Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Sabtu, November 27, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 3


(Sambungan dari entri bahagian 2)
atau dari entri sebelumnya (bahagian 1)


Bagaimanakah yang dikatakan seperti tajuk entri bersiri ini,
"Bagaimana melaksanakan PKSR sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlaku?"

dan daripada persoalan ini, sudah pasti terbit persoalan... 
"Bagaimana melaksanakannya SENDIRIAN ketika guru bahasa Arab menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut?"

Dua persoalan ini akan cuba pula saya perincikan dalam entri bahagian yang ketiga ini.

Sebenarnya bagi menjawab dua persoalan ini, kita hanya memerlukan satu jawapan yang ringkas, tepat dan padat, tetapi menjawab keseluruhan dua persoalan tersebut.

Jawapannya adalah "TEKNIK YANG BETUL".

Ya. Teknik pelaksanaan yang betul mampu menjadikan pelaksanaan PKSR tersebut mampu dilakukan sepanjang proses pengajaran guru dan pembelajaran murid berlaku di kelas. Tanpa perlu menanti hingga ke akhir bulan atau tajuk atau semester. Begitu juga dengan tanpa mengharap dan menanti rakan-rakan lain membantu bagi melicinkan perlaksanaannya.

Sebenarnya guru boleh melakukan apa sahaja teknik penilaian yang tidak bercanggah dengan konsep dan ciri-ciri pelaksanaan PKSR. Ianya tidak terikat dengan satu-satu cara atau kaedah sahaja. Malah guru yang kreatif akan sentiasa mempelbagaikan teknik penilaian di dalam kelas bagi menjamin keberkesanan pengajarannya.

Di sini saya ingin berkongsi tiga teknik penilaian yang mudah untuk dilaksanakan di dalam waktu pengajaran guru dan pembelajaran murid. Antaranya :
1. Penilaian menggunakan Kotak Pencapaian.
2. Penilaian menggunakan Carta Bintang.
3. Penilaian menggunakan Kaedah Mewarna, dan sebagainya.

KOTAK PENCAPAIAN


Kaedah ini membolehkan guru menilai murid atau melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Namun begitu, sedikit kelemahan yang terdapat pada kaedah ini ialah di mana guru hanya boleh menilai satu kemahiran sahaja atau dua kemahiran gabungan (seperti mendengar dan menyebut) dalam satu-satu masa untuk semua murid.

Cara melaksanakan kaedah ini adalah.
1. Guru menyediakan potongan-potongan kertas yang tertulis nama semua murid yang berada di dalam kelas atau nama murid yang hendak di nilai.
2. Nama-nama tersebut disimpan di dalam sebuah bekas atau kotak (lihat gambar ; bekas bulat).
3. Guru juga menyediakan 3 kotak lain bagi tujuan pengasingan nama murid kelak mengikut pencapaian mereka. Kotak boleh disediakan dalam apa jua bentuk bagi membezakan di antara satu sama lain samada melalui label seperti A, B dan C mahupun warna dan sebagainya.
4. Ketika guru mengajar sesuatu kemahiran (contohnya mendengar dan menyebut), guru boleh bertanya kepada murid bagi melihat keberhasilan pengajarannya walaupun guru tersebut masih mengajar.
- Guru akan memilih secara rawak mana-mana potongan nama murid yang tersedia di dalam bekas bulat pertama tadi untuk di soal. Selain itu, guru juga boleh meminta mana-mana murid bagi memilih nama murid lain yang akan di soal.
- Setelah guru mendapat nama murid yang akan di soal, maka soalan boleh terus diajukan ketika itu juga.
- Murid yang dipilih akan cuba menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Soalan ini mestilah soalan yang berkaitan dengan hasil pengajaran kemahiran yang hendak dinilai itu tadi, atau lebih mudah guru menggunakan salah satu item soalan yang terkandung dalam set soalan PKSR yang telah dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum BPK melalui laman sesawangnya.
- Seandainya murid dapat menjawab dengan baik, potongan kertas yang telah dipilih itu tadi akan dimasukkan ke dalam kotak penilaian A sebagai menandakan murid tersebut telah berjaya menguasai kemahiran yang ingin di nilai itu tadi.
- Sekiranya pula murid itu tadi hanya dapat menjawab dalam kadar yang sederhana, maka potongan kertas nama murid tersebut hendaklah di masukkan ke kotak pencapaian sederhana atau kotak B dan begitulah sekiranya murid tersebut langsung tidak dapat menjawab pertanyaan guru itu tadi, maka potongan kertas namanya akan dimasukkan ke dalam kotak pencapaian lemah atau kotak C.
- Guru boleh melakukan aktiviti ini secara tidak berterusan. Bererti guru boleh melakukannya berselang seli dengan aktiviti pengajaran yang seterusnya.
- Bagi murid-murid yang telah berjaya namanya dimasukkan ke dalam kotak A, ia tidak perlu di nilai oleh guru lagi. Manakala murid-murid yang sebaliknya, guru boleh membimbing mereka dan bertanyakan semula soalan kepada mereka yang masih berada di kotak B dan C sahaja sebagai amalan atau penilaian berterusan bagi memastikan mereka juga mencapai tahap yang telah ditentukan.
- Seandainya tempoh pengajaran telah sampai kepada satu tempoh yang telah ditetapkan, maka guru bolehlah menetapkan bahawa itulah pencapaian mereka untuk sesuatu tajuk atau kemahiran yang dinilai. Tindakan susulan perlu diberikan kepada mereka yang masih belum mencapai tahap pembelajaran yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka tidak keciciran.
- Setelah itu, guru bolehlah menyalin nama-nama yang terdapat dalam kotak-kotak A, B dan C ke dalam rekod pencapaian murid ketika di bilik guru mahupun di rumah.

Secara peribadi, saya melihat kaedah ini sesuai dijalankan bagi guru yang mempunyai murid yang sedikit bagi menilai mereka di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Ini adalah kerana kaedah ini hanya menilai dari satu aspek penilaian sahaja. Tidak boleh mempelbagaikan variasi soalan dari pelbagai kemahiran.

Saya akan berkongsi lagi kaedah kedua iaitu kaedah carta bintang dan kaedah mewarna dalam melaksanakan PKSR ketika proses p&p berlangsung dalam entri bahagian yang seterusnya.

Bersambung...

Read More......

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 2



SALAH KONSEP

Isu utama yang menjadi masalah dalam pelaksanaan PKSR adalah kekeliruan konsep dalam proses penilaian yang ingin dijalankan terhadap murid. Sebelum ini ramai dikalangan guru berpendapat bahawa PKSR dijalankan pada satu tempoh tertentu seperti di setiap akhir bulan pengajaran, atau di setiap akhir tajuk pelajaran mahupun ada yang lebih malang berpendapat bahawa PKSR dijalankan setelah melalui satu tempoh yang lebih panjang seperti dua atau tiga bulan malah ada yang menanti hingga 5 bulan!

Inilah punca kenapa PKSR tidak dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah. Kekeliruan pelaksanaan konsep PKSR di kalangan guru mengakibatkan PKSR bahasa Arab di sekolah-sekolah rendah menjadi ibarat melepaskan batuk di tangga. Asalkan ada.

Sekiranya kita melihat kepada ciri-ciri konsep PKSR itu sendiri kita akan dapat melihat bahawa antara tujuan PKSR adalah untuk menilai murid SECARA BERTERUSAN agar kelemahan murid TIDAK TERHIMPUN. Bererti PKSR bukan dijalankan secara berkala atau bermusim! Bahkan ia dijalankan di dalam setiap P&P!

Dahulu pernah guru-guru bahasa Arab j-QAF ditekankan tentang pelaksanaan PKSR dalam waktu pengajaran. Namun tidak pernah ada sesiapa yang menunjuk cara yang betul, mudah dan tepat untuk guru-guru bahasa Arab tersebut melaksanakannya. Apa yang ada hanyalah penentuan pada elemen-elemen penilaian yang sarat, yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Guru terpaksa mencari alternatif atau memikirkan cara tersendiri untuk menilai semua elemen yang telah ditentukan tersebut kepada semua murid dalam pada kesibukan-kesibukan lain yang terpaksa dijalankan sebagai aktiviti tambahan yang bukan menjadi sasaran kerja tahunan (SKT) di sekolah. Keadaan ini membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF tersebut dalam keadaan tersepit antara bebanan tugas PKSR yang banyak dan kehendak agar tidak dipandang sebagai perumpamaan "kera sumbang" dalam komuniti sekolah.

Guru Lain Membantu

Keadaan ini juga telah membuatkan guru-guru bahasa Arab j-QAF telah meminta guru-guru lain seperti guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF yang lain bagi membantu pelaksanaan PKSR ini. Hal ini banyak terjadi di sekolah-sekolah j-QAF sehingga ke hari ini.

Sekiranya kita melihat dalam buku panduan pelaksanaan dan ciri-ciri PKSR, ia ada menyebut bahawa PKSR ini hendaklah dijalankan oleh guru itu sendiri. Kenyataan ini boleh saya tafsirkan sebagai guru bahasa Arab itu sendirilah yang perlu menilai semua muridnya sendiri dan bukannya guru lain walaupun guru tersebut ada mengajar murid tersebut dalam kelas yang sama tetapi mata pelajaran berbeza seperti Pendidikan Islam mahupun mata pelajaran yang lain.

Mengapa saya bersetuju dengan kenyataan yang saya gelapkan di atas? Baiklah, cuba kita fikirkan sejenak tentang sifat kita sebagai manusia yang sentiasa mempunyai persepsi dalam diri. Kemudian kita fikirkan pula sejenak tentang perasaan setiap murid kita yang belajar dengan kita dan guru-guru yang lain. 

Setiap murid mempunyai kecenderungan minat yang berbeza. Keadaan ini menjadikan murid-murid kita berada dalam pelbagai kepandaian dan kecenderungan terhadap sesuatu mata pelajaran. Ada murid yang suka belajar bahasa Arab dan ada murid yang tidak suka. Ada murid yang pandai dalam mata pelajaran- mata pelajaran yang lain, tetapi langsung tidak pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab. Kesemuanya ini bergantung kepada persekitaran dan penerimaan mereka terhadap apa yang mereka belajar. Seandainya murid itu suka akan guru bahasa Arabnya, kecenderungan ia untuk pandai dalam mata pelajaran bahasa Arab  tersebut adalah tinggi. Seandainya ia tidak suka, maka hal sebaliknya yang akan berlaku walaupun ia merupakan murid cemerlang di kelas tersebut. Begitu juga ada murid yang terlalu pandai dalam bahasa Arab kerana latar belakang keluarganya yang mahir dalam bahasa Arab. Dalam waktu yang sama, mungkin dia tidak cemerlang dalam pendidikan Islam kerana perasaan tidak sukanya kepada guru Pendidikan Islam yang mengajarnya. Ini sebagai contoh.

Maka, cuba kita fikirkan pula diri kita sebagai guru yang hendak menilai tetapi tidak mengajar mata pelajaran yang kita hendak nilai. Seandainya kitalah guru Pendidikan Islam yang tidak disukai oleh murid tersebut tetapi ingin membantu rakan kita melaksanakan PKSR bahasa Arab seperti ujian lisan dan sebagainya, maka persepsi kita telah ada bahawa murid yang kita hendak nilai ini merupakan murid yang lemah berdasarkan dari pengalaman kita dalam kelas Pendidikan Islam bahawa murid ini selalu tidak memberi respon terhadap pengajaran kita. Maka dikhuatiri kita akan tidak berlaku adil dalam pemberian markah terhadap murid tersebut melalui persepsi yang telah sedia ada dalam diri kita. Setuju?

Maka, saya menyarankan kepada semua rakan-rakan j-QAF agar pelaksanaan PKSR hendaklah dijalankan disetiap waktu pengajaran oleh guru bahasa Arab itu sendiri dan bukannya oleh guru-guru lain yang mungkin sentiasa berlapang dada untuk membantu kita.

bersambung di entri yang akan datang..

Read More......

Jumaat, November 26, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 1

Sepertimana topik atau isu "Bagaimana melaksanakan P&P Berkesan Berpandukan HSP" yang telah saya kupas dalam entri saya lebih kurang tiga bulan lepas, topik atau isu kali ini (Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P?) tidak kurang pentingnya dalam menghasilkan mutu pengajaran bahasa Arab dengan lebih baik dari aspek penilaian yang lebih holistik dan telus.

PENDAHULUAN

PKSR atau nama penuhnya Penilaian Kendalian Sekolah Rendah bagi mata pelajaran bahasa Arab bukanlah satu perkara asing bagi guru khasnya guru-guru bahasa Arab (yang ingin saya fokuskan mereka di sini). Malahan sejak dari awal pelaksanaan j-QAF ini lagi guru-guru bahasa Arab j-QAF telah bertungkus lumus dalam melaksanakan "PKSR mengikut skala kadar" yang telah ditentukan oleh penggubal dasar dan termaktub di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF ketika itu. Ketika itu juga pelaksanaannya pernah menjadi isu besar guru-guru bahasa Arab j-QAF seluruh negara bilamana kaedah tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan di sekolah, lebih-lebih lagi bagi sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan kelas yang banyak dalam satu aliran termasuk sekolah saya walaupun bilangan kelasnya hanyalah sederhana (3 atau 4 kelas untuk satu aliran).

Saya masih teringat bilamana hampir kesemua guru bahasa Arab yang saya temui samada di dalam daerah, dalam negeri mahupun di negeri-negeri lain, masing-masing tidak mampu melaksanakan PKSR mengikut skala kadar tersebut. Kebanyakkan mereka hanya mengisi data markah yang direka cipta melalui "teknik sihir" bagi memenuhi data e-pelaporan j-QAF ketika itu. Maka sudah tentulah analisa pelaporan tersebut merupakan bukan analisa sebenar bagi menunjukkan prestasi bahasa Arab j-QAF ketika itu.

Bertitik tolak dari situ, ketika saya pernah diajukan soalan oleh pegawai khas bahasa Arab Jabatan Pelajaran Johor (ketika itu Ustaz Ahmad Zakuan bin Md Khudzari) tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru bahasa Arab j-QAF di negeri Johor, saya lantas mencadangkan agar fokus diberikan kepada penyelesaian masalah pelaksanaan PKSR bahasa Arab oleh guru-guru bahasa Arab j-QAF negeri Johor.  Maka, bermulalah tugas saya dalam membentuk satu konsep baru PKSR bahasa Arab yang berlandaskan prinsip dan ciri-ciri PKSR yang telah digariskan di dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF. Bengkel pertama telah diadakan di Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat bersama 20 peserta dikalangan jurulatih utama bahasa Arab dan guru-guru bahasa Arab negeri Johor.

Akhirnya dengan izin Allah, konsep PKSR yang baru ini siap di bina dengan model-model soalan yang lengkap bagi semua aliran. Dengan izinNYA juga, konsep ini telah dibawa ke kementerian dan dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat sebelum ianya diterima pakai dan dapat dilaksanakan di seluruh negara. Alhamdulillah.

Bersambung...

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu