Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Selasa, Januari 17, 2012

7 Langkah Mudah Hasilkan RPT Sendiri

Kesinambungan entri yang lalu, saya persembahkan pula entri 7 Langkah Mudah Hasilkan RPT Sendiri pada kali ini.

Tajuk atau kaedah "7 Langkah Mudah Hasilkan RPT Sendiri" ini telahpun saya bentangkan di beberapa buah negeri dalam Kursus Induksi Pendedahan KSSR Tahun 2 pada tahun 2011 yang lalu. Tidak semua negeri yang dapat saya kongsikan tajuk ini pada tahun lepas memandangkan ianya tidak termasuk dalam fokus kursus pada ketika itu. Justeru hanya negeri yang JLUnya bertanyakan sahaja yang dapat saya sampaikannya sebagai slot tambahan kepada tajuk-tajuk kursus sedia ada yang lain.

7 LANGKAH MUDAH HASILKAN RPT SENDIRI.

1) Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan RPT ;
       i) Dokumen Kurikulum
       ii) Takwim Persekolahan

2) Mengenal pasti MINGGU PERSEKOLAHAN dan bilangannya pada tahun semasa dengan merujuk Takwim Persekolahan Kebangsaan.
Maksud "Minggu Persekolahan" adalah minggu-minggu yang akan berlaku hari persekolahan. Ini termasuk minggu-minggu tersebut akan berlaku aktiviti pengajaran dan pembelajaran ataupun tidak. Untuk lebih faham, sila rujuk point nombor 3 dan contoh RPT di bawah.
Untuk mendapatkan bilangan minggu persekolahan ini, guru boleh memperolehinya seawal penghujung setiap tahun di laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di www.moe.gov.my.

3) Mengenal pasti MINGGU PEMBELAJARAN tahun semasa dengan merujuk Takwim Aktiviti Sekolah.
Maksud "Minggu Pembelajaran" ini adalah minggu-minggu yang akan berlaku pengajaran dan pembelajaran tanpa sebarang gangguan dari aktiviti-aktiviti lain seperti minggu ujian, minggu peperiksaan dan minggu sukan. Minggu-minggu seperti ini perlu dikosongkan dalam RPT kerana ianya bukan minggu pembelajaran. Ianya perlu dikosongkan dalam RPT agar pengajaran dapat berjalan dengan lancar kelak. Minggu-minggu pembelajaran ini boleh didapati melalui ketentuan dalam Takwim Aktiviti Sekolah yang disediakan oleh pihak pentadbiran sekolah yang telah merancang perjalanan aktiviti tahunan sepanjang tahun bagi sekolahnya sahaja. Ianya adalah berbeza bagi setiap sekolah. Oleh kerana RPT dibina berdasarkan takwim sesebuah sekolah, maka tidaklah sesuai guru di sekolah lain menggunakan RPT yang dirancang oleh guru di sekolah yang lain.

4) Mengenal pasti SUKATAN pelajaran tahun semasa.
Ianya dengan merujuk Dokumen Standard Kurikulum bagi KSSR atau Huraian Sukatan Pelajaran bagi KBSR. Guru perlu mengetahui bilangan tajuk yang perlu diajar, kandungannya dan kemampuan murid untuk menguasainya.

5) Menyusun atur tajuk pelajaran mengikut minggu pembelajaran (point no. 3).
Susunan tajuk boleh disesuaikan mengikut keselesaan guru. Ianya juga boleh disesuaikan dengan situasi bulan semasa pengajaran dengan tajuk yang mahu diajar ketika itu. Ianya mungkin boleh dikaitan secara terus ataupun tidak (tajuk tidak semestinya mengikut susunan yang dicadangkan dalam buku teks). (Rujuk contoh di bawah).

6) Menyusun atur sub-tajuk mengikut agihan minggu dan tajuk yang telah diatur.
Bilangan minggu untuk sesuatu tajuk pengajaran boleh diatur mengikut bilangan sub-tajuk yang terdapat dalam sesuatu tajuk. Selain itu, tahap kesusahan sesuatu tajuk juga boleh diambil kira untuk menyusun atur tajuk dan sub-tajuk dalam minggu-minggu pembelajaran tersebut. Ini bermakna tidak menjadi syarat tidak semestinya kesemua tajuk diajar dalam bilangan minggu yang sama. (Rujuk contoh di bawah).

7) Menyediakan ruangan penambah baikan perancangan bagi RPT tersebut untuk menghadapi situasi luar jangkaan.
Setiap rancangan yang dirancang adakalanya tidak dapat dilaksanakan dek kekangan-kekangan yang kadangkala datang tanpa dijangka. Ini kerana "manusia hanya mampu merancang". (Hmm... Bagaimana pula dengan manusia yang tidak mampu untuk merancang? Sama-sama kita fikirkan) Begitu juga dengan RPT yang dirancang saban tahun. Realitinya acap kali guru tidak dapat melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dirancang dalam RPT. Adakalanya tugas-tugas mendatang menjadi penghalang untuk mencapai objektif 100% pengajaran dan pembelajaran yang berpandukan RPT yang telah dirancang. Justeru perlu ada ruangan penambah baikan yang mampu untuk guru mengubahsuai RPTnya agar objektif pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun dapat mencapai peratus maksimum. (Rujuk contoh di bawah).

Hasilnya? Saya paparkan contoh tapak RPT dari 7 langkah mudah ini.
 
Dari paparan contoh tapak RPT yang saya tunjukkan di atas, mungkin timbul beberapa persoalan di kalangan pembaca. Antaranya ;

Soalan : Mengapa bentuk RPT ini terlalu ringkas? Tidak seperti bentuk atau format RPT yang kebiasaannya didapati di internet?
Jawapan : Asasnya KPM tidak pernah menyatakan bentuk atau format RPT itu ditulis. Ianya memadai dengan kandungan secara ringkas isi pengajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang dikeluarkan oleh KPM. Ini bersesuaian dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3, Tahun 1999 berkenaan penyediaan RPT dan RPH. Pada saya, format atau bentuk RPT ini boleh disediakan mengikut kesesuaian dan keperluan sesuatu mata pelajaran selain keperluan guru yang ingin menggunakan RPT tersebut. Bagi saya, bentuk ringkas ini adalah sangat efisyen untuk digunapakai. Ringkas, mudah disediakan dan sangat praktis untuk digunakan sepanjang tahun.

Soalan : Mengapa tidak memasukan objektif dan cadangan aktiviti dalam format RPT ini?
Jawapan : Objektif pengajaran dan cadangan aktiviti tidak perlu dalam pembinaan RPT. Tetapi objektif dan cadangan aktiviti tersebut wajib dinyatakan dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sepertimana yang dikehendaki dalam surat pekeliling ikhtisas yang sama seperti di atas (SPI Bil. 3/1999).

Soalan : Mengapa di ruangan kolum "Minggu" terdapat kotak kosong disebelahnya?
Jawapan : Ruangan kosong tersebut adalah ruangan penambahbaikan bagi perancangan yang telah disediakan sekiranya terdapat kekangan pengajaran yang tidak dapat dijalankan disebabkan sesuatu sebab seperti guru menghadiri kursus/mesyuarat dan sebagainya. Tindakan seterusnya guru perlu mengubah strategi RPTnya (dalam ruangan kosong tersebut) agar penambah baikan dapat dilakukan untuk mencapai objektif yang maksimum.

Soalan : Mengapa tidak menjadikan "buku teks" sebagai bahan yang diperlukan untuk membina RPT?
Jawapan : Tiada masalah sekiranya guru ingin membina RPT dengan berpandukan buku teks, kerana buku teks juga dibina berdasarkan sukatan/dokumen kurikulum. Namun perlu diketahui bahawa kandungan buku teks mempunyai penambahan isi sehingga 15% dari kandungan yang terdapat dalam sukatan/dokumen kurikulum yang asal. Justeru, guru perlu tahu membezakan kandungan tersebut agar fokus kandungan dalam sukatan/dokumen kurikulum diberi keutamaan. Bagi saya, buku teks merupakan sumber pembelajaran murid dan bukan sumber pengajaran guru.

Nah! Mudah dan ringkas bukan? Tiada alasan lagi guru tidak mampu merancang pengajarannya sendiri. Tidak perlu menaip sehingga berpuluh2 muka surat sehingga menjadi satu bebanan kepada guru lantas mengharap ihsan dari rakan-rakan guru yang lain untuk "tolong rancangkan pengajaran kita". Jadilah guru yang jujur terhadap tugas dengan bijak merancang dan mampu melaksanakan pengajaran dengan cemerlang.

p/s : Jadilah guru yang mampu merancang dan mampu melaksanakan dengan cemerlang.

Read More......

Ahad, Januari 15, 2012

Hit carian terbanyak - RPT

Mungkin entri ini agak terlewat meskipun penulisan tentangnya telah saya mulai seawal 1 Januari 2012, namun ianya tidak mampu disiapkan dek kekangan kerja yang bertambah dalam ruang lingkup masa yang tidak pernah pun bertambah. Malah tidak akan! Justeru, entri ini terpaksa di tulis semula memandangkan isi penulisannya sudah tidak lagi sesuai dengan masa dan keadaan ketika ini. Dalam erti kata yang lain, telah sampai ke tarikh lupus.

Kini, minggu persekolahan telahpun masuk minggu ketiga sesi 2012. Fikir saya sudah tentu tidak ramai lagi yang tercari-cari Rancangan Pengajaran Tahunan atau nama ringkasnya RPT bagi subjek-subjek yang diajar pada tahun ini. Tentu ramai rakan guru yang telah memilikinya sebagai memenuhi permintaan pihak pentadbir sekolah yang berkehendakan semua guru telah melengkapi butiran penting dalam buku rekod mengajar yang baru pada tahun ini (termasuk penyediaan RPT). Namun ramai juga yang dapat menyediakan RPT tersebut bukan kerana hanya ianya suatu tuntutan dari sebelah pihak (pentadbir), malah kesedaran pada tanggungjawab diri sebagai guru untuk merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun ini mengikut situasi sebenar di sekolahnya juga memang patut dipuji. Inilah guru yang cemerlang dan terbilang!

Saya amat jarang melihat statistik pengunjung ke blog ini di Nuffnang yang telah lebih kurang 3 tahun saya menjadi antara jutaan agen iklan-iklannya. Bayaran yang saya terima juga tidaklah sehebat blog-blog mantap rakan-rakan blogger yang lain. Namun ianya berfaedah! Jadi saya cuba melihat statistik yang dicatatkan oleh Nuffnang terhadap pengunjung di blog saya di awal sesi persekolahan ini. Seperti yang dijangka RPT menjadi kata kunci untuk hit tertinggi pencarian pengunjung memasuki ke blog ini.

Statistik Pencarian Bulan Lepas

 Statistik Pencarian Minggu Lepas

  Statistik Pencarian Minggu Ini

Saya melihat lambakan RPT yang bertebaran di internet, saya memuat turunnya satu persatu untuk melihat perancangan tersebut. Menarik dan lengkap! Namun walaupun sekiranya saya masih berada di sekolah, saya tidak akan menggunakan RPT yang dirancang oleh orang lain. pengalaman saya selama mengajar di sekolah, saya tidak pernah menggunakan mana-mana RPT yang dirancang oleh orang lain. Kesedaran terhadap tugas guru yang seharusnya mampu untuk merancang dan melaksanakan pengajaran telah tersemai sejak di bangku maktab perguruan lagi. Guru bukan hanya sebagai pelaksana malah tugas sebelumnya adalah merancang! Guru yang mampu merancang dengan baik adalah guru yang mampu melaksanakan dengan lebih baik.

Saya pernah berkongsi cara-cara membina RPT sendiri dalam entri-entri saya yang lalu. Kali ini, saya akan cuba sampaikan dalam bentuk yang berbeza dalam tips 7 langkah mudah hasilkan RPT sendiri pada entri yang akan datang. Tips tersebut pernah saya kongsikan dalam jelajah kursus pendedahan KSSR tahun 2 pada tahun 2011 yang lepas di beberapa buah negeri dan zon (tidak semua).

Read More......

Ahad, Januari 01, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Selamat Tahun Baru 2012!

1. Semoga banyak yang baru akan kita hadapi di tahun yang baru ini. Mudah-mudahan ianya bakal memberi manfaat yang banyak kepada kita dan orang di sekeliling kita, mahupun orang yang ada kena mengena ataupun tidak dengan kita.

2. Memang agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Semoga tahun baru ini akan membawa semangat baru untuk saya terhadap blog ini. Rekod penulisan saya untuk tahun 2011 yang lalu sangat buruk. Hanya 3 entri yang dihantar sepanjang tahun 2011. Berbanding 25 entri pada tahun 2010, 90 entri pada tahun 2009 dan 21 entri pada awal lahirnya blog ini (2008). 

3. Walaupun blog ini sudah mencapai usia 3 tahun, 5 bulan, 1 minggu dan 2 hari pada hari ini, tetapi ia tidak sama jika hendak dibandingkan dengan seseorang yang lahir pada lebih 3 tahun setengah yang lalu. Kalau ianya seorang bayi, sudah pasti ia sudah mula pandai berkata-kata. Malah sudah tahu berlari! Malangnya blog ini berlaku sebaliknya. Blog ini semakin sepi dari sebarang entri terbaru dan kemaskini. Ianya terabai! Alasan kesibukan bukan alasan utama selain 'tiada mood' dan penangan 'facebook' yang lebih mudah dan mengasyikkan untuk dilayari setiap hari. Walaupun begitu, setiap minggu saya pasti menjengah blog ini untuk menjawab beberapa pertanyaan pengunjung di ruangan Sembang-sembang (chatbox), dan di situ juga saya melihat pengunjung di blog ini memang tidak putus-putus datang melayarinya berdasarkan bilangan hit counter yang begitu cepat meningkat naik dari hari ke hari. Terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan kalian.

4. Hari ini merupakan hari pertama untuk tahun 2012. Hari baru, tahun baru dan semangat pun mestilah baru! Blog ini juga mesti nampak baru. Seiring dengan tempat baru, suasana kerja yang baru, rakan kerja yang baru dan sudah pasti tugas dan tanggungjawab yang baru! Sudah hampir 3 bulan saya di sini. Meninggalkan alam pekerjaan yang saya cintai iaitu seorang guru. Menyahut cabaran untuk bertugas sebagai Penolong Pengarah di Unit Bahasa Arab (rendah), Sektor Pendidikan Islam (SPI) di Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Putrajaya bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk saya putuskan sebelum ini. Tugas sebagai Jurulatih Utama bahasa Arab negeri Johor sebelum ini banyak memeri ruang dan peluang untuk saya terdedah tentang tugas dan kerja di BPK. Ini sekaligus telah menjadikan saya terlalu takut untuk menerima jawatan ini dan memegang amanah yang besar dan berat ini. Namun, rasa tanggungjawab dan kesedaran serta sokongan rakan-rakan dan keluarga akhirnya saya kuatkan jiwa dan semangat untuk mengorak langkah menuju ke pintu BPK.

5. Seseorang pernah memberitahu saya, "Sekiranya jawatan tersebut saya tidak memohonnya tetapi ditawarkan kepada saya, maka jawatan itu memang untuk saya. Namun sekiranya ia berlaku sebaliknya, ia belum tentu lagi untuk saya". Nasihat itu telah menguatkan lagi semangat saya untuk terus mengorak langkah menuju ke suatu tugas yang baru dan lebih mencabar ini. Hal ini berlainan dengan beberapa orang rakan guru yang datang bertemu dengan saya dan bertanya kepada saya bagaimana untuk menjadi seperti saya dan berpeluang bekerja di kementerian. Tiada jawapan yang dapat saya berikan kepada mereka selain memuji kesungguhan mereka dalam bekerja, malah mereka lebih hebat dari saya! Seharusnya mereka itulah yang berada di tempat saya. Mudah-mudahan Allah menjanji dan mengurniakan peluang yang lebih baik untuk mereka, setimpal dengan usaha dan semangat mereka.

6. Banyak perkara baru yang saya pelajari di sini. Pemikiran dan sikap sentiasa positif sangat diperlukan untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab. Banyak tugas-tugas baru yang terpaksa saya tempuhi. Adakalanya memang tidak masuk akal saya untuk melaluinya. Berdebar juga bila menghadapi saatnya. Namun, kini saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Be positive. Itulah yang saya tanam dalam diri setiap hari ketika menguak pintu pejabat. Hasilnya, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan tempat ini. Alhamdulillah. Janji Tuhan yang tidak mengurniakan apa yang kita tidak mampu laksanakan menjadikan setiap tugasan yang saya terima, harus dilaksanakan dengan sebaiknya. Kerana saya mampu! InsyaAllah.

Semoga kita semua terus maju dan bertambah maju di tahun baru ini.

MIORjQAF : Blog ini kini sudahpun bertukar warna! Agar kelihatan baru lantas menimbulkan semangat baru! Sama dengan warna rasmi BPK iaitu warna purple atau ungu. Malah namanya  juga bukan lagi Blog Miorjqaf! Tetapi ianya Blog Mior Syazril @ miorjqaf. Peace 2012!

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu