Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Memaparkan catatan dengan label PKSR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PKSR. Papar semua catatan

Jumaat, April 20, 2012

KSSR = PBS, KBSR = PKSR

Hasil mesyuarat penyelarasan e-Pelaporan yang telah dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam (BPI) pada 17 - 19 April 2012 di Hotel Brisdale, Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh wakil-wakil Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) iatu saya sendiri bersama En. Ahmad Zakuan bin Md Khudzari serta wakil dari Lembaga Peperiksaan iaitu Cik Norazida binti Ibrahim, telah bersetuju dan memutuskan bahawa pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi mata pelajaran Bahasa Arab bagi tahun 2012 ini untuk dilaporkan dalam sistem e-PELAPORAN j-QAF telah diputuskan seperti berikut;

1. FORMAT PENTAKSIRAN
1.1 Kelas-kelas yang melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) perlu melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sepertimana yang telah diarahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Surat Siaran Bilangan 3, Tahun 2011.

1.2 Kelas-kelas yang masih melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) boleh meneruskan pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR) sepertimana yang telah terlaksana pada tahun-tahun sudah.

2. PELAKSANAAN
2.1 Bagi kelas-kelas KSSR, guru perlu menjalankan PBS dengan menggunakan instrument yang dihasilkan sendiri oleh guru.

2.2 Manakala soalan PKSR Bahasa Arab pula akan disediakan oleh BPI dan akan dimuat naik di dalam laman sesawang bahagian tersebut (bukan lagi laman sesawang BPK).

3. FORMAT PELAPORAN
3.1 Format pelaporan yang perlu dilaporkan oleh guru dalam sistem e-Pelaporan j-QAF bagi pelaksanaan PBS ialah dalam bentuk rekod transit PBS yang akan dimuatkan dalam sistem tersebut untuk diisi sepanjang tahun pengajaran. Bagi pelaporan bulan MEI ia merupakan pelaporan semasa, manakala pelaporan OKTOBER pula adalah pelaporan akhir atau pelaporan sebenar.

3.2 Manakala format pelaporan bagi pelaksanaan PKSR pula ialah dalam bentuk markah 30 dan 70 yang perlu dijalankan dua kali setahun iaitu pada bulan MEI dan OKTOBER. Justeru, tiada lagi markah bulanan sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh guru-guru Bahasa Arab sebelum ini.


Read More......

Khamis, Februari 02, 2012

PKSR Bahasa Arab 2012


Ramai yang bertanya kepada saya tentang status pelaksanaan Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR) bagi mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah-sekolah kebangsaan yang melaksanakannya.

Bagi tahun 2012, BPK telah memutuskan bahawa kelas-kelas yang menjalankan KSSR (iaitu tahun satu dan dua) hendaklah menjalankan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan menggunakan Dokumen Standard Prestasi yang telah disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Ini bererti, guru yang mengajar tahun satu dan dua pada tahun ini tidak lagi perlu menjalankan PKSR bagi mata pelajaran ini sepertimana tahun-tahun sebelum.

Sehubungan itu, pada tahun 2012 ini, PKSR hanya dijalankan kepada murid-murid tahun tiga, empat, lima dan enam sahaja. Konsep pelaksanaan PKSR bagi kelas-kelas ini adalah sama dengan tahun-tahun yang lepas, iaitu tahun tiga dilaksanakan pada setiap topik manakala bagi kelas-kelas tahap dua (tahun empat, lima dan enam) pelaksanaannya dilakukan pada pertengahan dan akhir tahun.

Bagi soalan PKSR tahun tiga, guru boleh menggunakan soalan sama yang digunakan pada tahun lepas. Ianya juga masih boleh dimuat turun  di laman WEB BPK di 
atau di pautan berikut ; 



Soalan PKSR pertengahan dan akhir tahun bagi kelas-kelas tahun empat, lima dan enam pula, akan dimuat naik di dalam laman WEB tersebut selewat-lewatnya pada bulan April nanti. Ini berikutan BPK sedang berusaha untuk menambah baik soalan-soalan tersebut.


Kesemua markah murid dari PKSR ini perlu dilaporkan di dalam E-Pelaporan j-QAF sepertimana biasa.


MIORjQAF : Semoga guru dapat melaksanakan penilaian dan pentaksiran dengan lebih baik tanpa rasa terbeban.




KEMASKINI - 4 MEI 2012
PERHATIAN!
SILA DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI
BERKENAAN PELAKSANAAN
PKSR BAHASA ARAB 2012

Read More......

Khamis, Disember 02, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 5

(Sambungan dari entri bahagian 1, 2, 3 dan 4)


Kaedah terakhir yang ingin saya kongsikan di sini bagi melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung ialah ;

KAEDAH MEWARNA

Kaedah ini bagi saya merupakan satu kaedah yang mudah dilaksanakan dan praktikal selain murid-murid juga seronok melaluinya. Bagaimana?

(klik untuk besarkan gambar)

1. Sediakan gambar untuk diwarna seperti gambar sepuluh biji anggur di atas. Anda boleh menukar apa sahaja gambar yang difikirkan sesuai seperti sepuluh kuntum bunga, atau sepuluh bintang dan sebagainya.

2. Caranya pelaksanaannya sama dengan Kaedah Carta Bintang yang telah saya ceritakan sebelum ini.

3. Perbezaannya adalah, kaedah ini memerlukan murid yang dinilai akan mewarna sendiri nombor soalan pada gambar sekiranya ia dapat menjawab dengan betul setelah guru mengarahkan ia mewarnakan ruangan nombor soalan yang dinilai.

4. Gambar ini boleh diperbanyakkan untuk semua murid dan ditampal di dalam buku latihan atau buku kerja murid.

5. Guru perlulah memberi ingatan kepada murid agar tidak mewarnakan sendiri gambar atau nombor soalan pada gambar melainkan dengan arahan guru. Guru juga perlulah memantaunya melalui tandatangan guru ketika guru menyemak buku latihan murid tersebut.

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 4


(Sambungan dari entri bahagian 1, 2 dan 3)

Cara kedua bagi melaksanakan penilaian PKSR (khasnya bahasa Arab) sewaktu pengajaran dan pembelajaran di kelas ialah ;

CARTA BINTANG

(klik gambar untuk besarkan)

Kaedah ini bukanlah satu kaedah yang asing bagi seorang guru. Malah kaedah ini sering digunapakai di kelas-kelas bagi meningkatkan motivasi murid untuk bersungguh-sungguh dalam aktiviti pembelajaran di kelas. 

Kaedah Carta Bintang ini merupakan satu kaedah praktikal bagi seorang guru untuk melaksanakan PKSR bahasa Arab dengan menggunakan sepuluh item/soalan untuk setiap tajuk bagi menilai empat kemahiran (mendengar, menyebut, membaca dan menulis) yang telah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

1. Ketika hari pertama guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sesuatu tajuk yang baru, guru perlu meneliti dan memastikan 10 item/soalan yang ingin dinilai pada semua murid.

2. Guru menyediakan Carta Bintang seperti rajah di atas. Carta ini boleh disediakan dalam apa juga bentuk dan saiz seperti menggunakan manilakad atau kertas lukisan, atau kertas A4, atau apa sahaja yang difikirkan sesuai.

3. Satu Carta Bintang memadai dengan empat atau lima orang bagi sesebuah kumpulan yang telah ditetapkan oleh guru.

4. Carta Bintang mengandungi sepuluh ruangan markah (rujuk rajah). Setiap satu ruang markah merupakan  pencapaian bagi satu soalan dari sepuluh soalan yang ingin dinilai.

5. Guru boleh menilai mana-mana soalan dahulu tanpa mengikut urutan agar jawapan yang diberikan murid bukanlah berpandukan kepada jawapan rakannya, tetapi bersandarkan kepada kebolehannya dalam sesuatu kemahiran tersebut.

6. Penilaian boleh dilakukan ketika guru sambil mengajar tanpa menggunakan sebarang kertas soalan. Contohnya, guru menilai soalan satu dan dua (menilai kemahiran mendengar) hanya menggunakan perkataan pada kad imbasan atau tulisan di papan tulis atau sebagainya. Ataupun guru menilai soalan lapan hingga sepuluh (kemahiran membaca) dengan merujuk buku teks atau carta di hadapan kelas. Ataupun juga guru menilai soalan tiga dan empat (kemahiran mendengar dan menulis) dengan meminta murid mendengar perkataan yang disebut dan menuliskannya di papan tulis di hadapan kelas.

7. Bagi murid-murid yang dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh guru, satu pelekat bintang / cop bintang akan diberikan pada ruangan soalan yang dinilai. Manakala bagi murid yang tidak dapat menjawab, tiada tanda bintang yang diberikan kepadanya dalam ruangan tersebut. Guru boleh menilai kembali soalan yang sama pada sesi kelas yang berikutnya sebelum memasuki ke tajuk yang baru. Ini membuktikan guru sentiasa memberi peluang kepada murid untuk memperbaiki kelemahannya dan membimbingnya untuk mencapai tahap yang telah ditentukan.

Read More......

Sabtu, November 27, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 3


(Sambungan dari entri bahagian 2)
atau dari entri sebelumnya (bahagian 1)


Bagaimanakah yang dikatakan seperti tajuk entri bersiri ini,
"Bagaimana melaksanakan PKSR sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlaku?"

dan daripada persoalan ini, sudah pasti terbit persoalan... 
"Bagaimana melaksanakannya SENDIRIAN ketika guru bahasa Arab menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut?"

Dua persoalan ini akan cuba pula saya perincikan dalam entri bahagian yang ketiga ini.

Sebenarnya bagi menjawab dua persoalan ini, kita hanya memerlukan satu jawapan yang ringkas, tepat dan padat, tetapi menjawab keseluruhan dua persoalan tersebut.

Jawapannya adalah "TEKNIK YANG BETUL".

Ya. Teknik pelaksanaan yang betul mampu menjadikan pelaksanaan PKSR tersebut mampu dilakukan sepanjang proses pengajaran guru dan pembelajaran murid berlaku di kelas. Tanpa perlu menanti hingga ke akhir bulan atau tajuk atau semester. Begitu juga dengan tanpa mengharap dan menanti rakan-rakan lain membantu bagi melicinkan perlaksanaannya.

Sebenarnya guru boleh melakukan apa sahaja teknik penilaian yang tidak bercanggah dengan konsep dan ciri-ciri pelaksanaan PKSR. Ianya tidak terikat dengan satu-satu cara atau kaedah sahaja. Malah guru yang kreatif akan sentiasa mempelbagaikan teknik penilaian di dalam kelas bagi menjamin keberkesanan pengajarannya.

Di sini saya ingin berkongsi tiga teknik penilaian yang mudah untuk dilaksanakan di dalam waktu pengajaran guru dan pembelajaran murid. Antaranya :
1. Penilaian menggunakan Kotak Pencapaian.
2. Penilaian menggunakan Carta Bintang.
3. Penilaian menggunakan Kaedah Mewarna, dan sebagainya.

KOTAK PENCAPAIAN


Kaedah ini membolehkan guru menilai murid atau melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Namun begitu, sedikit kelemahan yang terdapat pada kaedah ini ialah di mana guru hanya boleh menilai satu kemahiran sahaja atau dua kemahiran gabungan (seperti mendengar dan menyebut) dalam satu-satu masa untuk semua murid.

Cara melaksanakan kaedah ini adalah.
1. Guru menyediakan potongan-potongan kertas yang tertulis nama semua murid yang berada di dalam kelas atau nama murid yang hendak di nilai.
2. Nama-nama tersebut disimpan di dalam sebuah bekas atau kotak (lihat gambar ; bekas bulat).
3. Guru juga menyediakan 3 kotak lain bagi tujuan pengasingan nama murid kelak mengikut pencapaian mereka. Kotak boleh disediakan dalam apa jua bentuk bagi membezakan di antara satu sama lain samada melalui label seperti A, B dan C mahupun warna dan sebagainya.
4. Ketika guru mengajar sesuatu kemahiran (contohnya mendengar dan menyebut), guru boleh bertanya kepada murid bagi melihat keberhasilan pengajarannya walaupun guru tersebut masih mengajar.
- Guru akan memilih secara rawak mana-mana potongan nama murid yang tersedia di dalam bekas bulat pertama tadi untuk di soal. Selain itu, guru juga boleh meminta mana-mana murid bagi memilih nama murid lain yang akan di soal.
- Setelah guru mendapat nama murid yang akan di soal, maka soalan boleh terus diajukan ketika itu juga.
- Murid yang dipilih akan cuba menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Soalan ini mestilah soalan yang berkaitan dengan hasil pengajaran kemahiran yang hendak dinilai itu tadi, atau lebih mudah guru menggunakan salah satu item soalan yang terkandung dalam set soalan PKSR yang telah dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum BPK melalui laman sesawangnya.
- Seandainya murid dapat menjawab dengan baik, potongan kertas yang telah dipilih itu tadi akan dimasukkan ke dalam kotak penilaian A sebagai menandakan murid tersebut telah berjaya menguasai kemahiran yang ingin di nilai itu tadi.
- Sekiranya pula murid itu tadi hanya dapat menjawab dalam kadar yang sederhana, maka potongan kertas nama murid tersebut hendaklah di masukkan ke kotak pencapaian sederhana atau kotak B dan begitulah sekiranya murid tersebut langsung tidak dapat menjawab pertanyaan guru itu tadi, maka potongan kertas namanya akan dimasukkan ke dalam kotak pencapaian lemah atau kotak C.
- Guru boleh melakukan aktiviti ini secara tidak berterusan. Bererti guru boleh melakukannya berselang seli dengan aktiviti pengajaran yang seterusnya.
- Bagi murid-murid yang telah berjaya namanya dimasukkan ke dalam kotak A, ia tidak perlu di nilai oleh guru lagi. Manakala murid-murid yang sebaliknya, guru boleh membimbing mereka dan bertanyakan semula soalan kepada mereka yang masih berada di kotak B dan C sahaja sebagai amalan atau penilaian berterusan bagi memastikan mereka juga mencapai tahap yang telah ditentukan.
- Seandainya tempoh pengajaran telah sampai kepada satu tempoh yang telah ditetapkan, maka guru bolehlah menetapkan bahawa itulah pencapaian mereka untuk sesuatu tajuk atau kemahiran yang dinilai. Tindakan susulan perlu diberikan kepada mereka yang masih belum mencapai tahap pembelajaran yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka tidak keciciran.
- Setelah itu, guru bolehlah menyalin nama-nama yang terdapat dalam kotak-kotak A, B dan C ke dalam rekod pencapaian murid ketika di bilik guru mahupun di rumah.

Secara peribadi, saya melihat kaedah ini sesuai dijalankan bagi guru yang mempunyai murid yang sedikit bagi menilai mereka di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Ini adalah kerana kaedah ini hanya menilai dari satu aspek penilaian sahaja. Tidak boleh mempelbagaikan variasi soalan dari pelbagai kemahiran.

Saya akan berkongsi lagi kaedah kedua iaitu kaedah carta bintang dan kaedah mewarna dalam melaksanakan PKSR ketika proses p&p berlangsung dalam entri bahagian yang seterusnya.

Bersambung...

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 2



SALAH KONSEP

Isu utama yang menjadi masalah dalam pelaksanaan PKSR adalah kekeliruan konsep dalam proses penilaian yang ingin dijalankan terhadap murid. Sebelum ini ramai dikalangan guru berpendapat bahawa PKSR dijalankan pada satu tempoh tertentu seperti di setiap akhir bulan pengajaran, atau di setiap akhir tajuk pelajaran mahupun ada yang lebih malang berpendapat bahawa PKSR dijalankan setelah melalui satu tempoh yang lebih panjang seperti dua atau tiga bulan malah ada yang menanti hingga 5 bulan!

Inilah punca kenapa PKSR tidak dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah. Kekeliruan pelaksanaan konsep PKSR di kalangan guru mengakibatkan PKSR bahasa Arab di sekolah-sekolah rendah menjadi ibarat melepaskan batuk di tangga. Asalkan ada.

Sekiranya kita melihat kepada ciri-ciri konsep PKSR itu sendiri kita akan dapat melihat bahawa antara tujuan PKSR adalah untuk menilai murid SECARA BERTERUSAN agar kelemahan murid TIDAK TERHIMPUN. Bererti PKSR bukan dijalankan secara berkala atau bermusim! Bahkan ia dijalankan di dalam setiap P&P!

Dahulu pernah guru-guru bahasa Arab j-QAF ditekankan tentang pelaksanaan PKSR dalam waktu pengajaran. Namun tidak pernah ada sesiapa yang menunjuk cara yang betul, mudah dan tepat untuk guru-guru bahasa Arab tersebut melaksanakannya. Apa yang ada hanyalah penentuan pada elemen-elemen penilaian yang sarat, yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Guru terpaksa mencari alternatif atau memikirkan cara tersendiri untuk menilai semua elemen yang telah ditentukan tersebut kepada semua murid dalam pada kesibukan-kesibukan lain yang terpaksa dijalankan sebagai aktiviti tambahan yang bukan menjadi sasaran kerja tahunan (SKT) di sekolah. Keadaan ini membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF tersebut dalam keadaan tersepit antara bebanan tugas PKSR yang banyak dan kehendak agar tidak dipandang sebagai perumpamaan "kera sumbang" dalam komuniti sekolah.

Guru Lain Membantu

Keadaan ini juga telah membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF telah meminta guru-guru lain seperti guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF yang lain bagi membantu pelaksanaan PKSR ini. Hal ini banyak terjadi di sekolah-sekolah j-QAF sehingga ke hari ini.

Sekiranya kita melihat dalam buku panduan pelaksanaan dan ciri-ciri PKSR, ia ada menyebut bahawa PKSR ini hendaklah dijalankan oleh guru itu sendiri. Kenyataan ini boleh saya tafsirkan sebagai guru bahasa Arab itu sendirilah yang perlu menilai semua muridnya sendiri dan bukannya guru lain walaupun guru tersebut ada mengajar murid tersebut dalam kelas yang sama tetapi mata pelajaran berbeza seperti Pendidikan Islam mahupun mata pelajaran yang lain.

Mengapa saya bersetuju dengan kenyataan yang saya gelapkan di atas? Baiklah, cuba kita fikirkan sejenak tentang sifat kita sebagai manusia yang sentiasa mempunyai persepsi dalam diri. Kemudian kita fikirkan pula sejenak tentang perasaan setiap murid kita yang belajar dengan kita dan guru-guru yang lain. 

Setiap murid mempunyai kecenderungan minat yang berbeza. Keadaan ini menjadikan murid-murid kita berada dalam pelbagai kepandaian dan kecenderungan terhadap sesuatu mata pelajaran. Ada murid yang suka belajar bahasa Arab dan ada murid yang tidak suka. Ada murid yang pandai dalam mata pelajaran- mata pelajaran yang lain, tetapi langsung tidak pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab. Kesemuanya ini bergantung kepada persekitaran dan penerimaan mereka terhadap apa yang mereka belajar. Seandainya murid itu suka akan guru bahasa Arabnya, kecenderungan ia untuk pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab  tersebut adalah tinggi. Seandainya ia tidak suka, maka hal sebaliknya yang akan berlaku walaupun ia merupakan murid cemerlang di kelas tersebut. Begitu juga ada murid yang terlalu pandai dalam bahasa Arab kerana latar belakang keluarganya yang mahir dalam bahasa Arab. Dalam waktu yang sama, mungkin dia tidak cemerlang dalam pendidikan Islam kerana perasaan tidak sukanya kepada guru Pendidikan Islam yang mengajarnya. Ini sebagai contoh.

Maka, cuba kita fikirkan pula diri kita sebagai guru yang hendak menilai tetapi tidak mengajar mata pelajaran yang kita hendak nilai. Seandainya kitalah guru Pendidikan Islam yang tidak disukai oleh murid tersebut tetapi ingin membantu rakan kita melaksanakan PKSR bahasa Arab seperti ujian lisan dan sebagainya, maka persepsi kita telah ada bahawa murid yang kita hendak nilai ini merupakan murid yang lemah berdasarkan dari pengalaman kita dalam kelas Pendidikan Islam bahawa murid ini selalu tidak memberi respon terhadap pengajaran kita. Maka dikhuatiri kita akan tidak berlaku adil dalam pemberian markah terhadap murid tersebut melalui persepsi yang telah sedia ada dalam diri kita. Setuju?

Maka, saya menyarankan kepada semua rakan-rakan j-QAF agar pelaksanaan PKSR hendaklah dijalankan disetiap waktu pengajaran oleh guru bahasa Arab itu sendiri dan bukannya oleh guru-guru lain yang mungkin sentiasa berlapang dada untuk membantu kita.

bersambung di entri yang akan datang..

Read More......

Jumaat, November 26, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 1

Sepertimana topik atau isu "Bagaimana melaksanakan P&P Berkesan Berpandukan HSP" yang telah saya kupas dalam entri saya lebih kurang tiga bulan lepas, topik atau isu kali ini (Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P?) tidak kurang pentingnya dalam menghasilkan mutu pengajaran bahasa Arab dengan lebih baik dari aspek penilaian yang lebih holistik dan telus.

PENDAHULUAN

PKSR atau nama penuhnya Penilaian Kendalian Sekolah Rendah bagi mata pelajaran bahasa Arab bukanlah satu perkara asing bagi guru khasnya guru-guru bahasa Arab (yang ingin saya fokuskan mereka di sini). Malahan sejak dari awal pelaksanaan j-QAF ini lagi guru-guru bahasa Arab j-QAF telah bertungkus lumus dalam melaksanakan "PKSR mengikut skala kadar" yang telah ditentukan oleh penggubal dasar dan termaktub di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF ketika itu. Ketika itu juga pelaksanaannya pernah menjadi isu besar guru-guru bahasa Arab j-QAF seluruh negara bilamana kaedah tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan di sekolah, lebih-lebih lagi bagi sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan kelas yang banyak dalam satu aliran termasuk sekolah saya walaupun bilangan kelasnya hanyalah sederhana (3 atau 4 kelas untuk satu aliran).

Saya masih teringat bilamana hampir kesemua guru bahasa Arab yang saya temui samada di dalam daerah, dalam negeri mahupun di negeri-negeri lain, masing-masing tidak mampu melaksanakan PKSR mengikut skala kadar tersebut. Kebanyakkan mereka hanya mengisi data markah yang direka cipta melalui "teknik sihir" bagi memenuhi data e-pelaporan j-QAF ketika itu. Maka sudah tentulah analisa pelaporan tersebut merupakan bukan analisa sebenar bagi menunjukkan prestasi bahasa Arab j-QAF ketika itu.

Bertitik tolak dari situ, ketika saya pernah diajukan soalan oleh pegawai khas bahasa Arab Jabatan Pelajaran Johor (ketika itu Ustaz Ahmad Zakuan bin Md Khudzari) tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru bahasa Arab j-QAF di negeri Johor, saya lantas mencadangkan agar fokus diberikan kepada penyelesaian masalah pelaksanaan PKSR bahasa Arab oleh guru-guru bahasa Arab j-QAF negeri Johor.  Maka, bermulalah tugas saya dalam membentuk satu konsep baru PKSR bahasa Arab yang berlandaskan prinsip dan ciri-ciri PKSR yang telah digariskan di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF. Bengkel pertama telah diadakan di Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat bersama 20 peserta dikalangan jurulatih utama bahasa Arab dan guru-guru bahasa Arab negeri Johor.

Akhirnya dengan izin Allah, konsep PKSR yang baru ini siap di bina dengan model-model soalan yang lengkap bagi semua aliran. Dengan izinNYA juga, konsep ini telah dibawa ke kementerian dan dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat sebelum ianya diterima pakai dan dapat dilaksanakan di seluruh negara. Alhamdulillah.

Bersambung...

Read More......

Ahad, Ogos 15, 2010

P&P Berkesan Berpandukan HSP

Sambungan dari entri lalu...


"P&P Berkesan Berpandukan HSP" merupakan tajuk pertama dari tiga tajuk yang saya sampaikan dalam slot Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 di Hotel Royale Bintang, Seremban pada Julai yang lalu. Namunpun begitu, tajuk yang saya nyatakan di atas bagi saya bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lebih dua tahun yang lalu, saya telah cuba mengetengahkan isu ini di pelbagai peringkat. Jika dilihat penulisan entri saya yang pertama, kedua dan ketiga diawal kelahiran blog ini juga menyentuh tentang penggunaan  dan fokus kepada HSP dalam proses P&P di sekolah. Kursus-kursus samada di peringkat negeri atau daerah, saya sering bercakap tentang hal ini. Hinggakan ketika saya ditemuduga untuk kursus guru bahasa Arab selama sebulan di Oman pada tahun 2009 yang lalu, antara ujiannya adalah penulisan essei dalam bahasa Arab berkenaan "permasalahan bahasa Arab di sekolah dan penyelesaiannya", saya juga menulis tentang hal yang sama. Alhamdulillah, akhirnya dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, usaha ini berbaloi apabila dipersetujui untuk dibentangkan dalam kursus bahasa Arab untuk jurulatih utama peringkat kebangsaan pada tahun ini, untuk disebarkan di seluruh negara.

Biarpun pada pra pembentangan saya bagi tajuk ini mendapat sedikit tentangan dari sebilangan kecil panel penilai, namun akhirnya mereka terpaksa akur apabila saya mendapat sokongan yang lebih kuat dari kalangan mereka yang  lebih tinggi kedudukannya di kementerian. Alasan bagi sokongan ini juga logik dan telah diuji keberkesanannya sebelum ianya diputuskan untuk dibentangkan di dalam kursus tersebut. "Sehingga bila guru hanya akan bergantung kepada buku teks untuk mengajar? Tidak ada buku teks? Tidak boleh mengajar?  Dan sehingga bila guru akan faham isi kandungan dan kehendak sukatan, dan seterusnya dapat mengajar dengan cara yang betul mengikut kehendak sukatan itu sendiri?"

Apakah sumber pertama pengajaran anda? Mungkin ada yang menjawab buku teks, panduan guru, rancangan tahunan (RPT), sukatan pelajaran (SP) mahupun huraian sukatan pelajaran (HSP). Apakah pula sumber kedua pengajaran anda? Jawapan yang pasti adalah antara jawapan lain bagi jawapan soalan pertama.

Adakah anda mampu mengikut perancangan pengajaran tahunan RPT seperti yang dirancang?  Adakah anda mampu menghabiskan sukatan pelajaran bagi tahun pengajaran semasa yang anda ajari? Adakah pengajaran anda menepati kehendak HSP? Tiga soalan berangkai ini mempunyai hubung kait dan persamaan. Sekiranya "RPT" merupakan jawapan bagi soalan pertama atau kedua dalam perenggan di atas, sudah pasti jawapan bagi tiga soalan berangkai ini adalah YA! Bererti anda mampu mengikut perancangan RPT dengan betul kerana ia merupakan sumber pengajaran anda yang pertama atau kedua. Tapi, benarkah ini benar-benar terjadi dalam pengajaran anda? Dan bagaimana pula sekiranya jawapan anda bagi tiga soalan berangkai ini adalah TIDAK? Maka saya hampir yakin 100% bahawa rujukan atau sumber pengajaran anda bukanlah berfokuskan kepada SP dan HSP. Adakah anda setuju dengan saya?

Sebagai guru bahasa Arab, kita wajib faham segala yang berkaitan dengan SP dan HSP. Apakah persamaan dan perbezaan di antara SP, HSP dan RPT? Dewasa ini saya lihat, masih ramai guru-guru bahasa Arab yang terus keliru dengan ketiga-tiga dokumen ini. Dan terus bertanya kenapa guru bahasa Arab (GBA) perlu mengajar berpandukan HSP ini diutamakan?

Mengapa?

Read More......

Isnin, Mei 24, 2010

PKSR oh PKSR...

Cuti pertengahan tahun semakin hampir. Ramai yang menantikan kehadirannya. Bahkan bukan hanya murid, tetapi guru, ibu bapa dan penjaga juga menantikan saat itu.

Setelah puas warga pendidikan bersuka-ria dan berseronok dengan sambutan hari guru yang baru berlalu (meskipun kemeriahannya masih terasa), tugas dan tanggungjawab yang banyak juga sedang menanti untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat iaitu pelaksanaan PKSR pertengahan tahun.

Sehingga kini, saya masih menerima berbagai soalan dan pertanyaan tentang pelaksanaan PKSR samada melalui private messages, email, mahupun panggilan telefon. Nampaknya masih ada yang masih belum jelas tentang pelaksanaannya. Mungkin keliru, dan mungkin juga terlupa! Tak mengapa, memang itulah fitrah manusia. Sebagai manusia juga, kita perlu saling bantu membantu, dan ingat mengingatkan. Barulah bumi ini akan bertuah!

PKSR TAHUN 1 DAN 2

Pelaksanaan PKSR bagi dua aliran tahun ini selalu menjadi masalah kepada kebanyakan guru-guru bahasa Arab. Ketidakpastian dan kekeliruan tentang pelaksanaannya.

PKSR TAHUN 1 DAN 2 DILAKSANAKAN SETIAP BULAN ATAU SETIAP AKHIR SESUATU TAJUK PELAJARAN.

Ini memberi erti, PKSR bahasa Arab tahun satu dan dua bukanlah berbentuk ujian peperiksaan seperti tahun-tahun yang lain. Markah murid pada setiap bulan yang dinilai dihimpun selama lima bulan dan dijadikan markah pertengahan tahun, dan ianya ditulis di dalam rekod pencapaian murid untuk makluman kepada penjaga dan ibu bapa.

Soalan bagi penilaian ini adalah sepertimana yang termaktub dalam buku panduan j-QAF iaitu penilaian melalui skala kadar. Namunpun begitu, hasil maklum balas yang diterima daripada guru-guru, pihak BPK juga telah melonggarkan pelaksanaannya dengan kaedah-kaedah penilaian yang lain (selain skala kadar) tetapi mestilah mematuhi ciri-ciri PKSR itu sendiri seperti guru mestilah menilai empat kemahiran yang ditekankan dalam pengajaran bahasa Arab di kelas. Kaedah alternatif ini telahpun dilaksanakan di negeri Johor sejak tahun 2009 lagi dan hasil maklum balas, ramai guru-guru lebih berkemampuan untuk melaksanakan PKSR bahasa Arab bagi tahun-tahun yang berkenaan. Walaubagaimanapun, guru-guru yang tidak mempunyai halangan dan bebanan untuk melaksanakan kaedah skala kadar (seperti guru di sekolah kuran murid), perlulah melaksanakan PKSR dengan menggunakan kaedah tersebut kerana ianya lebih baik dari kaedah alternatif yang lain.

Walaupun penilaian PKSR tahun 1 dan 2 dilaksanakan setiap bulan, tidaklah menjadi kesalahan besar apabila guru/sekolah terbabit dengan sengaja melakukan ujian (dua bulan sekali atau seumpamanya) dan peperiksaan seperti mata pelajaran lain sebagai tambahan kepada ujian bulanan yang telah dilaksanakan. Ini bererti, ujian PKSR setiap bulan bagi tahun satu dan dua adalah wajib dilaksanakan, manakala ujian sekolah dan peperiksaan adalah terpulang kepada guru dan sekolah terbabit untuk melaksanakannya.

PKSR TAHUN 3

Untuk tahun 2010 sahaja, pelaksanaan PKSR bagi tahun 3 adalah 4 kali setahun sahaja sepertimana yang telah dibentangkan dalam kursus-kursus pendedahan sukatan tahun 3 pada akhir tahun lepas di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara. Soalan dan borang pemarkahannya juga telah disediakan oleh BPK. Tinggal perlu dilaksanakan sahaja di sekolah mengikut cara yang betul. Namun konsep PKSR 4 kali setahun ini hanya boleh diguna pakai pada tahun ini sahaja. Alasannya adalah kerana Ini merupakan salah satu percubaan untuk merubah konsep PKSR kepada yang lebih mudah. Kerana itu ianya hanya dilaksanakan untuk tahun 2010 sahaja. Pada tahun hadapan (2011), Satu konsep baru PKSR yang telah pun disepakati dan dimurnikan di peringkat kebangsaan akan dibentangkan dalam kursus jurulatih utama peringkat kebangsaan pada Julai ini.

PKSR TAHUN 4, 5 & 6

Penilaian PKSR tahun 4, 5 dan 6 yang ditekankan di peringkat kementerian adalah PKSR yang dilaksanakan pada pertengahan dan akhir tahun, sepertimana yang diminta dalam epelaporan. Guru-guru bahasa Arab tidak perlu menyediakan soalan pertengahan dan akhir tahun bagi ketiga-tiga aliran tersebut kerana semuanya telah disediakan oleh BPK.

Merujuk kepada komen salah seorang jurulatih daripada utara yang mempersoalkan ketelitian penggubal soalan PKSR bahasa Arab tahun 6 pertengahan tahun 2010. Saya dan pihak BPK telahpun bermesyuarat pada minggu lalu dan di sana kami telah menyemak kembali soalan tersebut dan ternyata, terdapat beberapa kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku seperti kehendak soalan yang tidak menepati kehendak huraian sukatan pelajaran yang telah ditentukan. Untuk makluman juga, soalan tersebut bukanlah digubal oleh kumpulan PKSR kebangsaan yang saya sertai sekarang.

Namunpun begitu, pihak BPK telahpun mengarahkan kami untuk menyemak kembali kesemua soalan-soalan tahun 4, 5 dan 6 yang telah digubal. Hasilnya, kesemua soalan-soalan tersebut telah dimurnikan dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran daripada isi kandungannya (perkataan & ungkapan yang terdapat dalam hsp sahaja yang akan ditanya) dan kehendak huraian sukatan itu sendiri berkenaan kemahiran-kemahiran yang diajar. Untuk itu, penilaian akhir tahun ini bagi tahun 4, 5 dan 6 bakal menyaksikan murid-murid kita dinilai dengan instrument yang lebih menepati kehendak kurikulum bahasa Arab itu sendiri.

Selamat Maju Jaya

Read More......

Jumaat, April 16, 2010

Mesyuarat Transformasi Bahasa Arab

13-15 April 2010 baru-baru ini, saya telah menghadiri jemputan mesyuarat untuk transformasi bahasa Arab di Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) di Putrajaya. Mesyuarat yang berlangsung selama 3 hari ini terbahagi kepada beberapa kumpulan perbincangan. Seperti biasa saya ditugaskan sebagai setiausaha kepada perbincangan mengenai penilaian bahasa Arab dan PKSR bahasa Arab. Ketua bagi perbincangan ini iaitu Ustaz Ahmad Lutfi bin Abu Bakar (Penolong Pengarah Bahasa Arab JPN Perak) hanya dapat hadir pada petang hari kedua perbincangan kerana sebab-sebab tertentu. Walaupun begitu, saya bersyukur kerana semua perbincangan telah berjalan dengan amat lancar dan telah mencapai target mesyuarat serta berjaya menghasilkan satu hasil kerja yang telahpun disepakati dan dimurnikan bersama.

Read More......

Ahad, Januari 03, 2010

PKSR 2010 & 2011

Sebagai langkah awal bagi persediaan guru-guru bahasa Arab j-QAF melaksanakan PKSR bahasa Arab pada tahun ini, saya terpanggil untuk menulis sedikit catatan berkenaan dengannya setelah ianya disebut oleh Akh Nazri dalam chat box saya di blog ini.

Setelah diperbincangkan berkali-kali diperingkat kebangsaan oleh jawatankuasa PKSR Bahasa Arab peringkat kebangsaan, PKSR tahun 2010 dan 2011 adalah berbeza diantara keduanya dan tahun-tahun yang sebelumnya.

Secara ringkas, berikut adalah hasil mesyuarat terakhir saya bersama Jawatankuasa PKSR Bahasa Arab di bawah Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang berlangsung di Seaview Hotel Langkawi pada 8 - 10 Disember yang lalu. Mesyuarat ini dibawah kendalian Ustazah Faseha (BPK) dan diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Lutfi bin Haji Abu Bakar (Penolong Pengarah j-QAF JPN Perak).

-------------------------------------------------------

PKSR 2010

TAHAP SATU
Tahun 1 & 2 : berjalan seperti sebelum ini (PKSR setiap bulan)
Tahun 3 : Penilaian* 4 kali setahun (Seperti yang dibentangkan di Kursus JLU Kebangsaan di Goldcost Klang tahun 2009 yang lalu. Soalan disediakan oleh BPK).

TAHAP DUA
Tahun 4, 5 & 6 : PKSR dijalankan pada pertengahan & akhir tahun. (Seperti sebelum ini, soalan disediakan oleh BPK)

-------------------------------------------------------

PKSR 2011 dan seterusnya...

TAHAP SATU
Tahun 1, 2 & 3 : PKSR setiap bulan (10 soalan lisan setiap bulan dan disediakan oleh BPK)

TAHAP DUA
Tahun 4, 5 & 6 : PKSR pada pertengahan & akhir tahun (Soalan disediakan oleh BPK)

-------------------------------------------------------

* Sekiranya ada dapat perhatikan, PKSR 2010 untuk tahun 3 tidak dipanggil dengan nama PKSR bahkan disebut "PENILAIAN". Juga kita dapat dilihat bahawa penilaian tersebut hanya dilaksanakan pada tahun 2010 sahaja. Jawapan bagi persoalan tersebut adalah kerana format yang telah dibincangkan bagi pelaksanaan penilaian empat kali setahun tersebut tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR). Oleh yang demikian, jawatankuasa mesyuarat telah sepakat untuk menamakannya dengan nama "Penilaian" dan akan dilaksanakan format empat kali setahun tersebut hanya pada tahun 2010 sahaja, seterusnya akan berubah pada tahun 2011 mengikut format PKSR yang sebenar, yang sama formatnya dengan tahun satu dan dua.

Penerangan lanjut berkenaan PKSR ini akan saya perincikan pada entri yang akan datang.

Sekian untuk makluman semua guru-guru bahasa Arab j-QAF.

Walaubagaimanapun, segala keputusan strategi/cara penilaian/PKSR ini MUNGKIN akan berubah mengikut perbincangan-perbincangan yang masih belum selesai dalam mesyuarat di BPK yang akan datang. Segala perubahan akan diberitahu kelak.

Read More......

Sabtu, Oktober 17, 2009

PKSR Bahasa Arab Tahun 2010

PKSR bahasa Arab sering dipandang remeh oleh kebanyakan guru-guru bahasa Arab itu sendiri khasnya guru-guru bahasa Arab di bawah program j-QAF sejak hampir 5 tahun yang lalu. Ramai yang tidak menyedari bahawa ujian penilaian kendalian sekolah rendah atau lebih dikenali dengan PKSR itu adalah sesuatu yang wajib dan mesti dilaksanakan oleh setiap guru mata pelajaran tersebut.

Memandangkan mata pelajaran bahasa Arab ini merupakan mata pelajaran bahasa asing yang baru diperkenalkan di sekolah rendah, kemahiran asas bahasa tersebut perlu diberi penekanan. Seperti yang sedia maklum, kemahiran mendengar diikuti dengan bertutur, membaca dan menulis adalah empat kemahiran yang perlu sentiasa diperhatikan dan diuji oleh guru mata pelajaran tersebut dari masa ke semasa. Sekiranya PKSR tidak pernah dijalankan melainkan ujian-ujian formatif/peperiksaan yang berbentuk ujian bertulis, maka tidak pernah berlaku jugalah apa-apa penilaian terhadap kemahiran MENDENGAR dan BERTUTUR selain membaca dan menulis yang diuji dalam ujian berbentuk formatif/peperiksaan tersebut.

Alasan pelaksanaannya yang membebankan bukan lagi sesuatu yang asing bagi kita. Rata-rata guru bahasa Arab hatta jurulatih utama (JLU) mata pelajaran ini sendiri pun tidak mampu melaksanakan PKSR seperti yang dituntut di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jawapan yang biasa kedengaran adalan kekangan masa dengan jumlah murid yang ramai dalam sesebuah kelas. Sememangnya itulah realiti yang terjadi di sekolah. Pelaksanaan PKSR yang tercatat di dalam buku panduan tersebut hanya indah pada teorinya sahaja. Pelaksanaannya tidak pernah menjadi realiti yang menepati panduan tersebut oleh ramai guru-guru bahasa Arab j-QAF di seluruh Malaysia.

Banyak percubaan daripada JLU-JLU dan ahli pemikir akedemik untuk menyelesaikan masalah pelaksanaan PKSR ini. Negeri Johor juga tidak terkecuali dengan percubaan berbentuk alternatif bagi melaksanakan PKSR ini dengan telus dan berkesan. Namun masih terdapat banyak lagi kelemahan dan kekosongan yang masih tidak dapat dielakkan dari melaksanakan PKSR ini dengan telus dan berkesan.

Satu jawatankuasa PKSR Bahasa Arab j-QAF peringkat kebangsaan telah dibentuk di Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya juga telah dilantik menjadi setiausahanya. 20hb Oktober ini satu lagi mesyuarat akan diadakan di Kuala Lumpur selama 3 hari bersama BPK, bagi menyambung lagi perbincangan berkenaan pelaksanaan PKSR ini. Namun sebenarnya sejak Julai yang lalu lagi saya dan beberapa orang JLU dan pensyarah yang berkenaan telah dipanggil bermesyuarat di BPK untuk mengubah dasar pelaksanaan PKSR ini. Beberapa siri pertemuan dan mesyuarat telah diadakan untuk mendapat kata putus bagi menyelesaikan masalah ini. Akhirnya, setakat ini satu kata putus diperingkat jawatankuasa kecil telah pun disepakati seperti berikut bagi tujuan pelaksanaan PKSR tahun 2010 ;

- PKSR dijalankan hanya 4 kali setahun sahaja.
+ MAC - PKSR 1 (bab 1 - 3)
+ MEI - PKSR 2 (bab 4 & 5)
+ JULAI - PKSR 3 (bab 6 & 7)
+ OKTOBER - PKSR 4 (bab 8 - 10)

- Setiap PKSR mengandungi 50 markah
- Markah PKSR 1 dan 2 akan dicampur untuk mendapatkan 100% markah dan seterusnya menjadi markah peperiksaan pertengahan tahun. Begitu juga dengan markah PKSR 3 & 4 akan dicampur dan akan menjadi markah peperiksaan akhir tahun.

- Setiap PKSR mengandungi 2 kertas
+ Kertas 1 - ujian lisan (20 markah)
+ Kertas 2 - ujian penulisan (30 markah)

- Ujian lisan menguji kemahiran ;
+ mendengar
+ bertutur
+ membaca
- Manakala ujian penulisan pula mengandungi ujian kemahiran ;
+ membaca
+ dan menulis sahaja.

Mudah-mudahan dengan perubahan yang berlaku ini akan membolehkan ujian PKSR bahasa Arab ini menjadi satu ujian yang telus dari segi pemarkahan dan apa yang penting memberi kesan yang positif terhadap pembelajaran murid-murid di sekolah terhadap mata pelajaran ini dari masa ke semasa.

p/s : Apapun untuk akhir tahun ni, kita kena selesaikan dahulu ujian PKSR cara lama. Tahap 1, gunakan markah PKSR bulan 6 - 10 untuk dijadikan markah peperiksaan akhir tahun dan ditulis dalam buku rekod pelaporan pencapaian murid sebagai makluman ibu bapa. Manakala tahap 2, gunakan kertas soalan PKSR yang dibekalkan oleh BPI bagi tahun 4 dan BPK bagi tahun 5 seperti yang terdapat di dalam cd e-Pelaporan 2009 yang lalu. Selamat menjalankan tugas!

Read More......

Khamis, Oktober 01, 2009

Makluman berkaitan PKSR Bahasa Arab

TAHAP 1
Markah akhir tahun diambil daripada penilaian bermula bulan 6 hingga 10.
Tidak perlu ada kertas peperiksaan akhir tahun, tetapi mesti ada markah dalam penyata kamajuan untuk makluman ibu bapa.

TAHAP 2
Untuk tahun 4 : Kertas peperiksaan boleh guna soalan yang dibekalkan BPI tahun lepas.
Untuk tahun 5 : Kertas peperiksaan telah disediakan oleh pihak BPK dan akan diedarkan.

Read More......

Jumaat, September 11, 2009

Kursus Pendedahan Sukatan HSP B.Arab Tahun 3 Kegunaan 2010




Tarikh : 8 - 11 September 2009
Tempat : Hotel Goldcourse Klang

JADUAL KURSUS
Slot 1 : Pelaksanaan Bahasa Arab di Gontour
Ustaz Luqman (Alumni Gontour)

Slot 2 : HSP BA Tahun 3
Ustaz Mohd Nizam bin Noh
JLU Bahasa Arab Negeri Johor

Slot 3 : SP BA Tahun 3
Ustaz Mohd Taib Pa
Pensyarah Bahasa Arab UM

Slot 4 : PKSR
Ustaz Zubaidi Sulaiman
JLU Bahasa Arab Negeri Selangor

Slot 5 : Kaedah Atta'allum Atta'awuni
Ustaz Khairiel Mokhtar
Penolong Pengarah Bahasa Arab JPN Melaka

Slot 6 : Nasyid & Permainan Bahasa
Ustaz Muhammad & Ustaz Affandie
JLU Bahasa Arab Negeri Selangor

Slot 7 : Strategi P&P Bahasa Arab
Ustaz Rahimi Md Saad
Pensyarah Bahasa Arab UM

Slot 8 : Jutawan Dunia Akhirat
Ustaz Ahmad Zamri bin Shamsudin
Penolong Pengarah Bahasa Arab JPN Selangor

Slot 9 : Bengkel & Pembentangan
Ustaz Ahmad Lutfi bin Abu Bakar
Penolong Pengarah Bahasa Arab JPN Perak

Barisan Jurulatih Utama Bahasa Arab Negeri Johor
Ustz. Faizah, Ust. Mior, Ust. Ahmad Zakuan, Ust. Nazihar & Ustz. Maizathul

Bersama rakan-rakan lama Universiti Al-alBayt
Khusyuk betul dua orang JLU Johor ni :)
Ustazah Faizah & Ustazah Maizathul yang berani tampil mengacarakan majlis. Tahniah!

Read More......

Rabu, Julai 29, 2009

Seharian mesyuarat PKSR di BPK

29 Julai 2009

Jam 3 pagi lagi saya sudah mula tersedar dari tidur walaupun sebenarnya jam itu sendiri akan berbunyi tepat jam 3.3o pagi mengikut tetapan yang telah saya lakukan sebelum tidur jam 11 malam sebelumnya. Walaupun saya telah sedar dari tidur, tetapi saya hanya bangkit menuju ke bilik air jam 3.45 pagi untuk mandi dan bersiap. Saya telah berjanji dengan Ustaz Nazihar akan mengambilnya di tol Plus Kulai lebih kurang jam 4.3o pagi, dan tibanya saya di sana memang tepat pada waktunya.


Kami sebenarnya perlu menghadiri mesyuarat modul kurikulum bahasa Arab di Bahagian Pmbangunan Kurikulum (BPK) KPM di Putrajaya hari ini. Mesyuarat sehari ini adalah rentetan dari mesyuarat yang telah kami hadiri minggu lepas di Empress Hotel Sepang selama tiga hari dua malam di sana. Namun pada waktu itu hasil mesyuarat tidak dapat kami sempurnakan. Oleh kerana itulah ianya disambung semula hari ini dan kami dipanggil untuk menyelesaikan segala-galanya di sini.

Seawal jam 6.45 pagi kami telahpun berada di perkarangan Putrajaya. Awal pagi membolehkan kami mendapat tempat letak kereta yang hampir dengan bangunan BPK. Setelah sarapan pagi dan berehat sebentar di kafeteria, kami bergerak ke Bilik Mesyuarat Kenyalang di aras 7 Blok E9 tersebut. Kami merupakan ahli mesyuarat yang paling awal hadir selain pengerusi mesyuarat, Pn. Hjh Faseha.

INTIPATI MESYUARAT
Sejak di Empress Hotel lagi kami telah bermesyuarat tentang dasar pelaksanaan pentaksiran PKSR yang tidak praktikal dan realiti sepertimana yang ada sekarang. Rata-rata sekolah dan guru bahasa Arab tidak mampu melaksanakan PKSR setiap kali masuk ke kelas sepertimana yang tertulis dalam buku panduan j-QAF yang ada.

Sebenarnya masalah ini telah banyak dibincangkan oleh JU² negeri termasuk Johor. Contoh soalan PKSR yang terdapat di dalam blog ini juga merupakan salah satu alternatif yang dihasilkan oleh JU² bahasa Arab negeri Johor bagi menyelesaikan kemelut kepayahan melaksanakan PKSR pada setiap p&p seperti yang diminta. Hasil dari alternatif tersebut, saya mampu menyediakan markah penilaian 4 kemahiran murid setiap bulan tanpa menghadapi masalah² besar dengan menggunakan modul² soalan yang telah kami hasilkan itu.

Mesyuarat kali ini cuba menyelesaikan bahan-bahan berkaitan sebagai penyelesaian bagi masalah ini sekaligus akan mengubah dasar pentaksiran PKSR bahasa Arab sepertimana sebelum ini. Fokus diberikan kepada subjek bahasa Arab tahun 3 sebelum ianya di laksanakan ke tahun-tahun yang lain.

Setelah mendengar pelabagai luahan, pendapat dan pandangan, masalah dan isu serta idea-idea baru yang muncul dikalangan kami, akhirnya kata sepakat dari semua ahli mesyuarat bersetuju dengan pentaksiran PKSR bahasa Arab di ubah dari pelaksanaan setiap kali p&p kepada 4 kali setahun sahaja.

Pelbagai idea muncul dalam melaksanakan modul PKSR yang baru ini. Semuanya dibincangkan bersama ahli mesyuarat sebelum ianya diputuskan. Alhamdulillah... segalanya telah selesai pada petang tadi juga (lebih kurang jam 5 petang) sebelum ianya boleh diproses dan akan dibentangkan dalam Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan akan berlangsung di Hotel Gold Cost, Klang pada 1 September nanti.

InsyaAllah di entri yang akan datang. akan saya perincikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan modul PKSR yang baru ini. Mungkin ianya boleh menghasilkan beberapa pandangan pembaca sekaligus dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dalam pelaksanaan PKSR bahasa Arab di sekolah rendah.

Jam menunjukkan 12 malam, masa untuk berehat kerana esok jam 8.30 pagi saya perlu berada di PPD Batu Pahat pula untuk menghadiri mesyuarat data pelaporan j-QAF peringkat negeri pula. Sehingga bertemu lagi...


Ahli mesyuarat daripada Johor bersama Ustaz Zubaidi (JU BA Selangor)

Orang kuat bahasa Arab Negeri Johor Ustaz Zakuan.
psst Zakuan.., entah bila dapat bergambar dengan enta lagi lepas ni :)
(jangan marah)

Ketika mesyuarat berlangsung

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu