Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Selasa, Julai 27, 2010

Seni Bahasa - Kursus JLU BA Kebangsaan.

Jazakallah kepada Ustaz Ahmad Zakuan yang telah memuat naik video-video persembahan JLU-JLU Kebangsaan dalam Slot فن تقديم اللغة, Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada 13-16 Julai yang lalu bertempat di Hotel Royale Bintang, Seremban.




إنني أهوى بلادي، حبها ملء فؤادي
وأنا أحمى حماها، ولها كل جهاد

أنا فرع وهي أصل، أنا منها وإليها
كيف لا يعشق طفل، بلدة يحيى عليها

أرضنا الخضراء عندي، فتنة للناظرين
ماءها عذب نمير، وحياة للمخلصين





أنا أحب أبي، هو هو هُ
اسمه عبد الله، هو هو هُ

أنا أحب أمي، هي هي ها
اسمها عزيزة، هي هي ها

أنا أحب أخي، هو هو هُ
اسمه محمد، هو هو هُ

أنا أحب أختي، هي هي ها
اسمها فاطمة، هي هي ها

Dan lakonan mantap dari JLU Bahasa Arab Johor, Ustazah Maizathul Sazila dari JB dan Ustazah Faizah Hamzah dari Batu Pahat. (Takallam Kabir)...

Read More......

Khamis, Julai 22, 2010

Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan 2010


Alhamdulillah. Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab peringkat kebangsaan bagi Zon A (negeri-negeri semenanjung) tahun 2010 telahpun berjaya dilaksanakan pada tahun ini selama 4 hari 3 malam di Hotel Royale Bintang, Seremban (13 - 16 JULAI 2010). Hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Royal Adelphi adalah merupakan tempat perhimpunan pertama jurulatih-jurulatih utama (JLU) bahasa Arab j-QAF seluruh Malaysia pada tahun 2007 yang lalu. Maka kehadiran saya ke kursus pada kali ini mengimbau sedikit kenangan pada kursus yang sama tahun 2007 tersebut. Namun, hampir separuh daripada peserta kursus kali ini bukanlah lagi orang yang sama pada tahun 2007, dan juga tahun-tahun yang lalu. Ramai muka-muka baru yang ditampilkan oleh jabatan pelajaran negeri masing-masing seperti Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain. Namun apa yang penting, kehadiran semua JLU-JLU ini mempunyai matlamat yang sama, memahami isi kandungan kursus seterusnya akan menjadi medium penyampai kepada guru-guru bahasa Arab di negeri masing-masing. Tahniah diucapkan kepada Ust. Ahmad Zakuan, Penolong Pengarah Unit Bahasa Arab, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertungkus lumus mengendalikan kursus ini dari awal hingga akhirnya sehingga berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Sejak saya menjadi JLU Bahasa Arab Negeri Johor pada tahun 2007, ini merupakan kali ke lima saya menghadiri kursus seumpama ini di peringkat kebangsaan. Namun, kalau mahu dihitung mesyuarat di peringkat kebangsaan yang telah saya hadiri sejak saya menjadi JLU, sudah tak terhitung lagi banyaknya! Apapun saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan dan peluang ini kepada saya untuk membantu, menyumbang usaha, tenaga dan bakti kepada kementerian untuk dimurnikan, digunapakai dan disalurkan kepada seluruh anak didik di seluruh negara. Semoga usaha kecil ini menjadi salah satu ibadah di jalan Allah untuk dihitung di Hari Perhitungan kelak.

2007
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan telah diadakan selama 4 hari 3 malam di Royal Adelphi, Seremban, Negeri Sembilan. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri kursus besar seperti ini. Perasaan seronok dan takut bercampur baur. Antara rakan JLU dari Johor ialah Ust. Zulrahim dari Pasir Gudang, Ust. Shahran dari Johor Bahru dan Ust. Khairozi dari Muar. Manakala pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor yang menyertai ialah Ust. Khahar bin Bachok.


2008
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada tahun ini telah diadakan sehari sahaja di Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Putrajaya yang dulu dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM). Hanya saya dan Ust. Nizam Noh dari Bandar Penawar sahaja yang mewakili Negeri Johor dalam kursus sehari ini dengan diiringi oleh Pegawai Khas Bahasa Arab JPN Johor ketika itu, Ust. Ahmad Zakuan.

2008
Tahun yang sama juga saya telah diarah oleh JPN Johor untuk menghadiri Kursus JLU Pendidikan Islam Kebangsaan selama 4 hari 3 malam di Hotel Goldcost, Klang Selangor. Antara rakan JLU yang mewakili Johor ialah ; Ust. Hamdan dari Ulu Tiram dan 6 orang JLU yang lain. Pegawai j-QAF JPN Johor yang mengiringi kursus pada kali ini ialah Ust. Khahar bin Bachok. Sedikit kenangan yang tidak dapat dilupakan pada kursus kali ini adalah bilamana saya telah dilantik menjadi penghulu di dalam kursus besar ini.

2009
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada tahun ini telah di adakan pada bulan Ramadhan di tempat yang sama dengan tahun sebelumnya iaitu di Hotel Goldcost, Klang Selangor selama 4 hari 3 malam. Pada tahun ini Negeri Johor telah menghantar 3 lagi JLU baru iaitu Ust. Nazihar bin Sisak dari Kulai, Ustazah Faizah dari Batu Pahat dan Ustazah Maizathul Sazila dari Johor Bahru. Manakala Ust. Nizam Noh dari Bandar Penawar telah dilantik menjadi penceramah slot Sukatan Pelajaran Bahasa Arab tahun 3 dalam kursus tersebut. Ust. Ahmad Zakuan pula sekali lagi mengiringi kami ke kursus ini.

2010
Peserta kursus dari Negeri Johor pada tahun ini merupakan orang yang sama dengan tahun lepas. Namun tahun ini merupakan tahun yang paling mendebarkan saya sebagai JLU Bahasa Arab negeri Johor bilamana saya telah diamanahkan oleh BPK untuk menyampaikan satu slot yang pada saya agak berat dan sensitif. Tambahan lagi peserta kursus kali ini bukan sahaja dikalangan JLU Bahasa Arab negeri dan pegawai jabatannya, malah sekurang-kurangnya seorang pensyarah dari setiap Institut Perguruan Malaysia (IPGM) telah diundang menjadi peserta kursus. Dua orang jemaah nazir dari kementerian juga telah diundang sebagai pemerhati di dalam kursus ini.

Tajuk slot yang telah saya sampaikan dalam kursus ini ialah "P&P Berkesan dan Kaedah Penilaiannya serta Penggunaan Lughatul Fasli di Kelas". 3 Tajuk telah digabungkan menjadi satu tajuk, dan tempoh yang telah diberikan ialah 1 jam 30 minit.

Sejak daripada saya mendapat tahu berkenaan amanah dan kepercayaan ini (MAC 2010), saya selalu resah dan bimbang tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Namun, atas dorongan isteri, keluarga, ketua-ketua dan rakan karib, saya gagahkan juga untuk menyahut cabaran ini. Sewaktu pra pembentangan slot saya di hadapan pegawai-pegawai BPK, JPN, pensyarah IPGM dan JLU pada akhir JUN yang lalu, saya teruk dihujani dengan pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan dari apa yang cuba saya paparkan. Walaupun saya cuba pertahankan apa yang ingin saya sampaikan, namun saya terpaksa akur dengan pengalaman dan ilmu yang mereka ada. Seterusnya saya terpaksa membuat sedikit perubahan dalam paparan slot saya sebelum ianya dibentangkan. 

Walaupun saya agak merasa kekok, gementar dan gugup ketika menyampaikan slot saya di hadapan JLU-JLU negeri yang hebat, pegawai-pegawai kementerian dan pensyarah-pensyarah IPGM, namun saya merasa sangat puas dengan respon positif yang saya terima dari mereka. Bertalu-talu soalan dan pertanyaan yang positif, dan apa yang lebih penting percambahan idea yang sangat berguna yang saya terima dari peserta ketika saya menyampaikan slot tersebut. Saya juga telah menyampaikan idea saya yang pernah ditolak dalam pra pembentangan lalu melalui lisan tanpa paparan slide, dan amat menakjubkan bilamana idea tersebut diterima dan dipersetujui oleh majoriti peserta kursus! Alhamdulillah.

Apakah idea yang saya maksudkan itu? dan apakah pula isi-isi penting yang dibincangkan di dalam kursus tersebut? Saya akan sambung lagi penulisan ini dengan paparan isi-isi penting kursus sebagai muqaddimah kepada pembaca dan pengunjung sebelum ianya dibentangkan di peringkat negeri nanti. InsyaAllah.


Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan oleh pengurus projek Ust. Ahmad Zakuan, Penolong Pengarah Bahasa Arab, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.



Kredit untuk Ustaz Ahmad Zakuan bin Md. Khudzari

Read More......

Isnin, Julai 12, 2010

Tahniah Kokuria!

Tahniah! Congrate! Mubarak!
Tahniah diucapkan kepada para pemenang Kokuria (Aktiviti Kokurikulum Bahasa Arab) Peringkat Daerah Johor Bahru yang telah berjaya dilaksanakan pada 10 JULAI 2010, bertempat di tiga buah sekolah berjiranan, SK Temenggong Abdul Rahman 1 dan 2 serta SK (P) Sultan Ibrahim (STAR 1, STAR 2 & SIGS), Johor Bahru.

Alhamdulillah, majlis ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya meskipun terdapat beberapa masalah yang berlaku pada awalnya. Apa yang penting, pujian harus diberikan kepada semua guru-guru bahasa Arab Daerah Johor Bahru yang terlibat sebagai jawatankuasa pelaksana majlis ini. Begitu juga dengan beberapa individu penting dalam memastikan perjalanan majlis ini berjalan dengan lancar dan berjaya iaitu Ust. Norzaidi bin Ismail, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Unit Pendidikan Islam, Ust. Zaidi bin Ismail (Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Unit j-QAF - Tahniah di atas perlantikan dan tahniah juga di atas kejayaan majlis pertama anda) dan Ustazah Norhashimah (Penyelaras Pendidikan Islam). 

Pujian juga harus diberikan kepada urusetia-urusetia majlis, Ustazah Maizathul Sazila Othman (STAR 1), Ustazah Zakiah (SK Sri Amar) dan Ustazah Norasyikin yang bekerja keras siang dan malam membantu pihak pengurusan PPD bagi menjayakan dan melancarkan lagi program ini kelmarin. Walaupun (rupanya) saya masih merupakan Setiausaha Panitia Bahasa Arab Daerah Johor Bahru (yang tidak diterima perletakan jawatan saya) dan juga merupakan salah seorang urusetia yang dilantik (disaat akhir - tiga hari sebelum majlis) oleh PPD, tetapi saya merasa terlalu kecil sumbangan yang telah saya berikan (dalam tempoh tiga hari tersebut). Dalam tempoh yang singkat sebelum majlis berlangsung barulah saya berkesempatan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa pelaksana dan membantu apa yang boleh dibantu disaat-saat akhir. Saya memohon jutaan maaf di atas kelemahan ini.

Saya mendoakan agar majlis seperti ini boleh diadakan lagi dengan meneliti lebih banyak perkara melalui perbincangan demi perbincangan meja bulat oleh jawatankuasa induk agar ianya lebih realistik, berjaya dan berkualiti. Amin.

Tahniah kepada para jemaah hakim yang bertungkus lumus meneliti setiap persembahan yang dipersembahkan dan seterusnya memilih pemenang-pemenang berikut ;

1. Dikir Barat Bahasa Arab : 
Johan : SK Kampung Maju Jaya (3 tahun berturut-turut menjadi johan dan mewakili daerah Johor Bahru).
N.Johan : SK Taman Tun Aminah 2
Ketiga : SK Taman Universiti 4

2. Kalam Jamaei : 
Johan : SK IJ Convent.
N. Johan : SK Tanjung Puteri
Ketiga : SK (P) Sultan Ibrahim (SIGS)

3. Tilawah Lelaki : 
Johan : SK Bandar Uda 2
N. Johan : SK Taman Universiti 1
Ketiga : SK Taman Universiti 4

4. Tilawah Perempuan :
Johan : SK Kompleks Uda
N. Johan : SK Taman Bukit Mewah
Ketiga : 

5. Nashid Bahasa Arab (Tahap 1)
Johan : SK (P) Sultan Ibrahim (SIGS)
N. Johan : SK Kempas
Ketiga : SK Seri Melati

6. Kuiz Bahasa Arab
Johan : SK Taman Bukit Mewah
N. Johan : SK Taman Universiti 3
Ketiga : SK Taman Universiti 4

7. Hiwar (Perbualan Bahasa Arab)
Johan : SK Tebrau Bakar Batu
N. Johan : SK (P) Sultan Ibrahim (SIGS)
Ketiga : SK Kempas

8. Khat (Lelaki)
Johan : SK Taman Suria
N. Johan :
Ketiga : 

9. Khat (Perempuan)
Johan : 
N. Johan : SK Taman Suria
Ketiga : 

10. Bacaan Lancar Bahasa Arab (Lelaki)
Johan :
N. Johan :
Ketiga : 

11. Bacaan Lancar Bahasa Arab (Perempuan)
Johan :
N. Johan :
Ketiga : 

12. Syarahan Bahasa Arab (Lelaki)
Johan : SK Kempas
N. Johan : SK Taman Perling
Ketiga : SK Damai Jaya

13. Syarahan Bahasa Arab (Perempuan)
Johan : SK Kompleks Uda
N. Johan : SK Tanjung Puteri
Ketiga : SK Sri Skudai

14. Bercerita Bahasa Arab (Lelaki) (Tahap 1)
Johan : SK Kempas
N. Johan : SK Taman Bukit Mewah
Ketiga : SK Temenggong Abdul Rahman 2 (STAR 2)

15. Bercerita Bahasa Arab (Perempuan) (Tahap 1)
Johan : 
N. Johan :
Ketiga : 

16. Imlak (Lelaki) (Tahap 1)
Johan : SK Taman Universiti 4
N. Johan : SK Sri Tebrau
Ketiga : SK Taman Mutiara Rini 1

17. Imlam (Perempuan) (Tahap 1)
Johan : SK Tanjung Puteri
N. Johan : SK Perling 2
Ketiga : SK Nong Chik

*maaf kerana saya tidak berkesempatan untuk merakam walau sekeping gambar dalam majlis ini.

Read More......

Ahad, Julai 11, 2010

PERJALANAN YANG PANJANG?

Terlalu lama blog ini dibiarkan sepi tanpa entri terbaru. Entah apa sebenarnya yang melanda diri pengurus blog ini pun sukar untuk diceritakan. Mungkin itu hanya sekadar kata-kata biasa untuk menyedapkan mata orang yang membaca dan diri yang menulis dari apa yang tidak sepatutnya dibaca dan ditulis.

Mungkin ianya serupa dengan keadaan beberapa rakan JLU meranggkap blogger-blogger j-QAF di utara sana yang telah membiarkan blog-blog mereka sepi sejak lebih lama dari saya membiarkan blog ini sepi. Walaupun mungkin ada persamaan tetapi yang pasti ianya tidak sama. Keadaannya tidak sama, penerimaannya tidak sama malah akhirnya juga tidak sama.

Sejak dua bulan yang lalu blog ini tiada entri baru yang saya tulis. Namun tempoh tersebut bagaikan satu tempoh yang terlalu singkat bagi saya. Masa berjalan dirasakan bagai air yang mengalir deras.

Jadual kerja yang ketat, luar dan dalam sekolah.
Date line tugasan yang rapat, perlu dibuat, perlu diserah.
Masa untuk berehat pun tidak ada bila tiba cuti sekolah.
Mujur diri ini masih sihat, walau tak henti-henti berpenat lelah.

Hmm.. dah macam puisi pulak perenggan atas ni. :)

Kesibukan saya terhadap tugas-tugas di luar teruji dengan ketiadaan pembantu rumah sejak lebih sebulan yang lalu. Proses menyesuaikan diri tanpa pembantu rumah memerlukan kesabaran setelah lebih kurang tiga tahun bergantung harap padanya untuk segala urusan dan hal yang berkaitan di rumah. Namun setelah hampir sebulan setengah ini, semuanya menjadi alah bisa tegal biasa. Saya, isteri dan anak-anak lebih rasa selesa dan seronok tanpa pembantu rumah. Semuanya diuruskan bersama-sama dan ini menjadikan hubungan kami lebih rapat dan saling bekerjasama.

TUGASAN DI SEKOLAH

Seperti guru-guru yang lain, saya juga tidak terlepas dari sebarang tugas-tugas di sekolah. Samada tugas tersebut merupakan tugasan wajib bagi seorang guru, mahupun tugasan tambahan yang tidak dapat lari dari melaksanakannya.

Pengajaran mesti berjalan mengikut perancangan yang telah dibuat. Ada yang tercicir dek kerana ketiadaan saya di sekolah, terpaksa diganti dan dikejar semula.

Ujian dan penilaian juga perlu dijalankan dengan betul mengikut jadual yang telah ditetapkan walaupun saya kerap membuat kerja di luar berhari-hari. Bukanlah menjadi satu pengecualian untuk saya mengetepikan tugas-tugas tersebut dek kerana tugas-tugas lain yang saya pikul di peringkat jabatan mahupun kementerian.

TUGASAN DI LUAR SEKOLAH

Diperingkat Negeri Johor, status pelaksanaan Plan-J bahasa Arab masih dalam proses pemurnian. Awal Julai lalu, pemurnian pertama telah berlangsung dengan jayanya bagi tahun 2, 3, 5 dan 6. Manakala tahun 1 dan 4 pula terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan bahan baru yang digunapakai tahun hadapan untuk diproses menjadi Plan-J bahasa Arab Negeri Johor.

IPGM Kampus Temenggong Ibrahim Johor Bahru juga telah mengundang saya untuk kesekian kalinya menyumbangkan khidmat di sana pada cuti sekolah awal Jun yang lalu. 10 jam diberikan kepada saya untuk menghabiskan modul 3 bahasa Arab minor untuk pelatih guru pendidikan Islam j-QAF kumpulan 2 ambilan Julai 2009. Alhamdulillah, kesempatan kedua saya mengajar mereka adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Selepas ini sudah tidak ada lagi kelas bahasa Arab bersama mereka. Apapun, terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang saya menjadi tutor anda. Tapi jangan lupa hantar assignment sebelum tamat praktikum ya!

Diperingkat kementerian pula, saya telah menghadiri beberapa siri mesyuarat di bawah anjuran Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Jika dilihat jadual mesyuarat saya pada tahun ini, sejak Mac hingga Julai, setiap bulan saya telah memenuhi undangan BPK bagi tujuan mesyuarat dan pemurnian pelaksanaan PKSR dalam KSSR dan KBSR tahun hadapan.

13 - 16 Julai adalah tarikh kursus bagi Jurulatih Utama bahasa Arab j-QAF peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Hotel Royal Bintang, Seremban. Lebih kurang 4 orang jurulatih utama setiap negeri akan berkumpul di sana bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan pelaksanaan bahasa Arab j-QAF bagi tahun 2011. Di sini jugalah semua jurulatih-jurulatih utama akan berkumpul, bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta masalah dan penyelesaiannya disamping mendapatkan input-input, teknik/kaedah serta segalanya yang berkaitan dengan bahasa Arab dan j-QAF untuk disampaikan di negeri masing-masing dalam kursus-kursus diperingkat negeri pada penghujung tahun ini.

Antara fokus utama dalam kursus kali ini adalah berkenaan transformasi pendidikan melalui pelaksanaan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang akan dilaksanakan bermula bagi murid tahun satu 2011 bagi menggantikan KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) yang bermula pelaksanaannya pada Januari tahun hadapan. Selain itu seperti tahun-tahun lepas, pendedahan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) yang baru adalah fokus kursus seperti ini. Namun tahun ini fokus diberikan kepada HSP bahasa Arab tahun empat. Di harap kesemua peserta kursus (jurulatih-jurulatih utama bahasa Arab) dapat memberikan tumpuan untuk memahami intipati penyampaian penceramah setiap slot dalam kursus ini.

Sedikit kelainan dalam kursus jurulatih utama bahasa Arab peringkat kebangsaan pada tahun ini, beberapa pensyarah dari IPGM seluruh negara akan diundang sebagai peserta kursus kali ini. Ini bertujuan untuk mendapatkan kerjasama yang erat diantara jabatan pelajaran negeri dan pensyarah-pensyarah IPGM di negeri masing-masing dalam pelaksanaan kursus di peringkat negeri nanti. Semoga kerjasama ini akan menjadikan penyampaian maklumat kepada guru-guru lebih tepat dan betul. InsyaAllah.

Sejak saya menjadi jurulatih utama bahasa Arab Negeri Johor pada awal tahun 2007, setiap tahun saya telah terpilih untuk menghadiri kursus jurulatih utama bahasa Arab peringkat kebangsaan ini. Namun pada tahun ini, kehadiran saya ke kursus ini bukan lagi sebagai peserta, tetapi telah diamanahkan oleh pihak BPK untuk menyampaikan satu slot selama 2 jam. Pada awalnya saya cuba menolak tanggungjawab berat ini memandangkan saya bukanlah orang yang layak untuk bercakap di hadapan jurulatih-jurulatih utama bahasa Arab seluruh negara yang hebat-hebat belaka. Namun, atas dorongan dan semangat yang diberikan oleh insan-insan di sekeliling saya, saya menyahut cabaran ini untuk cuba menyampaikannya nanti. Semoga penyampaian saya dapat difahami dan diambil intipatinya oleh semua peserta kursus ini nanti.

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu