Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Sabtu, Januari 09, 2010

JLU.. oh JLU...


Tajuk JLU.. oh JLU.. pada kali ini tidak ada apa-apa kaitan dengan kereta saya yang secara kebetulan mendapat nombor pendaftaran JLU. Ianya hanya sekadar gambar hiasan semata-mata. :)

Tajuk JLU.. oh JLU.. ini ditulis setelah mendapat beberapa mesej atau komen (yang saya duga semuanya dari orang yang sama berdasarkan nombor IP yang sama setelah saya melihatnya di laman chat box saya) berkenaan entri saya yang lalu bertajuk, "RPT oh RPT..."

Walaupun saya tahu komen tersebut mungkin dari orang yang sama, namun keputusan saya untuk menulis entri ini adalah untuk menggantikan komen-komen saya bagi menjawab komen-komen beliau terhadap apa yang telah saya tuliskan. Pada fikiran saya, adalah lebih baik seandainya komen dan jawapannya dapat dibaca dan difahami oleh lebih ramai orang dengan tempoh yang lebih panjang berbanding sekiranya ia dibiarkan di chat box tersebut, ia akan hilang setelah semakin banyak komen atau ulasan yang lain ditulis disitu.

Seperti yang saya katakan, komen ustazah yang kecewa, ustaz yang kecewa juga dan Insyirah pada saya adalah datang dari orang yang sama berdasarkan IP mesej tersebut adalah sama. Berikut adalah komen beliau terhadap entri saya tersebut :

Ustazah yang kecewa: Wah...nak mintak RPT pun bukan main panjang Ustaz punya komen... Yang saya tahu, JLU ditugaskan untuk membantu guru-guru yang memerlukan sumbangan dan bantuan.Tapi takpelah, baru kami kenal Ustaz...

Ustaz yang kecewa juga: Yelah Ustazah, saya setuju tu... takkanlah dah balik dari Oman dah tak nak tolong kami kot... di mana AMANAH sebagai JLU tu...

Insyirah: Kalau zaujah Ustaz Mior nak guna RPT saya, beritahu saya ye...

Jawapan saya kepada Ustazah yang kecewa adalah, apa yang ustazah telah tahu berkenaan tugas JLU untuk membantu guru-guru yang memerlukan sumbangan dan bantuan adalah tidak benar.

Sebagai seorang JLU yang disingkatkan daripada perkataan JuruLATIH Utama adalah berfungsi untuk membantu pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran dalam MELATIH guru-guru untuk menjadi lebih cemerlang. Tidak pernah saya diberitahu bahawa tugas saya sebagai JLU adalah untuk menyediakan semua keperluan yang diperlukan oleh guru untuk mereka menjalankan tugas mereka. Seandainya tugas JLU adalah seperti yang ustazah katakan, saya fikir lebih baik sekiranya perkataan JLU ditukar kepada JPU dengan membawa maksud Juru PEMBANTU Utama. Maka para semua JLU tidak perlu lagi duduk di sekolah bahkan hanya perlu menyediakan semua yang guru-guru perlukan dari perkara-perkara yang kecil hingga perkara-perkara yang besar. Betulkan?

Kepada Ustaz yang kecewa juga, saya juga kecewa dengan anda. Kecewa anda kerana tidak mendapat rancangan pengajaran tahunan dari saya atau mungkin anda kecewa kerana anda beranggapan saya sombong hingga tidak lagi mahu menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan.

Kecewa saya pula adalah kerana sedih melihat seorang ustaz dan pendidik yang tidak dapat membezakan antara yang baik dan sebaliknya, sehingga mempersoalkan di mana AMANAH yang saya pegang sebagai JLU.

Cuba ustaz baca semula entri saya tersebut dan fahamkan apa isi kandungannya. Adakah saya hanya menyalahkan guru-guru yang hanya ingin jadi peminta dari pemberi? Adakah saya tidak memberi alternatif, tunjuk ajar, cara atau latihan bagaimana untuk menyediakan rancangan tahunan itu sendiri? Ada atau tidak? Ada bukan...? So tugas dan amanah yang diberikan kepada saya sebagai seorang JLU adalah untuk melatih guru-guru bahasa Arab di Negeri Johor khasnya untuk menjadi lebih cemerlang! Faham akan apa yang diajar, bersedia 100% untuk mengajar, dan sentiasa berusaha untuk menjadi seorang guru yang lebih cemerlang. Adakah apa yang saya lakukan ini bukan satu tanggungjawab dari AMANAH tersebut? Atau seperti kata ustaz dengan nama "ustazah yang kecewa" itu saya perlu menjadi penyedia dan pembantu kepada semua guru-guru? Fuh! Mungkin ustaz lebih mampu untuk menjadi begitu agaknya.. So, kenapa tidak ustaz yang cemerlang ini kehadapan, tonjolkan kecemerlangan dan sudah tentu akan dilantik menjadi JLU sebagai pengganti saya. Boleh kan?

Kepada Insyirah yang masih menggunakan IP yang sama dengan ustazah yang kecewa dan ustaz yang kecewa juga, saya dan zawjah mengucapkan terima kasih banyak-banyak atas bantuan yang cuba dihulurkan. Bukan zawjah saya sombong untuk tidak menerimanya, tetapi zawjah saya sudah pun siap merancang pengajaran tahunannya untuk tahun 2010 ini dengan berpandukan taqwim persekolahan 2010 di sekolahnya.

Seandainya saya boleh menyuruh orang lain dan melatih orang lain untuk menjadi cemerlang, kenapa tidak saya melatih zawjah saya sendiri untuk menjadi cemerlang? Kecemerlangan dalam pekerjaan adalah satu ibadah. Ibadah perlu dilakukan bersungguh-sungguh agar ianya mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah. Begitu juga dalam usaha kita sebagai seorang pendidik, kita perlu berusaha untuk menjadikan pekerjaan kita yang mulia ini adalah pekerjaan yang selalu dipandang tinggi dan apa yang lebih penting mendapat keberkataan Allah dari amalan dan rezeki yang kita terima untuk seisi keluarga kita. Betulkan? Sampai bila golongan guru-guru agama ini terus dipandang rendah oleh golongan-golongan diluar sana?

.............

Hakikatnya apa yang saya tulis dalam entri tersebut mendapat sokongan 110% dari Penolong Pengarah Bahasa Arab Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Ustaz Ahmad Zakuan Md Khudzari yang akan naik pangkat ke Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya pada bila-bila masa dari sekarang dengan jawatan Penolong Pengarah Bahasa Arab. Malah zawjahnya juga (Ustazah Hanan) ada menulis di chat box saya mengatakan yang beliau juga berjaya merancang sendiri rancangan tahunannya. Lihat! Orang yang hebat seperti Ustaz Zakuan dan zawjahnya Ustazah Hanan juga merancang sendiri rancangan pengajaran tahunan mereka. So, kenapa tidak kita mengikut jejak langkah mereka?

Sekiranya anda dapat melihat kebaikan yang sangat luar biasa sekiranya anda merancang sendiri rancangan pengajaran tahunan anda, anda tidak akan mengharap rancangan pengajaran yang dirancang oleh orang lain untuk kita pada tahun semasa. Bukankah apa yang saya sarankan itu sangat baik untuk diri kita dan anak-anak murid kita?

Hakikatnya juga, rancangan pelajaran tahunan ini tidak disediakan diperingkat kebangsaan. Begitu juga diperingkat negeri khasnya Negeri Johor. Namun begitu ada juga beberapa buah negeri yang mengambil inisiatif untuk menyediakan rancangan tersebut yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu seperti JLU. Tahniah diucapkan kepada mereka. (Ustaz@ ustazah mungkin dah dapat dari mereka)

Namun bagi saya, ketiadaan rpt di Johor harus diambil kesempatan untuk belajar sendiri menyediakannya. Kerana itu saya ada mengajar dan menunjuk cara bagaimana untuk menyediakan rpt tersebut dalam entri saya yang membuatkan ustaz dan ustazah yang kecewa menulis luahan hati mereka di sini. Tak apa, saya terima dengan hati yang terbuka. Dan ini adalah penjelasan dari saya.


JLU
Hakikatnya, sejak akhir tahun 2008 yang lalu saya sudah menyuarakan hasrat saya untuk menjadi seorang guru sepenuh masa kepada Ustaz Ahmad Zakuan. Namun permintaan saya itu ditolak mentah-mentah oleh beliau. Sejak itu saya masih terus menjalankan amanah yang diberi walaupun saya sendiri menyedari hakikat diri saya masih banyak yang perlu dipelajari.

Saya terpilih ke Oman adalah kerana terpilih dan bukannya dipilih seperti yang disebut oleh beberapa rakan saya. Ini saya pasti setelah merujuk kepada pihak BPI yang bertanggungjawab menemuduga kami. Walaupun mungkin mereka tersilap memilih saya, namun saya telah menerima tanggungjawab tersebut dengan penuh rasa berat hati yang teramat sangat. Sejak awal lagi saya telah cuba menolak untuk pergi ke sana. Hinggakan setelah hampir 2 minggu di sana saya merasakan saya memang tidak layak bersama peserta-peserta lain menjalani kursus di sana dan rasa ingin pulang ke tanah air dan duduk di sekolah seperti kebanyakan rakan-rakan saya. Namun saya kuatkan semangat dan meneruskan juga perjuangan tersebut. Peluang dan tanggungjawab yang telah diberikan tidak boleh saya sia-siakan.

Memang tidak dinafikan ramai yang kecewa kerana setelah kami pulang, tidak terdapat pendedahan yang dapat dikongsikan dengan beribu guru-guru lain di Malaysia. Namun, kalau di lihat negeri-negeri lain, ada yang pergi bersama pegawai jabatan mereka, dan ada juga yang pergi bersama wakil pensyarah IPGM di negeri mereka. Tetapi saya sendirian dari Johor tanpa ditemani oleh pegawai jabatan pelajaran negeri mahupun pensyarah dari IPGM Johor Bahru dan Batu Pahat.

Kerana ketiadaan peruntukan samada di peringkat kebangsaan mahupun negeri, apa yang kami perolehi di Oman hanya tersimpan dalam external harddisk kami masing-masing tanpa diproses dan dimurnikan sebelum ianya dapat disebarkan. Walaupun begitu, saya cuba dengan alternatif yang ada pada saya melalui blog ini untuk berkongsi beberapa maklumat yang bermanfaat dengan rakan-rakan. Saya murnikan sendiri.. dan saya kongsikan di sini! Berbanding dengan rakan-rakan lain yang ditemani pegawai dan pensyarah mereka ketika di Oman, ada juga yang masih tidak dapat berkongsi apa-apapun dengan guru-guru di negeri mereka (bukan semua). Masalah ini tidak boleh disalahkan kepada peserta kursus Oman itu sahaja.

Jika ada yang masih beranggapan saya sudah lupa diri, sombong dan kedekut, terpulanglah.. Saya tidak pernah diminta untuk dianugerahi apa2 anugerah apalagi dipuji. Kerana sekiranya saya meletakkan anugerah sebagai matlamat saya, saya pasti akan berhenti bekerja dan berkongsi apabila saya perolehi Anugerah Khas Kualiti Pengarah dalam Hari Kualiti JPN Johor 2009 pada 28 Disember 2009 yang lalu. Sekiranya saya minta untuk dipuji, sudah tentu saya sudah menyiarkan berita anugerah tersebut sejak awal lagi. Tapi tidak... Kerana selagi hayat saya dikandung badan, selagi diri ini mampu untuk berkongsi apa yang saya ketahui walaupun kecil, saya tetap menggunakan nikmat Allah ini untuk kebaikan kita bersama, bukan untuk dianugerahi atau dipuji.

Saya akan terus berkhidmat dan berkongsi selagi diperlukan... Dua tiga hari yang lepas, saya baru menyiapkan 8 set soalan penilaian tahun 3 kegunaan tahun 2010 bagi penilaian 4 kali setahun. Sebenarnya soalan ini disediakan oleh jawatankuasa PKSR kebangsaan yang terdiri daripada beberapa orang JLU seluruh Malaysia dan saya merupakan salah seorang daripadanya. Setelah siap soalan itu digubal, tinggal semakan terakhir oleh saya dan semuanya telah saya serahkan kepada BPK pada 6 Januari yang lalu.

Begitu juga dengan penilaian setiap bulan bagi tahun 1, 2 dan 3 juga sekarang dalam proses semakan terakhir oleh saya untuk kegunaan kita bersama pada tahun 2011 nanti. Dan semua soalan-soalan ini akan diKONGSI bersama-sama untuk kita sama-sama laksanakan PKSR dengan berkesan dan berjaya.

Saya mohon maaf atas segala ketelanjuran saya. Saya juga guru dan manusia biasa. Guru yang mengajar bahasa Arab di sekolah rendah sepertimana rakan-rakan yang lain ajar. Marilah kita bersama-sama berganding bahu mencapai kecemerlangan bahasa Arab dan j-QAF yang sedang menuju puncaknya pada penghujung tahun 2010 ini.

j-QAF TANPA GAGAL...

7 comments:

hek eleh...ni jenis mkn suap bnyk ni... usaha sindri tak mau... so far aku lebih suka ngajar ikut sukatan berbanding ikut RPT.

terima kasih bro mior atas nasihat 'mengajar ikut sukatan '.

Assalamualaikum...
Bagus pandangan ni...rupa2nya kebanyakan j-qaf asyik mengharapkan bantuan orang lain, hatta membuat RPT sendiri. BAgaimana untuk hebat jika tidak mampu untuk merancang pengajaran sendiri....
-GPI Menengah-

wah lawa no kete,kete baru ke?aku punya plat JLR6347 (jangan lupa rakyat)aku nak tgu JLU lmbt sgt....tahniah...

Hmm.. masih ada juga terdapat komen-komen dari individu yang tidak berani memperkenalkan dirinya. Mungkin untuk KEMASLAHATAN diri mereka sendiri agaknya.. Apapun terima kasih atas perkongsian anda dan maaf kerana saya tidak dapat memaparkan komen-komen tersebut kerana ketidakjujuran anda dalam memberi pendapat dan pandangan berkaitan isu ini. Bertanggungjawablah dengan apa yang anda suarakan..

Kepada yang telah memberi ulasan dan komennya dipaparkan, terima kasih saya ucapkan. JazakAllah..

Sebenarnya isu ini asalnya kecil sahaja.. Hanya kerana saya tidak mahu berkongsikan rancangan pengajaran tahunan yang saya hasilkan, akhirnya mengundang pelbagai reaksi dan pendapat. Baguslah! Ini menunjukkan satu kemajuan kepada diri kita..

Baiklah, nampaknya penerangan saya sebelum ini tidak menjelaskan masksud sebenar saya. Biar saya jelaskan lagi...

Sejak terbinanya blog ini, segala macam perkongsian telah saya kongsikan semuanya secara percuma tanpa ada rasa ingin bermegah apa lagi untuk mengaut keuntungan. Semuanya secara percuma. Jika dilihat diruangan muat turun, banyak borang-borang yang saya hasilkan sendiri dalam perisian excel agar ianya memudahkan kerja semua guru-guru bahasa Arab sewaktu mengisi markah PKSR. Semuanya saya hasilkan sendiri. Termasuklah lagu-lagu beserta muzik yang dulunya saya jual dalam bentuk CD dengan harga RM5 setiap satu CD (15 lagu), kini ianya boleh didapati dengan percuma sahaja di sini.

Begitu juga dengan pengalaman yang tidak begitu berharga (tetapi sangat berharga bagi saya), pengetahuan yang tidak seberapa serta ilmu yang cetek ini juga saya kongsikan di sini. Dengan harapan, mungkin ada yang boleh mengambil manfaat darinya.

Apa yang saya harapkan bukanlah kemewahan berupa wang ringgit apa lagi terkenal dan dikenali. Namun apa yang saya harapkan adalah ganjaran yang berpanjangan di sisi Allah SWT.

Berkenaan dengan isu RPT yang saya hasilkan sendiri dan tidak saya kongsikan di sini, mengundang juga satu dua komen yang menegur saya bahawa, bukankah jika saya berkongsi rpt tersebut akan membawa kepada kebajikan yang berpanjangan! Benar! Memang tidak salah sikit pun..! ITULAH YANG SAYA DAMBAKAN SELAMA INI..

Malangnya apa yang telah saya hasilkan itu (berupa RPT 2helai A4 utk sepanjang tahun 2010) pada saya tidak sesuai untuk dikongsikan di sini. Ia kerana rancangan saya itu adalah untuk kegunaan saya yang saya jangka orang lain tidak boleh mengikuti perancangan saya, yang sentiasa sibuk dengan tugas-tugas luar nanti.

Saya mempunyai tugas-tugas yang diluar jangkaan. Saya sering dipanggil ke sana sini. Menyumbang ilmu yang cetek ini di mana-mana untuk perkongsian kita bersama semuanya. Kerana itu saya perlu perancangan pengajaran saya yang lain dari yang lain. perancangan tahunan saya, saya hasilkan dengan hanya berpandukan huraian sukatan sahaja. Terlalu ringkas! Dan saya yakin apabila ada orang lain yang cuba mengikuti rancangan saya itu, mereka akan terSESAT.

Ini kerana saya membuat sendiri perancangan saya dgn membaca keseluruhan hsp tersebut dan memahaminya. Tambahan lagi saya boleh dikatakan hampir hadam keseluruhan hsp tersebut kerana saban tahun saya menghadiri kursus-kursus berkenaan hsp tersebut, dan menyampaikannya pula kepada guru-guru.

Cuba bayangkan seorang guru biasa yang tidak pernah membaca hsp. Tidak tahu apa isi kandungan hsp. Dan tidak faham apa kehendak hsp. Lebih malang lagi tidak tahu membezakan sp & hsp, alih2 nak menggunakan rancangan pengajaran tahunan saya yang kebanyakkan telah hadam dalam pengetahun saya. Apa akan jadi kepada guru tersebut setelah dia mengikuti rpt saya? Tentu dia tersesat bukan!?

Kerana itu saya tidak berkongsi rpt yang telah saya hasilkan. TETAPI... SEBAGAI GANTI, SAYA BERKONGSI PULA BAGAIMANA CARA UNTUK MENGHASILKAN RPT SENDIRI. Sangat mudah! Asalkan membaca hsp dan memahaminya..

Saya berbuat begitu dengan niat, seandainya guru tersebut boleh merancang pengajaran tahunannya sendiri, dan boleh melakukan rpt nya dengan lengkap dan dapat pula berkongsi hasilnya dengan orang lain, setelah mempelajarinya dari cara mudah yang saya kongsikan.. maka semakin ramailah yang akan membuat rpt nya sendiri hasil dari ilmu saya yang cetek ini, dan semakin ramai juga yang berkongsikan rpt yang mereka hasilkan dengan orang lain.. Semakin ramai guru memahami kehendak hsp.. Semakin ramai guru dapat menjalankan tugas mereka dengan betul dan tepat.. Jadi, adakah saya tidak mendapat apa2 ganjaran di sisi Allah.. Tentu lebih hebat bukan!

Daripada mereka hanya setakat menyediakan rpt ringkas yang saya kongsikan, dan kemudiannya membawa kepada kesesatan dan kegagalan, lebih baik mereka sendiri yang faham apa yang dirancang hasil dari pembacaan sp dan hsp yang menjadi nadi utama dalam pengajaran kita bersama.

Mungkin seandainya saya punya masa sewaktu cuti akhir tahun 2009 yang lalu, saya mungkin telah menyediakan rpt lengkap sepertimana yang biasa kita lihat dan download di mana-mana. Namun, sepanjang cuti saya yang lalu dipenuhi dengan kursus dan mesyuarat serta training di merata-rata tempat seluruh semenanjung. Ditambah lagi dengan tugas sampingan mengajar bahasa Arab di IPGM Kampus Temenggong Ibrahim. Seterusnya disambung dengan tugas editing terakhir 8 set soalan PKSR oleh BPK untuk kegunaan kita bersama tahun 2010 ini, ia memang menjadikan saya tidak punya masa untuk menghasilkan rpt yang baik dan lengkap, yang sesuai untuk dikongsikan di sini. Saya mohon jutaan maaf kerana kelemahan saya yang dhaif ini.

Saya tidak nafikan... Hidup ini adalah sebuah perkongsian. Sebagai manusia, saya juga memerlukan bantuan orang lain dalam mencari keredhaan Ilahi untuk hidup bahagia di negeri yang Abadi...

Wallahuálam..

kalau ajar ikut sukatan taoi tak der RPT mcmana ustaz?

SEMOGA PERKONGSIAN IKHLAS ANDA MENDAPAT GANJARAN YANG BERPANJANGAN DARI AZZA WA JAL ila yaumil Qiamah InsyaALLAH....

DARI: guru jQAF JOHOR

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu