Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Sabtu, Januari 02, 2010

RPT oh RPT....

Selamat tahun baru 1431H dan 2010M saya ucapkan kepada semua pengunjung miorjqaf.blogspot.com, terutama kepada warga pendidik dan guru-guru j-QAF samada opsyen pendidikan Islam mahupun bahasa Arab. Doa saya agar kita semua lebih bersemangat dalam apa jua yang kita lakukan dalam memasuki dekat pertama dalam tahun millinium ini.

Bila kita sebut perkataan "millinium" (perkataan yang semakin kurang digunakan. Tidak seperti ketika mula-mula memasuki ke tahun 2000 dahulu), kita pasti tahu bahawa perkataan tersebut telah membawa dunia sekarang begitu moden dan terlalu cepat pula ia berubah meningkat dari masa ke semasa. Sehingga hari ini, manusia semakin bijak dan celik IT dengan segala kemudahan dan kemodenan yang ada.

Tahun baru pula bagi seorang guru atau pendidik membawa mereka kepada segala macam kesibukan dan persediaan. Antara yang penting yang ingin saya bincangkan di sini ialah menyediakan segala keperluan pengajaran bagi tahun tersebut. Seperti guru-guru yang lain, saya juga perlu menyedia dan mengemaskini sukatan pelajaran (SP), huraian sukatan pelajaran (HSP) dan rancangan pengajaran tahunan (RPT) dengan sebaiknya.

Persoalannya sekarang, sejauh mana "persediaan" perkara-perkara tersebut bagi kita seorang guru atau pendidik yang cemerlang?
-Adakah perkara-perkara tersebut (SP, HSP dan RPT) disediakan hanya pada materialnya sahaja? atau persediaannya meliputi fizikal dan mentalitinya?
-Adakah kita membuat persediaan-persedediaan tersebut dengan menggunakan segala kemudahan dan kemodenan yang sedang berlari deras di jari kita?

Hanya kita sendiri yang mampu menjawabnya.

Sejak seminggu yang lalu, segala alat perhubungan saya (telefon bimbit, yahoo mesengger, skype, facebook email and chat, emel yahoo dan gmail disulami dengan pertanyaan dan permintaan berkenaan rancangan pengajaran tahunan bahasa Arab terutama bagi tahun penggunaan buku teks baru (tahun 3) dan tahun 6. Tidak cukup dengan itu, ada yang terus berjumpa dengan saya bagi mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Seperti yang telah saya ucapkan pada mereka, saya memohon maaf kerana tiada perkongsian RPT lagi tahun ini dari saya untuk subjek bahasa Arab tahun-tahun yang berkenaan. Ini bukan soal sombong, kedekut atau apa-apa yang seumpama dengannya, tetapi apa yang ingin saya lakukan adalah sebuah perkongsian. Perkongsian yang bagaimana setelah tiada perkongsian?

Perkongsian yang saya maksudkan bukanlah berkongsi apa yang telah saya buat dan saya sebarkan kepada semua. Perkongsian yang ingin saya berikan ialah perkongsian idea yang menjurus kepada latihan bagaimana untuk menyediakan dan melaksanakannya.

Sampai bila kita hanya mengharap apa yang orang lain buat untuk diri kita?

Sampai bila kita boleh menjadi orang yang boleh memberi kongsi daripada minta dikongsi?

RPT merupakan rancangan pengajaran kita sepanjang tahun. Sepatutnya perancangan ini dilakukan oleh kita sendiri dan bukannya orang lain. Kita tentu tidak suka diri kita direncanakan oleh orang lain tetapi kita lebih suka sekiranya kita bebas merencana apa yang ingin kita lakukan.

Mungkin ada yang berkata, "tidak salahkah merancang pengajaran tahunan sendiri?"

Pada saya, merancang perlu dilakukan oleh guru itu sendiri dengan berpandukan sukatan dan huraiannya dan diselarikan dengan minggu-minggu dalam takwim sekolah bagi tahun semasa. Yang pasti menjadi kesalahan ialah apabila kita mengubah sukatan atau huraian sukatan yang telah lengkap disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum di kementerian.

Jadi, rancanglah sendiri!

Kementerian tidak pernah mensyaratkan "bentuk penyediaan" rancangan pengajaran tahunan yang perlu disediakan. Apa yang penting perancangan tersebut mesti ada dalam buku rekod mengajar guru. Betulkan? Ianya meliputi minggu-minggu persekolahan, tajuk-tajuk yang diagihkan beserta kandungan yang terdapat dalam HSP. Jadi buatlah perancangan sendiri dengan bentuknya yang tersendiri yang memudahkan kita sendiri ketika sentiasa merujuknya nanti.

Terkadang rasa bersalah dan kasihan kepada rakan yang bersungguh-sungguh ingin minta saya kongsikan RPT yang telah siap saya rancangkan bagi kegunaan saya untuk tahun 2010 ini. Tetapi apabila difikirkan, saya lebih kasihankan anak-anak murid yang belajar dari guru yang tidak belajar. (Maaf, mungkin kata-kata ini agak keras)

Sedangkan orang yang paling hampir dengan saya (zawjatie) dan tinggal sebumbung dengan saya pun saya tidak kongsikan RPT yang saya buat, inikan pula orang yang lebih jauh dari saya?

Apa yang ingin saya utarakan (termasuk isteri saya) ialah belajar merancang pengajaran tahunan sendiri. Bukan untuk menyusahkan, tetapi ianya akan memudahkan pengajaran kita bila tiba masanya nanti.

Kenapa saya berpendapat demikian? Cuba kita fikirkan seandainya RPT yang telah siap kita perolehi dari rakan atau sesiapa yang telah menyediakannya, adakah kita akan membaca dan memahaminya? Saya pasti hampir 100% guru tidak membacanya secara keseluruhan. Malah ianya sudah memadai dengan adanya RPT tersebut dan memenuhi keperluan yang dipinta oleh pihak pentadbiran sekolah. Betulkan?

Cuba kita fikirkan pula seandainya kita sendiri yang menyediakan RPT tersebut. Sudah pasti kita akan khatam dan hadam SP, HSP dan buku teks bagi tahun semasa sebelum kita mula mengajar kepada anak-anak murid kita. Bukankah ini lebih baik?

Kita akan mendapat gambaran keseluruhan tentang tajuk-tajuk yang akan kita ajarkan kepada murid-murid. Kita boleh menyusun keutamaan tajuk yang akan diajar mengikut bulan-bulan semasa. Sebagai contoh tajuk perayaan di ajar pada bulan perayaan, tajuk kemerdekaan diajar pada bulan kemerdekaan dan tajuk bulan Ramadhan juga diajar pada bulan Ramadhan. Adakah ini tidak cukup baik untuk kita dan anak murid kita?

Cuba kita fikirkan seandainya kita hanya berpandukan rancangan yang dirancang oleh orang lain. Adakah kita akan mendapat manfaat yang sama dengan susunan tajuk dan minggu-minggunya? Tentu tidak bukan?

Selain itu kita juga boleh mengetahui lebih awal indeks perkataan-perkataan yang perlu ditekankan bagi tahun semasa. Begitu juga dengan ungkapan-ungkapan penting yang terdapat di dalam HSP. Seterusnya kita boleh membuat persediaan dengan memikirkan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi mencapai objektif-objektif yang telah digariskan dalam sukatan pelajaran. Bukankah ini lebih baik? Inilah yang dikatakan persediaan fizikal dan mentalitinya. Kita bukan sahaja menyediakan RPT yang siap dicetak, tetapi juga kita bersedia untuk mengajar dengan segala pengetahuan yang mendalam tentang tajuk dan aktiviti yang akan kita laksanakan.

Bayangkan seandainya guru itu tidak merancang sendiri dan hanya menyediakan fizikalnya sahaja di dalam buku rekod mengajarnya. Pasti guru tersebut hanya bersedia untuk mengajar sehari sebelum masuk ke kelas. Lebih malang lagi guru tersebut hanya bersedia 5 atau 10 minit sahaja, atau langsung tidak bersedia sebelum masuk ke kelas untuk mengajar.

Adakah tidak ada perbezaan antara guru yang bersedia keseluruhannya pada awal tahun dan hanya tinggal melaksanakannya dengan guru yang bersedia sehari sebelum atau 5 minit sebelum? Sudah pasti amat besar perbezaan impak yang akan diperolehi murid-murid yang belajar dengannya.

Jadi, rancanglah sendiri!

Sejak dua tahun lalu saya telah mula merancang sendiri pengajaran tahunan saya. Tanpa tunjuk ajar sesiapa saya merancang sendiri atas kesedaran sendiri. Ini kerana saya tidak mampu mengikut perancangan orang lain. Saya punyai tugasan yang sangat banyak samada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah. Kerana itu saya perlu merancang sendiri pengajaran saya agar saya dapat menamatkan keseluruhan sukatan pelajaran bagi tahun semasa. Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan 10 tajuk setiap tahun yang diajar walaupun penglibatan saya di luar sekolah sangat aktif. Persoalannya, mengapa guru-guru yang tidak aktif di luar sekolah masih tidak mampu menghabiskan sukatan tersebut? Jawapannya adalah kerana guru tersebut tidak merancang sendiri pengajarannya tetapi mengikut perancangan orang lain. Orang lain habis mengajar tetapi dia masih tidak habis mengajar. Betulkan?

Rancangan mengajar tidak perlu panjang. Kebiasaannya saya hanya menyediakan 2 helai A4 sahaja untuk sepanjang tahun pengajaran. Bererti 1 A4 untuk satu semester (5 bulan).

Apa yang penting dalam rancangan mengajar ialah ;
1. Kolum minggu persekolahan (21 minggu semester pertama dan 21 minggu semester kedua).
2. Tajuk pelajaran yang telah dibahagikan mengikut minggu dengan berpandukan tawkim aktiviti sekolah.
3. Objektif utama tajuk berkenaan mengikut kemahiran dan aras. (pilih yang bersesuaian, selebihnya boleh merujuk kembali kepada HSP)
4. Aktiviti yang difikirkan mampu dilaksanakan bagi tajuk-tajuk berkenaan. (termasuk permainan bahasa yang difikirkan sesuai)
5. Bahan-bahan bantu yang diperlukan untuk tajuk-tajuk berkenaan.

Mudahkan? Tapi ada lagi masalahnya? Apa dia? Kemahiran menaip...

Kemahiran tidak akan datang tiba-tiba, tetapi ia akan datang dengan latihan yang banyak. Berlatihlah menaip tulisan Arab dari masa ke semasa. Jadilah guru yang cemerlang! Yang mampu melakukan inovasi dan perubahan kepada yang lebih baik.

Selamat merancang!

Akhir kata, maaf andai ada yang terasa. Niat saya ikhlas untuk membantu. Membantu untuk menjadikan diri kita lebih baik dari masa ke semasa mudah-mudahan. Amin ya Rab! Selamat tahun baru... dan selamat maju jaya..

*Untuk yang tidak perlu disediakan sendiri oleh guru iaitu SP dan HSP, anda boleh mendapatkannya di bahagian muat turun di dalam blog ini.

2 comments:

buat pertama kalinya saya berjumpa dgn alasan sebegini...

betul tu. kita terlalu bergantung pd orglain. wlupun saya terkial2 nak menaip dlm font arabic tp nak xnak kenalah usahakan..

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu