Penangan kembali dari Oman...
Mesyuarat Penyediaan Laporan Pasca Kurus Bahasa Arab di Oman
2-4 Jun 2009
Hotel Naza, Melaka
Dah seminggu pun mesyuarat tu berlalu, namun kisahnya baru hendak ditulis. Begitulah penangan balik dari Oman...
Ada beberapa perkara yang menyebabkan blog ini tidak dikemaskini sekembali saya dari Oman. Antaranya ;
Penangan Rindu
Siapa yang tidak rindu pada yang tersayang setelah genap sebulan meninggalkannya bersama anak-anak penghibur hati. Kesemua 26 peserta kursus Oman tidak dapat lagi sembunyikan rasa rindu masing-masing sejak kami di Oman lagi. Dek rindu dendam inilah yang menyebabkan saya membiarkan sahaja blog ini tidak dikemaskini seperti kebiasaan.
Penangan Bil Telefon & Broadband!
Memang tidak terkejut bila bil bulan lepas mencecah lebih lapan ratus ringgit. Biasalah bila perkhidmatan roaming sentiasa digunakan selama berada di Oman. Lebih memeranjatkan apabila baru-baru ni unbilled amount diperiksa menunjukkan bil bulan ini akan mencecah lebih seribu ringgit (tidak termasuk bil bulan lepas). Fuh!... Hampir dua ribu bil (untuk 2 talian telefon dan broadband). Akhirnya talian terpaksa disekat oleh pembekal kerana telah melebihi had kredit RM1250. Terpaksalah pula saya menjelaskan hampir seribu ringgit untuk membolehkan kedua-dua talian telefon saya dan isteri serta broadband di rumah dapat berfungsi seperti biasa. Jangan terkejut kerana ini bukan kali pertama saya menerima bil telefon lebih dari seribu ringgit. :) Tapi semuanya selesai samada dengan perbincangan dan diskaun dari pihak pembekal atau saya terpaksa melunaskan bil tersebut tanpa sebarang diskaun. (Kita cerita lain lah..)
Penangan Kerja
Sejak balik, dirasakan kerja tak akan habis. Di sekolah sudah pasti, terfikir pula perancangan-perancangan aktiviti peringkat daerah yang telah diatur sebelum ke Oman. Semuanya perlu difikirkan kembali. Ditambah lagi dengan mesyuarat tindakan susulan sekembali dari Oman. Fuh!... Di sini perlunya pengurusan masa yang baik. Masalah kecil yang mengganggu pengurusan masa saya... menyesuaikan mata dengan masa di Malaysia setelah sebulan di Timur Tengah.
Dalam mesyuarat di Melaka baru-baru ini, kami telah dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk bermesyuarat bagi membincangkan laporan-laporan dan tindakan susulan agar bahan-bahan mentah yang kami bawa balik dari Oman itu dapat dimanfaatkan oleh semua murid dan guru bahasa Arab di seluruh negara. Mungkin pertemuan demi pertemuan akan berlaku setiap bulan bagi kesemua peserta kursus Oman bermula dari bulan ini di beberapa tempat yang berbeza.
Apapun mesyuarat tersebut sebenarnya tidak pun disangka akan berlaku dalam waktu yang singkat setelah kami kembali dari Oman. Walaupun terdapat sedikit tekanan, namun pertemuan dengan JU-JU yang sama-sama ke Oman dulu telah membuatkan hati kami betul-betul gembira.
Sesi mesyuarat hari kedua pada sebelah petang dibatalkan oleh penganjur untuk memberi peluang kepada semua peserta menikmati keindahan dan keunikan Banda Hilir Melaka.
0 comments:
Catat Ulasan