan dengan hasil pengajaran kemahiran yang hendak dinilai itu tadi, atau lebih mudah guru menggunakan salah satu item soalan yang terkandung dalam set soalan PKSR yang telah dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum BPK melalui laman sesawangnya.
- Seandainya murid dapat menjawab dengan baik, potongan kertas yang telah dipilih itu tadi akan dimasukkan ke dalam kotak penilaian A sebagai menandakan murid tersebut telah berjaya menguasai kemahiran yang ingin di nilai itu tadi.
- Sekiranya pula murid itu tadi hanya dapat menjawab dalam kadar yang sederhana, maka potongan kertas nama murid tersebut hendaklah di masukkan ke kotak pencapaian sederhana atau kotak B dan begitulah sekiranya murid tersebut langsung tidak dapat menjawab pertanyaan guru itu tadi, maka potongan kertas namanya akan dimasukkan ke dalam kotak pencapaian lemah atau kotak C.
- Guru boleh melakukan aktiviti ini secara tidak berterusan. Bererti guru boleh melakukannya berselang seli dengan aktiviti pengajaran yang seterusnya.
- Bagi murid-murid yang telah berjaya namanya dimasukkan ke dalam kotak A, ia tidak perlu di nilai oleh guru lagi. Manakala murid-murid yang sebaliknya, guru boleh membimbing mereka dan bertanyakan semula soalan kepada mereka yang masih berada di kotak B dan C sahaja sebagai amalan atau penilaian berterusan bagi memastikan mereka juga mencapai tahap yang telah ditentukan.
- Seandainya tempoh pengajaran telah sampai kepada satu tempoh yang telah ditetapkan, maka guru bolehlah menetapkan bahawa itulah pencapaian mereka untuk sesuatu tajuk atau kemahiran yang dinilai. Tindakan susulan perlu diberikan kepada mereka yang masih belum mencapai tahap pembelajaran yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka tidak keciciran.
- Setelah itu, guru bolehlah menyalin nama-nama yang terdapat dalam kotak-kotak A, B dan C ke dalam rekod pencapaian murid ketika di bilik guru mahupun di rumah.

Secara peribadi, saya melihat kaedah ini sesuai dijalankan bagi guru yang mempunyai murid yang sedikit bagi menilai mereka di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Ini adalah kerana kaedah ini hanya menilai dari satu aspek penilaian sahaja. Tidak boleh mempelbagaikan variasi soalan dari pelbagai kemahiran.

Saya akan berkongsi lagi kaedah kedua iaitu kaedah carta bintang dan kaedah mewarna dalam melaksanakan PKSR ketika proses p&p berlangsung dalam entri bahagian yang seterusnya.

Bersambung...

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 2



SALAH KONSEP

Isu utama yang menjadi masalah dalam pelaksanaan PKSR adalah kekeliruan konsep dalam proses penilaian yang ingin dijalankan terhadap murid. Sebelum ini ramai dikalangan guru berpendapat bahawa PKSR dijalankan pada satu tempoh tertentu seperti di setiap akhir bulan pengajaran, atau di setiap akhir tajuk pelajaran mahupun ada yang lebih malang berpendapat bahawa PKSR dijalankan setelah melalui satu tempoh yang lebih panjang seperti dua atau tiga bulan malah ada yang menanti hingga 5 bulan!

Inilah punca kenapa PKSR tidak dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah. Kekeliruan pelaksanaan konsep PKSR di kalangan guru mengakibatkan PKSR bahasa Arab di sekolah-sekolah rendah menjadi ibarat melepaskan batuk di tangga. Asalkan ada.

Sekiranya kita melihat kepada ciri-ciri konsep PKSR itu sendiri kita akan dapat melihat bahawa antara tujuan PKSR adalah untuk menilai murid SECARA BERTERUSAN agar kelemahan murid TIDAK TERHIMPUN. Bererti PKSR bukan dijalankan secara berkala atau bermusim! Bahkan ia dijalankan di dalam setiap P&P!

Dahulu pernah guru-guru bahasa Arab j-QAF ditekankan tentang pelaksanaan PKSR dalam waktu pengajaran. Namun tidak pernah ada sesiapa yang menunjuk cara yang betul, mudah dan tepat untuk guru-guru bahasa Arab tersebut melaksanakannya. Apa yang ada hanyalah penentuan pada elemen-elemen penilaian yang sarat, yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Guru terpaksa mencari alternatif atau memikirkan cara tersendiri untuk menilai semua elemen yang telah ditentukan tersebut kepada semua murid dalam pada kesibukan-kesibukan lain yang terpaksa dijalankan sebagai aktiviti tambahan yang bukan menjadi sasaran kerja tahunan (SKT) di sekolah. Keadaan ini membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF tersebut dalam keadaan tersepit antara bebanan tugas PKSR yang banyak dan kehendak agar tidak dipandang sebagai perumpamaan "kera sumbang" dalam komuniti sekolah.

Guru Lain Membantu

Keadaan ini juga telah membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF telah meminta guru-guru lain seperti guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF yang lain bagi membantu pelaksanaan PKSR ini. Hal ini banyak terjadi di sekolah-sekolah j-QAF sehingga ke hari ini.

Sekiranya kita melihat dalam buku panduan pelaksanaan dan ciri-ciri PKSR, ia ada menyebut bahawa PKSR ini hendaklah dijalankan oleh guru itu sendiri. Kenyataan ini boleh saya tafsirkan sebagai guru bahasa Arab itu sendirilah yang perlu menilai semua muridnya sendiri dan bukannya guru lain walaupun guru tersebut ada mengajar murid tersebut dalam kelas yang sama tetapi mata pelajaran berbeza seperti Pendidikan Islam mahupun mata pelajaran yang lain.

Mengapa saya bersetuju dengan kenyataan yang saya gelapkan di atas? Baiklah, cuba kita fikirkan sejenak tentang sifat kita sebagai manusia yang sentiasa mempunyai persepsi dalam diri. Kemudian kita fikirkan pula sejenak tentang perasaan setiap murid kita yang belajar dengan kita dan guru-guru yang lain. 

Setiap murid mempunyai kecenderungan minat yang berbeza. Keadaan ini menjadikan murid-murid kita berada dalam pelbagai kepandaian dan kecenderungan terhadap sesuatu mata pelajaran. Ada murid yang suka belajar bahasa Arab dan ada murid yang tidak suka. Ada murid yang pandai dalam mata pelajaran- mata pelajaran yang lain, tetapi langsung tidak pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab. Kesemuanya ini bergantung kepada persekitaran dan penerimaan mereka terhadap apa yang mereka belajar. Seandainya murid itu suka akan guru bahasa Arabnya, kecenderungan ia untuk pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab  tersebut adalah tinggi. Seandainya ia tidak suka, maka hal sebaliknya yang akan berlaku walaupun ia merupakan murid cemerlang di kelas tersebut. Begitu juga ada murid yang terlalu pandai dalam bahasa Arab kerana latar belakang keluarganya yang mahir dalam bahasa Arab. Dalam waktu yang sama, mungkin dia tidak cemerlang dalam pendidikan Islam kerana perasaan tidak sukanya kepada guru Pendidikan Islam yang mengajarnya. Ini sebagai contoh.

Maka, cuba kita fikirkan pula diri kita sebagai guru yang hendak menilai tetapi tidak mengajar mata pelajaran yang kita hendak nilai. Seandainya kitalah guru Pendidikan Islam yang tidak disukai oleh murid tersebut tetapi ingin membantu rakan kita melaksanakan PKSR bahasa Arab seperti ujian lisan dan sebagainya, maka persepsi kita telah ada bahawa murid yang kita hendak nilai ini merupakan murid yang lemah berdasarkan dari pengalaman kita dalam kelas Pendidikan Islam bahawa murid ini selalu tidak memberi respon terhadap pengajaran kita. Maka dikhuatiri kita akan tidak berlaku adil dalam pemberian markah terhadap murid tersebut melalui persepsi yang telah sedia ada dalam diri kita. Setuju?

Maka, saya menyarankan kepada semua rakan-rakan j-QAF agar pelaksanaan PKSR hendaklah dijalankan disetiap waktu pengajaran oleh guru bahasa Arab itu sendiri dan bukannya oleh guru-guru lain yang mungkin sentiasa berlapang dada untuk membantu kita.

bersambung di entri yang akan datang..

Read More......

Ahad, Ogos 15, 2010

P&P Berkesan Berpandukan HSP

Sambungan dari entri lalu...


"P&P Berkesan Berpandukan HSP" merupakan tajuk pertama dari tiga tajuk yang saya sampaikan dalam slot Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 di Hotel Royale Bintang, Seremban pada Julai yang lalu. Namunpun begitu, tajuk yang saya nyatakan di atas bagi saya bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lebih dua tahun yang lalu, saya telah cuba mengetengahkan isu ini di pelbagai peringkat. Jika dilihat penulisan entri saya yang pertama, kedua dan ketiga diawal kelahiran blog ini juga menyentuh tentang penggunaan  dan fokus kepada HSP dalam proses P&P di sekolah. Kursus-kursus samada di peringkat negeri atau daerah, saya sering bercakap tentang hal ini. Hinggakan ketika saya ditemuduga untuk kursus guru bahasa Arab selama sebulan di Oman pada tahun 2009 yang lalu, antara ujiannya adalah penulisan essei dalam bahasa Arab berkenaan "permasalahan bahasa Arab di sekolah dan penyelesaiannya", saya juga menulis tentang hal yang sama. Alhamdulillah, akhirnya dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, usaha ini berbaloi apabila dipersetujui untuk dibentangkan dalam kursus bahasa Arab untuk jurulatih utama peringkat kebangsaan pada tahun ini, untuk disebarkan di seluruh negara.

Biarpun pada pra pembentangan saya bagi tajuk ini mendapat sedikit tentangan dari sebilangan kecil panel penilai, namun akhirnya mereka terpaksa akur apabila saya mendapat sokongan yang lebih kuat dari kalangan mereka yang  lebih tinggi kedudukannya di kementerian. Alasan bagi sokongan ini juga logik dan telah diuji keberkesanannya sebelum ianya diputuskan untuk dibentangkan di dalam kursus tersebut. "Sehingga bila guru hanya akan bergantung kepada buku teks untuk mengajar? Tidak ada buku teks? Tidak boleh mengajar?  Dan sehingga bila guru akan faham isi kandungan dan kehendak sukatan, dan seterusnya dapat mengajar dengan cara yang betul mengikut kehendak sukatan itu sendiri?"

Apakah sumber pertama pengajaran anda? Mungkin ada yang menjawab buku teks, panduan guru, rancangan tahunan (RPT), sukatan pelajaran (SP) mahupun huraian sukatan pelajaran (HSP). Apakah pula sumber kedua pengajaran anda? Jawapan yang pasti adalah antara jawapan lain bagi jawapan soalan pertama.

Adakah anda mampu mengikut perancangan pengajaran tahunan RPT seperti yang dirancang?  Adakah anda mampu menghabiskan sukatan pelajaran bagi tahun pengajaran semasa yang anda ajari? Adakah pengajaran anda menepati kehendak HSP? Tiga soalan berangkai ini mempunyai hubung kait dan persamaan. Sekiranya "RPT" merupakan jawapan bagi soalan pertama atau kedua dalam perenggan di atas, sudah pasti jawapan bagi tiga soalan berangkai ini adalah YA! Bererti anda mampu mengikut perancangan RPT dengan betul kerana ia merupakan sumber pengajaran anda yang pertama atau kedua. Tapi, benarkah ini benar-benar terjadi dalam pengajaran anda? Dan bagaimana pula sekiranya jawapan anda bagi tiga soalan berangkai ini adalah TIDAK? Maka saya hampir yakin 100% bahawa rujukan atau sumber pengajaran anda bukanlah berfokuskan kepada SP dan HSP. Adakah anda setuju dengan saya?

Sebagai guru bahasa Arab, kita wajib faham segala yang berkaitan dengan SP dan HSP. Apakah persamaan dan perbezaan di antara SP, HSP dan RPT? Dewasa ini saya lihat, masih ramai guru-guru bahasa Arab yang terus keliru dengan ketiga-tiga dokumen ini. Dan terus bertanya kenapa guru bahasa Arab (GBA) perlu mengajar berpandukan HSP ini diutamakan?

Mengapa?

Read More......

Isnin, Mei 24, 2010

PKSR oh PKSR...

Cuti pertengahan tahun semakin hampir. Ramai yang menantikan kehadirannya. Bahkan bukan hanya murid, tetapi guru, ibu bapa dan penjaga juga menantikan saat itu.

Setelah puas warga pendidikan bersuka-ria dan berseronok dengan sambutan hari guru yang baru berlalu (meskipun kemeriahannya masih terasa), tugas dan tanggungjawab yang banyak juga sedang menanti untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat iaitu pelaksanaan PKSR pertengahan tahun.

Sehingga kini, saya masih menerima berbagai soalan dan pertanyaan tentang pelaksanaan PKSR samada melalui private messages, email, mahupun panggilan telefon. Nampaknya masih ada yang masih belum jelas tentang pelaksanaannya. Mungkin keliru, dan mungkin juga terlupa! Tak mengapa, memang itulah fitrah manusia. Sebagai manusia juga, kita perlu saling bantu membantu, dan ingat mengingatkan. Barulah bumi ini akan bertuah!

PKSR TAHUN 1 DAN 2

Pelaksanaan PKSR bagi dua aliran tahun ini selalu menjadi masalah kepada kebanyakan guru-guru bahasa Arab. Ketidakpastian dan kekeliruan tentang pelaksanaannya.

PKSR TAHUN 1 DAN 2 DILAKSANAKAN SETIAP BULAN ATAU SETIAP AKHIR SESUATU TAJUK PELAJARAN.

Ini memberi erti, PKSR bahasa Arab tahun satu dan dua bukanlah berbentuk ujian peperiksaan seperti tahun-tahun yang lain. Markah murid pada setiap bulan yang dinilai dihimpun selama lima bulan dan dijadikan markah pertengahan tahun, dan ianya ditulis di dalam rekod pencapaian murid untuk makluman kepada penjaga dan ibu bapa.

Soalan bagi penilaian ini adalah sepertimana yang termaktub dalam buku panduan j-QAF iaitu penilaian melalui skala kadar. Namunpun begitu, hasil maklum balas yang diterima daripada guru-guru, pihak BPK juga telah melonggarkan pelaksanaannya dengan kaedah-kaedah penilaian yang lain (selain skala kadar) tetapi mestilah mematuhi ciri-ciri PKSR itu sendiri seperti guru mestilah menilai empat kemahiran yang ditekankan dalam pengajaran bahasa Arab di kelas. Kaedah alternatif ini telahpun dilaksanakan di negeri Johor sejak tahun 2009 lagi dan hasil maklum balas, ramai guru-guru lebih berkemampuan untuk melaksanakan PKSR bahasa Arab bagi tahun-tahun yang berkenaan. Walaubagaimanapun, guru-guru yang tidak mempunyai halangan dan bebanan untuk melaksanakan kaedah skala kadar (seperti guru di sekolah kuran murid), perlulah melaksanakan PKSR dengan menggunakan kaedah tersebut kerana ianya lebih baik dari kaedah alternatif yang lain.

Walaupun penilaian PKSR tahun 1 dan 2 dilaksanakan setiap bulan, tidaklah menjadi kesalahan besar apabila guru/sekolah terbabit dengan sengaja melakukan ujian (dua bulan sekali atau seumpamanya) dan peperiksaan seperti mata pelajaran lain sebagai tambahan kepada ujian bulanan yang telah dilaksanakan. Ini bererti, ujian PKSR setiap bulan bagi tahun satu dan dua adalah wajib dilaksanakan, manakala ujian sekolah dan peperiksaan adalah terpulang kepada guru dan sekolah terbabit untuk melaksanakannya.

PKSR TAHUN 3

Untuk tahun 2010 sahaja, pelaksanaan PKSR bagi tahun 3 adalah 4 kali setahun sahaja sepertimana yang telah dibentangkan dalam kursus-kursus pendedahan sukatan tahun 3 pada akhir tahun lepas di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara. Soalan dan borang pemarkahannya juga telah disediakan oleh BPK. Tinggal perlu dilaksanakan sahaja di sekolah mengikut cara yang betul. Namun konsep PKSR 4 kali setahun ini hanya boleh diguna pakai pada tahun ini sahaja. Alasannya adalah kerana Ini merupakan salah satu percubaan untuk merubah konsep PKSR kepada yang lebih mudah. Kerana itu ianya hanya dilaksanakan untuk tahun 2010 sahaja. Pada tahun hadapan (2011), Satu konsep baru PKSR yang telah pun disepakati dan dimurnikan di peringkat kebangsaan akan dibentangkan dalam kursus jurulatih utama peringkat kebangsaan pada Julai ini.

PKSR TAHUN 4, 5 & 6

Penilaian PKSR tahun 4, 5 dan 6 yang ditekankan di peringkat kementerian adalah PKSR yang dilaksanakan pada pertengahan dan akhir tahun, sepertimana yang diminta dalam epelaporan. Guru-guru bahasa Arab tidak perlu menyediakan soalan pertengahan dan akhir tahun bagi ketiga-tiga aliran tersebut kerana semuanya telah disediakan oleh BPK.

Merujuk kepada komen salah seorang jurulatih daripada utara yang mempersoalkan ketelitian penggubal soalan PKSR bahasa Arab tahun 6 pertengahan tahun 2010. Saya dan pihak BPK telahpun bermesyuarat pada minggu lalu dan di sana kami telah menyemak kembali soalan tersebut dan ternyata, terdapat beberapa kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku seperti kehendak soalan yang tidak menepati kehendak huraian sukatan pelajaran yang telah ditentukan. Untuk makluman juga, soalan tersebut bukanlah digubal oleh kumpulan PKSR kebangsaan yang saya sertai sekarang.

Namunpun begitu, pihak BPK telahpun mengarahkan kami untuk menyemak kembali kesemua soalan-soalan tahun 4, 5 dan 6 yang telah digubal. Hasilnya, kesemua soalan-soalan tersebut telah dimurnikan dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran daripada isi kandungannya (perkataan & ungkapan yang terdapat dalam hsp sahaja yang akan ditanya) dan kehendak huraian sukatan itu sendiri berkenaan kemahiran-kemahiran yang diajar. Untuk itu, penilaian akhir tahun ini bagi tahun 4, 5 dan 6 bakal menyaksikan murid-murid kita dinilai dengan instrument yang lebih menepati kehendak kurikulum bahasa Arab itu sendiri.

Selamat Maju Jaya

Read More......

Ahad, Januari 03, 2010

PKSR 2010 & 2011

Sebagai langkah awal bagi persediaan guru-guru bahasa Arab j-QAF melaksanakan PKSR bahasa Arab pada tahun ini, saya terpanggil untuk menulis sedikit catatan berkenaan dengannya setelah ianya disebut oleh Akh Nazri dalam chat box saya di blog ini.

Setelah diperbincangkan berkali-kali diperingkat kebangsaan oleh jawatankuasa PKSR Bahasa Arab peringkat kebangsaan, PKSR tahun 2010 dan 2011 adalah berbeza diantara keduanya dan tahun-tahun yang sebelumnya.

Secara ringkas, berikut adalah hasil mesyuarat terakhir saya bersama Jawatankuasa PKSR Bahasa Arab di bawah Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang berlangsung di Seaview Hotel Langkawi pada 8 - 10 Disember yang lalu. Mesyuarat ini dibawah kendalian Ustazah Faseha (BPK) dan diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Lutfi bin Haji Abu Bakar (Penolong Pengarah j-QAF JPN Perak).

-------------------------------------------------------

PKSR 2010

TAHAP SATU
Tahun 1 & 2 : berjalan seperti sebelum ini (PKSR setiap bulan)
Tahun 3 : Penilaian* 4 kali setahun (Seperti yang dibentangkan di Kursus JLU Kebangsaan di Goldcost Klang tahun 2009 yang lalu. Soalan disediakan oleh BPK).

TAHAP DUA
Tahun 4, 5 & 6 : PKSR dijalankan pada pertengahan & akhir tahun. (Seperti sebelum ini, soalan disediakan oleh BPK)

-------------------------------------------------------

PKSR 2011 dan seterusnya...

TAHAP SATU
Tahun 1, 2 & 3 : PKSR setiap bulan (10 soalan lisan setiap bulan dan disediakan oleh BPK)

TAHAP DUA
Tahun 4, 5 & 6 : PKSR pada pertengahan & akhir tahun (Soalan disediakan oleh BPK)

-------------------------------------------------------

* Sekiranya ada dapat perhatikan, PKSR 2010 untuk tahun 3 tidak dipanggil dengan nama PKSR bahkan disebut "PENILAIAN". Juga kita dapat dilihat bahawa penilaian tersebut hanya dilaksanakan pada tahun 2010 sahaja. Jawapan bagi persoalan tersebut adalah kerana format yang telah dibincangkan bagi pelaksanaan penilaian empat kali setahun tersebut tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR). Oleh yang demikian, jawatankuasa mesyuarat telah sepakat untuk menamakannya dengan nama "Penilaian" dan akan dilaksanakan format empat kali setahun tersebut hanya pada tahun 2010 sahaja, seterusnya akan berubah pada tahun 2011 mengikut format PKSR yang sebenar, yang sama formatnya dengan tahun satu dan dua.

Penerangan lanjut berkenaan PKSR ini akan saya perincikan pada entri yang akan datang.

Sekian untuk makluman semua guru-guru bahasa Arab j-QAF.

Walaubagaimanapun, segala keputusan strategi/cara penilaian/PKSR ini MUNGKIN akan berubah mengikut perbincangan-perbincangan yang masih belum selesai dalam mesyuarat di BPK yang akan datang. Segala perubahan akan diberitahu kelak.

Read More......

Sabtu, Ogos 29, 2009

Tuntutan Elaun Pakaian Panas

Sejak ramadhan bermula, tiada entri baru yang sempat saya tulis dan kongsikan bersama pembaca. Namun pagi 8 Ramadhan ni, teringin pula nak berkongsi satu isu yang menjadi perbincangan saya bersama beberapa orang guru & pegawai di jabatan pelajaran di beberapa buah negeri berkaitan hal tuntutan elaun baju panas.

Sudah Lebih kurang tiga bulan saya dan peserta-peserta kursus bahasa Arab di Oman selamat kembali dari Oman setelah tamat kursus di sana pada akhir Mei lalu. Namun, banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya masih belum selesai. Selain bahan-bahan kursus yang diperolehi di sana ibarat masih tergantung tanpa penyelarasan dan pemurnian selanjutnya, tuntutan elaun baju panas juga menjadi salah satu urusan yang masih belum selesai dikalangan kami sehingga ke hari ini. Mujurlan tuntutan perjalanan dan harian sudah lama diterima. Alhamdulillah.

Sebelum cuti pertengahan penggal kedua bermula, saya telah diberitahu oleh kerani kewangan di sekolah bahawa borang kewangan 8 saya berkenaan tuntutan elaun baju panas tersebut telah diluluskan di peringkat jabatan. Saya pun menarik nafas lega. Namun pada hari semalam, saya telah dihubungi oleh kerani kewangan yang sama memaklumkan saya perlu menyertakan resit bayaran baju panas tersebut atas arahan pihak tertentu diperingkat daerah.

Hairan! Kenapa elaun pun perlu ada resit? Adakah tuntutan elaun baju panas ini berupa "tuntutan bayaran" (claim) atau pun ianya berupa elaun? Kalau ianya adalah claim, kenapa namanya tuntutan elaun? Dan kalau benar ianya claim, saya juga maklum mesti disertakan resit bayaran dalam tuntutan tersebut. Namun yang dinyatakan di borang ialah tuntutan elaun. Mengapa perlu sertakan resit? Kalau begitu, elaun rumah juga perlu ada resit bayaran rumah. Elaun PPSMI juga perlu ada resit bayaran tusyen guru yang mengikuti kelas bahasa Inggeris. Bukankah antara sebab elaun PPSMI itu dibayar adalah kerana guru PPSMI perlu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris? Hairan!?

Setelah saya persoalkan kepada kerani kewangan sekolah saya tu tentang kewajaran resit tersebut, beliau hanya berkata, "ikutkan ajelah ustad! Pergilah cari mana-mana kedai yang boleh buatkan resit baju panas tu".

Masalah nak cari resit tak susah pun. Namun tindakannya adakah betul mengikut prosedur? Setelah saya bertanyakan kepada Ustaz Ahmad Lutfi (Penolong Pengarah j-QAF Jabatan Pelajaran Negeri Perak) yang sama-sama bersama saya ke Oman dulu tentang kewajaran resit tersebut, beliau juga menyatakan bahawa tidak perlu menyediakan resit berkenaan. See?

Seterusnya, untuk menjadikannya lebih berfakta, saya pun mencari pekeliling JPA berkenaan prosedur permohonan tuntutan elaun baju panas di internet. Nah! memang terang lagi bersuluh. Prosedur yang dinyatakan dalam muka surat 6 pekeliling tersebut tidak menyatakan resit bayaran baju pans perlu disertakan. Apa yang perlu untuk melayakkan permohonan ini adalah cukup dengan surat tawaran ke luar negeri dan borang permohonan elaun tersebut.

Untuk melihat pekeliling berkenaan tuntutan elaun baju panas ini, anda boleh layari di alamat sesawang berikut ;

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu