Kata saya..
Sekian lama saya begitu teringin untuk menulis sesuatu bagi menjawab puluhan (malah mungkin ratusan) soalan dan permintaan yang diajukan kepada saya melalui panggilan telefon, sms, yahoo messenger, skype, facebook dan juga email sejak sebulan dua kebelakangan ini. Pelbagai soalan telah diajukan dengan permintaan kepada "rancangan mengajar tahunan" menjadi "top request" diikuti dengan pertanyaan tentang pelaksanaan KSSR dan PKSR bahasa Arab.
Inilah fenomena yang sering berlaku kepada saya saban tahun bilamana guru-guru bahasa Arab khasnya, bertungkus lumus membuat persediaan mengajar di awal tahun dan menjadikan saya sebagai rujukan. Terkadang saya merasa begitu kerdil untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada saya, kerana saya bukanlah "guru cemerlang" apalagi seorang "guru pakar" yang layak menjawab dan memenuhi kehendak rakan-rakan guru di luar sana.
Walauapapun, saya ingin meluahkan rasa berterima kasih, syukur dan tahniah kepada semua yang bertanyakan kepada saya. Saya berterima kasih kerana soalan-soalan tersebut telah membuatkan saya belajar banyak perkara. Saya bersyukur dan mengucapkan tahniah pula kerana merasa sangat bangga dengan semangat dan usaha rakan-rakan guru untuk membuat persediaan pengajaran bagi tahun 2011 ini. Doa saya biarlah usaha kita ini adalah kerana kesedaran kita sendiri untuk melaksanakan tugas dengan penuh persediaan dan bukannya kerana suatu tekanan dari pihak atas untuk membuatkan kita bersedia. Walauapapun jua, tekanan itu tidak kurang pentingnya untuk menjadikan kita lebih maju.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa blog ini diwujudkan untuk memenuhi semua kehendak dan keperluan guru-guru bahasa Arab khasnya dalam melaksanan kurikulum kebangsaan di sekolah. Maka bila keperluan dan kehendak itu tidak dapat dipenuhi di sini, maka sebahagiannya meluahkan rasa kekecewaan mereka. Saya sangat bersimpati dan kesal dengan apa yang berlaku dan ini mungkin kerana kelemahan saya. Saya memohon maaf di atas kelemahan ini.
Sebenarnya blog yang serba dhaif ini adalah inisiatif saya sendiri sejak dua tahun yang lalu untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan, masalah dan penyelesaiannya di samping bertukar-tukar pendapat dalam melaksana dan merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam kurikulum bahasa Arab sekolah rendah khasnya buat guru-guru bahasa Arab sekolah rendah j-QAF. Seperti yang saya katakan di atas, saya bukanlah guru pakar mahupun guru cemerlang apalagi seorang pegawai PPD atau JPN, malah bukan juga seorang penolong pengarah di Kementerian Pelajaran Malaysia yang sudah pasti mengetahui dan memiliki segala kepakaran dalam bidang masing-masing. Saya hanyalah seorang guru bahasa Arab biasa di sekolah rendah kerajaan, yang diamanahkan untuk membantu pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan beberapa tugasan khas yang didedahkan kepada saya.
Terkadang rasa masa terlalu padat dengan fokus kerja yang bercabang-cabang dari pelbagai sumber. Rasmi atau tidak, sudah tidak menjadi persoalan. Tugas tetap tugas yang perlu dilaksanakan. Timbul juga rasa cemburu melihat rakan-rakan lain dapat memanfaatkan cuti panjang bersama keluarga dan sanak saudara serta rakan taulan yang telah lama tidak bertemu. Namun, bagi saya semangat dan keseronokkan bekerja menjadikan kerja dalam cuti harus dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana hari persekolahan bukanlah masa yang terlalu sesuai untuk melaksanakan banyak tugasan luar sekolah.
Akhir kata kali ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua rakan-rakan guru. Semoga tahun 2011 ini menjanjikan kecemerlangan kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini.
Cemerlang di dunia, cemerlang di akhirat. Mudah-mudahan.. Amin.
0 comments:
Catat Ulasan