Manusia Merancang...
Boleh kata setiap jam cuba dimanfaatkan sebaiknya untuk melaksanakan kerja-kerja akhir dan melangsaikan segala kerja yang masih tertunggak sebelum berangkat ke Oman seperti yang dikhabarkan pada 2 April yang akan datang.
Melatih peserta nashid sekolah untuk peringkat Zon Majidi yang akan berlangsung pada 28 Mac ini, melaksanakan ujian PKSR untuk murid-murid saya, melengkapkan dan mengemas kini segala data-data dalam fail Panitia Bahasa Arab yang perlu disusun dan disimpan di bilik GPK1, menyelesaikan beberapa perkara berkenaan Panitia Bahasa Arab Daerah Johor Bahru bersama Ustaz Norzaidi, Penolong PPD UPIM, PPDJB yang baru menggantikan Ustaz Omar yang berpindah ke jabatan. Banyak masalah dapat diselesaikan hasil perbincangan saya dengan beliau bersama naib SU Panitia Bahasa Arab Daerah, Ustazah Maizathul Sazila dari STAR1 semalam. Yang penting agihan baki wang Bahasa Arab Daerah JB 2008 sebanyak 13K untuk kegunaan tahun ini telahpun settle. Selagi tak settle selagi itulah macam-macam masalah timbul berkenaan duit 13K tu. Semua berebut-rebut nak ambil duit tu. Begitu juga tentang tarikh Ihtifal j-QAF peringkat Daerah Johor Bahru juga telah ditetapkan pada 20 Jun nanti. (Nak suruh saya juga yang uruskan ihtifal tu, kena tunggu balik dari Oman la baru boleh saya uruskan. Tu yang jadi bulan JUN tu..) So, sekolah2 j-QAF dalam daerah Johor Bahru (kohort 2005, 2006 dan 2007) diminta menghantar permohonan penyertaan dikir barat bahasa Arab dan Kalam Jamaie masing-masing ke PPD (sekiranya berminat) dalam tempoh yang akan dimaklumkan oleh PPD nanti.
Hmm... Dalam kekalutan membuat segala kerja persiapan dan persediaan itu.. tiba-tiba saya mendapat sms yang agak melemahkan semangat saya. Mesej daripada Ustaz Idris BPI yang berbunyi...
"Keberangkatan ke Oman ditangguh ke 15 MEI 2009. Passport akan dikumpul melalui kiriman kepada Pegawai SPI yang akan hadir ke Kursus KMK di KL pada 31 April 2009. Sila rujuk SPI untuk pengiriman passport".
AllahuAkbar.. bagai nak tercabut jantung saya mengejar ke sana ke sini menguruskan itu dan ini sebagai persiapan ke Oman yang asalnya hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Alih-alih ditunda ke tarikh yang lebih sebulan daripada tarikh asal.
Kelmarin (Isnin) 3 kali saya memanjat pejabat Imigresen Pekan Rabu JB untuk menghidupkan passport yang telah mati lebih dari 5 tahun yang lalu. Macam-macam hal. Semuanya gara-gara nasihat rakan-rakan di sekolah yang mengatakan passport lama tidak perlu bawa kerana telah lebih 5 tahun mati. Saya perlu buat yang baru. Tetapi bila sampai di kaunter, saya diminta menyerahkan passport lama untuk membolehkan passport baru dikeluarkan oleh mereka. Sekiranya hilang, saya perlu membuat laporan polis dan surat sumpah mengatakan passport lama saya telah hilang. Mereka tidak mahu kita dituduh kerana menjual passport lama kepada warga asing.
Saya terus bergegas pulang ke rumah untuk mengambil passport lama dan kembali ke Imigresen semula kerana pegawai yang melayan saya menjanjikan untuk terus melayan permohonan saya tanpa mengambil nombor giliran yang baru. Setelah itu, proses berjalan begitu cepat dan lancar. Selesai membuat bayaran sebanyak RM300, saya diminta hadir mengambil passport baru 2 jam berikutnya di situ. Oh macam tu ke? Saya kembali semula ke rumah. Boring juga nak menanti 2 jam di pejabat Imigresen tu tanpa ada sesiapa yang dikenali untuk diajak bersembang. Dan pada jam 4.50 petang saya sudah kembali tercegat di kaunter menunggu nama dipanggil untuk mengambil passport yang baru. Tepat jam 4.59, saya telahpun memiliki passport yang baru.
Kembali kepada kisah SMS tadi. Selang beberapa minit selepas saya menerima mesej penangguhan ke Oman tu, saya terima pula SMS kedua dari beliau yang berbunyi...
"Pembetulan. Projek ke Oman tangguh ke 15 April dan bukan Mei. Asif"
Hmm.. tak pe lah Ustaz Idris.. Saya tunggu je lah bila-bila pun tarikhnya. Saya faham, tentu macam-macam perkara yang perlu diselesaikan sebelum rombongan tu berangkat ke sana. Tentu pening kepala Ustaz Idris tu nak menguruskan semuanya berkenaan rombongan tu. Tentu-tentu hal ehwal peserta, surat-suratnya, visanya, tiketnya, hotelnya dan macam-macam perkara mesti sudah dipastikan sebelum semuanya dapat berjalan dengan baik. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita seharian. Dan saya juga faham... kita hanya mampu merancang...
0 comments:
Catat Ulasan