Praktikum j-QAF 2009 (Bah. 2)
Hari ini merupakan hari lapor diri bagi guru-guru j-QAF baru di Negeri Johor. Mungkin juga di seluruh Malaysia!.. Ahlan wa sahlan sekali lagi kepada guru-guru j-QAF ambilan Januari 2009.
Setelah saya menulis sebelum ini serba sedikit (yang saya tahu) berkenaan penulisan buku rekod dalam menghadapi atau persediaan sebagai guru praktikum cemerlang (khasnya j-QAF), ingin saya menyentuh pula berkenaan penyediaan portfolio guru-guru praktikum.
Portfolio adalah salah satu perkara yang penting dan akan dinilai sepenuhnya semasa guru-guru pelatih menjalani praktikum. Antara perkara yang perlu diperhatikan adalah ;
1. Pengisian portfolio (mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan)
2. Lengkap
3. Tersusun
4. Kreatif
5. Mesra Pembaca
6. Sentiasa dikemaskini
7. Sentiasa disahkan
Selain itu, perkara-perkara ini boleh juga di perhatikan seperti ;
1. Muka depan yang menarik (tetapi tidak berserabut)
2. Biodata yang lengkap
3. Pembahagian (partiotion) dalam fail yang mudah untuk dibuka
4. Isi kandungan yang terperinci
5. Borang rekod penyeliaan/pemantauan/perbincangan dengan pensyarah/guru pembimbing
6. Borang-borang penyeliaan pensyarah dan guru pembimbing (borang kosong) disediakan secukupnya
7. Borang-borang kehadiran pelatih ke sekolah lengkap dan disahkan oleh pentadbir
8. Borang-borang interpersonal dan intrapersonal penuh, lengkap dan disahkan
9. Sisipan-sisipan kelas relif di tampal dengan kemas
10. Salinan lampiran kertas soalan ujian atau lembaran kerja
11. Edaran-edaran yang diperolehi selama menjalani tempoh praktikum dilampirkan dibahagian lampiran
dan sebagainya...
pst.. (memandangkan portfolio saya telah digunakan oleh orang yang seterusnya sebagai rujukan mereka untuk praktikum kali ini, saya hanya menulis apa yang saya teringat (yang telah saya lakukan dalam portfolio saya yang lalu).
Penulisan Jurnal
Tidak ketinggalan penulisan jurnal juga merupakan salah satu bahagian yang amat penting dalam portfolio bagi seorang pelatih praktikum. Penulisan ini akan menggambarkan sikap seseorang pelatih tersebut terhadap tugas dan tanggungjawabnya.
Tulislah jurnal yang berkisar tentang tugas dan tanggungjawab utama anda sebagai seorang pendidik di sekolah atau di kelas. Tulislah dengan ikhlas dan jujur. Permasalahan yang timbul atau peristiwa yang difokuskan, bisikan hati, persepsi dan falsafah diri terhadap isu yang dibangkitkan, kesedaran atau kefahaman baru, cadangan memperbaiki keadaan dan tindakan masa akan datang. Semua ini perlu dihurai dan ditulis dengan ringkas, jelas dan mudah difahami.
Perkara-perkara sensitif yang menyentuh peribadi seseorang perlulah dielakkan dari ditulis. Sebolehnya elakkan dari menulis nama seseorang dalam penulisan jurnal. Ini untuk mengelak terus dari sesuatu isu atau masalah baru akan timbul sekiranya penulisan kita itu bakal menyentuh sensitiviti nama yang ditulis, ataupun orang yang lain.
Peraturan-peraturan sekolah dan dasar-dasar kerajaan yang sedang dilaksanakan di sekolah juga perlulah dihindar dari dikritik atau dipersoalkan dalam penulisan jurnal kita. Apalagi isu-isu negara dan politik juga langsung tidak sesuai untuk dikaitkan secara langsung atau tidak dalam penulisan jurnal praktikum tersebut.
Wallahu'alam...
bersambung (P&P di kelas)...
0 comments:
Catat Ulasan