13-15 April 2010 baru-baru ini, saya telah menghadiri jemputan mesyuarat untuk transformasi bahasa Arab di Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) di Putrajaya. Mesyuarat yang berlangsung selama 3 hari ini terbahagi kepada beberapa kumpulan perbincangan. Seperti biasa saya ditugaskan sebagai setiausaha kepada perbincangan mengenai penilaian bahasa Arab dan PKSR bahasa Arab. Ketua bagi perbincangan ini iaitu Ustaz Ahmad Lutfi bin Abu Bakar (Penolong Pengarah Bahasa Arab JPN Perak) hanya dapat hadir pada petang hari kedua perbincangan kerana sebab-sebab tertentu. Walaupun begitu, saya bersyukur kerana semua perbincangan telah berjalan dengan amat lancar dan telah mencapai target mesyuarat serta berjaya menghasilkan satu hasil kerja yang telahpun disepakati dan dimurnikan bersama.
Read More......
Agak lama juga saya tidak menulis apa-apa dalam blog ni. Alasan biasa bagi blogger-blogger seperti saya apabila blog tidak dikemaskini dengan sebarang entri terbaru. Sibuk. Ya, memang agak sibuk dan bukan kerana sudah hilang mood atau apa-apa yang seumpama dengannya.
Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon-calon rentasan praktikum j-QAF ambilan Januari 2009. Tahniah juga kepada mereka yang telah berjaya menamatkan praktikum mereka walaupun tidak direntas. Jangan putus semangat! Perjuangan bukan hanya terletak kepada sesiapa yang direntas atau tidak, tetapi ianya kepada kejayaan kita mendidik anak-anak murid kita di sekolah sehingga mereka boleh menguasai apa yang diajarkan kepada mereka. Itu lebih penting.
Saya juga ingin memohon maaf kerana tidak dapat memberi maklum balas atas beberapa email yang saya terima berkenaan panduan rentasan praktikum lantaran masa lapang yang sukar menjelma dalam diari hidup saya seharian. Untuk itu, serba ringkas sedikit panduan yang mungkin boleh membantu adik-adik/sahabat-sahabat dalam menempuh rentasan praktikum dan mungkin juga boleh digunakan bagi mereka yang belum diselia kali terakhir oleh pensyarah dan guru pembimbing masing-masing.
Read More......