Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Jumaat, Januari 16, 2009

Temuduga.. doakan...

Hari ini benar-benar satu kejutan..

Sebelum pulang dari sekolah, Ust. Ahmad Zakuan (Pegawai Khas Bahasa Arab JPN Johor) menelefon minta saya hadir ke pejabatnya pada sebelah petang. Kebetulan saya memang tidak ada apa-apa jadual pada petang ini, dan memang juga sudah berniat untuk bertemu dengannya bagi mendapatkan pandangan beberapa perkara tentang tajuk slot saya di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim untuk pelatih-pelatih j-QAF yang baru ambilan Januari 2009, pada hari Isnin ini. Jadi selesai solat jumaat, saya pulang sebentar ke rumah, dan keluar semula ke jabatan untuk bertemu dengan Ust. Zakuan seperti yang dijanjikan.

Khabarnya di dalam telefon ada sepucuk surat untuk saya. Apabila ditanya surat apa, jawabnya hanya surat-surat biasa untuk saya. Walaupun dalam hati saya cuba mengiyakan bahawa surat itu hanya surat biasa yang mungkin watikah JLU untuk tahun 2009, tapi jauh di sudut hati, mungkin surat panggilan kursus atau mesyuarat ke mana-mana yang perlu saya hadiri seperti tahun-tahun lepas. Tengoklah nanti surat apa.

Kerana SPI ada meeting tergempar, Ust. Zakuan perlu segera. Sesampainya saya di mejanya, tanpa berkata panjang, Ust. Zakuan terus menghulurkan surat seperti yang di atas, yang terus membuatkan saya tersenyum kelat.
"Allahu Akbar... surat interview nak pergi Oman ke..? sah sah la saya tak lepas nanti.." :(

Hakikatnya saya masih tidak berapa yakin untuk bersama-sama dengan kumpulan guru-guru j-QAF terpilih untuk ke Oman bagi melaksanakan satu misi penting dalam Pendidikan Agama Islam di Malaysia. Namun kepercayaan yang telah diberikan oleh JPN tidak harus saya sia-siakan.

Surat tersebut di atas yang bertarikh 14 Januari 2009 sebenarnya ditujukan kepada ketua-ketua Sektor Pendidikan Islam di semua Jabatan Pelajaran Negeri. Itu adalah salinan yang Ust. Zakuan berikan pada saya untuk bersedia menghadapi temuduga tersebut kerana tarikhnya telah amat hampir iaitu pada 21 Januari 2009 (hari RABU depan) di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. Surat susulan dari JPN untuk saya ke sekolah akan menyusul kemudian. Sekiranya saya tidak diberitahu seawal hari ini, sudah tentu saya tidak punya banyak masa untuk bersedia menghadapi temuduga tersebut.

Di dalam surat tersebut, menyatakan setiap negeri perlu menghantar 3 orang calon untuk ditemuduga. Namun, hanya seorang sahaja yang akan terpilih untuk menyertai misi tersebut sekiranya berjaya dalam temuduga ini nanti. Dan saya adalah orang pertama yang dipilih oleh jabatan diikuti dengan JLU Bahasa Arab Negeri Johor yang lain, Ust. Nazihar Sisak. Seorang lagi calon dari Negeri Johor belum diketahui lagi siapa orangnya.

Apapun, saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk terpilih ke misi tersebut. Memandangkan saya bukan anak Negeri Johor, mungkin Ust. Nazihar lebih layak. Ditambah lagi dengan kemahirannya dalam bidang Nahu dan Sorof, memang tidak dapat dinafikan lagi, beliau memang pakar.

Apapun, saya akan bersiap sedia juga untuk menghadapi cabaran ini. Seandainya saya terpilih, saya akan menjadikan ini sebagai satu cabaran yang besar untuk diri saya setakat ini. Saya perlu menyahut cabaran tersebut. Namun, seandainya pula saya tidak terpilih saya tidak akan berkecil hati. Malah saya merasa amat bangga dan bersyukur sehingga terpilih untuk ditemuduga. Persediaan ini juga sebenarnya akan membantu saya meningkatkan tahap profesionalisme saya sebagai guru bahasa Arab di sekolah dan sebagai jurulatih utama negeri Johor.

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu