Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Januari 22, 2009

Temuduga.. satu pengalaman...

Alhamdulillah..
Begitu manis kenangan dan pengalaman temuduga Kursus Guru Bahasa Arab j-QAF di Oman 2009, yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung, Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, 21 Januari 2009 semalam.

Seramai 9 orang calon masing-masing 3 orang dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka telah hadir untuk ditemuduga. Semuanya hadir tepat pada masanya dengan riak wajah yang penuh keyakinan, semangat dan perasaan yang berkobar-kobar. Raut senyuman yang ramah menjadikan semua kesembilan orang peserta seolah-olah sudah lama saling mengenali sebelum ini. Bagi saya, dua tiga calon sudah biasa saya lihat di kursus-kursus dan mesyuarat-mesyuarat peringkat kebangsaan yang pernah saya hadiri ditahun-tahun sudah.

Proses temuduga semalam telah bermula tepat jam 9.15 pagi dengan dipengerusikan oleh Ustaz Saudi dari Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Tanpa diduga, setelah taklimat ringkas diberikan, semua calon diberikan ujian penulisan Bahasa Arab (makalah) berkenaan permasalahan yang berlaku dalam program j-QAF dan jalan penyelesaiannya, tidak kurang dari 100 patah perkataan. Masa yang diberikan adalah selama lebih kurang 15 minit. Rata-rata calon terkusat-kusat memikir tajuk penulisan memandangkan ujian penulisan ini tidak dimaklumkan sebelumnya. Tetapi, hasil dari perbualan dan perbincangan selepas ujian, rata-ratanya juga dapat menulis dengan baik dan lengkap. Maklumlah yang hadir ke temuduga ini bukanlah calang-calang orang!

Alhamdulillah, tanpa mengambil masa yang lama, saya dapat menulis tentang masalah yang pernah saya utarakan dalam blog ini. Masalah guru Bahasa Arab tidak mampu menghabiskan sukatan pelajaran bila tiba penghujung tahun dan jalan penyelesaiannya adalah permasalahan j-QAF yang telah saya tulis dalam ujian penulisan makalah saya semalam. Wallahu'alam, bagaimanalah penerimanaan penemuduga dan bagaimana pula dengan bentuk penulisan saya dari segi nahu dan sarafnya.

Proses kedua temuduga berjalan dengan ujian perbualan secara perseorangan. Peserta dipanggil seorang demi seorang sementara yang lain menunggu di bilik mesyuarat. Rata-ratanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk ditemubual. Namun, ada juga yang mencapai lebih dari 45 minit. Mungkin dialah agaknya calon yang paling layak untuk melaksanakan misi KPM ke Oman tu agaknya. :)

Pelbagai isu telah ditanya dalam Bahasa Arab dan juga Bahasa Melayu. Bermula dengan isu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di sekolah, hinggalah ke isu-isu yang berkaitan dengan PIPP, PPSMI, Palestin, wahabi, isu-isu j-QAF dan latar belakang pendidikan di luar negara.

Alhamdulillah, saya juga dapat menjawab semua persoalan yang dikemukakan. Cuma yang tinggal, mungkin point saya agak kurang kuat memandangkan saya sememangnya kurang membuat persediaan ditambah lagi saya adalah peserta ke dua dipanggil. Saya hanya bertawakal kepada Allah.

Seterusnya proses yang terakhir dalam temuduga semalam adalah ujian membaca makalah tanpa baris. Kami diminta untuk membaca makalah yang berkaitan dengan sambutan kemerdekaan di Malaysia, sumbangan pemuda dalam mencapai kemajuan negara dan wawasan 2020.

Rata-rata yang saya tanya, masing-masing termasuk saya menghadapi masalah untuk membaca makalah tersebut kerana perkataan yang digunakan banyak yang belum pernah ditemui dan agak sukar untuk menentukan baris. Ditambah lagi kami dilarang membaca dengan mematikan baris akhirnya. Memang ianya sesuatu yang agak memalukan apabila sebagai seseorang yang dicalonkan untuk ke Oman, tetapi terpisat-pisat membaca seperti budak baru pandai membaca.

Setelah tamat membaca makalah tersebut, kami diminta pula untuk menterjemahkan makalah yang dibaca itu tadi. Dan rata-rata di antara kami juga mengatakan, sewaktu membaca kami terlalu fokus kepada tanda bacaan sehingga kami terleka untuk memahamkan maksud perkataan-perkatan yang kami baca. Akhirnya, kami terpaksa membaca sekali lagi dalam hati dan membuat kesimpulan secara rumusan tentang apa yang kami telah baca.

Sememangnya temudga semalam telah memberi satu pengalaman yang berharga kepada kami, calon-calon Kursus Guru Bahasa Arab j-QAF di Oman pada tahun ini.

Saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk terpilih ke Oman. Walaubagaimanapun saya telah melakukan yang terbaik dan yang termampu saya lakukan semalam. Sekiranya saya tidak terpilih, saya tidak akan bersedih kerana sesungguhnya saya amat menyedari setakat mana kebolehan dan kemampuan yang saya ada. Dengan kelemahan-kelemahan tersebut, saya akan cuba untuk mengatasinya sedikit demi sedikit. Saya akan menyokong penuh calon lain yang akan terpilih itu nanti tanpa sebarang perasaan yang negatif. Saya bersyukur kerana telah terpilih sehingga ke tahap ini.

Namun, sekiranya saya yang terpilih (untuk ke Oman) nanti... saya akan lebih gigih mempersiapkan diri saya untuk menghadapi segala bentuk cabaran yang bakal saya hadapi. Peluang dan harapan yang telah terbentang dan telah diberikan kepada saya, tidak akan saya persia-siakan.

Walaubagaimanapun, terima kasih untuk semua. Terima kasih untuk bonda dan ayahanda, isteri tercinta, anak-anak dan sahabat-sahabat sekelian yang selalu mendoakan kejayaan saya.

Jazakumullahu khayra jazak...





Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu