Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Jumaat, Mei 04, 2012

Semoga Berjaya Calon Temuduga PISMP Ambilan Jun 2012

7 - 18 MEI 2012 merupakan tarikh-tarikh yang mendebarkan bagi calon-calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi ambilan Jun 2012. Tarikh-tarikh tersebut adalah tempoh bagi calon PISMP ditemuduga sebelum diterima (sekiranya berjaya) untuk mengikuti program tersebut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Saya mendoakan agar semua calon yang bakal ditemuduga dapat membuat persiapan yang mantap dan secukupnya untuk diuji sebelum diterima sebagai bakal pendidik pada satu hari nanti.

Banyak tips yang boleh didapati di internet berkenaan persediaan menghadapi temuduga, dan saya tidak berhajat untuk berkongsi perkara yang sama di sini. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah apa yang jarang sekali disebut dalam tips-tips berkenaan.

1. NIAT. Berniatlah hanya kerana Allah apabila anda telah memutuskan untuk menghadiri ke temuduga ini. Dengan berniat semata-mata kerana Allah, pasti Allah jualah yang akan membantu untuk memudahkan segala urusan yang berkaitan dengan temuduga ini.

2. MINAT. Tanamlah minat anda seawal ini untuk berjaya dalam bidang yang akan anda ceburi tidak lama lagi. Jangan sesekali menjadikan tawaran temuduga ini sebagai pilihan terakhir anda setelah sudah tidak ada peluang lain yang boleh anda ceburi. Hal ini akan menjatuhkan semangat dan motivasi anda bila anda menghadapi kesukaran dalam bidang ini suatu hari nanti. Mereka yang meletakkan pilihan untuk ke bidang ini sebagai pilihan pertama dengan memiliki minat yang tinggi dan mendalam, pasti mereka itulah yang berjaya menjadi pendidik bermotivasi tinggi, bermatlamat, berinovasi dan kreatif serta sentiasa positif untuk maju dalam usaha membentuk modal insan generasi cemerlang masa hadapan.

3. KESUNGGUHAN. Dengan berniat kerana Allah, pasti kita akan bersungguh-sungguh dalam usaha kita untuk berjaya dalam temuduga ini. Kerana kita tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan cara sambil lewa atau ala kadar sekiranya kita benar-benar sedar bahawa apa yang kita akan lakukan ini adalah semata-mata kerana Allah, pencipta sekelian alam. Kesungguhan juga akan hadir dalam jiwa, fikiran dan tindakan kita sekiranya minat yang mendalam telah bertapak di sanubari. Bersiap sedialah dengan penuh kesungguhan agar segala kemungkinan dapat anda atasi sewaktu ditemuduga nanti. Bersedialah dari segi pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang ingin anda ceburi ini. Kaji, selidik dan fahami segala yang berkaitan seperti isu-isu semasa yang berkenaan, objektif, matlamat, misi dan visi, organisasi dan sebagainya. Perlu juga diberi penekanan yang serius terhadap ilmu-ilmu yang berkaitan terutama perkara-perkara asas.

4. BERDOA DAN BERTAWAKAL. Berdoalah tanpa henti dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar permohonan dan temuduga anda berjaya. Satu amalan yang kerap saya lakukan ketika menghadapi ujian, peperiksaan atau kesusahan adalah dengan menyelitkan doa untuk rakan-rakan (atau insan lain) di dalam setiap doa yang saya pohonkan kepada Allah, agar dikurniakan kejayaan, rezeki yang melimpah ruah, kebahagiaan serta kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Doa tersebut diulang-ulang secara rahsia tanpa pengetahuan atau dikhabarkan kepada mereka. Sebaiknya berdoalah dengan menyebut nama mereka satu persatu dengan penuh keikhlasan. Mudah-mudahan doa sebeginilah yang akan mudah dimakbulkan Allah SWT.

Berserahlah kepada Allah SWT atas segala keputusan yang bakal kita terima. Sesungguhnya Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita. Mungkin bukan pada hari ini, tapi apa yang penting adalah di akhirat kelak seandainya kita adalah hambanya yang bersyukur, beriman dan bertaqwa kepadaNya. Selamat maju jaya!

p/s : Saya suka bernazar untuk setiap kesusahan yang saya tempuhi. Bernazarlah mengikut kemampuan, bukan mengikut keinginan terhadap sesuatu yang memuncak.

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu