Travelog Oman - episod 27 : Menghitung Hari
08 MEI 2009 - JUMAAT
Jame' Sultan Qabus
Hari ini merupakan hari yang pertama, minggu yang ke3 saya dan rakan-rakan yang lain berada di bumi Muscat ini. Terasa masa berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar kami hanya tinggal kurang dari 12 hari saja lagi untuk menyelesaikan misi kami di sini. 13 hari telah berlalu dan banyak maklumat yang telah diperolehi sedang dikemaskini untuk dibawa pulang.
Dalam masa yang sama, kerinduan terhadap keluarga tersayang tidak dapat digambarkan lagi. Lebih-lebih kepada yang tersayang. Ramai yang sudah hampir hilang arah apabila setiap kata-kata yang keluar akan menjurus kepada luahan kerinduan kepada yang tersayang, samada secara langsung atau berjenaka. Ada peserta yang pada mulanya nampak diam dan tidak pandai berlawak, tetapi sejak kebelakangan ini sudah mula berubah sikap dan tutur kata. Usik mengusik sudah menjadi mainan gelak tawa kami sekarang ini.
Hari ini saya dan beberapa orang peserta yang lain menunaikan solat Jumaat di Jame' Sultan Qabus iaitu masjid terbesar dan tercantik di Oman. Senibina yang sangat cantik dan mewah membuatkan siapa yang melihatnya pasti terpegun.
Pada sebelah petang, saya tidak melepaskan peluang untuk keluar bersama rakan-rakan peserta yang lain untuk ke Suoq Mutrah (Pasar Mutrah). Tempat ini pernah kami kunjungi pada awal kedatangan kami ke sini dulu, tetapi pada waktu malam.
Ramai dikalangan kami termasuk saya baru hendak mula membeli barang-barang kenangan dan hadiah kepada yang tersayang untuk dibawa pulang nanti. Tawar menawar itu sudah pasti, untuk mendapatkan barang-barang yang dikehendaki dengan harga yang paling rendah.
0 comments:
Catat Ulasan