Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Selasa, Januari 17, 2012

7 Langkah Mudah Hasilkan RPT Sendiri

Kesinambungan entri yang lalu, saya persembahkan pula entri 7 Langkah Mudah Hasilkan RPT Sendiri pada kali ini.

Tajuk atau kaedah "7 Langkah Mudah Hasilkan RPT Sendiri" ini telahpun saya bentangkan di beberapa buah negeri dalam Kursus Induksi Pendedahan KSSR Tahun 2 pada tahun 2011 yang lalu. Tidak semua negeri yang dapat saya kongsikan tajuk ini pada tahun lepas memandangkan ianya tidak termasuk dalam fokus kursus pada ketika itu. Justeru hanya negeri yang JLUnya bertanyakan sahaja yang dapat saya sampaikannya sebagai slot tambahan kepada tajuk-tajuk kursus sedia ada yang lain.

7 LANGKAH MUDAH HASILKAN RPT SENDIRI.

1) Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan RPT ;
       i) Dokumen Kurikulum
       ii) Takwim Persekolahan

2) Mengenal pasti MINGGU PERSEKOLAHAN dan bilangannya pada tahun semasa dengan merujuk Takwim Persekolahan Kebangsaan.
Maksud "Minggu Persekolahan" adalah minggu-minggu yang akan berlaku hari persekolahan. Ini termasuk minggu-minggu tersebut akan berlaku aktiviti pengajaran dan pembelajaran ataupun tidak. Untuk lebih faham, sila rujuk point nombor 3 dan contoh RPT di bawah.
Untuk mendapatkan bilangan minggu persekolahan ini, guru boleh memperolehinya seawal penghujung setiap tahun di laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di www.moe.gov.my.

3) Mengenal pasti MINGGU PEMBELAJARAN tahun semasa dengan merujuk Takwim Aktiviti Sekolah.
Maksud "Minggu Pembelajaran" ini adalah minggu-minggu yang akan berlaku pengajaran dan pembelajaran tanpa sebarang gangguan dari aktiviti-aktiviti lain seperti minggu ujian, minggu peperiksaan dan minggu sukan. Minggu-minggu seperti ini perlu dikosongkan dalam RPT kerana ianya bukan minggu pembelajaran. Ianya perlu dikosongkan dalam RPT agar pengajaran dapat berjalan dengan lancar kelak. Minggu-minggu pembelajaran ini boleh didapati melalui ketentuan dalam Takwim Aktiviti Sekolah yang disediakan oleh pihak pentadbiran sekolah yang telah merancang perjalanan aktiviti tahunan sepanjang tahun bagi sekolahnya sahaja. Ianya adalah berbeza bagi setiap sekolah. Oleh kerana RPT dibina berdasarkan takwim sesebuah sekolah, maka tidaklah sesuai guru di sekolah lain menggunakan RPT yang dirancang oleh guru di sekolah yang lain.

4) Mengenal pasti SUKATAN pelajaran tahun semasa.
Ianya dengan merujuk Dokumen Standard Kurikulum bagi KSSR atau Huraian Sukatan Pelajaran bagi KBSR. Guru perlu mengetahui bilangan tajuk yang perlu diajar, kandungannya dan kemampuan murid untuk menguasainya.

5) Menyusun atur tajuk pelajaran mengikut minggu pembelajaran (point no. 3).
Susunan tajuk boleh disesuaikan mengikut keselesaan guru. Ianya juga boleh disesuaikan dengan situasi bulan semasa pengajaran dengan tajuk yang mahu diajar ketika itu. Ianya mungkin boleh dikaitan secara terus ataupun tidak (tajuk tidak semestinya mengikut susunan yang dicadangkan dalam buku teks). (Rujuk contoh di bawah).

6) Menyusun atur sub-tajuk mengikut agihan minggu dan tajuk yang telah diatur.
Bilangan minggu untuk sesuatu tajuk pengajaran boleh diatur mengikut bilangan sub-tajuk yang terdapat dalam sesuatu tajuk. Selain itu, tahap kesusahan sesuatu tajuk juga boleh diambil kira untuk menyusun atur tajuk dan sub-tajuk dalam minggu-minggu pembelajaran tersebut. Ini bermakna tidak menjadi syarat tidak semestinya kesemua tajuk diajar dalam bilangan minggu yang sama. (Rujuk contoh di bawah).

7) Menyediakan ruangan penambah baikan perancangan bagi RPT tersebut untuk menghadapi situasi luar jangkaan.
Setiap rancangan yang dirancang adakalanya tidak dapat dilaksanakan dek kekangan-kekangan yang kadangkala datang tanpa dijangka. Ini kerana "manusia hanya mampu merancang". (Hmm... Bagaimana pula dengan manusia yang tidak mampu untuk merancang? Sama-sama kita fikirkan) Begitu juga dengan RPT yang dirancang saban tahun. Realitinya acap kali guru tidak dapat melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dirancang dalam RPT. Adakalanya tugas-tugas mendatang menjadi penghalang untuk mencapai objektif 100% pengajaran dan pembelajaran yang berpandukan RPT yang telah dirancang. Justeru perlu ada ruangan penambah baikan yang mampu untuk guru mengubahsuai RPTnya agar objektif pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun dapat mencapai peratus maksimum. (Rujuk contoh di bawah).

Hasilnya? Saya paparkan contoh tapak RPT dari 7 langkah mudah ini.
 
Dari paparan contoh tapak RPT yang saya tunjukkan di atas, mungkin timbul beberapa persoalan di kalangan pembaca. Antaranya ;

Soalan : Mengapa bentuk RPT ini terlalu ringkas? Tidak seperti bentuk atau format RPT yang kebiasaannya didapati di internet?
Jawapan : Asasnya KPM tidak pernah menyatakan bentuk atau format RPT itu ditulis. Ianya memadai dengan kandungan secara ringkas isi pengajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang dikeluarkan oleh KPM. Ini bersesuaian dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3, Tahun 1999 berkenaan penyediaan RPT dan RPH. Pada saya, format atau bentuk RPT ini boleh disediakan mengikut kesesuaian dan keperluan sesuatu mata pelajaran selain keperluan guru yang ingin menggunakan RPT tersebut. Bagi saya, bentuk ringkas ini adalah sangat efisyen untuk digunapakai. Ringkas, mudah disediakan dan sangat praktis untuk digunakan sepanjang tahun.

Soalan : Mengapa tidak memasukan objektif dan cadangan aktiviti dalam format RPT ini?
Jawapan : Objektif pengajaran dan cadangan aktiviti tidak perlu dalam pembinaan RPT. Tetapi objektif dan cadangan aktiviti tersebut wajib dinyatakan dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sepertimana yang dikehendaki dalam surat pekeliling ikhtisas yang sama seperti di atas (SPI Bil. 3/1999).

Soalan : Mengapa di ruangan kolum "Minggu" terdapat kotak kosong disebelahnya?
Jawapan : Ruangan kosong tersebut adalah ruangan penambahbaikan bagi perancangan yang telah disediakan sekiranya terdapat kekangan pengajaran yang tidak dapat dijalankan disebabkan sesuatu sebab seperti guru menghadiri kursus/mesyuarat dan sebagainya. Tindakan seterusnya guru perlu mengubah strategi RPTnya (dalam ruangan kosong tersebut) agar penambah baikan dapat dilakukan untuk mencapai objektif yang maksimum.

Soalan : Mengapa tidak menjadikan "buku teks" sebagai bahan yang diperlukan untuk membina RPT?
Jawapan : Tiada masalah sekiranya guru ingin membina RPT dengan berpandukan buku teks, kerana buku teks juga dibina berdasarkan sukatan/dokumen kurikulum. Namun perlu diketahui bahawa kandungan buku teks mempunyai penambahan isi sehingga 15% dari kandungan yang terdapat dalam sukatan/dokumen kurikulum yang asal. Justeru, guru perlu tahu membezakan kandungan tersebut agar fokus kandungan dalam sukatan/dokumen kurikulum diberi keutamaan. Bagi saya, buku teks merupakan sumber pembelajaran murid dan bukan sumber pengajaran guru.

Nah! Mudah dan ringkas bukan? Tiada alasan lagi guru tidak mampu merancang pengajarannya sendiri. Tidak perlu menaip sehingga berpuluh2 muka surat sehingga menjadi satu bebanan kepada guru lantas mengharap ihsan dari rakan-rakan guru yang lain untuk "tolong rancangkan pengajaran kita". Jadilah guru yang jujur terhadap tugas dengan bijak merancang dan mampu melaksanakan pengajaran dengan cemerlang.

p/s : Jadilah guru yang mampu merancang dan mampu melaksanakan dengan cemerlang.

1 comments:

Panduan dan idea yang bernas. Terima kasih atas perkongsian bijak tersebut.

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu