Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Isnin, Februari 09, 2009

Praktikum j-QAF 2009 (Bah. 3)

Bertemu lagi dalam siri panduan praktikum untuk guru-guru j-QAF khasnya guru Bahasa Arab j-QAF yang sedang menjalani tempoh praktikum sekarang ini.

Harapan saya, sedikit sebanyak apa yang telah saya tuliskan di sini sebelum ini dapat membantu guru-guru sekalian dalam membuat persediaan penyeliaan praktikum oleh penilai-penilai praktikum samada ianya guru pembimbing mahupun pensyarah pembimbing untuk menjadi pelatih praktikum cemerlang, mudah-mudahan.

PENGAJARAN & PEMBELAJARAN DI KELAS

Kali ini saya akan memberi beberapa tips atau pengalaman saya sewaktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) saya diselia oleh penilai-penilai praktikum. Mana-mana cara atau langkah yang akan saya berikan nanti, bolehlah dituruti sekiranya pelatih bersetuju, berkemampuan dan bersesuaian dengan iklim pengajaran pelatih-pelatih di sekolah masing-masing.

1. Buku Persediaan Mengajar yang lengkap.
- Buku persediaan mengajar haruslah telah ditulis dengan lengkap untuk subjek yang akan dinilai oleh penilai.
- Seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, pelatih praktikum boleh menampal lembaran kerja atau lembaran aktiviti bertulis yang akan diberikan kepada murid di dalam buku persediaan mengajar tersebut.

2. Berfikiran dan bersikap positif.
- Pastikan sebelum kelas bermula, pelatih dapat menarik nafas sedalam-dalamnya untuk merehatkan sedikit otak yang mungkin menghadapi sedikit tekanan ketika itu.
- Pelatih mesti bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi segala kemungkinan gangguan yang tidak dijangka ketika penyeliaan sedang berlangsung. Samada gangguan tersebut datang dari diri sendiri, murid-murid, bahan mengajar yang digunakan, dari penilai, mahupun dari persekitaran kelas atau sekolah. Jangan panik menghadapi kemungkinan gangguan, malah urusilah ia dengan tenang, waras dan profesional.
- Pelatih praktikum juga mestilah menerima segala bentuk teguran dari penilai dengan positif dan berjanji untuk mencuba mengubah keadaan tersebut kepada yang lebih baik pada masa yang akan datang.

3. Bahan Bantu Mengajar
- Pelatih semestinya menggunakan banyak bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan inovatif untuk menjadikan pengajaran lebih ceria dan menarik.
- Tidak dihadkan bilangan penggunaan bahan bantu mengajar tersebut. Pelatih boleh membawa seberapa banyak yang boleh untuk dijadikan bahan bantu mengajar ketika di kelas, asalkan ianya tidak menjadi gangguan ketika proses P&P sedang berlangsung. Apalah guna sekiranya bahan bantu mengajar yang banyak, tetapi tidak berfungsi atau bermasalah sehingga mengganggu kelancaran proses pengajaran tersebut. Biarlah ianya berpatutan dan mudah digunakan.
- Sebagai contoh, saya pernah membawa 13 bahan bantu mengajar di kelas. Bahan-bahan tersebut adalah kebanyakkannya benda-benda maujud yang mudah didapati dan mudah digunakan ketika proses P&P sedang berlangsung. Saya telah menggunakan setiap bahagian dalam P&P saya dengan bahan-bahan bantu yang dibawa tanpa mengganggu kelancaran proses pengajaran saya.

Sebagai contohnya saya mengajar tajuk nombor 1-10 dalam bahasa arab. Sewaktu set induksi berlangsung saya menggunakan radio dan cd sebagai bahan untuk murid-murid dan saya menyanyi bersama-sama. Di samping itu, saya juga memaparkan carta lirik lagu yang dinyanyikan tadi. Sambil menyanyi, saya juga memegang gambar-gambar yang bersesuaian dengan lirik lagu tersebut.

Perlu diingatkan, sekiranya guru melakukan aktiviti nyanyian dalam P&P, guru sendiri hendaklah menyanyi bersama-sama dengan murid dengan tanpa segan dan malu. Gerakan atau tarian yang bersesuaian mungkin boleh dilakukan untuk menambah keselesaan dan keseronokkan murid untuk belajar selepas itu.

Apabila masuk ke langkah pertama, saya menggunakan kaedah ICT untuk memaparkan perisian yang bersesuaian dengan tajuk pelajaran. Pengajaran berlangsung antara saya dan murid dalam kaedah dua hala. Soal dan jawab, teknik ulangan mesti digunakan. Sewaktu itu, kad-kad yang bersesuaian juga boleh digunakan untuk membantu murid-murid menjawab soalan atau mengulang perkataan yang diajarkan.

Apabila masuk langkah kedua, kita boleh gunakan benda-benda maujud yang ada di sekeliling murid untuk membantu pengajaran kita. Sebagai contoh dalam pengajaran nombor ini tadi, guru boleh menyuruh murid-murid membilang, mengutip atau menyusun benda-benda yang bersesuaian yang ada disekeliling mereka untuk lebih meninggalkan kesan kepada mereka terhadap apa yang mereka pelajari ketika itu. Dua tiga bahan boleh digunakan untuk proses seperti ini.

Langkah ketiga, guru boleh menyediakan permainan yang bersesuaian untuk menguji tahap ingatan dan pemahaman murid. Sebagai contoh, saya menggunakan permainan roda impian yang mana putarannya telah saya set dalam komputera riba saya. Setiap putaran roda tersebut akan menunjukkan kepada nombor yang berbeza untuk menjadikan murid-murid dapat menjawab soalan kepada semua nombor yang dipelajarinya. Permainan ini agak ringkas dan boleh disusuli dengan permainan dam ular yang ada juga terdapat padanya nombor-nombor yang dipelajari samada pada papan dam tersebut yang ditampal di papan tulis, mahupun pada buah dadu yang digunakan untuk menggerakkan buah.

Satu ingatan saya kepada pelatih-pelatih bahawa penggunaan bahan bantu mengajar mestilah sama-sama dirasai oleh murid-murid. Ertinya, semua murid mesti terlibat dalam pembelajaran tersebut dengan menggunakan bahan-bahan bantu yang pelbagai itu.

Akhirnya, selepas aktiviti latihan dan pengukuhan, saya menutup pengajaran saya hari itu dengan menyanyi sekali lagi bersama murid-murid lagu yang bersesuaian dengan tajuk yang dipelajarinya pada hari tersebut. Tetapi pada kali ini, saya tidak lagi menggunakan radio dan cd, tetapi saya menggunakan alat-alatan muzik yang mudah seperti kompang, kastenet, tamborin mahupun kerincing. Saya meminta sebahagian daripada murid menyanyi dan sebahagiannya lagi menggunakan alatan-alatan muzik tersebut dengan mengira nombor ketukan yang perlu diketuk seperti yang dipelajarinya tadi.

Pengajaran dan pembelajaran murid-murid menjadi seronok, ceria dan berjaya... mudah-mudahan..

4. Sensitif
- Sewaktu proses P&P sedang berlangsung, guru mestilah sensitif dan peka terhadap semua murid yang ada di dalam kelas.
- Guru perlu melihat sekiranya terdapat murid-murid yang mengantuk, tidak menunjukkan minat belajar mahupun yang sakit. Guru perlu bertindak dengan bijak untuk menangani masalah ini sekiranya terjadi.
- Guru perlu bergerak ke seluruh kelas walaupun sehingga ke sebelah atau belakang penilai. Tidak perlu rasa malu, bimbang atau takut untuk menghampiri meja penilai sekiranya di situ terdapat anak murid yang perlu kita perhatikan.
- Guru tidak boleh hanya berlegar di bahagian depan kelas ataupun di bahagian tepi kelas sahaja.

5. Pembelajaran 2 hala yang menarik minat murid.
- Sewaktu proses P&P sedang berlangsung, keadaan murid tidak semestinya harus diam tanpa berkata-kata.
- Guru mestilah mewujudkan pembelajaran dua hala di antara guru dan murid-murid.
- Tidak menjadi masalah sekiranya kelas tersebut agak bising, tetapi hendaklah keadaannya menunjukkan pembelajaran yang menarik dan terkawal, bukan bising yang keterlaluan dan tidak terkawal.

6. Kata-kata pujian.
- Guru harus melontarkan kata-kata pujian kepada murid-murid yang dapat menjawab soalan dengan baik.
- Guru-guru juga boleh meminta murid-murid yang lain memberi tepukan kepada rakannya yang dapat menjawab soalan dengan betul.
- Kata-kata pujian itu hendaklah bersifat positif dan menaikkan semangat murid tersebut mahupun murid-murid yang lain.

7. Penerapan nilai murni.
- Terapkanlah nilai-nilai murni sewaktu pengajaran kita di kelas. kerana tugas kita bukan hanya mengajar, tetapi apa yang lebih penting mendidik mereka.
- Penerapan nilai murni boleh diterapkan mengikut keadaan semasa ketika itu atau kesesuaian tajuk yang sedang diajar oleh guru.
- Persediaan untuk penerapan nilai-nilai murni penting dan perlu ditulis di dalam rancangan pengajaran guru.

8. Kelas yang kondusif.
- Sebelum penyeliaan berlangsung, pelatih perlu memastikan kelas yang akan diselia nanti dalam keadaan yang bersih dan kondusif.
- Bersih daripada kekotoran di lantai, di meja mahupun di bahagian-bahagian kelas yang lain seperti papan tulis, tingkap dan dinding. Kelas yang kotor dan tidak bersih akan mengganggu pembelajaran yang berkesan.
- Kondusif membawa maksud kepada keadaan yang membantu persediaan murid untuk belajar. Seperti mempunyai meja dan kerusi yang elok untuk digunakan selain bahan-bahan yang terdapat di dalam kelas yang boleh membantu pembelajaran murid di kelas seperti ruangan mata pelajaran yang diajar atau bahan-bahan bantu yang ditampal atau digantung di dalam kelas.

9. Sikap guru.
- Guru perlu menunjukkan sikap yang positif kepada murid-murid.
- Sebagai contoh, bertutur dengan bahasa yang sesuai dan sopan.
- Selain itu tindakan guru juga mestilah menunjukkan guru seorang yang boleh dicontohi seperti pembersih. Sebagai contoh, jangan sesekali guru memadam tulisan di papan tulis dengan menggunakan tangan. Sikap ini akan menunjukkan guru adalah seorang yang pengotor kerana sanggup membiarkan tangan guru menjadi kotor untuk memadam tulisan di papan tulis tanpa menggunakan pemadam yang telah disediakan.
- Guru juga perlu menunjukkan sikap yang mengambil berat dan penyayang terhadap murid untuk menjadikan guru seorang yang disayangi oleh murid-murid, seterusnya akan menjadikan subjek yang diajar oleh guru sebagai subjek yang paling diminati.

10. Lain-lain
Selain dari perkara-perkara di atas, pelatih praktikum juga perlu memerhatikan perkara ini ketika pelatih diselia di kelas;
- berpakaian kemas dan bersih serta mematuhi etika pemakaian penjawat awam/guru. Sebagai persediaan, guru perlu menyediakan sapu tangan di poket untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku di kelas.
-bersuara jelas dan kuat agar murid dapat mendengar dengan baik.
- mematikan telefon bimbit agar pengajaran tidak terganggu.
- menyediakan tempat / meja untuk penilai duduk dan menilai pengajaran anda.
- meletakkan portfolio praktikum dan buku rancangan mengajar yang lengkap di meja penilai tersebut beserta dengan sukatan pelajaran, huraiannya dan rancangannya.

Wallahu'alam..

Selamat Maju Jaya.

1 comments:

Generally I don't learn article on blogs, however I would like to say that this write-up very compelled me to take a look at and do it! Your writing style has been surprised me. Thank you, very nice article. affordable auto insurance for teens

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu