Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Julai 30, 2009

Mesyuarat Pengumpulan Data e-PELAPORAN j-QAF Peringkat Negeri Johor bagi bulan Jun 2009

Tarikh : 30 Julai 2009
Tempat : Pusat Sumber SMK Dato' Syed Esa Batu Pahat
Masa : 8.00 AM - 4.30PM



Read More......

Rabu, Julai 29, 2009

Seharian mesyuarat PKSR di BPK

29 Julai 2009

Jam 3 pagi lagi saya sudah mula tersedar dari tidur walaupun sebenarnya jam itu sendiri akan berbunyi tepat jam 3.3o pagi mengikut tetapan yang telah saya lakukan sebelum tidur jam 11 malam sebelumnya. Walaupun saya telah sedar dari tidur, tetapi saya hanya bangkit menuju ke bilik air jam 3.45 pagi untuk mandi dan bersiap. Saya telah berjanji dengan Ustaz Nazihar akan mengambilnya di tol Plus Kulai lebih kurang jam 4.3o pagi, dan tibanya saya di sana memang tepat pada waktunya.


Kami sebenarnya perlu menghadiri mesyuarat modul kurikulum bahasa Arab di Bahagian Pmbangunan Kurikulum (BPK) KPM di Putrajaya hari ini. Mesyuarat sehari ini adalah rentetan dari mesyuarat yang telah kami hadiri minggu lepas di Empress Hotel Sepang selama tiga hari dua malam di sana. Namun pada waktu itu hasil mesyuarat tidak dapat kami sempurnakan. Oleh kerana itulah ianya disambung semula hari ini dan kami dipanggil untuk menyelesaikan segala-galanya di sini.

Seawal jam 6.45 pagi kami telahpun berada di perkarangan Putrajaya. Awal pagi membolehkan kami mendapat tempat letak kereta yang hampir dengan bangunan BPK. Setelah sarapan pagi dan berehat sebentar di kafeteria, kami bergerak ke Bilik Mesyuarat Kenyalang di aras 7 Blok E9 tersebut. Kami merupakan ahli mesyuarat yang paling awal hadir selain pengerusi mesyuarat, Pn. Hjh Faseha.

INTIPATI MESYUARAT
Sejak di Empress Hotel lagi kami telah bermesyuarat tentang dasar pelaksanaan pentaksiran PKSR yang tidak praktikal dan realiti sepertimana yang ada sekarang. Rata-rata sekolah dan guru bahasa Arab tidak mampu melaksanakan PKSR setiap kali masuk ke kelas sepertimana yang tertulis dalam buku panduan j-QAF yang ada.

Sebenarnya masalah ini telah banyak dibincangkan oleh JU² negeri termasuk Johor. Contoh soalan PKSR yang terdapat di dalam blog ini juga merupakan salah satu alternatif yang dihasilkan oleh JU² bahasa Arab negeri Johor bagi menyelesaikan kemelut kepayahan melaksanakan PKSR pada setiap p&p seperti yang diminta. Hasil dari alternatif tersebut, saya mampu menyediakan markah penilaian 4 kemahiran murid setiap bulan tanpa menghadapi masalah² besar dengan menggunakan modul² soalan yang telah kami hasilkan itu.

Mesyuarat kali ini cuba menyelesaikan bahan-bahan berkaitan sebagai penyelesaian bagi masalah ini sekaligus akan mengubah dasar pentaksiran PKSR bahasa Arab sepertimana sebelum ini. Fokus diberikan kepada subjek bahasa Arab tahun 3 sebelum ianya di laksanakan ke tahun-tahun yang lain.

Setelah mendengar pelabagai luahan, pendapat dan pandangan, masalah dan isu serta idea-idea baru yang muncul dikalangan kami, akhirnya kata sepakat dari semua ahli mesyuarat bersetuju dengan pentaksiran PKSR bahasa Arab di ubah dari pelaksanaan setiap kali p&p kepada 4 kali setahun sahaja.

Pelbagai idea muncul dalam melaksanakan modul PKSR yang baru ini. Semuanya dibincangkan bersama ahli mesyuarat sebelum ianya diputuskan. Alhamdulillah... segalanya telah selesai pada petang tadi juga (lebih kurang jam 5 petang) sebelum ianya boleh diproses dan akan dibentangkan dalam Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan akan berlangsung di Hotel Gold Cost, Klang pada 1 September nanti.

InsyaAllah di entri yang akan datang. akan saya perincikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan modul PKSR yang baru ini. Mungkin ianya boleh menghasilkan beberapa pandangan pembaca sekaligus dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dalam pelaksanaan PKSR bahasa Arab di sekolah rendah.

Jam menunjukkan 12 malam, masa untuk berehat kerana esok jam 8.30 pagi saya perlu berada di PPD Batu Pahat pula untuk menghadiri mesyuarat data pelaporan j-QAF peringkat negeri pula. Sehingga bertemu lagi...


Ahli mesyuarat daripada Johor bersama Ustaz Zubaidi (JU BA Selangor)

Orang kuat bahasa Arab Negeri Johor Ustaz Zakuan.
psst Zakuan.., entah bila dapat bergambar dengan enta lagi lepas ni :)
(jangan marah)

Ketika mesyuarat berlangsung

Read More......

Isnin, Julai 27, 2009

Ihtifal j-QAF Daerah Johor Bahru 2009

Ihtifal j-QAF peringkat daerah Johor Bahru telahpun melabuhkan tirainya pada tengahhari Sabtu, 25 Julai 2009 di SK Bukit Mewah Johor Bahru. Walaupun majlis penuh gilang gemilang itu tidak dapat saya hadiri, namun kehangatannya tetap dirasakan melalui panggilan-panggilan telefon dan sms yang saya terima.

Sememangnya ketidakhadiran saya pada hari tersebut sesuatu yang agak pelik bagi diri saya sendiri dan mungkin juga orang lain. Ini kerana saya merupakan setiausaha Panitia Bahasa Arab j-QAF daerah Johor Bahru merangkap penyelaras program ihtifal tersebut. Ketiadaan saya menjadi sebutan rakan-rakan j-QAF yang hadir. Ramai yang menelefon dan menghantar pesanan ringkas kepada saya bertanyakan saya di mana, termasuk guru besar saya. Namun saya tidak dapat menjawab dan membalas pesanan tersebut kerana waktu itu saya memang sudah tidak sedarkan diri. Awal pagi sabtu sewaktu bersiap ke majlis, saya flat dan tidak boleh bangun lagi. Mungkin kerana minggu ini saya terlalu letih dan banyak berfikir. Banyak perkara besar yang perlu saya fikir dan uruskan samadanya ianya berkaitan kerja mahupun urusan-urusan penting di rumah. Ujian untuk saya.

Walau bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada semua jawatankuasa ihtifal lebih-lebih lagi Ustazah Maizathul Sazila dan suaminya Ustaz Nizam yang sedari awal banyak bekerja untuk membantu menjayakan majlis tersebut.. Hinggakan pada hari majlis juga mereka berdualah yang terpaksa membuat banyak keputusan setelah saya maklumkan yang saya tidak dapat hadir. Jutaan tahniah kepada mereka kerana berjaya menguruskan program dengan lancar, cemerlang dan berjaya.

Terima kasih juga kepada semua hakim-hakim dan orang perseorangan yang terlibat dalam majlis ini samada secara langsung atau tidak, dan yang paling utama, terima kasih juga kepada Penolong Pengarah j-QAF Johor Bahru, Ustaz Mohd. Azhar bin Tumin dan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Unit Pendidikan Islam Ustaz Norzaidi yang sudi hadir merasmikan majlis pada hari tersebut.

Berikut adalah keputusan Ihtifal j-QAF peringkat daerah Johor Bahru bagi tahun 2009 ;

Acara Kalam Jamaie
Johan : SK Taman Suria 87%
Naib Johan : SK Infant Jesus Convent 82%
Ke-3 : SK Nong Cik 80%

Acara Dikir Barat Bahasa Arab
Johan : SK Kampung Maju Jaya 92.5%
Naib Johan : SK Kempas 80%
Ke-3 : SK Bukit Mewah 76.5%

Tahniah kepada pasukan dan guru-guru SK Taman Suria (sekolah saya tetapi tidak termasuk saya) yang gigih berlatih dan melatih sehingga sekali lagi berjaya terpilih mewakili daerah Johor Bahru ke peringkat Negeri Johor bagi acara yang sama selain tahun lepas. Tidak lupa kepada SK Kampung Maju Jaya yang juga sekali lagi berjaya dipilih sebagai johan peringkat daerah sekaligus bersama-sama SK Taman Suria mewakili daerah ke peringkat negeri pada hujung minggu ini. Pengalaman kita tahun lalu sebagai wakil daerah di peringkat negeri mungkin sedikit sebanyak membantu kita dalam meningkatkan mutu persembahan kita nanti. Semoga kejayaan yang lebih besar menanti kita di sana.. Amin.. Selamat maju jaya.

Read More......

Khamis, Julai 23, 2009

Keputusan 10 Kumpulan Terbaik ke Ihtifal j-QAF Peringkat Daerah Johor Bahru 2009


20 Jul 2009 - Isnin PERTANDINGAN IHTIFAL j-QAF PERINGKAT DAERAH JOHOR BAHRU 2009

Berikut ialah sekolah-sekolah yang telah berjaya ke peringkat daerah Johor Bahru dalam pertandingan Ihtifal j-QAF 2009.

Kalam Jama'ie

1. SK Taman Suria, JB (sekolah saya)

2 SK Taman Bukit Mewah,JB

3. SK Nong Chik,JB

4. SK IJ Convent,JB

5. SK Taman Universiti 3

Dikir Barat

1. SK Kg Maju Jaya. JB

2. SK Bandar Baru Uda 2, JB

3. SK Kempas, JB

4. SK Taman Bukit Mewah.JB

5. SK Taman Universiti 1,JB

Tahniah kepada sekolah-sekolah berkenaan. Diharap dapat bersedia untuk pertandingan di peringkat daerah mengikut ketetapan berikut :

Tarikh : 25 Julai 2009 (Sabtu)

Tempat : Dewan SK Taman Bukit Mewah

Masa : 8.00 Pagi


Read More......

Rabu, Julai 22, 2009

Mesyuarat Bahasa Arab


21 - 23 Julai 2009, Empress Hotel Sepang.

Seramai 31 orang dikalangan guru bahasa Arab j-QAF, guru bahasa Arab sekolah rendah bukan j-QAF, guru bahasa Arab sekolah menengah, pegawai bahasa Arab di sektor pendidikan Islam jabatan-jabatan pelajaran negeri, dan tidak ketinggalan pensyarah bahasa Arab di institusi pendidikan tinggi telah diundang oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia untuk bermesyuarat bagi memantapkan kurikulum bahasa Arab di Malaysia.

Mesyuarat yang bermula jam 8:30 malam 21 Julai telah dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Safian dari BPK sendiri yang pernah bersama-sama saya berkursus di Oman pada April dan Mei yang lalu. Setelah berta'aruf sesama sendiri, kami telah dipecahkan kepada 4 kumpulan untuk membincangkan 4 perkara yang mesti diputuskan dalam mesyuarat kali ini agar dapat dibentangkan dalam kursus JU bahasa Arab peringkat kebangsaan yang dijangka akan berlangsung di Gold Coast Hotel, Klang pada 1 September 2009 nanti. 4 perkara yang menjadi topik perbincangan pada 4 kumpulan yang dipecahkan itu ialah ;

1. Proses menyiapkan modul latih tubi bahasa Arab tahun 6.
2. Penggubalan dasar pentaksiran bahasa Arab tahun 3 yang baru.
3. Transformasi kurikulum bahasa Arab.
4. Menggubal huraian sukatan pelajaran (HSP) bahasa Arab tingkatan 5 bagi kegunaan tahun 2012.

Saya bersyukur kerana telah dimasukkan dalam kumpulan yang membincangkan tajuk yang kedua iaitu menggubal dasar atau dengan kata lain menambah baik proses pentaksiran bahasa Arab j-QAF di sekolah rendah atau lebih dikenali dengan PKSR, dan difokuskan kepada tahun 3.

Sememangnya saya telah terlibat beberapa kali dalam proses menyelesaikan masalah pelaksanaan PKSR ini di Negeri Johor yang dilihat terlalu sukar untuk dilaksanakan mengikut dasar yang telah digubal sebelum ini. Ketika itulah satu alternatif telah berjaya dihasilkan oleh kumpulan JU bahasa Arab Negeri Johor yang diketuai oleh saya sendiri untuk menghasilkan soalan-soalan PKSR setiap tajuk dari tahun 1 hingga 5, dan cara pelaksanaannya yang lebih mudah untuk dilakukan dari cara sebelumnya. Soalan-soalan tersebut ada terdapat di dalam blog ini di ruangan muat turun.

Namun kali ini, kami akan terus berbincang dan berfikir cara terbaik pelaksanaan PKSR bahasa Arab yang boleh dan mampu dilaksanakan di semua peringkat sekolah di seluruh Malaysia. Sebarang cadangan dan idea boleh dilontarkan hari ini sebelum mesyuarat berakhir pada hari esok 23 Julai 2009.

Read More......

E-Pelaporan Jun 2009

PPD Batu Pahat, 21 Julai 2009
Bengkel pengumpulan data e-pelaporan peringkat Negeri Johor telah berlangsung di bilik mesyuarat PPD Batu Pahat hari ini. Kesemua wakil-wakil daerah di Negeri Johor telah hadir membawa data e-pelaporan masing-masing yang telah sempurna dikumpulkan dari sekolah-sekolah yang terlibat dengan program j-QAF dan bukan j-QAF.

Saya juga bertanggungjawab untuk membawa data e-pelaporan daerah Johor Bahru sepertimana yang diamanahkan kepada saya oleh PPD Johor Bahru. Kesemua data e-pelaporan 86 buah sekolah yang terlibat berjaya dikumpul dan disemak satu persatu oleh Ustazah Norasikin Atan (SK Kompleks Uda) sebelum diserahkan kepada saya petang semalam (20 Julai) untuk dibawa ke pusat pengumpulannya di sini untuk diproses.

Walaupun kehadiran saya ke tempat pengumpulan agak terlewat satu jam dari masa yang telah ditetapkan (8.30 pagi), namun saya berjaya menyatukan kesemua data tersebut dalam perisian EPPD versi 9.6 sebelum rehat makan tengahhari tanpa sebarang masalah. Malangnya seperti tahun-tahun sudah, masalah bilangan murid yang tidak sama dalam setiap bahagian pasti akan berlaku. Di situlah perlunya kesabaran, ketekunan dan kecekapan seorang JU e-pelaporan untuk mencari kesalahan-kesalahan yang terselindung di sebalik helaian-helaian yang terselindung dalam perisian e-pelaporan tersebut. Kesalahan data perlu dicari dan dibetulkan untuk mendapatkan hasil e-pelaporan yang betul dan terpakai.

Banyak kesalahan sama yang masih dilakukan oleh beberapa sekolah yang sama. Setelah dirujuk buku catitan saya yang saya gunakan pada tahun lepas, sekolah yang sama itulah yang masih melakukan terlalu banyak kesalahan dan kesalahannya adalah kesalahan yang berulang. Saya juga tidak pasti adakah satu hari nanti saya akan paparkan juga nama-nama sekolah tersebut sebagai ingatan dan teguran agar pihak yang berkenaan lebih berhati-hati ketika mengisi data e-pelaporan tersebut agar tidak menyusah dan memeningkan kepala sesiapa yang memproses data-data tersebut.

4 kesalahan yang banyak dilakukan ;
1. Tidak memasukkan kod sekolah.
2. Tidak memilih pilihan penilaian yang ada, tetapi menaipnya sendiri. Akibatnya perisian tidak boleh memproses penilaian yang diberikan dan data menjadi tidak valid.
3. Pelajar bukan muslim mempunyai markah amali wudhuk, solat, khatam quran dan jawi
4. Data murid tidak diisi dengan lengkap.

Read More......

Isnin, Julai 20, 2009

Ulasan Jemaah Hakim





18 Julai 2009 (Sabtu) saya telah diundang menjadi pengerusi jemaah hakim di Karnival j-QAF peringkat Daerah Pasir Gudang dalam pertandingan dikir barat bahasa Arab dan kalam jamaie.

dikesempatan dan ruang yang ada, saya ingin mengulangi kembali dan berkongsi beberapa ulasan para jemaah hakim tentang persembahan yang telah dilakukan oleh peserta-peserta dari sekolah yang bertanding. Mudah-mudahan ulasan ini boleh dijadikan panduan dalam membuat persediaan bagi kumpulan yang akan bertanding di peringkat Negeri Johor pada 31 dan 1 haribulan yang akan datang ini.

Pertandingan Dikir Barat Bahasa Arab
Secara keseluruhan kesemua kumpulan telah mempamirkan persembahan yang membanggakan. Namun masih banyak yang boleh diperbaiki lagi.

1. Kebanyakan peserta tidak menunjukkan persembahan yang meyakinkan. Memek muka yang tidak ceria, asyik memandang gerak tari rakan di sebelah dan mulut yang sentiasa mengira langkah-langkah gerak tari dikir barat tersebut. Seharusnya perkara-perkara ini tidak perlu dilakukan. Peserta (awak-awak) perlu menunjukkan reaksi muka yang meyakinkan, tersenyum dan membuka suara bagi menghasilkan suara awak-awak yang lebih jelas dan bersemangat.

2. Masih terdapat kumpulan yang tidak mempersembahkan gaya tari tersendiri ketika bergerak masuk ke tengah pentas. Sebaik-baiknya persembahan dimulakan dengan menarik perhatian semua bermula daripada pemain-pemain alat muzik masuk ke tengah pentas sehinggalah pergerakan masuk peserta awak-awak selepasnya. Semuanya mestilah teratur, menarik dan memukau pandangan pertama para juri dan penonton.

3. Pakaian peserta mestilah selesa untuk membuat persembahan. Terdapat peserta dikir barat yang nampak tidak selesa dengan pakaian yang dikenakan apabila ianya terlalu longgar atau ketat sehingga mengganggu kelancaran gerakan dan mencacatkan persembahan.

4. Kebanyakan lagu yang dipersembahkan tidak mempunyai variasi dan agak melompat-lompat dari satu lagu ke satu lagu. Terdapat juga persembahan lagu yang tidak mengikut rentak dan tempo selain lagu yang tidak sesuai dijadikan lagu dikir barat.

5. Suara solo mestilah yang mempunyai lenggok dan burdah yang baik. Tidak terlalu mendatar dan bersahaja tetapi mestilah mempunyai tarikan yang tersendiri.

6. Penggunaan istilah-istilah atau bunyian suara loghat melayu juga merupakan kesalahan yang akan ditolak markahnya.

Pertandingan Kalam Jamaie
Secara keseluruhan persembahan kalam jamaie telah mempamirkan persembahan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini. Namun begitu masih terdapat kesalahan-kesalahan besar yang terus diulangi lagi pada tahun ini.

1. Konduktor yang berdiri dihadapan tidak boleh mengeluarkan kata-kata walau sepatah pun ketika persembahan berlangsung. Tugas konduktor hanya memberi isyarat kepada peserta yang lain dengan menggunakan kedua tangannya.

2. Seperti yang semua sedia maklum, pergerakan dalam persembahan kalam jamaie adalah sangat terbatas iaitu dari aras pinggang ke atas. Peserta haruslah memberi tumpuan kepada kalam yang ingin disampaikan sahaja dan bukannya gaya yang amat keterlaluan. Gaya yang tidak dibenarkan adalah seperti menggerakkan kaki atau lutut. Mengangkat tangan sehingga siku lebih tinggi dari aras bahu dan menggayakan tangan pada setiap perkataan yang disampaikan sehingga persembahan lebih kepada gaya daripada ucapan yang ingin disampaikan.

3. Ketiadaan tema atau tajuk juga merupakan satu kesalahan apabila penyampaian melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk yang lain.

4. Kesalahan tatabahasa seharusnya diperhatikan sebaiknya oleh para guru sebelum pertandingan berlangsung.


Semoga peserta-peserta yang menang dan akan mewakili Daerah Pasir Gudang ke peringkat Negeri Johor pada minggu hadapan dapat memperbaiki kesalahan masing-masing dan membuat persediaan dengan lebih mantap. Semoga berjaya.

Read More......

Khamis, Julai 16, 2009

Makmal j-QAF Baru

(klik gambar untuk besarkan)

Setelah lebih dari setahun setengah proses pembinaan bangunan baru sekolah setinggi 4 tingkat yang berbentuk "T" dibina, akhirnya yang tinggal kini tarikh penyerahan rasmi bangunan tersebut kepada pihak sekolah. Lebih kurang 90% prosesnya telahpun selesai. Banyak perabut-perabut termasuk penghawa dingin telahpun siap dimasukkan.

Amat bertuah sekali j-QAF sekolah ini kerana mendapat peruntukan kerajaan berupa Makmal j-QAF sebanyak 12 bay yang dibahagi dua. 6 bay pertama (berkarpet merah) terletak di aras 3 bangunan manakala baki lagi 6 bay (berkarpet hijau) terletak di aras 4.

Mengikut perancangan guru-guru j-QAF sekolah ini, aras 3 akan dijadikan bilik j-QAF dan pemulihan jawi, manakala aras 4 pula akan dijadikan makmal bahasa Arab. Dengan adanya bilik ini nanti, kesemua guru-guru pendidikan Islam dan j-QAF akan berpindah dari bilik guru ke bilik j-QAF ini agar dapat memastikan bilik ini nanti sentiasa bersih, kemas dan berfungsi. Dengan keluasan yang ada, sudah pasti bilik ini akan lebih selesa dan penuh dengan bahan-bahan j-QAF yang selama ini kebanyakkannya terpaksa disimpan di kotak (jika tidak digunakan) kerana masalah ketiadaan ruang untuk dipamirkan.

Dengan adanya kemudahan ini juga nanti, mudah-mudahan j-QAF sekolah ini akan lebih cemerlang dengan pencapaian khatam quran, celik jawi dan mahir bahasa Arab yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

Read More......

Rabu, Julai 15, 2009

Minggu Ujian - Formatif 3


14 - 16 Julai adalah hari Ujian Formatif 3 bagi SK Taman Suria, Johor Bahru.
Diucap dan didoakan agar semua murid-murid SK Taman Suria dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan dengan baik dan tenang, seterusnya berjaya mendapat markah yang cemerlang.

Untuk murid-murid SK Taman Suria,
Biarpun ujian formatif bahasa Arab tidak ada lagi pada tahun ini kerana digantikan dengan ujian PKSR bahasa Arab pada setiap bulan, namun harapan ustaz agar semua murid-murid sekolah ini dapat mengekal dan meningkatkan kecemerlangan dalam semua mata pelajaran termasuk mata pelajaran Bahasa Arab itu sendiri.

Kebiasaan bila tiba minggu ujian, guru mempunyai masa yang agak lapang sedikit dari masa waktu mengajar. Waktu inilah saya akan gunakan untuk mengemaskini markah-markah ujian PKSR, mengemaskini fail-fail panitia, menanda buku dan sebagainya. Didoakan juga agar semua warga guru sekolah ini akan terus maju dan cemerlang dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang besar ini.

Selamat maju jaya.

Read More......

Selasa, Julai 14, 2009

PERATURAN IHTIFAL j-QAF

(klik untuk muat turun)

1. PERATURAN

1.1. PENYERTAAN
1.1.1. Terbuka kepada semua murid sekolah j-QAF.
1.1.2. Setiap kumpulan terdiri daripada satu jantina sahaja dengan memberikan nama kumpulan.

1.2. PAKAIAN PESERTA
1.2.1. Pakaian peserta sopan dan menutup aurat.

1.3. BILANGAN PESERTA
1.3.1. Bilangan peserta bagi setiap kumpulan dihadkan lepada 15 orang sahaja termasuk konduktor.

1.4. TAJUK
1.4.1. Setiap kumpulan bebas memilih tajuk tetapi hendaklah berkisar tentang pendidikan dan tema sukatan pelajaran Bahasa Arab sekolah rendah.

1.5. UNDIAN GILIRAN
1.5.1. Undian giliran kumpulan hendaklah dibuat serentak semasa pendaftaran dan ditentukan oleh jawatankuasa pertandingan.
1.5.2. Undian hendaklah dibuat oleh ketua atau wakil kumpulan.
1.5.3. Sekiranya ketua/wakil tiada, undian dibuat oleh jawatankuasa pertandingan.

1.6. MASA
1.6.1. Setiap kumpulan diberi masa 8 minit untuk membuat persembahan.

1.7. BAHASA
1.7.1. Penggunaan bahasa Arab fusaha yang terang dan jelas.
1.7.2. Penggunaan dialek ‘ammiah atau bahasa pasar tidak dibenarkan.

1.8. PENYAMPAIAN
1.8.1. Peserta tidak dibenarkan membaca nota atau teks semasa persembahan.
1.8.2. Cara penyampaian ;
1.8.2.1. Diketuai oleh seorang konduktor.
1.8.2.2. Persembahan hendaklah secara bersahaja tanpa membaca nota.
1.8.2.3. Mementingkan aspek pertuturan dan percakapan, bukan bernasyid atau lakonan.
1.8.2.4. Memek muka dan intonasi suara yang baik.
1.8.2.5. Pergerakan yang sopan yang dibenarkan adalah dari paras pinggang ke atas.

1.9. SKRIP
1.9.1. Teks salinan skrip hendaklah diserahkan kepada urusetia pertandingan semasa pendaftaran.
1.9.2. Skrip akan diambil kira dalam markah pertandingan. Markah bahagian isi tidak akan dinilai sekiranya skrip tidak diserahkan.
1.9.3. Skrip hendaklah bertaip komputer bersaiz 16 font Arabic Transparent.
1.9.4. Isu-isu yang sensitif berkaitan agama, bangsa, politik, kebudayaan ataupun menyentuh peribadi seseorang adalah dilarang.

1.10. PEMBATALAN PENYERTAAN
1.10.1. Pengerusi atau jawatankuasa pengelola pertandingan berhak menukar atau membatalkan penyertaan mana-mana kumpulan yang melanggar peraturan pertandingan.

1.11. PERALATAN
1.11.1. Kumpulan tidak dibenarkan menggunakan sebarang peralatan sokongan atau tambahan bagi tujuan muzik semasa persembahan.

2. PENGHAKIMAN
2.1. Hakim terdiri daripada ;
2.1.1. Ketua hakim 1 orang
2.1.2. Hakim isi 2 orang
2.1.3. Hakim persembahan/kreativiti 2 orang
2.1.4. Hakim bahasa dan suara 2 orang
2.1.5. Juru kira/pengumpul markah 2 orang
2.1.6. Penjaga masa 1 orang

2.2. Pembahagian Markah
2.2.1. Setiap kumpulan akan dihakimi mengikut aspek-aspek berikut :
2.2.1.1. Persembahan (40 markah)
2.2.1.1.1. Susun atur/disiplin peserta.
2.2.1.1.2. Persembahan yang meyakinkan.
2.2.1.1.3. Isyarat atau pergerakan yang sesuai tanpa berubah tempat.
2.2.1.1.4. Memek muka.
2.2.1.1.5. Intonasi dan sebutan Arab fushah.

2.2.1.2. Isi (30 Markah)
2.2.1.2.1. Isi bersesuaian dengan isu-isu yang diketengahkan.
2.2.1.2.2. Idea yang tersusun.
2.2.1.2.3. Pengolahan isi yang baik.

2.2.1.3. Bahasa dan suara (30 Markah)
2.2.1.3.1. Bahasa yang bersesuaian dengan isu-isu yang diketengahkan.
2.2.1.3.2. Dialek ‘ammi (bahasa pasar) tidak dibenarkan.
2.2.1.3.3. Sebutan yang jelas dan tepat.
2.2.1.3.4. Tatabahasa yang tepat.
2.2.1.3.5. Gaya bahasa yang menarik.
2.2.1.3.6. Suara yang terang dan jelas.

2.2.2. Kumpulan yang mendapat markah yang tertinggi akan diisytiharkan sebagai johan pertandingan, seterusnya tempat kedua dan ketiga. Sekiranya berlaku persamaan markah, maka penentuan pemenang akan dirujuk kepada markah persembahan, seterusnya markah isi, dan jika masih berlaku persamaan, jemaah hakim akan bersidang untuk menentukan pemenang.

2.2.3. Keputusan jemaah hakim adalah muktamad.

3. TUGAS-TUGAS JEMAAH HAKIM
3.1. TUGAS KETUA HAKIM
Mengatur serta mentadbir cara penghakiman yang lengkap dan memastikan ia dijalankan dengan amanah dan rahsia. Antara tugas-tugas yang akan dijalankan adalah seperti berikut ;
3.1.1. Mengawasi perjalanan dan proses penghakiman sepanjang pertandingan dijalankan supaya berjalan dengan teratur dan lancar.
3.1.2. Mempengerusikan mesyuarat jemaah hakim mengenai butir-butir yang perlu sebelum dan selepas pertandingan diadakan.
3.1.3. Memastikan tugas-tugas hakim mengikut bahagian-bahagian yang dihakimi.
3.1.4. Memastikan hakim pengganti bagi hakim yang tidak dapat hadir atau uzur.
3.1.5. Mengesahkan dan menandatangani borang penghakiman dan keputusan pertandingan.
3.1.6. Memastikan jurukira bertugas untuk menjumlahkan markah-markah setiap kumpulan dan seterusnya menyediakan keputusan pertandingan.
3.1.7. Memastikan penjaga masa, pemungut markah dan jurukira markah menjalankan tugas dengan sempurna.

3.2. TUGAS HAKIM PERSEMBAHAN
Hakim persembahan bertanggungjawab menghakimi perakara-perkara berikut ;
3.2.1. Persembahan yang bersopan.
3.2.2. Segala isyarat dan gerakan yang dibenarkan.
3.2.3. Tidak membaca skrip atau nota.
3.2.4. Tidak berhenti separuh jalan seperti lupa, tersekat-sekat dan sebagainya.
3.2.5. Kesesuaian nada, intonasi dan penyampaian yang berkeyakinan.
3.2.6. Suara yang terang dan jelas.

3.3. TUGAS HAKIM ISI
Hakim isi bertanggungjawab menghakimi perkara-perkara berikut ;
3.3.1. Idea dan isi yang tersusun.
3.3.2. Pengolahan isi yang baik.
3.3.3. Kesesuaian isi dengan tajuk/tema.

3.4. TUGAS HAKIM BAHASA DAN SUARA
Hakim bahasa dan suara bertanggungjawab menghakimi perkara-perkara berikut
3.4.1. Menggunakan gaya bahasa yang bersesuaian dengan diminasi persembahan.
3.4.2. Penggunaan tatabahasa yang betul.
3.4.3. Tidak menggunakan dialek ‘ammiah (bahasa pasar)
3.4.4. Bahasa fushah.
3.4.5. Keharmonian suara.


(klik untuk muat turun)

1. PERATURAN

1.1. PENYERTAAN
1.1.1. Terbuka kepada semua murid sekolah j-QAF.
1.1.2. Setiap kumpulan terdiri daripada murid lelaki sahaja dengan memberikan nama kumpulan.

1.2. PAKAIAN PESERTA
1.2.1. Pakaian peserta sopan dan menutup aurat.
1.2.2. Pakaian peserta mestilah seragam (mengikut kesesuaian watak peserta).

1.3. BILANGAN PESERTA
1.3.1. Bilangan peserta bagi setiap kumpulan dihadkan lepada 15 orang sahaja termasuk juara dan pemain muzik.

1.4. TAJUK
1.4.1. Setiap kumpulan bebas memilih tajuk tetapi hendaklah berkisar tentang pendidikan dan tema sukatan pelajaran Bahasa Arab sekolah rendah.

1.5. UNDIAN GILIRAN
1.5.1. Undian giliran kumpulan hendaklah dibuat serentak semasa pendaftaran dan ditentukan oleh jawatankuasa pertandingan.
1.5.2. Undian hendaklah dibuat oleh ketua atau wakil kumpulan.
1.5.3. Sekiranya ketua/wakil tiada, undian dibuat oleh jawatankuasa pertandingan.

1.6. MASA
1.6.1. Setiap kumpulan diberi masa 8 minit untuk membuat persembahan.

1.7. BAHASA
1.7.1. Penggunaan bahasa Arab fusaha yang terang dan jelas.
1.7.2. Penggunaan dialek ‘ammiah atau bahasa pasar tidak dibenarkan.

1.8. ASPEK YANG DINILAI
1.8.1. JUARA DAN KETUA KUMPULAN
1.8.1.1. Dikir dan isi.
1.8.1.2. Kebolehan membawa lagu.
1.8.1.3. Gaya persembahan.
1.8.1.4. Suara dinamik (alunan dan getaran suara).

1.8.2. AWAK-AWAK
1.8.2.1. Ksepaduan suara dan keseragaman gaya dan semangat.

1.8.3. ALATAN MUZIK (PERKUSI) ALAT GENDERANG
1.8.3.1. Kemahiran penggunaan alat.
1.8.3.2. Kombinasi alatan.
1.8.3.3. Kesesuaian dengan rentak lagu.

1.8.4. CARA PERSEMBAHAN
1.8.4.1. Diketuai oleh juara.
1.8.4.2. Persembahan hendaklah secara bersahaja tanpa membaca nota.
1.8.4.3. Mementingkan aspek berdikir barat bukan aspek pertuturan dan percakapan.
1.8.4.4. Intonasi yang sopan dan tidak keterlaluan.
1.8.4.5. Pergerakan yang dinilai aníllala dari aras pinggang ke atas.

1.9. SKRIP
1.9.1. Teks salinan skrip hendaklah diserahkan kepada urusetia pertandingan semasa pendaftaran.
1.9.2. Skrip akan diambil kira dalam markah pertandingan. Markah bahagian isi tidak akan dinilai sekiranya skrip tidak diserahkan.
1.9.3. Skrip hendaklah bertaip komputer bersaiz 16 font Arabic Transparent.
1.9.4. Isu-isu yang sensitif berkaitan agama, bangsa, politik, kebudayaan ataupun menyentuh peribadi seseorang adalah dilarang.

1.10. PEMBATALAN PENYERTAAN
1.10.1. Pengerusi atau jawatankuasa pengelola pertandingan berhak menukar atau membatalkan penyertaan mana-mana kumpulan yang melanggar peraturan pertandingan.

1.11. PERALATAN
1.11.1. Kumpulan dibenarkan menggunakan Sebarang peralatan yang sesuai semasa persembahan.

2. PENGHAKIMAN
2.1. Hakim terdiri daripada ;
2.1.1. Ketua hakim 1 orang
2.1.2. Hakim juara 2 orang
2.1.3. Hakim isi dan bahasa 2 orang
2.1.4. Hakim suara 2 orang
2.1.5. Hakim lagu dan muzik 2 orang
2.1.6. Hakim gaya dan persembahan 2 orang
2.1.7. Juru kira/pengumpul markah 2 orang
2.1.8. Penjaga masa 1 orang

2.2. Pembahagian Markah
2.2.1. Setiap kumpulan akan dihakimi mengikut aspek-aspek berikut :
2.2.1.1. Juara (10 markah)
2.2.1.1.1. Kebolehan membawa lagu (5 markah)
2.2.1.1.2. Suara (5 markah)

2.2.1.2. Isi dan bahasa (25 Markah)
2.2.1.2.1. Tatabahasa yang tepat.
2.2.1.2.2. Dikir/isi menepati tajuk dan tema.
2.2.1.2.3. Gaya bahasa yang menarik, jelas dan mudah difahami.
2.2.1.2.4. Lirik yang sesuai dengan isu-isu yang diketengahkan.

2.2.1.3. Suara (20 Markah)
2.2.1.3.1. Bersesuaian rentak.
2.2.1.3.2. Seimbang dan dinamik.
2.2.1.3.3. Keharmonian.

2.2.1.4. Gaya dan persembahan (20 Markah)
2.2.1.4.1. Susunan peserta.
2.2.1.4.2. Memek muka yang sesuai.
2.2.1.4.3. Persembahan yang meyakinkan.
2.2.1.4.4. Pergerakan yang sopan dan seragam.
2.2.1.4.5. Pakaian yang sesuai.
2.2.1.4.6. Bonus (5 markah).
2.2.1.4.7. Ciptaan sendiri (asli)

2.2.2. Kumpulan yang mendapat markah yang tertinggi akan diisytiharkan sebagai johan pertandingan, seterusnya tempat kedua dan ketiga. Sekiranya berlaku persamaan markah, maka penentuan pemenang akan dirujuk kepada markah persembahan, seterusnya markah isi, dan jika masih berlaku persamaan, jemaah hakim akan bersidang untuk menentukan pemenang.

2.2.3. Keputusan jemaah hakim adalah muktamad.

3. TUGAS-TUGAS JEMAAH HAKIM
3.1. TUGAS KETUA HAKIM
Mengatur serta mentadbir cara penghakiman yang lengkap dan memastikan ia dijalankan dengan amanah dan rahsia. Antara tugas-tugas yang akan dijalankan adalah seperti berikut ;
3.1.1. Bekerjasama dengan urusetia dalam menyediakan ;
3.1.1.1. Borang markah.
3.1.1.2. Borang penghakiman yang disatukan.
3.1.1.3. Borang keputusan.
3.1.1.4. Borang daftar markah.
3.1.1.5. Senarai nama peserta dan gilirannya.

3.1.2. Sentiasa berada di tempat penghakiman dan mengawasi kerja para hakim supaya berjalan dengan teratur dan lancar.
3.1.3. Mempengerusikan mesyuarat jemaah hakim mengenai butir-butir yang perlu sebelum dan selepas pertandingan diadakan.
3.1.4. Memastikan tugas-tugas hakim mengikut bahagian-bahagian yang dihakimi.
3.1.5. Memastikan hakim pengganti bagi hakim yang tidak dapat hadir atau uzur.
3.1.6. Mengesahkan dan menandatangani borang penghakiman dan keputusan pertandingan.
3.1.7. Memastikan jurukira bertugas untuk menjumlahkan markah-markah setiap kumpulan dan seterusnya menyediakan keputusan pertandingan.
3.2. TUGAS HAKIM JUARA
Hakim juara bertanggungjawab menghakimi perkara-perkara berikut ;
3.2.1. Kebolehan membawa lagu.
3.2.2. Gaya persembahan juara.
3.2.3. Suara juara yang jelas, lunak, bersih dan dinamik.

3.3. TUGAS HAKIM ISI DAN BAHASA
Hakim isi dan bahasa bertanggungjawab menghakimi perkara-perkara berikut ;
3.4. Idea dan isi yang tersusun.
3.5. Pengolahan isi yang baik.
3.6. Kesesuaian isi dengan tajuk/tema.
3.7. Tatabahasa yang tepat.
3.8. Gaya bahasa yang menarik jelas dan mudah difahami.
3.9. Lirik yang sesuai dengan isu yang diketengahkan.
3.10. Menggunakan bahasa Arab fushah.

3.11. TUGAS HAKIM SUARA
Hakim suara bertanggungjawab menghakimi perkara-perkara berikut ;
3.11.1. Sebutan yang jelas dan tepat.
3.11.2. Intonasi yang menarik.
3.11.3. Kesepaduan.
3.11.4. Suara yang dinamik/alunan/getaran.

3.12. TUGAS HAKIM LAGU DAN MUZIK
Hakim lagu dan muzik bertanggungjawab menghakimi perkara-perkara berikut ;
3.12.1. Variasi lagu dan rentak.
3.12.2. Kesesuaian rentak.
3.12.3. Ketepatan menukar rentak lagu.
3.12.4. Keseimbangan lagu.
3.12.5. Dinamik.

3.13. TUGAS HAKIM PERSEMBAHAN
Hakim persembahan bertanggungjawab menghakimi perakara-perkara berikut ;
3.13.1. Persembahan yang bersopan.
3.13.2. Susunan peserta.
3.13.3. Segala isyarat dan gerakan yang dibenarkan.
3.13.4. Tidak membaca skrip atau nota.
3.13.5. Tidak berhenti separuh jalan seperti lupa, tersekat-sekat dan sebagainya.
3.13.6. Kesesuaian nada, intonasi dan penyampaian yang berkeyakinan.
3.13.7. Suara yang terang dan jelas.
3.13.8. Tidak menggunakan dialek melayu.
3.13.9. Kreativiti.

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu