Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Isnin, Januari 19, 2009

Taklimat Pelatih j-QAF IPTI ambilan Jan 09

Alhamdulillah.. hari ini (19 Januari 2009) saya diundang oleh Tn. Hj. Hassan (Penyelaras j-QAF IPTI, Johor Bahru 2009) untuk memberikan taklimat berkenaan situasi guru-guru j-QAF di sekolah, sebagai pendedahan awal sebelum pelatih-pelatih tersebut melangkahkan kaki ke alam persekolahan pada 2 Februari nanti.

Jadual waktu yang padat membuatkan saya kurang persediaan untuk menyampaikan slot itu tadi. Di sekolah, tidak ada banyak masa kosong yang boleh saya gunakan untuk membuat persiapan. Lebih kurang setengah jam sebelum balik dari sekolah, saya baru berkesempatan mencatat beberapa perkara penting yang ingin saya kongsi dan ceritakan kepada pelatih-pelatih tersebut. Mujurlah sahabat JLU Nazihar ada memberikan beberapa point yang sangat membantu untuk saya utarakan dalam slot saya itu tadi.

Tiga aspek penting yang saya tekankan sebagai panduan pelatih-pelatih j-QAF sebelum melangkahkan kaki ke alam persekolahan adalah :
1. Persediaan mental dan fizikal
2. Tugas, suasana dan iklim persekolahan.
3. Tanggungjawab pelatih mengajar di kelas.

PERSEDIAAN MENTAL DAN FIZIKAL
Niat - Niatlah dengan ikhlas kerana Allah semata-mata, semoga amalan kita ini dikira sebagai ibadah yang tidak berpenghujung ganjarannya di sisi Allah SWT. Niat untuk berjaya dan cemerlang juga amat penting untuk menjadikannya sebagai wasilah bagi membentuk peribadi kita sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab membangunkan anak didiknya demi bangsa, negara dan agama. Tiada niat kerana Allah, kerja menjadi sia-sia. Tiada niat untuk berjaya, kerja semua serba tiada kesungguhan.

Syukur - Bersyukurlah kerana dikurniakan Allah peluang pekerjaan kepada kita dengan mudah. Kita tidak perlu bersusah payah mengusung fail ke sana-sini menagih kerja di zaman gawat seperti hari ini. Pekerjaan yang diperolehi sekarang patutlah disyukuri. Mudah-mudahan kita lebih menghargai jawatan yang sedang kita sandang sekarang ini.

Berfikiran positif - Mungkin bidang ini sesuatu yang baru untuk kita. Jika tidak pun, semestinya bidang ini sungguh banyak cabaran dan dugaan. Berbagai perkara baru yang perlu kita hadapi dan harungi. Sentiasalah berfikiran positif untuk menerima sesuatu yang baru bagi mencapai kemajuan hidup. Jadikan setiap kesusahan sebagai cabaran yang perlu kita sahuti. InsyaAllah, segalanya akan dapat dihadapi dengan mudah dan jaya.

Ilmu - Sebagai seorang pendidik. Ilmu mesti penuh di dada. Sebagai seorang guru agama yang berjaya, pelbagai ilmu mesti dikuasai. Kita tidak mahu lagi guru agama dipandang sebagai guru kampung yang hanya tahu mengajar alif ba dan ta. Bersiap sedialah dengan segala ilmu yang kita ada untuk dikongsi di sekolah nanti. Berani kedepan dan bersuara. Bukan hanya berpeluk tubuh dan mengecilkan diri melihat orang lain. Mudah-mudahan guru agama tidak dipandang kolot lagi oleh segelintir orang.

Ketrampilan - Jagalah personaliti kita sebagai pendidik dan guru agama. Sentiasa kemas dan menawan. Untuk menjadi seorang pendidik dan pendakwah, haruslah kita mudah didampingi. Berikan senyuman yang ikhlas sesama rakan sekerja dan murid-murid. Jadikan berjabat tangan dan memberi salam sebagai satu amalan yang patut dicontohi oleh semua orang. Senyuman kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah.

TUGAS, SUASANA DAN IKLIM PERSEKOLAHAN
Setiap sekolah mempunyai suasana dan iklim yang ada perbezaannya. Tugas juga adakalanya agak berbeza mengikut selera pentadbir di sesebuah sekolah tersebut. Janganlah panik dan cebat melatah. Sesuaikanlah diri dengan keadaan. Mungkin ia mengambil masa, tetapi bersabarlah.

Pandangan pertama - Hari pertama datang ke sekolah, datanglah seawal mungkin. Jumpa pihak pentadbiran sekolah. Berbincang dan berkenalan. Rendahkan diri dan berkatalah yang kita sedia untuk berkhidmat untuk membantu sekolah mencapai kecemerlangan. Mintalah ditegur dan ditunjuk ajar sekiranya kita tersilap dan tersalah. InsyaAllah, pandangan pertama pihak pentadbiran kepada anda akan positif dan seterusnya perjalanan anda di sekolah tersebut tidak akan menjadi sukar.

Suasana kerja yang menyeronokkan - Sebagai seorang guru j-QAF, sudah tentu sebuah bilik j-QAF telah disediakan di sekolah. Maka, janganlah kita berperap sahaja di bilik tersebut. Bercampur dan bergaullah dengan semua guru yang ada di sekolah. Berkenalan, berbual dan bermesra dengan mereka untuk mewujudkan satu suasana kerja yang menyeronokkan. Bertanyalah sekiranya kita tidak tahu atau tidak faham kepada guru-guru yang telah lama berada di sekolah.

Gred Jawatan - Jangan meninggi diri atau membeza-bezakan gred jawatan kita dengan guru-guru lama yang lebih rendah gred jawatannya. Sesungguhnya meskipun gred jawatan mereka lebih rendah, tetapi pengalaman mereka lebih banyak dari kita. Kebiasaannya mereka akan mudah terasa sekiranya kita membanding-bandingkan diri kita dengan mereka, lantas menimbulkan satu suasana kerja yang kurang menyeronokkan. Justeru, jangan biarkan situasi itu berlaku. Malah, cuba jadikan diri mereka merasa sentiasa diperlukan oleh kita untuk menunjuk ajar perkara-perkara yang kita tidak tahu.

Terima tugas - Seperi pengalaman-pengalaman yang biasa kita dengar, apabila kita masuk ke sekolah, mungkin ada sekumpulan atau sebilangan guru-guru lama membisikkan kepada kita, "Jangan tunjuk pandai sangat, nanti kau akan buat kerja ni tetap dan berpencen". Bagi saya, sebagai seorang pendidik, sikap sebegini tidak patut ada dalam diri kita. Saya tidak pandai melakonkan tidak pandai kepada perkara-perkara yang saya pandai. Lebih baik kita tonjolkan kebolehan kita supaya pihak pentadbiran dapat menilai prestasi kerja kita dengan baik. Lebih baik juga kita lakukan perkara yang kita pandai dan suka daripada kita ditugaskan sesuatu yang kita tidak pandai dan tidak suka. Namun sekiranya kita tetap diberikan tugas yang berat dan sukar, janganlah mudah mengatakan "Saya tidak boleh". Malah cubalah menjawab dengan, "Saya akan cuba". Itu lebih baik daripada kita terus menolak kerja tanpa mencubanya dahulu. Atau kita boleh katakan, "Saya tidak mahir tentang ini, tapi saya akan cuba dan saya perlukan seorang pembantu untuk membantu saya". Bukankah itu lebih baik!?

Masalah - Setiap hari kita mungkin akan menghadapi masalah. Sama ada ianya besar atau kecil, ia pasti ada. Rujuklah dengan guru-guru yang berpengalaman dalam menyelesaikannya. Sekiranya masalah tersebut ingin dirujuk kepada pentadbiran, sediakan beberapa cadangan yang munasabah untuk diajukan kepada pentadbir. Jangan menyerahkan masalah tersebut bulat-bulat kepada pihak pentadbiran. Sekiranya pandangan-pandangan kita tidak diterima, maka terimalah pandangan mereka dengan hati dan fikiran yang terbuka. Kerana mereka lebih memahami dan bertanggungjawab atas setiap apa yang berlaku di sekolah.

Gosip - Kumpulan guru bergosip sudah bukan satu perkara yang asing di sekolah-sekolah. Tetapi saya kurang kedengaran sikap tersebut ada dikalangan guru-guru di sekolah menengah. Justeru, saya menyeru kepada pelatih-pelatih j-QAF yang akan masuk ke sekolah-sekolah rendah supaya tidak terjebak dalam kumpulan-kumpulan terbabit. Bukan semua sekolah ada kumpulan-kumpulan begitu, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebagai guru agama, kita harus hindarkan diri dari terjebak ke dalam kumpulan tersebut dan sebolehnya cuba mengajak mereka untuk mengurangkan tabiat yang tidak baik itu.

Keberfungsian - Berfungsilah sebagai guru agama di sekolah. Guru agama juga sebagai pendakwah. Membetulkan mana-mana yang salah dan silap yang berlaku di sekolah. Ini bukanlah tugas yang mudah. Memerlukan kebijaksanaan dalam menyusun strategi untuk membetulkan kesilapan tersebut. Jangan terlalu keras menegur, namun jangan pula terlalu lembut hingga mereka tidak sedar bahawa itu satu teguran. Untuk menegur, perkara pertama yang perlu kita laksanakan ialah, berbuat baik dengan semua orang lebih-lebih lagi dengan pihak pentadbiran. Hubungan yang mesra dengan mereka membolehkan kata-kata kita boleh mempengaruhi sesuatu keputusan mereka yang lebih baik sekiranya ianya bercanggah dengan kehendak agama kita. Namun, sekiranya hubungan kita sentiasa dibayangi dengan perselisihan dan percanggahan, siapa pun tidak dapat menerima teguran kita.

TUGAS MENGAJAR
Bersedialah dengan ilmu yang ada dalam bidang yang kita ceburi.

Mengajarlah dengan penuh semangat dan minat. Mengajar dengan cara yang boleh menarik minat murid untuk belajar. Suara yang jelas dan terang memudahkan murid faham apa yang kita ajarkan kepada mereka. Gunakanlah kepelbagain teknik dan bahan-bahan bantu mengajar yang ada atau dicipta untuk menambah keseronokan murid ketika belajar. Gunakan bersama-sama dengan murid agar pembelajaran dua hala dapat berlaku.

Prihatin terhadap semua murid kita yang ada di kelas. Murid yang terlalu aktif, buatlah satu aktiviti pembelajaran yang aktif untuk mereka. Manakala murid yang pasif, perlu dibimbing dan diperhatikan dengan lebih kerap supaya mereka dapat sama belajar dalam aras yang sama dengan murid-murid lain.

Masuklah ke kelas tepat pada waktunya. Bagi guru GPI j-QAF, janganlah masuk lewat ke kelas sehingga guru-guru lain telah memulakan set induksi mereka. Model Khatam al-Quran merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara kolaboratif dan koperatif. Buatlah bersama-sama.

Ajarlah mengikut sukatan, huraiannya dan rancangannya seperti yang telah disediakan.

Untuk guru bahasa Arab, ajarlah dengan menggunakan semaksima mungkin penggunaan bahasa Arab di kelas. Kerana 60 minit seminggu itulah sahaja peluang yang mereka ada untuk mendengar kalimah-kalimah bahasa Arab. Pengajaran bahasa Arab menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu bahasa Arab, akan menjadikan murid lebih memahami pengajaran yang kita lakukan. Ia bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan usaha yang berterusan. Cubalah sendiri...

Wallahu'alam.

Selamat datang ke alam persekolahan
Selamat datang ke alam j-QAF
Selamat maju jaya

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu