Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Disember 02, 2010

Modul Pengajaran KSSR. Jangan Keliru!



Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau lebih dikenali dengan KSSR sudah hampir sampai kepada tempoh pelaksanaannya di sekolah pada awal JANUARI 2011 akan datang. Pendedahan demi pendedahan telah dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi memastikan semua guru yang berkenaan di sekolah mendapat pendedahan tentang pelaksanaannya nanti. Kurikulum Standard Bahasa Arab Sekolah Rendah (KSBASR) juga menerima proses yang sama dengan mata pelajaran yang lain. Dalam pada itu, perbincangan demi perbincangan telah saya lihat dan sebahagiannya telah pun saya ikuti dalam mendapatkan dan memberi kefahaman yang lebih terhadap pelaksanaannya itu nanti.

Bermula dari Dokumen Standard yang mengandungi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran sebagai gantian kepada Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), penerapan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) yang mengandungi tiga elemen penting yang terdiri daripada Kreativiti dan Inovatif, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, seterusnya penulisan rancangan pengajaran harian (RPH) yang telah berubah bentuk format penulisannya, sampailah kepada isu yang dilihat besar oleh sebahagian guru iaitu pembinaan modul pengajaran berteraskan empat fasa terarah.

Di sini saya ingin menyentuh isu terakhir yang saya sebutkan tadi, iaitu Pembinaan Modul Pengajaran Berteraskan Empat Fasa Terarah".

Dalam sebuah laman web popular guru j-QAF semalaysia, ada menyebut tentang "guru j-QAF tidak perlu menyediakan modul pengajaran" tersebut. Ianya hanya diwajibkan kepada pelatih-pelatih guru di institusi-institusi pendidikan guru Malaysia di seluruh negara.

Setelah membaca kenyataan tersebut, saya berpendapat bahawa kenyataan ini boleh disalah ertikan oleh guru-guru j-QAF yang tidak begitu memahami konsep sebenar KSSR dan pelaksanaannya. Ia boleh menjurus kepada pengabaian modul empat fasa terarah ini oleh guru-guru j-QAF, seterusnya menjadikan pelaksanaan KSSR tidak menepati standard yang telah ditetapkan. Ini sangat bahaya!

Walaupun tidak terdapat mana-mana pekeliling dari kementerian berkenaan pembinaan modul pengajaran oleh guru, namun itu tidak membuktikan bahawa guru perlu mengabaikan pembinaan modul tersebut. Inilah yang perlu difahami oleh guru sebaiknya. Bagaimana?

Sebelum saya jelaskan mengapa, ingin saya menyentuh maksud pembinaan modul pengajaran empat fasa terarah ini mengikut kefahaman saya. Pada awalnya saya juga terkeliru tentang apakah yang dikatakan modul ini. Adakah ia berbentuk latihan murid bagi tajuk-tajuk pengajaran? Maka ramailah yang bercita-cita  membinanya untuk dijadikan salah satu punca rezeki melalui cetakan buku atau modul dan dipasarkan. Namun ianya salah! Adakah pula ianya sebuah kertas perancangan pengajaran berpandukan dokumen standard atau sukatan? Bagaimana pula bentuknya? Pelbagai pandangan dan mazhab telah dilontarkan oleh golongan-golongan tertentu berkenaannya. Ada yang betul dan ada juga yang kurang tepat. Namun, setelah melalui beberapa perbincangan demi perbincangan bersama individu-individu penting dalam pelaksanaan KSSR ini di kementerian, begitu juga dengan melihat hasil-hasil bengkel pembinaan modul yang diadakan di peringkat kementerian, akhirnya saya mendapat sebuah kesimpulan berikut.

Modul Pengajaran Berteraskan Empat Fasa Terarah ini merupakan sebuah rancangan pengajaran kreatif yang lengkap, yang terdiri daripada empat fasa, bermula dengan Fasa Persediaan, diikuti dengan Fasa Imaginasi, seterusnya Fasa Perkembangan dan diakhiri dengan Fasa Tindakan. (Saya akan bercerita tentang empat fasa ini di lain waktu).

Pengajaran berteraskan empat fasa ini merupakan langkah pengajaran kreatif yang menggantikan cara lama pengajaran iaitu pendahuluan, set induksi, langkah 1, 2, dan 3 serta penutup, yang selama ini kita praktikan  di sekolah, hasil pembelajaran kita sewaktu di maktab dahulu.

Suatu waktu dahulu (ketika kita di maktab), inilah langkah-langkah pengajaran yang kita praktikan di dalam latihan-latihan pengajaran kita samada di dalam pengajaran mikro mahupun makro. Ianya telahpun sebati dalam diri kita. Kita hanya melakukan penulisan rancangan pengajaran yang lengkap sehingga berhelai-helai  banyaknya hanya ketika kita di dalam latihan atau praktikum sahaja. Setelah itu, ianya sudah menjadi nadi pengajaran kita setiap hari tanpa membina rancangan seperti itu lagi.

Namun, bagaimana pula dengan langkah-langkah pengajaran kreatif melalu empat fasa terarah yang ditekankan di dalam KSSR ini? Adakah kita juga sudah sebati dengan pelaksanaannya? Apakah yang perlu guru lakukan dalam setiap fasa tersebut? Soalan bagaimanakah yang perlu guru ajukan di dalam setiap fasa tersebut? Apakah yang murid perlu lakukan dalam setiap fasa tersebut? Semua ini masih baru lagi bagi kita!

Maka di sinilah perlunya kita memulakan langkah pertama kita dengan membina modul pengajaran kreatif melalui empat fasa terarah ini. Bentuk modul ini tidak salah andai saya katakan ianya menyerupai penulisan rancangan pengajaran sewaktu kita di dalam tempoh praktikum dahulu. Sememangnya banyak kerja yang perlu kita lakukan untuk membiasakan dengan kaedah pengajaran kreatif ini. Namun alah bisa, tegal biasa. Lama-kelamaan, kita sudah tidak perlu lagi membina modul pengajaran kreatif ini kerana kita sudah terbiasa dengan pelaksanaan empat fasa terarah dalam pengajaran kreatif ini. Bayangkan andai guru itu terus mengabaikan pelaksanaan pengajaran kreatif melalui empat fasa terarah ini di dalam modul yang sepatutnya dibina, sudah tentu guru tersebut akan mengajar murid-muridnya menggunakan Dokumen Standard dengan cara yang lama (pengajaran biasa seperti sebelum ini). Wallahu'alam.

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 5

(Sambungan dari entri bahagian 1, 2, 3 dan 4)


Kaedah terakhir yang ingin saya kongsikan di sini bagi melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung ialah ;

KAEDAH MEWARNA

Kaedah ini bagi saya merupakan satu kaedah yang mudah dilaksanakan dan praktikal selain murid-murid juga seronok melaluinya. Bagaimana?

(klik untuk besarkan gambar)

1. Sediakan gambar untuk diwarna seperti gambar sepuluh biji anggur di atas. Anda boleh menukar apa sahaja gambar yang difikirkan sesuai seperti sepuluh kuntum bunga, atau sepuluh bintang dan sebagainya.

2. Caranya pelaksanaannya sama dengan Kaedah Carta Bintang yang telah saya ceritakan sebelum ini.

3. Perbezaannya adalah, kaedah ini memerlukan murid yang dinilai akan mewarna sendiri nombor soalan pada gambar sekiranya ia dapat menjawab dengan betul setelah guru mengarahkan ia mewarnakan ruangan nombor soalan yang dinilai.

4. Gambar ini boleh diperbanyakkan untuk semua murid dan ditampal di dalam buku latihan atau buku kerja murid.

5. Guru perlulah memberi ingatan kepada murid agar tidak mewarnakan sendiri gambar atau nombor soalan pada gambar melainkan dengan arahan guru. Guru juga perlulah memantaunya melalui tandatangan guru ketika guru menyemak buku latihan murid tersebut.

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 4


(Sambungan dari entri bahagian 1, 2 dan 3)

Cara kedua bagi melaksanakan penilaian PKSR (khasnya bahasa Arab) sewaktu pengajaran dan pembelajaran di kelas ialah ;

CARTA BINTANG

(klik gambar untuk besarkan)

Kaedah ini bukanlah satu kaedah yang asing bagi seorang guru. Malah kaedah ini sering digunapakai di kelas-kelas bagi meningkatkan motivasi murid untuk bersungguh-sungguh dalam aktiviti pembelajaran di kelas. 

Kaedah Carta Bintang ini merupakan satu kaedah praktikal bagi seorang guru untuk melaksanakan PKSR bahasa Arab dengan menggunakan sepuluh item/soalan untuk setiap tajuk bagi menilai empat kemahiran (mendengar, menyebut, membaca dan menulis) yang telah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

1. Ketika hari pertama guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sesuatu tajuk yang baru, guru perlu meneliti dan memastikan 10 item/soalan yang ingin dinilai pada semua murid.

2. Guru menyediakan Carta Bintang seperti rajah di atas. Carta ini boleh disediakan dalam apa juga bentuk dan saiz seperti menggunakan manilakad atau kertas lukisan, atau kertas A4, atau apa sahaja yang difikirkan sesuai.

3. Satu Carta Bintang memadai dengan empat atau lima orang bagi sesebuah kumpulan yang telah ditetapkan oleh guru.

4. Carta Bintang mengandungi sepuluh ruangan markah (rujuk rajah). Setiap satu ruang markah merupakan  pencapaian bagi satu soalan dari sepuluh soalan yang ingin dinilai.

5. Guru boleh menilai mana-mana soalan dahulu tanpa mengikut urutan agar jawapan yang diberikan murid bukanlah berpandukan kepada jawapan rakannya, tetapi bersandarkan kepada kebolehannya dalam sesuatu kemahiran tersebut.

6. Penilaian boleh dilakukan ketika guru sambil mengajar tanpa menggunakan sebarang kertas soalan. Contohnya, guru menilai soalan satu dan dua (menilai kemahiran mendengar) hanya menggunakan perkataan pada kad imbasan atau tulisan di papan tulis atau sebagainya. Ataupun guru menilai soalan lapan hingga sepuluh (kemahiran membaca) dengan merujuk buku teks atau carta di hadapan kelas. Ataupun juga guru menilai soalan tiga dan empat (kemahiran mendengar dan menulis) dengan meminta murid mendengar perkataan yang disebut dan menuliskannya di papan tulis di hadapan kelas.

7. Bagi murid-murid yang dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh guru, satu pelekat bintang / cop bintang akan diberikan pada ruangan soalan yang dinilai. Manakala bagi murid yang tidak dapat menjawab, tiada tanda bintang yang diberikan kepadanya dalam ruangan tersebut. Guru boleh menilai kembali soalan yang sama pada sesi kelas yang berikutnya sebelum memasuki ke tajuk yang baru. Ini membuktikan guru sentiasa memberi peluang kepada murid untuk memperbaiki kelemahannya dan membimbingnya untuk mencapai tahap yang telah ditentukan.

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu