Kenangan Mukhayyam Bahasa Arab
Memang agak lama saya tidak update blog ni. Agaknya setelah betul-betul penat bekerja, saya betul-betul rindukan keluarga.. macam lebih seronok menceritakan hal keluarga di blog keluarga saya kasehNYA. Hinggakan dah bersawang lagi blog ni.
Hmm... Ini bukan cerita lama.
Masih baru dalam ingatan. Masih segar dalam fikiran. Hinggakan semalam saya termimpi tentang Mukhayyam Bahasa Arab ni. Mungkin itu yang membuatkan saya ingin menulis tentangnya hari ini.
Mukhayyam Bahasa Arab bagi peringkat daerah Johor Bahru telah sempurna dilaksanakan oleh team saya pada 10 - 12 November yang lalu. Ianya berakhir sehari sebelum ulangtahun kelahiran saya yang ke 31 pada 13 November. Dan bagi saya, kenangan dan pengalaman mengendalikan program itu buat pertama kali sebagai Pengarah Projek.. boleh saya jadikan sebagai hadiah bermakna buat diri saya diawal usia 31 ini.
PRAPROGRAM
Penyerahan Tugas.
Pada awal september yang lalu Ust Omar (Pen. PPD UPIM JB) telah menghadiahkan saya tugas ini. Dengan peruntukan yg turun ke sekolah saya sebanyak RM8480 dan ke sekolah STAR1 sebanyak lebih dari RM15K (Total = lebih dari RM23K utk Daerah Johor Bahru) untuk saya dan team saya mengendalikan program ini, saya dengan rasa bertanggungjawab menerimanya juga walaupun saya tahu terlalu berat tugas itu buat saya, memandangkan saya juga merupakan satu-satunya guru Bahasa Arab di sekolah. Mujur ada sahabat-sahabat yang sedia dan selalu membantu saya, especially Maizathul dan suaminya Nizam, serta sahabat-sahabat yang lain juga. Jazakumullah khayr jazak!
Apa yang perlu saya lakukan hanyalah, setelah mendapat tugas, saya berusaha untuk mengejar sukatan yang perlu dihabiskan pada anak-anak murid saya. Setelah juga berbincang dengan Ust Omar berkenaan tarikh yang boleh kami laksanakan program ini, iaitu pada bulan November (setelah selesai semua jadual tugasan saya dan Ustazah Maizathul sebagai Jurulatih Utama dalam kursus2 sepanjang Oktober). Jadinya sepanjang september dan oktober, saya dan Ustazah Mai hanya berfikir.. berangan.. dan bermimpi bentuk2 program yang akan kami laksanakan.
Beberapa mesyuarat samada secara langsung atau tidak telah kami jalankan untuk membincangkan program ini. Akhirnya, kata sepakat telah diperolehi, dan dipersetujui juga oleh Ust. Omar, bahawa program Mukhayyam Bahasa Arab ini akan digabungkan dengan program Kem Bina Juara dan Khatam al-Quran sekaligus. 3 dalam 1. Ini bagi menjimatkan masa yang telah suntuk dan memudahkan kami untuk melantik AJK dan membahagikan kerja. Ini kerana kesemua program tersebut telah diserahkan oleh Ust. Omar kepada kami untuk kami laksanakan bagi peringkat daerah Johor Bahru ini.
Mesyuarat Praprogram.
Memandangkan program ini dikhaskan kepada sekolah-sekolah j-QAF kohort 2005, maka sebanyak 29 buah sekolah telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat terakhir sebelum pelaksanaannya. Pembahagian kerja, penjelasan tugas dan jadual program dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut yang telah diadakan beberapa hari sebelum program berlangsung. Mesyuarat tersebut telah berlangsung di bilik mesyuarat STAR1 (SK Temenggong Abdul Rahman 1 - sekolah Ustazah Maizathul).
Alhamdulillah, dari 29 buah sekolah, 28 buah sekolah telah menghantar wakil guru bahasa Arabnya untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Hanya sebuah sekolah sahaja yang tidak hadir dengan alasan tidak mendapat maklumat mesyuarat berkenaan walaupun ianya telah dimaklumkan kepada pihak pentadbiran sekolahnya melalui panggilan telefon gerak cepat kesemua 29 buah sekolah tersebut melalui PPDJB.
Belanjawan Program.
Program yang diadakan di Savannah Hill Resort Ulu Tiram ini telah memakan belanja sebanyak hampir RM7500 untuk pakej penginapan 3 hari 2 malam termasuk 6 kali makan sehari, untuk seramai 90 orang murid dan 29 orang fasilitator dari 29 buah sekolah. Penginapan di sana sangat selesa. Guru di tempatkan di banglo (3 orang sebilik) dan murid pula di tempatkan di dorm (20 orang sebilik).
Hampir RM3 ribu ringgit lagi dibelanjakan untuk peralatan-peralatan lain untuk digunakan ketika program seperti :
a) Fail murid sewaktu pendaftaran
b) Alat tulis (pensil 2B, pensil khat, pemadam, pembaris, pengasah pensil dan bekas pensil) -diberi semasa pendaftaran.
c) Buku tulis, kertas kosong, dan kertas lukisan (untuk slot jawi & khat) -diberi semasa pendaftaran.
d) Name tag untuk fasilitator (guru) dan peserta (murid)
e) peralatan keurusetiaan
f) cenderahati dan hadiah (shoping bag yang bercetak "Mukhayyam Bahasa Arab Daerah Johor Bahru 2008, yang berisi komik arab "Mahir", dan buku doa yang ditandatangani oleh penulisnya sendiri, Ustaz Zahazan)
dan sebagainya.
Alhamdulillah.. segala keperluan dapat disempurnakan dengan baik. Fasilitator dan peserta sangat berpuas hati dengan hadiah dan cenderamata yang diberikan.
Baki peruntukan sebanyak hampir RM12 ribu masih disimpan dan surat telah dikeluarkan oleh JPN Johor yang membenarkan peruntukan itu disimpan bagi kegunaan awal tahun hadapan untuk program yang sama.
p/s : saya rasa modul Mukhayyam Bahasa Arab ini lebih sesuai dilaksanakan pada awal tahun. Ini kerana modul ini banyak membantu minat murid untuk meminati subjek bahasa Arab. Sekiranya ia dilaksanakan pada awal tahun persekolahan, besar kemungkinan kesan dari pelaksanaan modul ini akan banyak memberi kesan positif pada murid tersebut kerana adanya kesinambungan pembelajaran di sekolah.
...
PASCAPROGRAM.
Terima kasih sahabat...
Saya merasa sangat berpuas hati dan sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi bekerjasama dengan saya untuk menjayakan program ini. Memang bukan mudah untuk mengarah rakan-rakan dan sahabat sendiri. Siapalah saya untuk memberi arahan. Namun, apa yang saya lakukan adalah dengan menggunakan pendekatan "meminta bantuan". Dengan cara itu, saya tidak menghadapi sebarang masalah komitmen dari sahabat-sahabat sekalian. Terima kasih sahabat.. Namun, sebagai manusia... saya juga tidak terlepas dari salah tutur kata dan perbuatan. Mungkin ada diluar sedar saya, ada juga tutur kata dan perlakuan saya yang tidak sahabat-sahabat senangi, saya mohon jutaan kemaafan. Tegurlah saya dengan baik.. insyaAllah saya pasti akan menerimanya dengan seribu keinsafan juga.
Tahniah kepada peserta..
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua peserta yang telah terpilih dan berjaya menamatkan mukhayyam tersebut hingga ke hari terakhirnya. Rata-rata daripada kalian menyatakan tidak mahu pulang pada hari ketiga tersebut. Semuanya rasa tidak puas untuk terus bermukhayyam di sana. Dan rata-ratanya juga sangat seronok dan ingin datang sekiranya diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.
Tahniah, dan semoga kita berjumpa lagi di program yang akan datang.
Kelemahan..
Pada saya, mungkin hanya ada dua kelemahan saya atau kekecewaan saya yang berlaku sepanjang program itu berlangsung. Iaitu saya gagal untuk menjadikan program Mukhayyam tersebut, satu program yang menjadikan ianya satu zon Bahasa Arab. Walaupun untuk slot Ice Breaking yang saya sendiri sampaikan, saya telah menggunakan 100% bahasa Arab dalam penyampaian saya kepada murid-murid tanpa translate kepada bahasa ibunda. Namun saya berpuas hati kerana hampir 90% murid faham apa yang saya katakan. Penggunaan bahasa badan, ulangan, dan gaya bahasa yang mudah sebenarnya boleh menjadikan bahasa Arab itu boleh difahami oleh murid-murid sekolah rendah. Untuk slot-slot yang lain saya merasa agak kecewa kerana bahasa Arab tidak digunakan sepenuhnya oleh fasilitator-fasilitator yang lain, walaupun ianya telah saya beritahu dalam mesyuarat sebelum program.
Mungkin sebabnya adalah kerana kurang persediaan dan perbincangan sesama fasilitator untuk penggunaan bahasa Arab 100% tersebut. Semoga ianya dapat diperbaiki pada tahun-tahun yang akan datang.
Selain penggunaan bahasa Arab 100% oleh fasilitator, latih tubi perkataan sapaan harian juga kurang dilaksanakan. Ini menjadikan masih ada lebih kurang 10% dari kalangan murid yang masih teragak-agak untuk menjawab kata sapaan harian yang mudah. Semoga pada tahun 2009 mendatang ini, kelemahan ini juga dapat kita perbaiki bersama.
Semoga Mukhayyam Bahasa Arab 2009, akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
1 comments:
Tak sangka dah ada blog Mior rupanya, hari ini baru ana jumpa so ziarahah blog ana dan jqafkl. tq
Catat Ulasan