Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Ahad, Januari 10, 2010

Selamat Menjalani Praktikum j-QAF Ambilan Jan 2009


Sepertimana setiap awal tahun, debaran dan semangat yang berkobar-kobar pasti ada dalam diri setiap guru dan pendidik. Semangat itu adalah untuk menjadikan tahun tersebut bakal menempa sebuah kecemerlangan dalam kerjaya mahupun kejayaan yang cemerlang kepada anak-anak didik yang diajar. Selain itu pelbagai lagi matlamat dan hala tuju akan difokuskan sebagai pemangkin kerja yang bermutu dan terbaik. Maka pelbagai persediaan dan strategi kita atur dan susun sejak dari awal lagi untuk pelaksanaannya sepanjang tahun yang jauh ini.

Begitu juga debaran dan semangat ini turut dirasai oleh sahabat-sahabat atau junior pelatih guru j-QAF yang masih belum tamat latihan mereka. Malah mungkin debaran dan semangat mereka melebihi dari apa yang dirasai oleh guru-guru yang terlatih. Manakan tidak, tempoh ujian praktikum sedang menanti mereka! Satu tempoh yang tidak dapat dilupakan oleh semua guru atau pendidik sebelum mereka dilantik secara sah dalam perkhidmatan awam.

Pada awal tahun lepas (2009), saya telah menulis beberapa episod entri di dalam blog ini berkenaan persediaan menjalani praktikum, khusus untuk pelatih-pelatih j-QAF yang akan menempuhi tempoh praktikum mereka pada waktu itu. Namun pada tahun ini, cukuplah sekiranya saya hanya berkongsi pautan-pautan entri tersebut sebagai rujukan kepada mereka yang akan menjalani praktikum pada minggu ini. Ambillah manfaat yang terdapat di dalamnya. Mudah-mudahan ianya boleh membantu anda membina kejayaan yang cemerlang dalam praktikum ini nanti. Selamat maju jaya!





Anda juga boleh memilih kategori praktikum di ruangan label di dalam blog ini untuk melihat keseluruhan entri berkenaan praktikum.

Read More......

Sabtu, Januari 09, 2010

JLU.. oh JLU...


Tajuk JLU.. oh JLU.. pada kali ini tidak ada apa-apa kaitan dengan kereta saya yang secara kebetulan mendapat nombor pendaftaran JLU. Ianya hanya sekadar gambar hiasan semata-mata. :)

Tajuk JLU.. oh JLU.. ini ditulis setelah mendapat beberapa mesej atau komen (yang saya duga semuanya dari orang yang sama berdasarkan nombor IP yang sama setelah saya melihatnya di laman chat box saya) berkenaan entri saya yang lalu bertajuk, "RPT oh RPT..."

Walaupun saya tahu komen tersebut mungkin dari orang yang sama, namun keputusan saya untuk menulis entri ini adalah untuk menggantikan komen-komen saya bagi menjawab komen-komen beliau terhadap apa yang telah saya tuliskan. Pada fikiran saya, adalah lebih baik seandainya komen dan jawapannya dapat dibaca dan difahami oleh lebih ramai orang dengan tempoh yang lebih panjang berbanding sekiranya ia dibiarkan di chat box tersebut, ia akan hilang setelah semakin banyak komen atau ulasan yang lain ditulis disitu.

Seperti yang saya katakan, komen ustazah yang kecewa, ustaz yang kecewa juga dan Insyirah pada saya adalah datang dari orang yang sama berdasarkan IP mesej tersebut adalah sama. Berikut adalah komen beliau terhadap entri saya tersebut :

Ustazah yang kecewa: Wah...nak mintak RPT pun bukan main panjang Ustaz punya komen... Yang saya tahu, JLU ditugaskan untuk membantu guru-guru yang memerlukan sumbangan dan bantuan.Tapi takpelah, baru kami kenal Ustaz...

Ustaz yang kecewa juga: Yelah Ustazah, saya setuju tu... takkanlah dah balik dari Oman dah tak nak tolong kami kot... di mana AMANAH sebagai JLU tu...

Insyirah: Kalau zaujah Ustaz Mior nak guna RPT saya, beritahu saya ye...

Jawapan saya kepada Ustazah yang kecewa adalah, apa yang ustazah telah tahu berkenaan tugas JLU untuk membantu guru-guru yang memerlukan sumbangan dan bantuan adalah tidak benar.

Sebagai seorang JLU yang disingkatkan daripada perkataan JuruLATIH Utama adalah berfungsi untuk membantu pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran dalam MELATIH guru-guru untuk menjadi lebih cemerlang. Tidak pernah saya diberitahu bahawa tugas saya sebagai JLU adalah untuk menyediakan semua keperluan yang diperlukan oleh guru untuk mereka menjalankan tugas mereka. Seandainya tugas JLU adalah seperti yang ustazah katakan, saya fikir lebih baik sekiranya perkataan JLU ditukar kepada JPU dengan membawa maksud Juru PEMBANTU Utama. Maka para semua JLU tidak perlu lagi duduk di sekolah bahkan hanya perlu menyediakan semua yang guru-guru perlukan dari perkara-perkara yang kecil hingga perkara-perkara yang besar. Betulkan?

Kepada Ustaz yang kecewa juga, saya juga kecewa dengan anda. Kecewa anda kerana tidak mendapat rancangan pengajaran tahunan dari saya atau mungkin anda kecewa kerana anda beranggapan saya sombong hingga tidak lagi mahu menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan.

Kecewa saya pula adalah kerana sedih melihat seorang ustaz dan pendidik yang tidak dapat membezakan antara yang baik dan sebaliknya, sehingga mempersoalkan di mana AMANAH yang saya pegang sebagai JLU.

Cuba ustaz baca semula entri saya tersebut dan fahamkan apa isi kandungannya. Adakah saya hanya menyalahkan guru-guru yang hanya ingin jadi peminta dari pemberi? Adakah saya tidak memberi alternatif, tunjuk ajar, cara atau latihan bagaimana untuk menyediakan rancangan tahunan itu sendiri? Ada atau tidak? Ada bukan...? So tugas dan amanah yang diberikan kepada saya sebagai seorang JLU adalah untuk melatih guru-guru bahasa Arab di Negeri Johor khasnya untuk menjadi lebih cemerlang! Faham akan apa yang diajar, bersedia 100% untuk mengajar, dan sentiasa berusaha untuk menjadi seorang guru yang lebih cemerlang. Adakah apa yang saya lakukan ini bukan satu tanggungjawab dari AMANAH tersebut? Atau seperti kata ustaz dengan nama "ustazah yang kecewa" itu saya perlu menjadi penyedia dan pembantu kepada semua guru-guru? Fuh! Mungkin ustaz lebih mampu untuk menjadi begitu agaknya.. So, kenapa tidak ustaz yang cemerlang ini kehadapan, tonjolkan kecemerlangan dan sudah tentu akan dilantik menjadi JLU sebagai pengganti saya. Boleh kan?

Kepada Insyirah yang masih menggunakan IP yang sama dengan ustazah yang kecewa dan ustaz yang kecewa juga, saya dan zawjah mengucapkan terima kasih banyak-banyak atas bantuan yang cuba dihulurkan. Bukan zawjah saya sombong untuk tidak menerimanya, tetapi zawjah saya sudah pun siap merancang pengajaran tahunannya untuk tahun 2010 ini dengan berpandukan taqwim persekolahan 2010 di sekolahnya.

Seandainya saya boleh menyuruh orang lain dan melatih orang lain untuk menjadi cemerlang, kenapa tidak saya melatih zawjah saya sendiri untuk menjadi cemerlang? Kecemerlangan dalam pekerjaan adalah satu ibadah. Ibadah perlu dilakukan bersungguh-sungguh agar ianya mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah. Begitu juga dalam usaha kita sebagai seorang pendidik, kita perlu berusaha untuk menjadikan pekerjaan kita yang mulia ini adalah pekerjaan yang selalu dipandang tinggi dan apa yang lebih penting mendapat keberkataan Allah dari amalan dan rezeki yang kita terima untuk seisi keluarga kita. Betulkan? Sampai bila golongan guru-guru agama ini terus dipandang rendah oleh golongan-golongan diluar sana?

.............

Hakikatnya apa yang saya tulis dalam entri tersebut mendapat sokongan 110% dari Penolong Pengarah Bahasa Arab Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Ustaz Ahmad Zakuan Md Khudzari yang akan naik pangkat ke Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya pada bila-bila masa dari sekarang dengan jawatan Penolong Pengarah Bahasa Arab. Malah zawjahnya juga (Ustazah Hanan) ada menulis di chat box saya mengatakan yang beliau juga berjaya merancang sendiri rancangan tahunannya. Lihat! Orang yang hebat seperti Ustaz Zakuan dan zawjahnya Ustazah Hanan juga merancang sendiri rancangan pengajaran tahunan mereka. So, kenapa tidak kita mengikut jejak langkah mereka?

Sekiranya anda dapat melihat kebaikan yang sangat luar biasa sekiranya anda merancang sendiri rancangan pengajaran tahunan anda, anda tidak akan mengharap rancangan pengajaran yang dirancang oleh orang lain untuk kita pada tahun semasa. Bukankah apa yang saya sarankan itu sangat baik untuk diri kita dan anak-anak murid kita?

Hakikatnya juga, rancangan pelajaran tahunan ini tidak disediakan diperingkat kebangsaan. Begitu juga diperingkat negeri khasnya Negeri Johor. Namun begitu ada juga beberapa buah negeri yang mengambil inisiatif untuk menyediakan rancangan tersebut yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu seperti JLU. Tahniah diucapkan kepada mereka. (Ustaz@ ustazah mungkin dah dapat dari mereka)

Namun bagi saya, ketiadaan rpt di Johor harus diambil kesempatan untuk belajar sendiri menyediakannya. Kerana itu saya ada mengajar dan menunjuk cara bagaimana untuk menyediakan rpt tersebut dalam entri saya yang membuatkan ustaz dan ustazah yang kecewa menulis luahan hati mereka di sini. Tak apa, saya terima dengan hati yang terbuka. Dan ini adalah penjelasan dari saya.


JLU
Hakikatnya, sejak akhir tahun 2008 yang lalu saya sudah menyuarakan hasrat saya untuk menjadi seorang guru sepenuh masa kepada Ustaz Ahmad Zakuan. Namun permintaan saya itu ditolak mentah-mentah oleh beliau. Sejak itu saya masih terus menjalankan amanah yang diberi walaupun saya sendiri menyedari hakikat diri saya masih banyak yang perlu dipelajari.

Saya terpilih ke Oman adalah kerana terpilih dan bukannya dipilih seperti yang disebut oleh beberapa rakan saya. Ini saya pasti setelah merujuk kepada pihak BPI yang bertanggungjawab menemuduga kami. Walaupun mungkin mereka tersilap memilih saya, namun saya telah menerima tanggungjawab tersebut dengan penuh rasa berat hati yang teramat sangat. Sejak awal lagi saya telah cuba menolak untuk pergi ke sana. Hinggakan setelah hampir 2 minggu di sana saya merasakan saya memang tidak layak bersama peserta-peserta lain menjalani kursus di sana dan rasa ingin pulang ke tanah air dan duduk di sekolah seperti kebanyakan rakan-rakan saya. Namun saya kuatkan semangat dan meneruskan juga perjuangan tersebut. Peluang dan tanggungjawab yang telah diberikan tidak boleh saya sia-siakan.

Memang tidak dinafikan ramai yang kecewa kerana setelah kami pulang, tidak terdapat pendedahan yang dapat dikongsikan dengan beribu guru-guru lain di Malaysia. Namun, kalau di lihat negeri-negeri lain, ada yang pergi bersama pegawai jabatan mereka, dan ada juga yang pergi bersama wakil pensyarah IPGM di negeri mereka. Tetapi saya sendirian dari Johor tanpa ditemani oleh pegawai jabatan pelajaran negeri mahupun pensyarah dari IPGM Johor Bahru dan Batu Pahat.

Kerana ketiadaan peruntukan samada di peringkat kebangsaan mahupun negeri, apa yang kami perolehi di Oman hanya tersimpan dalam external harddisk kami masing-masing tanpa diproses dan dimurnikan sebelum ianya dapat disebarkan. Walaupun begitu, saya cuba dengan alternatif yang ada pada saya melalui blog ini untuk berkongsi beberapa maklumat yang bermanfaat dengan rakan-rakan. Saya murnikan sendiri.. dan saya kongsikan di sini! Berbanding dengan rakan-rakan lain yang ditemani pegawai dan pensyarah mereka ketika di Oman, ada juga yang masih tidak dapat berkongsi apa-apapun dengan guru-guru di negeri mereka (bukan semua). Masalah ini tidak boleh disalahkan kepada peserta kursus Oman itu sahaja.

Jika ada yang masih beranggapan saya sudah lupa diri, sombong dan kedekut, terpulanglah.. Saya tidak pernah diminta untuk dianugerahi apa2 anugerah apalagi dipuji. Kerana sekiranya saya meletakkan anugerah sebagai matlamat saya, saya pasti akan berhenti bekerja dan berkongsi apabila saya perolehi Anugerah Khas Kualiti Pengarah dalam Hari Kualiti JPN Johor 2009 pada 28 Disember 2009 yang lalu. Sekiranya saya minta untuk dipuji, sudah tentu saya sudah menyiarkan berita anugerah tersebut sejak awal lagi. Tapi tidak... Kerana selagi hayat saya dikandung badan, selagi diri ini mampu untuk berkongsi apa yang saya ketahui walaupun kecil, saya tetap menggunakan nikmat Allah ini untuk kebaikan kita bersama, bukan untuk dianugerahi atau dipuji.

Saya akan terus berkhidmat dan berkongsi selagi diperlukan... Dua tiga hari yang lepas, saya baru menyiapkan 8 set soalan penilaian tahun 3 kegunaan tahun 2010 bagi penilaian 4 kali setahun. Sebenarnya soalan ini disediakan oleh jawatankuasa PKSR kebangsaan yang terdiri daripada beberapa orang JLU seluruh Malaysia dan saya merupakan salah seorang daripadanya. Setelah siap soalan itu digubal, tinggal semakan terakhir oleh saya dan semuanya telah saya serahkan kepada BPK pada 6 Januari yang lalu.

Begitu juga dengan penilaian setiap bulan bagi tahun 1, 2 dan 3 juga sekarang dalam proses semakan terakhir oleh saya untuk kegunaan kita bersama pada tahun 2011 nanti. Dan semua soalan-soalan ini akan diKONGSI bersama-sama untuk kita sama-sama laksanakan PKSR dengan berkesan dan berjaya.

Saya mohon maaf atas segala ketelanjuran saya. Saya juga guru dan manusia biasa. Guru yang mengajar bahasa Arab di sekolah rendah sepertimana rakan-rakan yang lain ajar. Marilah kita bersama-sama berganding bahu mencapai kecemerlangan bahasa Arab dan j-QAF yang sedang menuju puncaknya pada penghujung tahun 2010 ini.

j-QAF TANPA GAGAL...

Read More......

Ahad, Januari 03, 2010

PKSR 2010 & 2011

Sebagai langkah awal bagi persediaan guru-guru bahasa Arab j-QAF melaksanakan PKSR bahasa Arab pada tahun ini, saya terpanggil untuk menulis sedikit catatan berkenaan dengannya setelah ianya disebut oleh Akh Nazri dalam chat box saya di blog ini.

Setelah diperbincangkan berkali-kali diperingkat kebangsaan oleh jawatankuasa PKSR Bahasa Arab peringkat kebangsaan, PKSR tahun 2010 dan 2011 adalah berbeza diantara keduanya dan tahun-tahun yang sebelumnya.

Secara ringkas, berikut adalah hasil mesyuarat terakhir saya bersama Jawatankuasa PKSR Bahasa Arab di bawah Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang berlangsung di Seaview Hotel Langkawi pada 8 - 10 Disember yang lalu. Mesyuarat ini dibawah kendalian Ustazah Faseha (BPK) dan diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Lutfi bin Haji Abu Bakar (Penolong Pengarah j-QAF JPN Perak).

-------------------------------------------------------

PKSR 2010

TAHAP SATU
Tahun 1 & 2 : berjalan seperti sebelum ini (PKSR setiap bulan)
Tahun 3 : Penilaian* 4 kali setahun (Seperti yang dibentangkan di Kursus JLU Kebangsaan di Goldcost Klang tahun 2009 yang lalu. Soalan disediakan oleh BPK).

TAHAP DUA
Tahun 4, 5 & 6 : PKSR dijalankan pada pertengahan & akhir tahun. (Seperti sebelum ini, soalan disediakan oleh BPK)

-------------------------------------------------------

PKSR 2011 dan seterusnya...

TAHAP SATU
Tahun 1, 2 & 3 : PKSR setiap bulan (10 soalan lisan setiap bulan dan disediakan oleh BPK)

TAHAP DUA
Tahun 4, 5 & 6 : PKSR pada pertengahan & akhir tahun (Soalan disediakan oleh BPK)

-------------------------------------------------------

* Sekiranya ada dapat perhatikan, PKSR 2010 untuk tahun 3 tidak dipanggil dengan nama PKSR bahkan disebut "PENILAIAN". Juga kita dapat dilihat bahawa penilaian tersebut hanya dilaksanakan pada tahun 2010 sahaja. Jawapan bagi persoalan tersebut adalah kerana format yang telah dibincangkan bagi pelaksanaan penilaian empat kali setahun tersebut tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR). Oleh yang demikian, jawatankuasa mesyuarat telah sepakat untuk menamakannya dengan nama "Penilaian" dan akan dilaksanakan format empat kali setahun tersebut hanya pada tahun 2010 sahaja, seterusnya akan berubah pada tahun 2011 mengikut format PKSR yang sebenar, yang sama formatnya dengan tahun satu dan dua.

Penerangan lanjut berkenaan PKSR ini akan saya perincikan pada entri yang akan datang.

Sekian untuk makluman semua guru-guru bahasa Arab j-QAF.

Walaubagaimanapun, segala keputusan strategi/cara penilaian/PKSR ini MUNGKIN akan berubah mengikut perbincangan-perbincangan yang masih belum selesai dalam mesyuarat di BPK yang akan datang. Segala perubahan akan diberitahu kelak.

Read More......

Sabtu, Januari 02, 2010

RPT oh RPT....

Selamat tahun baru 1431H dan 2010M saya ucapkan kepada semua pengunjung miorjqaf.blogspot.com, terutama kepada warga pendidik dan guru-guru j-QAF samada opsyen pendidikan Islam mahupun bahasa Arab. Doa saya agar kita semua lebih bersemangat dalam apa jua yang kita lakukan dalam memasuki dekat pertama dalam tahun millinium ini.

Bila kita sebut perkataan "millinium" (perkataan yang semakin kurang digunakan. Tidak seperti ketika mula-mula memasuki ke tahun 2000 dahulu), kita pasti tahu bahawa perkataan tersebut telah membawa dunia sekarang begitu moden dan terlalu cepat pula ia berubah meningkat dari masa ke semasa. Sehingga hari ini, manusia semakin bijak dan celik IT dengan segala kemudahan dan kemodenan yang ada.

Tahun baru pula bagi seorang guru atau pendidik membawa mereka kepada segala macam kesibukan dan persediaan. Antara yang penting yang ingin saya bincangkan di sini ialah menyediakan segala keperluan pengajaran bagi tahun tersebut. Seperti guru-guru yang lain, saya juga perlu menyedia dan mengemaskini sukatan pelajaran (SP), huraian sukatan pelajaran (HSP) dan rancangan pengajaran tahunan (RPT) dengan sebaiknya.

Persoalannya sekarang, sejauh mana "persediaan" perkara-perkara tersebut bagi kita seorang guru atau pendidik yang cemerlang?
-Adakah perkara-perkara tersebut (SP, HSP dan RPT) disediakan hanya pada materialnya sahaja? atau persediaannya meliputi fizikal dan mentalitinya?
-Adakah kita membuat persediaan-persedediaan tersebut dengan menggunakan segala kemudahan dan kemodenan yang sedang berlari deras di jari kita?

Hanya kita sendiri yang mampu menjawabnya.

Sejak seminggu yang lalu, segala alat perhubungan saya (telefon bimbit, yahoo mesengger, skype, facebook email and chat, emel yahoo dan gmail disulami dengan pertanyaan dan permintaan berkenaan rancangan pengajaran tahunan bahasa Arab terutama bagi tahun penggunaan buku teks baru (tahun 3) dan tahun 6. Tidak cukup dengan itu, ada yang terus berjumpa dengan saya bagi mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Seperti yang telah saya ucapkan pada mereka, saya memohon maaf kerana tiada perkongsian RPT lagi tahun ini dari saya untuk subjek bahasa Arab tahun-tahun yang berkenaan. Ini bukan soal sombong, kedekut atau apa-apa yang seumpama dengannya, tetapi apa yang ingin saya lakukan adalah sebuah perkongsian. Perkongsian yang bagaimana setelah tiada perkongsian?

Perkongsian yang saya maksudkan bukanlah berkongsi apa yang telah saya buat dan saya sebarkan kepada semua. Perkongsian yang ingin saya berikan ialah perkongsian idea yang menjurus kepada latihan bagaimana untuk menyediakan dan melaksanakannya.

Sampai bila kita hanya mengharap apa yang orang lain buat untuk diri kita?

Sampai bila kita boleh menjadi orang yang boleh memberi kongsi daripada minta dikongsi?

RPT merupakan rancangan pengajaran kita sepanjang tahun. Sepatutnya perancangan ini dilakukan oleh kita sendiri dan bukannya orang lain. Kita tentu tidak suka diri kita direncanakan oleh orang lain tetapi kita lebih suka sekiranya kita bebas merencana apa yang ingin kita lakukan.

Mungkin ada yang berkata, "tidak salahkah merancang pengajaran tahunan sendiri?"

Pada saya, merancang perlu dilakukan oleh guru itu sendiri dengan berpandukan sukatan dan huraiannya dan diselarikan dengan minggu-minggu dalam takwim sekolah bagi tahun semasa. Yang pasti menjadi kesalahan ialah apabila kita mengubah sukatan atau huraian sukatan yang telah lengkap disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum di kementerian.

Jadi, rancanglah sendiri!

Kementerian tidak pernah mensyaratkan "bentuk penyediaan" rancangan pengajaran tahunan yang perlu disediakan. Apa yang penting perancangan tersebut mesti ada dalam buku rekod mengajar guru. Betulkan? Ianya meliputi minggu-minggu persekolahan, tajuk-tajuk yang diagihkan beserta kandungan yang terdapat dalam HSP. Jadi buatlah perancangan sendiri dengan bentuknya yang tersendiri yang memudahkan kita sendiri ketika sentiasa merujuknya nanti.

Terkadang rasa bersalah dan kasihan kepada rakan yang bersungguh-sungguh ingin minta saya kongsikan RPT yang telah siap saya rancangkan bagi kegunaan saya untuk tahun 2010 ini. Tetapi apabila difikirkan, saya lebih kasihankan anak-anak murid yang belajar dari guru yang tidak belajar. (Maaf, mungkin kata-kata ini agak keras)

Sedangkan orang yang paling hampir dengan saya (zawjatie) dan tinggal sebumbung dengan saya pun saya tidak kongsikan RPT yang saya buat, inikan pula orang yang lebih jauh dari saya?

Apa yang ingin saya utarakan (termasuk isteri saya) ialah belajar merancang pengajaran tahunan sendiri. Bukan untuk menyusahkan, tetapi ianya akan memudahkan pengajaran kita bila tiba masanya nanti.

Kenapa saya berpendapat demikian? Cuba kita fikirkan seandainya RPT yang telah siap kita perolehi dari rakan atau sesiapa yang telah menyediakannya, adakah kita akan membaca dan memahaminya? Saya pasti hampir 100% guru tidak membacanya secara keseluruhan. Malah ianya sudah memadai dengan adanya RPT tersebut dan memenuhi keperluan yang dipinta oleh pihak pentadbiran sekolah. Betulkan?

Cuba kita fikirkan pula seandainya kita sendiri yang menyediakan RPT tersebut. Sudah pasti kita akan khatam dan hadam SP, HSP dan buku teks bagi tahun semasa sebelum kita mula mengajar kepada anak-anak murid kita. Bukankah ini lebih baik?

Kita akan mendapat gambaran keseluruhan tentang tajuk-tajuk yang akan kita ajarkan kepada murid-murid. Kita boleh menyusun keutamaan tajuk yang akan diajar mengikut bulan-bulan semasa. Sebagai contoh tajuk perayaan di ajar pada bulan perayaan, tajuk kemerdekaan diajar pada bulan kemerdekaan dan tajuk bulan Ramadhan juga diajar pada bulan Ramadhan. Adakah ini tidak cukup baik untuk kita dan anak murid kita?

Cuba kita fikirkan seandainya kita hanya berpandukan rancangan yang dirancang oleh orang lain. Adakah kita akan mendapat manfaat yang sama dengan susunan tajuk dan minggu-minggunya? Tentu tidak bukan?

Selain itu kita juga boleh mengetahui lebih awal indeks perkataan-perkataan yang perlu ditekankan bagi tahun semasa. Begitu juga dengan ungkapan-ungkapan penting yang terdapat di dalam HSP. Seterusnya kita boleh membuat persediaan dengan memikirkan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi mencapai objektif-objektif yang telah digariskan dalam sukatan pelajaran. Bukankah ini lebih baik? Inilah yang dikatakan persediaan fizikal dan mentalitinya. Kita bukan sahaja menyediakan RPT yang siap dicetak, tetapi juga kita bersedia untuk mengajar dengan segala pengetahuan yang mendalam tentang tajuk dan aktiviti yang akan kita laksanakan.

Bayangkan seandainya guru itu tidak merancang sendiri dan hanya menyediakan fizikalnya sahaja di dalam buku rekod mengajarnya. Pasti guru tersebut hanya bersedia untuk mengajar sehari sebelum masuk ke kelas. Lebih malang lagi guru tersebut hanya bersedia 5 atau 10 minit sahaja, atau langsung tidak bersedia sebelum masuk ke kelas untuk mengajar.

Adakah tidak ada perbezaan antara guru yang bersedia keseluruhannya pada awal tahun dan hanya tinggal melaksanakannya dengan guru yang bersedia sehari sebelum atau 5 minit sebelum? Sudah pasti amat besar perbezaan impak yang akan diperolehi murid-murid yang belajar dengannya.

Jadi, rancanglah sendiri!

Sejak dua tahun lalu saya telah mula merancang sendiri pengajaran tahunan saya. Tanpa tunjuk ajar sesiapa saya merancang sendiri atas kesedaran sendiri. Ini kerana saya tidak mampu mengikut perancangan orang lain. Saya punyai tugasan yang sangat banyak samada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah. Kerana itu saya perlu merancang sendiri pengajaran saya agar saya dapat menamatkan keseluruhan sukatan pelajaran bagi tahun semasa. Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan 10 tajuk setiap tahun yang diajar walaupun penglibatan saya di luar sekolah sangat aktif. Persoalannya, mengapa guru-guru yang tidak aktif di luar sekolah masih tidak mampu menghabiskan sukatan tersebut? Jawapannya adalah kerana guru tersebut tidak merancang sendiri pengajarannya tetapi mengikut perancangan orang lain. Orang lain habis mengajar tetapi dia masih tidak habis mengajar. Betulkan?

Rancangan mengajar tidak perlu panjang. Kebiasaannya saya hanya menyediakan 2 helai A4 sahaja untuk sepanjang tahun pengajaran. Bererti 1 A4 untuk satu semester (5 bulan).

Apa yang penting dalam rancangan mengajar ialah ;
1. Kolum minggu persekolahan (21 minggu semester pertama dan 21 minggu semester kedua).
2. Tajuk pelajaran yang telah dibahagikan mengikut minggu dengan berpandukan tawkim aktiviti sekolah.
3. Objektif utama tajuk berkenaan mengikut kemahiran dan aras. (pilih yang bersesuaian, selebihnya boleh merujuk kembali kepada HSP)
4. Aktiviti yang difikirkan mampu dilaksanakan bagi tajuk-tajuk berkenaan. (termasuk permainan bahasa yang difikirkan sesuai)
5. Bahan-bahan bantu yang diperlukan untuk tajuk-tajuk berkenaan.

Mudahkan? Tapi ada lagi masalahnya? Apa dia? Kemahiran menaip...

Kemahiran tidak akan datang tiba-tiba, tetapi ia akan datang dengan latihan yang banyak. Berlatihlah menaip tulisan Arab dari masa ke semasa. Jadilah guru yang cemerlang! Yang mampu melakukan inovasi dan perubahan kepada yang lebih baik.

Selamat merancang!

Akhir kata, maaf andai ada yang terasa. Niat saya ikhlas untuk membantu. Membantu untuk menjadikan diri kita lebih baik dari masa ke semasa mudah-mudahan. Amin ya Rab! Selamat tahun baru... dan selamat maju jaya..

*Untuk yang tidak perlu disediakan sendiri oleh guru iaitu SP dan HSP, anda boleh mendapatkannya di bahagian muat turun di dalam blog ini.

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu