Praktikum Bermula
Sudah hampir tamat minggu kedua persekolahan sesi 2009 ni. Bererti, sudah hampir genap dua minggu juga kita semua telah kembali meneruskan perjuangan sebagai pendidik. Alhamdulillah... Allah masih memberi kita peluang untuk terus menabur bakti kepada bangsa, agama dan negara.
Namun di sana, guru-guru pelatih j-QAF ambilan Januari 2008 mungkin sedang berdebar-debar apabila bermulanya tempoh praktikum selama 3 hingga 4 bulan. Hmm.. kenangan saya sewaktu praktikum dulu kembali mengimbau ingatan apabila hampir setiap hari ada saja yang menghantar sms, email dan tak kurang juga yang terus bertelefon meminta tips dan panduan untuk menjadi calon praktikum yang cemerlang.
Hmm.. Entahlah! Kecemerlangan yang telah saya kecapi sebagai pelatih j-QAF cemerlang keseluruhan di IPTI, Johor Bahru hampir 3 tahun yang lalu itu adalah hasil kesungguhan, iltizam, komitmen dan doa semua. Alhamdulillah...
Kecemerlangan itu sebenarnya bagi saya perlu ada dalam hati. Semangat! Dan keinginan untuk menjadi cemerlang. Dengan itu, usaha kita akan terarah kepada kecemerlangan yang kita impikan.
Tidak dinafikan, ada juga sesetengah pelatih guru yang tidak ingin cemerlang. Baginya biarlah tak dapat cemerlang praktikum pun tak apa. Yang penting lulus sudah memadai.
Pendapat saya, kecemerlangan itu bukan matlamat utama kita. Yang paling penting adalah kesungguhan kita untuk menjadi seorang pendidik, pembimbing dan penunjuk cara yang berjaya! Berjaya mendidik anak murid kita. Berjaya membimbing dan menunjuk cara yang betul dan berkesan kepada semua anak-anak didik kita. Matlamatnya adalah untuk menjadikan anak-anak murid kita itu seorang insan yang berjaya, berguna dan berjasa kepada diri mereka sendiri, keluarga mereka, agama, bangsa dan negara.
Maka, bermula dari sinilah segala-galanya akan terbentuk. Dalam tempoh praktikum inilah kita akan mula membentuk sikap dan profesionalisme kita sebagai guru dan pendidik yang cemerlang dalam mendidik dan membentuk anak-anak murid kita.
Sekiranya kita sering ambil mudah dan tidak berusaha meningkatkan tahap profesionalisme kita sebagai pendidik, bayangkanlah nasib anak-anak bangsa kita yang akan menanggung risiko apabila menerima sesuatu didikan dan pelajaran yang tidak ada kesungguhan dari guru-guru mereka.
Wallahu'alam
0 comments:
Catat Ulasan