Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Rabu, Februari 18, 2009

Praktikum j-QAF 2009 (bah. akhir)

Saya mohon maaf kepada pembaca blog saya yang mengikuti siri panduan praktikum j-QAF 2009, kerana agak lama juga saya tidak menyambung penulisan saya berkenaan siri panduan tersebut, dan mungkin ini adalah siri terakhir (buat kali ini) bagi tajuk Praktikum j-QAF 2009.

Bagi yang belum pernah mengikutinya dari siri pertama, saya telah menyediakan link siri berkenaan dari siri pertama sehingga siri yang terakhir ini di ruangan Pengalaman & Panduan Praktikum MIORjqaf di ruangan bewarna oren, di bahagian tepi blog ini.

Harapan saya agar dengan penulisan saya yang tidak seberapa ini, dapat membantu sedikit sebanyak kepada pelatih-pelatih praktikum j-QAF (khasnya pelatih praktikum bahasa Arab) dalam meniti hari sebagai pelatih praktikum bagi tahun ini. Semoga usaha kecil saya ini dinilai oleh Allah sebagai satu ibadah dalam mencari keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

...

HASILAN

Adalah menjadi satu kelebihan bagi seorang pelatih praktikum (j-QAF khasnya) untuk menghasilkan suatu inovatif sebagai sokongan kepada komitmen dan minat pelatih terhadap bidang pendidikan.

Pengalaman saya ketika praktikum 2006, saya telah menghasilkan satu CD audio yang memuatkan 15 lagu Bahasa Arab yang terdapat di dalam buku teks tahun 1 dan 2 (buku teks lama). 10 lagu untuk tahun 1 dan 5 lagu untuk tahun 2. (Saya telah memuat naikkan 15 lagu tersebut di ruangan muat turun, di dalam blog ini)

Kesemua lagu-lagu tersebut telah dinyanyikan dan dirakamkan oleh saya sendiri. Adunan rentak muzik dan suara yang sederhana menjadikan lagu-lagu yang saya rakamkan dengan menggunakan perisian "N-Track Studio", mesra didengari dan boleh dituruti oleh murid-murid di kelas.

Penghasilan lagu tersebut pada awalnya hanyalah untuk kegunaan saya sendiri ketika praktikum. Lagu-lagu itu digunakan untuk menambah keceriaan murid ketika mereka belajar bahasa Arab di kelas. Walaubagaimanapun, ketika saya membawa dan memperdengarkannya kepada rakan-rakan sekelas di maktab pada ketika itu, ramai yang menyokong dan memberi semangat kepada saya untuk menjual atau memasarkan rakaman lagu-lagu bahasa Arab tersebut kepada mereka. Maka, bermula dari situlah, suara saya telah terjual kepada ramai guru bahasa Arab seluruh Malaysia sehingga ke Sabah dan Serawak.

Selang beberapa bulan, saya telah dihubungi oleh 3 syarikat bumiputera di Kuala Lumpur untuk membeli produk yang telah saya hasilkan itu. Mereka telah mendengar rakaman suara tersebut dan berminat untuk mengkomersilkannya. Namun atas beberapa masalah, saya tidak bersetuju dengan tawaran dan kontrak yang diberikan dan akhirnya saya dengan rela hati mengizinkan kepada sesiapa sahaja untuk meng'copy' cd tersebut tanpa halangan. Mudah-mudahan dengan perkongsian tersebut, saya mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, dengan pengahasilan suatu bahan bantu mengajar yang menarik dan inovatif, dan dapat pula dikongsikan bersama-sama guru-guru yang lain adalah sesuatu yang sungguh baik dan sangat membantu pelatih-pelatih j-QAF dalam mencapai kecemerlangan praktikum. Usaha yang terhasil itu dinilai sebagai minat yang mendalam dalam bidang yang diceburi selain komitmen terhadap apa yang sedang diusahakan iaitu praktikum.

Apa yang telah saya hasilkan telah direkodkan dalam portfolio dan diterangkan kepada pensyarah pembimbing dan pentadbir. Hasilan itu telah mendapat pujian dan sangat membantu saya untuk menjadi pelatih j-QAF cemerlang pada ketika itu.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang berkata bahawa bukan semua orang boleh menyanyi atau menghasilkan seperti apa yang telah saya hasilkan itu. Kemahiran dalam bidang komputer amat menuntut seseorang itu untuk mengasilkan bahan seumpamanya. Namun saya percaya dewasa ini lebih ramai lagi pelatih-pelatih jQAF yang amat mahir dalam bidang ICT atau sebagainya, dan amat berkemampuan untuk menghasilkan bahan yang lebih baik dari apa yang telah saya hasilkan.

Penghasilan bukanlah tertumpu kepada bahan bantu mengajar seperti yang saya telah hasilkan sahaja. Mungkin sebagai contoh di zaman blogger ini, seorang pelatih jQAF boleh menghasilkan satu blog pembelajaran yang baik dan berkesan untuk kegunaan dan pembelajaran bahasa Arab terhadap murid-murid samada di sekolah, di rumah atau di mana sahaja.

Wallahu'alam.

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu