RPT & Saya
Saya boleh angkat topik ini sebagai topik terhangat pada setiap awal tahun. Masakan tidak, lapan dari setiap sepuluh orang yang menghubungi saya akan bertanyakan tentang RPT. Huh.. :)
RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN
Rancangan Pengajaran Tahunan atau disebut RPT merupakan satu komponen penting yang perlu disediakan oleh kita sebagai guru di sekolah bila tiba awal tahun. Ini merupakan sesuatu yang wajib sebagai persediaan kita untuk merancang pengajaran sepanjang tahun pengajaran semasa. Ianya perlu untuk mencapai kesemua objektif kurikulum dengan merangkumi kesemua topik pengajaran yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sepanjang tahun pengajaran. Maka bertungkus lumuslah kita semua menyediakan RPT tersebut. Ada yang merancang sendiri RPTnya dan tak kurang juga yang mengikut rancangan orang lain. Apa yang penting, kehendak pihak pentadbiran (jarang yang melihat ianya adalah kehendak sendiri) agar komponen itu ada, dapat disediakan apabila buku rekod mengajar kita dinilai diawal tahun ini. Bagi saya, apalah gunanya ada rancangan tersebut andai tidak mampu menurutinya sepanjang tahun nanti. Selalunya ini bakal terjadi bilamana rancangan itu tidak dirancang sendiri oleh guru tersebut.
ENTRI TERDAHULU
Awalnya saya sudah tidak mahu menulis tentang tajuk ini lagi memandangkan pelbagai respon yang saya terima setelah pertama kali saya menulis berkaitannya pada tahun lepas. Namun lama-kelamaan ia menjadi satu tuntutan pada saya untuk menulis sekali lagi tentang topik yang sama. Tetapi kesibukan pula menjadi penghalang pada blogger yang kurang komited seperti saya. Sehinggalah ke hari ini, barulah saya berpeluang dan berkesempatan untuk berkongsi dan mengekspresikan diri saya tentang topik yang saya anggap hangat ini.
MASALAH YANG SAMA
Rasanya sudah jelas dan terang apa yang pernah saya utarakan sebelum ini. RPT seharusnya BUKAN DI CARI, tetapi dihasilkan sendiri oleh kita yang mengajar atau lebih baik oleh ahli kumpulan panitia mata pelajaran tersebut di sesebuah sekolah. Ini bukan pendapat saya, tetapi ianya juga hasrat dan kehendak kementerian sendiri terhadap kita. Malangnya keperluan ini jarang dapat difahami dengan baik oleh kita sendiri untuk direalisasikan di sekolah. Hasilnya, pengajaran kita jadi tidak berfokus dan pastinya matlamat sukar dicapai. Buktinya berapa ramai rakan-rakan kita yang tidak mampu menghabiskan sukatan pelajaran kurikulumnya sepanjang tahun tersebut. Setiap tahun saya bertanyakan kepada peserta-peserta kursus yang saya hadir sebagai penceramah, berapa ramai yang boleh dan mampu menghabiskan sukatan pelajaran masing-masing di sekolah. Maka di situ saya dapati lebih 60% di kalangan kita gagal! Apa puncanya? Dimana silapnya? Adakah silap kurikulum yang digubal? Adakah silap pihak sekolah yang memberi tugas terlalu banyak kepada guru hingga kita terlalu terbeban? Namun berapa ramai yang dapat bertanya kepada diri sendiri, dimana silap diri kita sendiri sebagai guru hingga gagal mengajar kesemua tajuk / sukatan yang telah disediakan. Siapa yang rugi? Sudah pasti anak-anak didik kita. Sukatan kurikulum yang mereka perlu belajar itu adalah hak mereka, dan mengapa kita tidak memberikan hak mereka itu sepenuhnya? Mari sama-sama kita fikirkan.
MENGAPA?
Mengapa saya beriya-iya benar menyuruh dan menggalakkan rakan-rakan guru merancang sendiri RPT mereka? Persoalan ini bagi saya telah saya jawab dalam perenggan di atas. Terlalu banyak kelemahan bilamana RPT tidak dirancang sendiri oleh guru mengikut takwim semasa sekolahnya. Akan saya sambung penjelasannya nanti.
Mengapa pula di blog saya terdapat menu muat turun RPT sedangkan saya bersungguh-sungguh menggalakkan rakan-rakan guru menyediakannya sendiri?
Walaupun di blog saya terdapat menu muat turun yang memuatkan contoh-contoh RPT, namun sekalipun saya tidak pernah menggunakannya di sekolah. Alasannya adalah RPT tersebut bukan saya yang sediakan dan rancang, tetapi ianya disediakan oleh insan-insan mulia yang bermurah hati dan ingin mengongsikannya. Malangnya rancangan yang telah dirancang itu tidak menepati takwim persekolahan saya dan minggu-minggu pengajaran saya. Jadi bagaimana saya hendak menurutinya agar pengajaran saya dapat dihabiskan sebelum penilaian akhir tahun berjalan? Maka menu muat turun RPT tersebut di blog saya, saya hanya jadikan sebagai perantaraan untuk rakan-rakan guru melihatnya dan memuat turunnya, Namun sekalipun saya tidak pernah menyuruh dan menggalakkan agar ianya di guna bulat-bulat oleh sesiapa yang memuat turun darinya.
CUBA FIKIRKAN
Saya ingin mengajak rakan-rakan guru agar sama-sama melihat RPT yang banyak dikongsikan merata-rata di internet. Pernah tak kita meneliti RPT tersebut sebelum ianya kita jadikan rancangan pengajaran sepanjang tahun untuk kita? Bagi yang meneliti dan menyesuaikan dengan takwim sekolahnya, saya ucapkan tahniah. Tetapi dari pengamatan saya, amat jarang yang dapat meneliti RPT tersebut. Kebanyakkannya hanya menerima bulat-bulat perancangan yang berhelai-helai tersebut tanpa diteliti dan disemak, kemudian dicetak, dibukukan dan disediakan dengan kemas dan cantik di dalam buku rekod mengajar masing-masing. Bila nak buat rancangan pengajaran harian (RPH), maka kita pun terus merujuk minggu pengajaran kita dan minggu pengajaran dalam RPT, seterusnya diadaptasikan di dalam buku rekod mengajar. Benarkan?
Kita hanya percaya kepada yang membuat perancangan tersebut. Bagi kita, sudah tentu yang merancang dan menyediakan RPT ni orangnya hebat! Kalau tak hebat, tak kan dia boleh buat. Kita tak hebat sebab kita tak boleh buat RPT sendiri. Kalau kita hebat, kita pun boleh buat RPT sendiri macam mereka. DAN SEMEMANGNYA KITA ADALAH HEBAT! Dan sebenarnya kita sangat mampu menyediakan RPT kita sendiri yang sama-sama hebat! Malah RPT kita lebih baik dan boleh dituruti hingga akhir tahun dan mampu mencapai objektif yang disasarkan. Nanti saya kongsikan rahsianya.
PENGAMATAN
Dari pengamatan saya, kebanyakkan RPT yang dikongsikan diinternet perlu diteliti, dinilai dan diubah suai mengikut kesesuaian kita dan bukannya diterima bulat-bulat. Saya ingin sentuh mengapa ianya tidak boleh diterima bulat-bulat.
PERTAMA : Bilangan Minggu.
Dari beberapa RPT yang saya lihat di internet, ada berbagai-bagai jumlah minggu yang disusun. Ada yang merancang untuk 40 minggu pengajaran, ada pula yang merancang hingga minggu maksimum iaitu 42 minggu. Dari sini saya ingin mengajak kita sama-sama berfikir. Adakah kita mengajar sepanjang tahun ini selama 42 minggu? Atau 40 minggu? Atau kurang dari itu? Cuba semak takwim sekolah masing-masing. Kerana itu saya selalu tekankan, RPT mesti dibuat mengikut takwim persekolahan masing-masing.
Jika mengikut takwim sekolah saya, dari 42 minggu maksimum persekolahan, saya hanya tinggal 40 minggu persekolahan sahaja. 2 minggu di tolak kerana cuti berganti yang mencukupkan seminggu cuti perayaan Tahun Baru Cina dan seminggu lagi cuti perayaan Deepavali. Bakinya tinggal 40 minggu. Jadi bagaimana saya boleh menuruti RPT yang telah siap disusun oleh insan-insan mulia tersebut untuk 42 minggu? Dan bagi sekolah saya juga selama 40 minggu persekolahan itu bukan semuanya minggu pengajaran.
Di atas saya telah menggunakan istilah "minggu pengajaran" dan "minggu persekolahan". Kedua-dua istilah ini perlu difahami betul-betul. Minggu pengajaran adalah minggu-minggu yang kita akan mengajar mengikut sukatan yang telah disediakan. Manakala minggu persekolahan pula adalah minggu-minggu kita dan murid hadir ke sekolah tetapi mungkin tidak berlaku aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada ketika itu. Contohnya minggu ujian atau minggu peperiksaan. Selain dari itu adalah minggu sukan yang sudah tentu membuatkan minggu persekolahan pada minggu tersebut sedikit terganggu dengan aktiviti-aktiviti sukan sekolah seperti latihan sukan, acara sebelum sukan, sukantara, sukaneka dan sebagainya. Jadi, bolehkah pada minggu sukan tersebut kita jadikan minggu pengajaran dalam RPT kita? Bagaimana kalau kita tidak dapat langsung mengajar pada minggu sukan tersebut? Sudah tentu akan terjejas perancangan pengajaran kita. Itu belum di campur tolak dengan minggu-minggu bagi aktiviti-akviti yang lain seperti minggu yang ada mesyuarat PIBG, minggu yang ada pertandingan j-QAF dan sebagainya. Inilah realiti. Sedangkan minggu-minggu tersebut termasuk dalam 40 atau 42 minggu persekolahan yang ada dalam RPT yang banyak terdapat di internet. Bagai saya minggu-minggu persekolahan yang bukan minggu pembelajaran seperti minggu sukan ini boleh dijalankan minggu aktiviti seni bahasa Arab terhadap murid-murid sebagai aktiviti sokongan yang menyeronokkan mereka.
Saya juga melihat dalam RPT yang banyak dikongsikan di internet ini juga merancang pengajaran semaksimum minggu persekolahan tanpa mengambil kira minggu-minggu peperiksaan. Sebagai contoh, saya telah melihat satu RPT bahasa Arab tahun satu yang dirancang untuk semester pertama selama 20 minggu. Sedangkan dalam takwim persekolahan yang ada dalam semester pertama adalah sebanyak 19 minggu sahaja. Itu ketidaksesuaian pertama. Ketidaksesuaian kedua adalah, dalam takwim persekolahan saya, pada minggu ke 17 adalah minggu peperiksaan pertengahan tahun. Sedangkan dalam RPT tersebut tertulis pengajaran tajuk ke 5 untuk setengah tahun berakhir pada minggu ke 20. Sedangkan minggu ke 20 dalam takwim sekolah saya adalah minggu pertama semester kedua. Jadi, bolehkah murid kita dinilai dalam peperiksaan pertengahan tahun pada minggu ke 17 persekolahan sebelum tajuk 5 habis di ajar pada mingu ke 20? Kalau dah habis ajar, bagaimana guru mengajar sehingga sudah habis tajuk 5 sedangkan RPT yang kita jadikan rancangan pengajaran kita belum lagi sampai ke akhir tajuk tersebut? Jadi, mari kita fikir dan nilaikan semula RPT yang kita ambil di internet.
Begitu juga jika dilihat dalam takwim sekolah saya di mana minggu ke 36 adalah minggu peperiksaan akhir tahun. Ini bererti saya mesti tamat mengajar seluruh sukatan selewat-lewatnya pada minggu ke 34 kerana pada minggu ke 35 saya akan membuat ulangkaji untuk peperiksaan akhir tahun pada minggu ke 36. Namun, jika kita lihat dalam RPT yang tersebar luas di internet, pada minggu ke 40 barulah kita tamat mengajar seluruh tajuk. So, adakah murid kita akan dinilai pada minggu ke 41 setelah tamat persekolahan? Cuba kita fikirkan.
KEDUA : Ikut Takwim Masing-masing.
Sememangnya RPT mesti dirancang sendiri oleh guru atau panitia dengan berpandukan takwim sekolah masing-masing.
Sebagai contoh saya telah mengosongkan minggu pembelajaran pada minggu ke 22 dalam RPT saya kerana pada minggu tersebut sekolah saya menganjurkan kejohanan sukan tahunan sekolah. Sukan sekolah saya tidak sama berlangsungnya dengan sukan sekolah jiran saya apalagi sekolah-sekolah yang lebih jauh. Kebarangkalian sama itu mungkin ada tetapi ia hanyalah kebetulan. Namun walaupun minggu sukan sekolah saya mungkin sama dengan minggu sukan sebuah sekolah yang lain, tetapi mungkin pula minggu-minggu ujian dan peperiksaan tidak sama! Sebagai contoh, minggu ujian di sekolah saya adalah pada minggu ke 7 dan ke 14 sebelum berlangsungnya minggu peperiksaan pertengahan tahun pada minggu ke 17, mungkin berbeza dengan minggu-minggu ujian di sekolah yang lain. So, perancangan pengajaran tahunan atau RPT kita semua tidak sama kerana mengikut perancangan takwim sekolah masing-masing! Kerana itu kita tidak boleh berkongsi RPT.
Saya juga melihat RPT bahasa Arab tahun 1 di internet yang telah meletakkan minggu pertama sudah masuk minggu pengajaran. Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa pada minggu pertama hingga ke empat adalah minggu transisi bagi murid tahun 1. Jumlah minggu transisi ini adalah mengikut sekolah masing-masing. Contohnya dalam takwim sekolah saya telah menentukan bahawa pelaksanaan minggu transisi hanya seminggu, tetapi di sekolah jiran pula selama dua minggu. Malah ada sekolah yang terus sampai ke empat minggu. Dan jika di lihat dalam RPT di internet tersebut, minggu pertama sudah masuk pengajaran tanpa mengambil kira minggu transisi tersebut. Jadi bagaimana kita nak ikut RPT tersebut sehingga ke akhir tahun?
Ketiga : Objektif dan Sukatan
Persoalan ketiga ini adalah berkaitan dengan satu soalan yang pernah diajukan kepada saya oleh beberapa orang guru yang ingin belajar menyediakan RPT sendiri daripada saya. Saya puji guru ini dan bangga dengannya. Soalannya berbunyi, "Objektif pengajaran perlu di letak atau tidak dalam RPT?"
Bagi menjawab soalan ini, saya telah menjawabnya dengan beberapa soalan. Sekiranya dia dapat menjawab soalan saya tersebut, barulah saya akan menjawab soalannya. Soalan bagi jawapan soalan tersebut ialah,
"Cuba sebutkan sebab kenapa kita semua perlu sediakan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) atau Dokumen Standard (DS) atau Dokumen Kurikulum (DK) dalam buku rekod pengajaran kita? Adakah ianya hanya untuk memenuhi syarat permintaan pentadbiran agar ianya mesti ada dalam buku rekod mengajar kita sebagai hiasan? Atau adanya dokumen kurikulum tersebut untuk menjadi rujukan kita bila merancang sesuatu pengajaran harian? Dan bila masa pula kita perlu merujuknya?
Saya fikir jawapan bagi soalan-soalan yang saya baru ajukan ini boleh menjawab soalan samada perlu atau tidak kita letakkan objektif dalam RPT kita.
Sebenarnya bukanlah menjadi satu isu atau masalah samada kita nak menentukan objektif pengajaran dalam RPT atau membiarkan ianya kosong dan akan ditentukan kelak ketika kita merancang pengajaran harian. Bagi saya, tidak menentukan objektif pengajaran terlalu awal lebih baik dan mudah malah menjadikan RPT kita lebih ringkas, fleksibel dan mudah untuk dituruti seterusnya dapat memandu kita untuk melengkapkan pengajaran bagi kesemua sukatan pelajaran atau tajuk pengajaran yang telah digariskan.
Menentukan objektif pengajaran terlalu awal juga bagi saya telah menyekat perkembangan murid-murid kita. Seandainya kita telah memilih dan menentukan beberapa objektif yang tersusun di dalam dokumen kurikulum untuk dijadikan objektif pengajaran kita sepanjang tahun terhadap murid-murid ktia, bererti kita hanya meletakkan satu aras pencapaian sahaja kepada murid-murid kita. Berbanding dengan kita membiarkan waktu yang menentukan untuk kita menurunkan atau menaikkan objektif pengajaran kita bergantung kepada tahap pencapaian murid-murid kita, bagi saya itu lebih baik.
Bagi saya juga, apa yang penting di dalam RPT adalah perancangan dari sudut agihan minggu pengajaran yang kita akan mengajar dengan tajuk-tajuk dan sub tajuk agar kesemuanya dapat ditamatkan sebelum berlangsungnya penilaian pertengahan atau akhir tahun, dan bukannya pada minggu akhir persekolahan yang sudah pasti bukan minggu pembelajaran murid. Manakala objektif pengajaran bagi saya boleh dirujuk sepanjang masa di dalam HSP atau DS sewaktu kita merancang pengajaran harian (RPH). Dengan ini kita akan sentiasa menggunakan dokumen kurikulum sebagai panduan untuk kita menentukan matlamat pengajaran kita dan pastinya tidak akan jauh tersasar dari kehendak kurikulum itu sendiri. Berbanding dengan guru yang langsung tidak pernah menyentuh dan membuka dokumen kurikulum tersebut malah tidak tahu dan tidak faham kehendak kurikulum yang sedang diajarinya kepada anak-anak muridnya. Buktinya, berapa ramai guru-guru tidak faham dan tidak tahu mengajar 4 kemahiran berbahasa. Baginya murid faham dan boleh buat sudah memadai sedangkan itu bukanlah matlamat utama kurikulum bahasa Arab yang kita sedang laksanakan ini. Kecenderungan dalam kemahiran berbahasa itulah yang menjadi pokok keutamaan kepada murid. Namun berapa ramai yang tidak menyedarinya kerana jauhnya diri kita dengan dokumen kurikulum tersebut.
Akhir kata buat kali ini, saya mendoakan agar kita semua sentiasa diberi bimbingan dalam melaksanakan amanah yang amat berat ini. Perkongsian untuk fungsi dan manfaat yang lebih besar adalah lebih baik dari pemberian yang tidak memberi apa-apa makna. Inilah yang cuba saya sampaikan. Namun ramai yang tidak menyedarinya. Bagi yang faham, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kerana andalah guru cemerlang yang diharapkan untuk membentuk generasi berilmu dan bertaqwa, insyaAllah. Kesungguhan itu adalah jalan menuju keabdian pada Yang Esa. Manakala sikap sambil lewa dan acuh tak acuh adalah jalan kematian.
Wallahu'alam.
0 comments:
Catat Ulasan