Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Sabtu, November 27, 2010

Bagaimana Melaksanakan PKSR Sewaktu P&P? Bah. 3


(Sambungan dari entri bahagian 2)
atau dari entri sebelumnya (bahagian 1)


Bagaimanakah yang dikatakan seperti tajuk entri bersiri ini,
"Bagaimana melaksanakan PKSR sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlaku?"

dan daripada persoalan ini, sudah pasti terbit persoalan... 
"Bagaimana melaksanakannya SENDIRIAN ketika guru bahasa Arab menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut?"

Dua persoalan ini akan cuba pula saya perincikan dalam entri bahagian yang ketiga ini.

Sebenarnya bagi menjawab dua persoalan ini, kita hanya memerlukan satu jawapan yang ringkas, tepat dan padat, tetapi menjawab keseluruhan dua persoalan tersebut.

Jawapannya adalah "TEKNIK YANG BETUL".

Ya. Teknik pelaksanaan yang betul mampu menjadikan pelaksanaan PKSR tersebut mampu dilakukan sepanjang proses pengajaran guru dan pembelajaran murid berlaku di kelas. Tanpa perlu menanti hingga ke akhir bulan atau tajuk atau semester. Begitu juga dengan tanpa mengharap dan menanti rakan-rakan lain membantu bagi melicinkan perlaksanaannya.

Sebenarnya guru boleh melakukan apa sahaja teknik penilaian yang tidak bercanggah dengan konsep dan ciri-ciri pelaksanaan PKSR. Ianya tidak terikat dengan satu-satu cara atau kaedah sahaja. Malah guru yang kreatif akan sentiasa mempelbagaikan teknik penilaian di dalam kelas bagi menjamin keberkesanan pengajarannya.

Di sini saya ingin berkongsi tiga teknik penilaian yang mudah untuk dilaksanakan di dalam waktu pengajaran guru dan pembelajaran murid. Antaranya :
1. Penilaian menggunakan Kotak Pencapaian.
2. Penilaian menggunakan Carta Bintang.
3. Penilaian menggunakan Kaedah Mewarna, dan sebagainya.

KOTAK PENCAPAIAN


Kaedah ini membolehkan guru menilai murid atau melaksanakan PKSR ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Namun begitu, sedikit kelemahan yang terdapat pada kaedah ini ialah di mana guru hanya boleh menilai satu kemahiran sahaja atau dua kemahiran gabungan (seperti mendengar dan menyebut) dalam satu-satu masa untuk semua murid.

Cara melaksanakan kaedah ini adalah.
1. Guru menyediakan potongan-potongan kertas yang tertulis nama semua murid yang berada di dalam kelas atau nama murid yang hendak di nilai.
2. Nama-nama tersebut disimpan di dalam sebuah bekas atau kotak (lihat gambar ; bekas bulat).
3. Guru juga menyediakan 3 kotak lain bagi tujuan pengasingan nama murid kelak mengikut pencapaian mereka. Kotak boleh disediakan dalam apa jua bentuk bagi membezakan di antara satu sama lain samada melalui label seperti A, B dan C mahupun warna dan sebagainya.
4. Ketika guru mengajar sesuatu kemahiran (contohnya mendengar dan menyebut), guru boleh bertanya kepada murid bagi melihat keberhasilan pengajarannya walaupun guru tersebut masih mengajar.
- Guru akan memilih secara rawak mana-mana potongan nama murid yang tersedia di dalam bekas bulat pertama tadi untuk di soal. Selain itu, guru juga boleh meminta mana-mana murid bagi memilih nama murid lain yang akan di soal.
- Setelah guru mendapat nama murid yang akan di soal, maka soalan boleh terus diajukan ketika itu juga.
- Murid yang dipilih akan cuba menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Soalan ini mestilah soalan yang berkaitan dengan hasil pengajaran kemahiran yang hendak dinilai itu tadi, atau lebih mudah guru menggunakan salah satu item soalan yang terkandung dalam set soalan PKSR yang telah dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum BPK melalui laman sesawangnya.
- Seandainya murid dapat menjawab dengan baik, potongan kertas yang telah dipilih itu tadi akan dimasukkan ke dalam kotak penilaian A sebagai menandakan murid tersebut telah berjaya menguasai kemahiran yang ingin di nilai itu tadi.
- Sekiranya pula murid itu tadi hanya dapat menjawab dalam kadar yang sederhana, maka potongan kertas nama murid tersebut hendaklah di masukkan ke kotak pencapaian sederhana atau kotak B dan begitulah sekiranya murid tersebut langsung tidak dapat menjawab pertanyaan guru itu tadi, maka potongan kertas namanya akan dimasukkan ke dalam kotak pencapaian lemah atau kotak C.
- Guru boleh melakukan aktiviti ini secara tidak berterusan. Bererti guru boleh melakukannya berselang seli dengan aktiviti pengajaran yang seterusnya.
- Bagi murid-murid yang telah berjaya namanya dimasukkan ke dalam kotak A, ia tidak perlu di nilai oleh guru lagi. Manakala murid-murid yang sebaliknya, guru boleh membimbing mereka dan bertanyakan semula soalan kepada mereka yang masih berada di kotak B dan C sahaja sebagai amalan atau penilaian berterusan bagi memastikan mereka juga mencapai tahap yang telah ditentukan.
- Seandainya tempoh pengajaran telah sampai kepada satu tempoh yang telah ditetapkan, maka guru bolehlah menetapkan bahawa itulah pencapaian mereka untuk sesuatu tajuk atau kemahiran yang dinilai. Tindakan susulan perlu diberikan kepada mereka yang masih belum mencapai tahap pembelajaran yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka tidak keciciran.
- Setelah itu, guru bolehlah menyalin nama-nama yang terdapat dalam kotak-kotak A, B dan C ke dalam rekod pencapaian murid ketika di bilik guru mahupun di rumah.

Secara peribadi, saya melihat kaedah ini sesuai dijalankan bagi guru yang mempunyai murid yang sedikit bagi menilai mereka di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Ini adalah kerana kaedah ini hanya menilai dari satu aspek penilaian sahaja. Tidak boleh mempelbagaikan variasi soalan dari pelbagai kemahiran.

Saya akan berkongsi lagi kaedah kedua iaitu kaedah carta bintang dan kaedah mewarna dalam melaksanakan PKSR ketika proses p&p berlangsung dalam entri bahagian yang seterusnya.

Bersambung...

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu