Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Julai 22, 2010

Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan 2010


Alhamdulillah. Kursus Jurulatih Utama Bahasa Arab peringkat kebangsaan bagi Zon A (negeri-negeri semenanjung) tahun 2010 telahpun berjaya dilaksanakan pada tahun ini selama 4 hari 3 malam di Hotel Royale Bintang, Seremban (13 - 16 JULAI 2010). Hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Royal Adelphi adalah merupakan tempat perhimpunan pertama jurulatih-jurulatih utama (JLU) bahasa Arab j-QAF seluruh Malaysia pada tahun 2007 yang lalu. Maka kehadiran saya ke kursus pada kali ini mengimbau sedikit kenangan pada kursus yang sama tahun 2007 tersebut. Namun, hampir separuh daripada peserta kursus kali ini bukanlah lagi orang yang sama pada tahun 2007, dan juga tahun-tahun yang lalu. Ramai muka-muka baru yang ditampilkan oleh jabatan pelajaran negeri masing-masing seperti Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain. Namun apa yang penting, kehadiran semua JLU-JLU ini mempunyai matlamat yang sama, memahami isi kandungan kursus seterusnya akan menjadi medium penyampai kepada guru-guru bahasa Arab di negeri masing-masing. Tahniah diucapkan kepada Ust. Ahmad Zakuan, Penolong Pengarah Unit Bahasa Arab, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertungkus lumus mengendalikan kursus ini dari awal hingga akhirnya sehingga berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Sejak saya menjadi JLU Bahasa Arab Negeri Johor pada tahun 2007, ini merupakan kali ke lima saya menghadiri kursus seumpama ini di peringkat kebangsaan. Namun, kalau mahu dihitung mesyuarat di peringkat kebangsaan yang telah saya hadiri sejak saya menjadi JLU, sudah tak terhitung lagi banyaknya! Apapun saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan dan peluang ini kepada saya untuk membantu, menyumbang usaha, tenaga dan bakti kepada kementerian untuk dimurnikan, digunapakai dan disalurkan kepada seluruh anak didik di seluruh negara. Semoga usaha kecil ini menjadi salah satu ibadah di jalan Allah untuk dihitung di Hari Perhitungan kelak.

2007
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan telah diadakan selama 4 hari 3 malam di Royal Adelphi, Seremban, Negeri Sembilan. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri kursus besar seperti ini. Perasaan seronok dan takut bercampur baur. Antara rakan JLU dari Johor ialah Ust. Zulrahim dari Pasir Gudang, Ust. Shahran dari Johor Bahru dan Ust. Khairozi dari Muar. Manakala pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor yang menyertai ialah Ust. Khahar bin Bachok.


2008
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada tahun ini telah diadakan sehari sahaja di Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Putrajaya yang dulu dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM). Hanya saya dan Ust. Nizam Noh dari Bandar Penawar sahaja yang mewakili Negeri Johor dalam kursus sehari ini dengan diiringi oleh Pegawai Khas Bahasa Arab JPN Johor ketika itu, Ust. Ahmad Zakuan.

2008
Tahun yang sama juga saya telah diarah oleh JPN Johor untuk menghadiri Kursus JLU Pendidikan Islam Kebangsaan selama 4 hari 3 malam di Hotel Goldcost, Klang Selangor. Antara rakan JLU yang mewakili Johor ialah ; Ust. Hamdan dari Ulu Tiram dan 6 orang JLU yang lain. Pegawai j-QAF JPN Johor yang mengiringi kursus pada kali ini ialah Ust. Khahar bin Bachok. Sedikit kenangan yang tidak dapat dilupakan pada kursus kali ini adalah bilamana saya telah dilantik menjadi penghulu di dalam kursus besar ini.

2009
Kursus JLU Bahasa Arab Kebangsaan pada tahun ini telah di adakan pada bulan Ramadhan di tempat yang sama dengan tahun sebelumnya iaitu di Hotel Goldcost, Klang Selangor selama 4 hari 3 malam. Pada tahun ini Negeri Johor telah menghantar 3 lagi JLU baru iaitu Ust. Nazihar bin Sisak dari Kulai, Ustazah Faizah dari Batu Pahat dan Ustazah Maizathul Sazila dari Johor Bahru. Manakala Ust. Nizam Noh dari Bandar Penawar telah dilantik menjadi penceramah slot Sukatan Pelajaran Bahasa Arab tahun 3 dalam kursus tersebut. Ust. Ahmad Zakuan pula sekali lagi mengiringi kami ke kursus ini.

2010
Peserta kursus dari Negeri Johor pada tahun ini merupakan orang yang sama dengan tahun lepas. Namun tahun ini merupakan tahun yang paling mendebarkan saya sebagai JLU Bahasa Arab negeri Johor bilamana saya telah diamanahkan oleh BPK untuk menyampaikan satu slot yang pada saya agak berat dan sensitif. Tambahan lagi peserta kursus kali ini bukan sahaja dikalangan JLU Bahasa Arab negeri dan pegawai jabatannya, malah sekurang-kurangnya seorang pensyarah dari setiap Institut Perguruan Malaysia (IPGM) telah diundang menjadi peserta kursus. Dua orang jemaah nazir dari kementerian juga telah diundang sebagai pemerhati di dalam kursus ini.

Tajuk slot yang telah saya sampaikan dalam kursus ini ialah "P&P Berkesan dan Kaedah Penilaiannya serta Penggunaan Lughatul Fasli di Kelas". 3 Tajuk telah digabungkan menjadi satu tajuk, dan tempoh yang telah diberikan ialah 1 jam 30 minit.

Sejak daripada saya mendapat tahu berkenaan amanah dan kepercayaan ini (MAC 2010), saya selalu resah dan bimbang tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Namun, atas dorongan isteri, keluarga, ketua-ketua dan rakan karib, saya gagahkan juga untuk menyahut cabaran ini. Sewaktu pra pembentangan slot saya di hadapan pegawai-pegawai BPK, JPN, pensyarah IPGM dan JLU pada akhir JUN yang lalu, saya teruk dihujani dengan pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan dari apa yang cuba saya paparkan. Walaupun saya cuba pertahankan apa yang ingin saya sampaikan, namun saya terpaksa akur dengan pengalaman dan ilmu yang mereka ada. Seterusnya saya terpaksa membuat sedikit perubahan dalam paparan slot saya sebelum ianya dibentangkan. 

Walaupun saya agak merasa kekok, gementar dan gugup ketika menyampaikan slot saya di hadapan JLU-JLU negeri yang hebat, pegawai-pegawai kementerian dan pensyarah-pensyarah IPGM, namun saya merasa sangat puas dengan respon positif yang saya terima dari mereka. Bertalu-talu soalan dan pertanyaan yang positif, dan apa yang lebih penting percambahan idea yang sangat berguna yang saya terima dari peserta ketika saya menyampaikan slot tersebut. Saya juga telah menyampaikan idea saya yang pernah ditolak dalam pra pembentangan lalu melalui lisan tanpa paparan slide, dan amat menakjubkan bilamana idea tersebut diterima dan dipersetujui oleh majoriti peserta kursus! Alhamdulillah.

Apakah idea yang saya maksudkan itu? dan apakah pula isi-isi penting yang dibincangkan di dalam kursus tersebut? Saya akan sambung lagi penulisan ini dengan paparan isi-isi penting kursus sebagai muqaddimah kepada pembaca dan pengunjung sebelum ianya dibentangkan di peringkat negeri nanti. InsyaAllah.


Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan oleh pengurus projek Ust. Ahmad Zakuan, Penolong Pengarah Bahasa Arab, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.



Kredit untuk Ustaz Ahmad Zakuan bin Md. Khudzari

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu