Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, Mac 26, 2009

Manusia Merancang... (bah. 2)

Memang manusia hanya mampu merancang.. Tetapi Allah jualah yang menentukan segala-gala yang kita rancang itu samada akan terjadi atau sebaliknya.

Bukan nak bercerita tentang kisah trip ke Oman. Tetapi berkenaan pasukan nashid sekolah saya.

Akhirnya kami terpaksa menyerah kalah sebelum berjuang.

Hari ini satu keputusan telah dibuat dalam satu mesyuarat jalanan (bukan bawah pokok) di bilik guru bersama beberapa orang GPI dan KP Agama Islam. Kata sepakat bersetuju untuk kami menarik diri dari menyertai pertandingan nashid peringkat Zon pada tahun ini. Sekali gus menutup peluang peserta kami untuk terus ke peringkat daerah dan negeri.

Keputusan ini terpaksa dibuat setelah 3 hari murid-murid berlatih dan saya melatih sejak Isnin sehingga Rabu sepanjang hari dari pagi hingga tengahhari. Berdasarkan pemerhatian saya, ketua panitia dan beberapa orang GPI yang lain, penyertaan ini nanti akan menjejaskan reputasi dan (tidak keterlaluan jika kami katakan sebagai) "maruah" sekolah sekiranya pasukan nashid itu terus menyertai pertandingan Festival Nashid peringkat Zon Majidi itu nanti.

Sebenarnya pasukan nashid sekolah kami yang mantap adalah dari kalangan murid-murid tahun 6. Namun begitu, ujian UPPM pada sepanjang minggu ini dan motivasi UPSR pada sabtu ini (bersamaan dengan tarikh pertandingan Festival Nashid peringkan Zon Majidi JB) tidak memungkinkan mereka untuk menyertainya. Oleh yang demikian, satu kumpulan baru telah dibentuk pada pagi Isnin yang lalu dan latihan intensif telah diberikan tanpa henti kepada mereka untuk melatih solo dan yang lain-lain bagi melagukan 2 irama nashid baru pada tahun ini.

Namun setakat hari semalam (rabu), prestasi mereka amat menyedihkan. Mana mungkin kumpulan yang baru dibentuk dan pertama kali menyertai pertandingan nashid boleh berlatih dengan baik dalam tempoh 5 hari! Banyak kelemahan yang sukar diperbaiki dalam tempoh sesingkat ini. Lebih-lebih lagi dari sudut pemarkahan terbanyak iaitu suara solo. Sungguhpun solo yang kami pilih itu (murid tahun 3) sememangnya memiliki suara yang lemak merdu, tetapi melatih untuk mengeluarkan 'burdah' bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara intensif. Tambahan lagi ia masih budak lagi. Itu belum lagi dilihat dari sudut suara ramai, harmoni dan perkusi. Hancus! Bak kata saya.. lagu yang saya cipta bukan lagi kedengaran sumbang! (dalam jenaka) Malah dah jadi macam 'sumbang mahram'! suaranya 'uk ek' sana.. 'uk ek' sini!

Bukan kami rasa diri kami sudah terlalu bagus sehingga tergamak mengenepikan peluang untuk murid-murid tersebut dari menyertainya. Tetapi rekod sekolah ini sememangnya baik dalam persembahan nashid. Pernah sampai ke peringkat kebangsaan 3, 4 tahun yang lalu. Kerap mewakili zon ke peringkat daerah dan banyak kali juga mendapat tempat (1, 2, 3) dalam pertandingan daerah. Dan walaupun tahun lepas kami kalah (tidak dapat nombor) dalam peringkat zon lagi, tapi kami kalah bermaruah! Kerana ramai antara guru-guru dari sekolah lain yang tidak menyangka pasukan kami pada tahun lepas langsung tidak mendapat tempat. Mungkin ada beberapa kesilapan yang tidak sesiapa sedari. Kami mengambil keputusan untuk menerima kekalahan tersebut pada masa itu tanpa memberi sebarang protes kepada jemaah hakim. Mungkin kerana ketua juri pada ketika itu adalah dari sekolah yang menjuarai pada masa yang sama. Kami terima kekalahan tersebut dengan penuh bermaruah kerana terdapat banyak sokongan dan simpati dari sekolah-sekolah lain yang begitu terkejut kerana pasukan kami langsung tidak mendapat tempat. Ramai yang menjangka kami akan menjohani pertandingan tersebut pada ketika itu. Tapi... Nasib tidak menyebelahi kami daripada pihak jemaah hakim. Tak mengapalah... Apa yang penting bagi kami, kami telah menang di hati penonton dan peminat kami...

Sesungguhnya menang kalah adalah adat pertandingan.

Read More......

Rabu, Mac 25, 2009

Manusia Merancang...

Boleh kata setiap jam cuba dimanfaatkan sebaiknya untuk melaksanakan kerja-kerja akhir dan melangsaikan segala kerja yang masih tertunggak sebelum berangkat ke Oman seperti yang dikhabarkan pada 2 April yang akan datang.

Melatih peserta nashid sekolah untuk peringkat Zon Majidi yang akan berlangsung pada 28 Mac ini, melaksanakan ujian PKSR untuk murid-murid saya, melengkapkan dan mengemas kini segala data-data dalam fail Panitia Bahasa Arab yang perlu disusun dan disimpan di bilik GPK1, menyelesaikan beberapa perkara berkenaan Panitia Bahasa Arab Daerah Johor Bahru bersama Ustaz Norzaidi, Penolong PPD UPIM, PPDJB yang baru menggantikan Ustaz Omar yang berpindah ke jabatan. Banyak masalah dapat diselesaikan hasil perbincangan saya dengan beliau bersama naib SU Panitia Bahasa Arab Daerah, Ustazah Maizathul Sazila dari STAR1 semalam. Yang penting agihan baki wang Bahasa Arab Daerah JB 2008 sebanyak 13K untuk kegunaan tahun ini telahpun settle. Selagi tak settle selagi itulah macam-macam masalah timbul berkenaan duit 13K tu. Semua berebut-rebut nak ambil duit tu. Begitu juga tentang tarikh Ihtifal j-QAF peringkat Daerah Johor Bahru juga telah ditetapkan pada 20 Jun nanti. (Nak suruh saya juga yang uruskan ihtifal tu, kena tunggu balik dari Oman la baru boleh saya uruskan. Tu yang jadi bulan JUN tu..) So, sekolah2 j-QAF dalam daerah Johor Bahru (kohort 2005, 2006 dan 2007) diminta menghantar permohonan penyertaan dikir barat bahasa Arab dan Kalam Jamaie masing-masing ke PPD (sekiranya berminat) dalam tempoh yang akan dimaklumkan oleh PPD nanti.

Hmm... Dalam kekalutan membuat segala kerja persiapan dan persediaan itu.. tiba-tiba saya mendapat sms yang agak melemahkan semangat saya. Mesej daripada Ustaz Idris BPI yang berbunyi...

"Keberangkatan ke Oman ditangguh ke 15 MEI 2009. Passport akan dikumpul melalui kiriman kepada Pegawai SPI yang akan hadir ke Kursus KMK di KL pada 31 April 2009. Sila rujuk SPI untuk pengiriman passport".

AllahuAkbar.. bagai nak tercabut jantung saya mengejar ke sana ke sini menguruskan itu dan ini sebagai persiapan ke Oman yang asalnya hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Alih-alih ditunda ke tarikh yang lebih sebulan daripada tarikh asal.

Kelmarin (Isnin) 3 kali saya memanjat pejabat Imigresen Pekan Rabu JB untuk menghidupkan passport yang telah mati lebih dari 5 tahun yang lalu. Macam-macam hal. Semuanya gara-gara nasihat rakan-rakan di sekolah yang mengatakan passport lama tidak perlu bawa kerana telah lebih 5 tahun mati. Saya perlu buat yang baru. Tetapi bila sampai di kaunter, saya diminta menyerahkan passport lama untuk membolehkan passport baru dikeluarkan oleh mereka. Sekiranya hilang, saya perlu membuat laporan polis dan surat sumpah mengatakan passport lama saya telah hilang. Mereka tidak mahu kita dituduh kerana menjual passport lama kepada warga asing.

Saya terus bergegas pulang ke rumah untuk mengambil passport lama dan kembali ke Imigresen semula kerana pegawai yang melayan saya menjanjikan untuk terus melayan permohonan saya tanpa mengambil nombor giliran yang baru. Setelah itu, proses berjalan begitu cepat dan lancar. Selesai membuat bayaran sebanyak RM300, saya diminta hadir mengambil passport baru 2 jam berikutnya di situ. Oh macam tu ke? Saya kembali semula ke rumah. Boring juga nak menanti 2 jam di pejabat Imigresen tu tanpa ada sesiapa yang dikenali untuk diajak bersembang. Dan pada jam 4.50 petang saya sudah kembali tercegat di kaunter menunggu nama dipanggil untuk mengambil passport yang baru. Tepat jam 4.59, saya telahpun memiliki passport yang baru.

Kembali kepada kisah SMS tadi. Selang beberapa minit selepas saya menerima mesej penangguhan ke Oman tu, saya terima pula SMS kedua dari beliau yang berbunyi...

"Pembetulan. Projek ke Oman tangguh ke 15 April dan bukan Mei. Asif"


Hmm.. tak pe lah Ustaz Idris.. Saya tunggu je lah bila-bila pun tarikhnya. Saya faham, tentu macam-macam perkara yang perlu diselesaikan sebelum rombongan tu berangkat ke sana. Tentu pening kepala Ustaz Idris tu nak menguruskan semuanya berkenaan rombongan tu. Tentu-tentu hal ehwal peserta, surat-suratnya, visanya, tiketnya, hotelnya dan macam-macam perkara mesti sudah dipastikan sebelum semuanya dapat berjalan dengan baik. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita seharian. Dan saya juga faham... kita hanya mampu merancang...

Read More......

Ahad, Mac 22, 2009

Kenapa semuanya last minute..?

Kenapa ya tahun 2009 ni nampak semua pengurusan seperti kelam kabut? Tak tahu di mana salah dan silapnya hinggakan banyak perkara terpaksa dilaksanakan tergesa-gesa. Tak tahu jugalah kalau di tempat lain tak pula rasa seperti apa yang saya rasa di sini. Atau mungkin ini hanya sekadar perasaan saya je. Wallahu 'alam..

Banyak perkara yang menyebabkan saya mengatakan demikian. Antara perkara-perkara yang menyerabutkan kepala saya baru-baru ni adalah berkenaan Festival Nashid peringkat Zon Majidi Johor Bahru yang akan berlangsung pada 28 MAC ini (5 hari selepas naik sekolah esok). Yang paling tidak logiknya, mesyuarat berkenaan festival tersebut (yang akan digabungkan dengan pertandingan kompang selawat) baru dipanggil pada petang Jumaat 13 MAC, hari akhir sebelum cuti pertenggahan penggal yang lalu.

Amatlah memeningkan kepala bagi saya yang akan melatih budak-budak nashid dalam tempoh 5 hari tersebut bermula petang esok. Sudahlah temanya pun berubah, maka lagu juga perlu dicipta baru mengikut tema yang baru ni. Melatih lagu baru sudah tentu juga akan memakan masa untuk menjadikan persembahan mereka betul-betul mantap. Seandainya mesyuarat festival berkenaan dipanggil awal sehari dari tarikh 13 Mac tu, sudah tentu saya boleh mengaturkan latihan murid sepanjang cuti sekolah seminggu yang baru ni. Nampak gayanya saya terpaksa mengadakan latihan pada setiap petang sepanjang 5 hari ni bermula esok (Isnin). Budak-budak terpaksa di beri surat cuti sekolah agama untuk menghadiri latihan tersebut.

Elok-elok saya merancang latihan nashid pada setiap petang yang akan bermula pada hari esok, zaujah pula mengingatkan saya bahawa minggu depan ini adalah minggu ujian untuk sekolah agama. MashaAllah!... Sudah tentu penjaga tidak akan membenarkan anak-anak mereka menghadiri latihan nashid tersebut dan mengabaikan ujian sekolah agama. Fuh!.. apa nak buat? Nampak gayanya terpaksalah mengganggu masa belajar murid di kelas pada waktu pagi. Itupun kalau pentadbir benar-benar ingin kami menyertai festival tu tahun ni. Kalau mereka redha pada tahun ni sekolah tak menghantar wakil, habis cerita! Tapi, bayaran tetap kena bayar RM50 walaupun tak hantar wakil! So, fikir-fikirkanlah samada baik hantar ataupun tidak.

Kalau nak hantar juga, memang terpaksa korbankan masa belajar murid di kelas untuk buat latihan. Masalahnya, kelas saya sendiri juga akan terkorban. Sedangkan saya dah merancang untuk buat ujian lisan bahasa Arab (PKSR) untuk tahun 3 bermula hari esok. Isk isk isk.. Macammana ni?

Sebenarnya dari awal tahun lagi saya dah nyatakan pada ketua panitia yang saya tidak mahu melatih nashid pada tahun ni. Beri peluang pada orang lain pula dan saya nak beri tumpuan pada kumpulan kalam jamaie dan dikir barat bahasa Arab. Tetapi nampak gayanya memang saya terpaksa involve lagi dalam nashid pada tahun ni. Memandangkan semuanya berlaku secara tiba-tiba dan terdesak, so saya tidak ada pilihan lain. Saya kena bantu juga kumpulan nashid tu untuk kesekian kalinya.

Dua buah lagu telah saya cipta sepanjang seminggu cuti sekolah ni. Biasanya saya yang buat lirik, dan saya juga yang cipta lagu. Tapi kali ni saya buat lirik, tetapi lagunya saya minta sentuhan pakar nashid Ust. Khir Mohd Amin dari Kota Tinggi. Iramanya sedap di dengar. Mudah-mudahan jika latihan murid-murid cukup, sekolah kami bakal johan lagi dalam festival nashid tahun ni, dan berjaya ke peringkat daerah dan negeri seperti beberapa tahun yang lalu. InsyaAllah.

Hmm.. kelam kabut ni.. rupa-rupanya bukan Unit Pendidikan Islam sahaja yang mengalami kejutan-kejutan program seperti tu, Bahasa Melayu juga pun sama! Seorang kakak guru Bahasa Melayu di sekolah tu pun ada cerita pada saya. Mereka lagi dashat! Hari Isnin baru mesyuarat zon kali pertama untuk diadakan pertandingannya pada hari Rabu. Betul-betul terdesak dan tersedak dibuatnya!

Dan yang terkini, malam tadi. Sedang molek saya merancang-rancang untuk melaksanakan PKSR Bahasa Arab di sekolah di samping mengadakan latihan nashid minggu ni, tiba-tiba satu sms saya terima pada pukul 10.20 malam. Mesej yang telah membuatkan saya tak tidur malam! Berdebar dan tercabar... Mesejnya berbunyi...

"Assalamu'alaikum, ana Idris Abd Rahim, Bahagian pendidikan Islam ingin memaklumkan anda terpilih untuk kursus ke Oman. Kita dijadualkan berkumpul di Concorde Inn pada 1 April dan bertolak ke Oman pada 2 April. Sila buat passport dan akan dikumpulkan pada hari selasa dan rabu di pusat-pusat yang akan dimaklumkan kemudian. Terima kasih. Segala kesulitan amat dikesali"

MashaAllah.. Satu lagi kejutan last minute yang perlu saya hadapi. Walaupun ianya satu kejutan, tapi sebenarnya ianya juga satu cabaran yang perlu saya hadapi dan tempuhi. Semoga segalanya akan berjalan lancar dan berjaya. Doakan saya! :)

Read More......

Sabtu, Mac 14, 2009

PTK! Sudahkah anda bersedia?

Peperiksaan Penilaian Tahap Kecepakan PTK akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi. Maka tibalah pula masanya untuk guru-guru sibuk membaca buku mengulangkaji apa yang perlu diulangkaji. Ramailah guru-guru yang akan bertungkus lumus membaca buku perintah-perintah am kerajaan dan soalan-soalan PTK sebagai persedian menghadapi peperiksaan tersebut.

Begitu juga dengan saya dan isteri. Kami juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan ini. Sememangnya penilaian sebegini amat berguna kepada kita sebagai kakitangan kerajaan untuk lebih mengetahui dan memahami perintah-perintah am dan pekeliling yang ada dalam perkhidmatan kerajaan.

Bagi saya, penialaian atau PTK ini merupakan salah satu wasilah untuk kita mengetahui dan mengingati apa yang telah kita lupa dan belum pun kita ketahui berkenaan perkara-perkara penting dalam perkhidmatan. Tidaklah kita dikatakan bekerja membabi buta tanpa menyedari terkadang sesuatu tindakan yang kita lakukan ketika bertugas telah menyalahi etika, peraturan dan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Selain itu penilaian sebegini juga amat penting dalam menjadikan kita sebagai seorang kakitangan awam yang profesional dan sebagai hamba Allah yang mencari keredhaan Allah dalam rezeki yang kita perolehi daripada tugas yang kita laksanakan.

Pautan untuk soalan-soalan latihan PTK UMUM dan Pengurusan P&P ada saya sediakan di ruangan Soalan PTK di dalam blog ini.

Selamat menempuh peperiksaan PTK.
Semoga berjaya!... Dunia dan Akhirat.

Read More......

Proposal Kajian Tindakan Bahasa Arab 2009

KERTAS CADANGAN KAJIAN TINDAKAN / PROPORSAL KAJIAN TINDAKAN

1. TAJUK

MENGATASI MASALAH MURID 5 MARIKH DALAM MENGINGAT NOMBOR 1-100 DALAM BAHASA ARAB.

2. PENYELIDIK

EN. MIOR SYAZRIL BIN MOHAMED SAPAWI

3. NAMA SEKOLAH

SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN SURIA, JOHOR BAHRU.

4. LATAR BELAKANG KAJIAN / REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

- Sewaktu mengajar mata pelajaran bahasa Arab Tahun 5 Marikh, saya sering meminta murid menyebut nombor ketika saya menulis tarikh di papan tulis. Saya dapati murid kelas ini kurang mengingati tentang bilangan nombor dalam bahasa Arab seperti kelas-kelas yang lain. Apabila diajukan soalan, mereka sering terdiam dan berfikir tentang nombor dalam bahasa Arab yang perlu mereka sebutkan.

- Apabila melihat situasi seperti ini saya merasa bersalah dan perlu memperbaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri. Sehubungan itu, saya telah membuat keputusan untuk memperbaiki kelemahan diri serta mempertingkatkan pembelajaran murid-murid saya melalui kajian ini.

5. ISU KEPRIHATINAN / FOKUS KAJIAN

Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar saya, saya akan fokuskan kajian ini kepada masalah murid mengingat nombor dalam bahasa Arab. Kajian ini adalah penting bagi murid-murid 5 Marikh kerana mereka telah mempelajari tentang nombor dari 1-100 sejak dari tahun 1 lagi hingga tahun 3. Apabila mereka sudah memasuki tahun 5 sekarang, sepatutnya masalah itu telah lama dapat diatasi.

6. OBJEKTIF UMUM KAJIAN

Murid mahir dalam mengingat dan menyebut nombor-nombor dalam bahasa Arab.

7. OBJEKTIF KHAS KAJIAN

1. Membantu murid menguasai nombor dalam bahasa Arab.

2. Membantu murid menguasai kemahiran mendengar, menyebut, membaca dan menulis nombor dalam bahasa Arab.

3. Melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di kelas ketika guru mengaitkan tajuk pelajaran dengan nombor (seperti tarikh, muka surat dan sebagainya).

8. KUMPULAN SASARAN

Kajian ini melibatkan 39 orang murid Tahun 5 Marikh yang terdiri daripada 19 orang murid lelaki dan 20 orang murid perempuan.

9. TINDAKAN YANG DICADANGKAN (METHOD)

1. Menyediakan carta / banting tentang nombor bahasa Arab dalam kelas dan persekitaran sekolah.

2. Murid menghafal hanya 21 perkataan nombor bahasa Arab yang boleh diubah suai untuk mengira 1-100.

3. Memulakan setiap pengajaran dengan aktiviti menyebut nombor oleh setiap murid selama 3-5 minit sebagai set induksi.

4. Melakukan aktiviti menukar nama murid kepada nombor dalam bahasa Arab dan guru memanggil murid dengan nombor dan bukannya nama.

5. Menulis muka surat dalam perkataan bahasa arab di buku tulis.

6. Melakukan aktiviti-aktiviti matematik dalam bahasa arab. (contoh : penambahan dan penolakan mudah)

7. Kuiz bahasa Arab yang berkaitan dengan nombor.

10. JADUAL PELAKSANAAN KAJIAN

MAC – APRIL 2009

11. JUMLAH PERUNTUKAN YANG DIPOHON

Carta / Banting =RM 60.00

Read More......

Rabu, Mac 11, 2009

Kembali... Dugaan & Cabaran

As-Salamu'alaikum wbt.

Mulanya saya hanya ingin membalas sapaan sahabat-sahabat di ruangan di chat box di sebelah. Tetapi rasa macam tak puas nak menulis kerana banyak yang ingin saya kongsi dan ceritakan. Akhirnya saya berfikir, ada baiknya sekiranya saya menulis satu entri khas peribadi untuk menjawab sapaan-sapaan di chat box tersebut.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat. Terima kasih saya juga kepada semua pengunjung blog miorjqaf ini. Terima kasih yang tidak terhingga atas semua sokongan dan keprihatinan sahabat-sahabat dalam usaha saya untuk membantu melancarkan perjalanan program j-QAF dan Bahasa Arab j-QAF itu sendiri secara khasnya di ruang lingkup dan keupayaan yang keterbatasan ini.

Terima kasih kepada akhi Hakimi dan akhi Hamidi. Kepada akhi Hakimi, sesungguhnya ukhuwah kita semakin erat. Walaupun perkenalan kita macam baru, tapi sebenarnya memang dah lama dah kita kenal! Bila agak kerap kita bersembang di telefon, bila diingat-ingat semula... memang ana dapat rasai yang memang ana pernah jadi senior enta di SMAP dulu. Macamana kita boleh saling tak perasan waktu jumpa kat Melaka masa interview Oman Januari lalu. :) SMAP patut rasa bangga kerana 2 orang dari bekas muridnya telah tercalon untuk ke Oman! (Samada dapat pergi ke tak, tu cerita no. 2.. hihihi)

Kepada akhi Hamidi, walaupun kita tak pernah pun bersua... (mungkin pernah agaknya waktu kursus JLU di Klang tahun lalu, tapi ana tak perasan dan rasa macam tak pernah tegur enta ketika tu walaupun ana penghulu waktu tu. 'Afw ya akhi), tetapi di arena ini telah menjadikan kita lebih dekat dan bagai ukhuwah ini telah terjalin sekian lama. Selamat berjuang sahabatku. (Rindu nak baca tulisan enta di blog).

Seterusnya kepada semua pengunjung tidak kira siapa dan di mana anda (samada JLU Negeri Johor atau negeri-negeri lain, guru-guru j-QAF dan bukan j-QAF, serta siapa sahaja), saya berharap usaha yang kerdil ini dapat dimanfaatkan bersama untuk kecemerlangan bersama. Moga-moga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita semua.

Sepertimana pemilik-pemilik blog yang lain, saya juga amat berbesar hati di atas kesudian blogger-blogger yang singgah di blog yang dhaif ini, untuk menitipkan alamat blog ini di blog-blog penulisan kalian. Moga-moga apa yang ada di dalam blog ini dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pengguna/pembaca atau warga pendidik secara khasnya.

----------------------

Dikesempatan ini juga saya ingin memohon maaf di atas keterlewatan saya menjawab sapaan-sapaan di chat box, dan juga keterlewatan saya mengemaskini entri-entri baru di sini. Semua ini adalah disebabkan keadaan saya yang agak kurang sihat sejak 2 minggu yang lalu, ditambah dengan kesibukan tugas-tugas lain yang agak menyempitkan ruang waktu saya seharian.

DUGAAN SAKIT - jadikan iktibar

Dua minggu yang lalu saya telah diuji oleh Allah dengan sakit yang teramat sangat. Sejak bangun dari tidur pagi Jumaat 27 Februari 2008, saya telah mula merasai dugaan tersebut. Saya gagahkan juga untuk ke sekolah pagi itu atas rasa tanggungjawab terhadap anak murid dan kerja. Namun di pertengahan jalan, saya sudah hampir tidak dapat mengawal rasa sakit yang. datang secara tiba-tiba hari itu. Saya bertahan dan terus juga memandu perlahan menuju ke sekolah sambil berzikir memohon keampunan Tuhan atas dosa-dosa yang telah saya lakukan. Sesampai di sekolah, saya langsung tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya duduk di kerusi batu di depan pejabat, manakala guru-guru yang lain melaksanakan Program Pembudayaan Al-Quran bersama murid-murid seperti biasa.

Setelah rasa sakit mula beransur hilang dan saya mempunyai kekuatan semula untuk berdiri dan berjalan, saya bangun berjumpa guru besar meminta keizinan untuk pulang. Setelah berbincang seketika dengannya tentang sakit yang saya alami ketika itu (walaupun malu tetapi terpaksa), beliau menasihatkan saya supaya segera berurut.

Saya kembali ke rumah. Pembantu rumah sedang sibuk menguruskan anak kedua saya yang akan ke sekolah tadika. Manakala anak bongsu saya masih tidur. Saya terus berkurung di bilik. Sakit sudah beransur pulih. Tapi nasihat guru besar tadi masih terngiang-ngiang di telinga, "lebih baik ustaz cepat pergi berurut. Bimbang melarat nanti".

Sebenarnya panjang lagi nasihat guru besar kepada saya. Macam-macam yang dikatakan. Sampai diceritakan pengalaman suaminya ketika mengalami sakit yang sama. Tetapi mujur mengambil tindakan segera untuk berurut.

Keseorangan di bilik. Saya tidak selesa, kerana sebentar lagi anak kedua saya akan ke sekolah tadika. Bererti selepas itu di rumah hanya ada saya, pembantu rumah dan anak bongsu saya yang baru berusia 1 tahun 5 bulan. Saya tidak akan selesa dengan situasi tersebut. Saya mesti keluar. Saya mesti menurut nasihat guru besar. Lantas saya memutar phone book di telefon bimbit. Mencari nama kawan-kawan yang boleh menemani dan memberitahu saya di mana tempat berurut yang baik untuk saya pergi. Akhirnya nama Hanapiah SKBBU2 muncul. Saya tersenyum bila melihat nama tersebut mengambil gilirannya di phone book screen telefon. Ustaz Hanapiah adalah teman baik saya sejak di maktab lagi. Kami sekelas. Sekolah kami pun tidak berapa jauh. Tambahan pula lagi, saya tahu bahawa Ustaz Hanapiah mengajar sesi petang. Jadi saya mungkin berpeluang mengajak beliau menemani saya pagi tu.

Setelah bercerita dan berbincang dengan Ustaz Hanapiah tentang sakit yang saya alami, beliau bersetuju untuk menemani saya bertemu tukang urut seorang cina muslim di Taman Sutera Johor Bahru. Setelah temujanji dibuat, kami pun ke sana dengan menaiki kereta yang saya pandu sendiri. Mujur juga hari itu tidak ada banyak temujanji yang dibuat oleh tukang urut tersebut.

Sesungguhnya ini merupakan kali pertama saya merasai pengalaman ini. Walaupun zaujah sudah dua tiga kali juga pernah mengajak dan menyuruh saya berurut. Tetapi saya tidak pernah langsung mengendahkannya. Berbagai-bagai alasan saya berikan. Sebetulnya saya rasa malu. Walaupun saya sedar dalam badan saya memang banyak angin. Dah minum air halia, dah sapu minyak panas tetapi saya tetap berangin. Badan selalu rasa berbisa-bisa. Bagi saya biarlah zaujah sahaja yang mengeluarkan angin di badan saya dengan picitan dan urutannya. Bukankah itu salah satu cara mengekal dan merapatkan hubungan kasih sayang suami isteri? Kerana itu saya langsung tidak ingin untuk melakukannya dengan orang lain sehinggalah apa yang terjadi kepada saya ketika itu.

Setelah selesai semua urusan dengan tabib cina muslim yang cuba merawati saya, saya rasa begitu segar. Walaupun muka saya kemerah-merahan akibat dipicit, tetapi saya rasa sedap dan ringan badan. Sakit saya telah pulih. Setelah pembayaran dibuat, kami pulang ke rumah masing-masing.

Ceritanya tidak habis di situ. Menjelang pukul 3 petang, sakit saya datang lagi. Saya membuat keputusan untuk terus ke klinik swasta yang berhampiran dengan rumah saya. Yang menghairankan, doktor mengatakan tidak ada apa-apa yang perlu saya risaukan. Doktor hanya memberi ubat sakit urat dan ubat tahan sakit kepada saya.

Saya kembali ke rumah. Sakit saya semakin menjadi-jadi. Kali ini lebih teruk dari apa yang saya rasa pada sebelah pagi. Saya berguling-guling menahan sakit. Duduk tak kena, baring tak kena. Mengiring kiri tak kena, mengiring kanan tak kena. Saya menangis menahan sakit yang teramat sangat.

Hampir sejam lebih saya melawan sakit, akhirnya ia beransur hilang juga. Zaujah membuat tungku batu seperti orang baru lepas bersalin untuk saya. Saya rasa selesa. Mudah-mudahan sakit ini terus hilang, itu doa saya ketika itu.

Menjelang malam, ramai tetamu yang hadir. Antaranya Cikgu Nazli (cikgu satu sekolah), Ustaz Hanapiah dan abang alang saya yang juga tinggal di Johor Bahru. Kehadiran mereka sebenarnya adalah disebabkan saya telah menefon mereka pada waktu saya bergelut sakit yang amat sangat pada waktu petang itu. Saya meminta bantuan mereka untuk mengadu, memberitahu dan mengajarkan kepada saya apa yang harus saya baca dan lakukan ketika itu untuk mengurangkan sakit yang saya alami.

Sewaktu tetamu beransur pulang, sakit saya juga beransur kembali lagi. Cepat-cepat saya memakan ubat tahan sakit. Namun menjelang pukul 12 tengah malam, sakit yang sama seperti yang saya rasai pada waktu petang itu kembali lagi menyerang saya. Saya mengerang kesakitan lagi. Berguling-guling lagi.

Zaujah membuat keputusan untuk membawa saya ke hospital bahagian kecemasan. Saya akur. Sesampai di hospital tiba-tiba sakit itu hilang begitu sahaja. Kasihan melihat zaujah yang membawa kereta seperti ribut untuk segera sampai ke hospital. Bila sampai hilang pula sakitnya.

Saya buat keputusan untuk tidak masuk. Saya bimbang samada kes saya di tolak, saya malu! Atau saya di tahan wad. Isk.. Masalah juga tu!

Kami buat keputusan untuk balik tanpa turun dari kereta pun walaupun telah masuk parking. Dalam perjalan balik dengan tidak semena-mena, sakit itu datang semula. Tetapi tidak terlalu kuat. Terus saya meminta zaujah membelok ke klinik swasta yang dibuka 24 jam di kawasan yang kami lalui. Tidak ada pesakit pun. Saya terus dipanggil.

Setelah bercakap dan bercerita dengan doktor tentang sakit yang saya alami, doktor terus seraya berkata, "confirm, awak sakit batu karang di bahagian buah pinggang". Masya Allah.. Inilah dugaan Tuhan untuk saya.

Sememangnya saya pernah mengalami sakit buah pinggang ketika saya darjah 4 lagi. Saya pernah dirawat di Wad Neurologi dan Nefrologi, Hospital Besar Kuala Lumpur untuk tempoh waktu yang lama ketika itu. Namun, setelah rawatan itu selesai, saya sudah tidak pernah sakit lagi sehinggalah sekarang saya mengalami batu karang pula di tempat yang sama.

Malam itu setelah saya disuntik di belakang dan diberi ubat batu karang, keesokkan harinya sebutir batu (ibarat batu) bewarna perang sebesar putik belerang mancis keluar ketika saya membuang air kecil.

Alhamdulillah. Begitu mudah ia keluar. Namun saya perlu banyak berehat, kerana badan saya cepat merasa letih dan mengantuk. Mungkin kesan daripada ubat yang saya makan. Doktor menasihati saya untuk banyak berehat dan datang berjumpa dengannya sekiranya sakit itu kembali lagi. Saya perlu diimbas untuk melihat sebesar mana batu karang yang ada di dalam badan saya. Namun sehingga hari ini, sakit itu sudah tidak datang lagi. Alhamdulillah...

(sajak lucu)
hai lah batu...
ku sangka kau hanya seketul batu...

rupanya kaulah pengarang buah pinggang ku... :)
tidak pernah ku tahu kau bijak mengarang...
mengarang untukku...
karangan sebutir batu...
tidak ku tahu karangan yang kau karang itu...
rupanya telah lama engkau di situ...

:)
----------------------

CABARAN - memberi pengalaman yang menyeronokkan.

Pada hari Jumaat juga (tetapi tarikh yang berbeza dengan di atas iaitu pada 6 MAC yang lalu), kumpulan Kalam Jamaie sekolah saya telah diundang untuk membuat persembahan di Majlis Ulang Tahun Al-Jamiatul Khairiyah Wilayah Persekutuan dan Selangor Darul Ehsan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sebenarnya undangan tersebut telah diajukan kepada saya seawal permulaan Februari yang lalu. Tetapi selepas itu berita itu hanya diam dan sepi tanpa sebarang tindakan dari sesiapa. Hinggalah pada Isnin 2 MAC yang lalu saya menerima faks dari Jamiatul Khairiyah tersebut tentang undangan mereka untuk kumpulan kalam jamaie kami melakukan persembahan dalam majlis mereka.

Dek kerana itulah saya menjadi bertambah sibuk untuk menguruskan segalanya termasuk keizinan pihak sekolah, ibu bapa dan juga keizinan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor kerana memandangkan ini adalah undangan yang melibatkan murid terpaksa keluar dari Negeri Johor untuk membuat persembahan.

Walaupun segala urusan perbelanjaan (pengangkutan, makan minum dan tempat tinggal) dinyatakan dalam surat bahawa ianya disediakan, tetapi saya diminta untuk menguruskan soal pengangkutan. Memandangkan yang menjemput kami adalah persatuan kebajikan dari Kuala Lumpur, maka pihak penganjur tidak mahu menghantar bas kosong ke Johor Bahru ini semata-mata untuk menjemput kami. Maka terpaksalah saya yang menguruskan soal pengangkutan dan hanya menyerahkan invoice kepada mereka untuk proses pembayaran.

Mujurlah ada Ustazah Siti Fadilah (ustazah PI j-QAF 2005 di sekolah saya) yang sememangnya sejak awal kumpulan Kalam Jamaie ini tertubuh, beliaulah yang banyak membantu melatih murid-murid membuat persembahan. Jika diharapkan saya seorang, sudah tentu tidak terlatih anak-anak murid saya tu.

Bercakap tentang persembahan, kumpulan Kalam Jamaie kami yang diberi nama De Syams itu pernah membuat persembahan di hadapan YM Raja Zarith Sofea di Hotel M-Suite Johor Bahru dalam majlis penyampaian bantuan hari raya kepada fakir miskin pada tahun 2008 yang lalu. Pada waktu itu, salah seorang tetamu yang hadir ialah Dato' Syed Hussin Al-Habshee (mungkin pemilik atau pengasas Jamiatul Khairiyah - saya kurang pasti) telah melihat persembahan De Syams dan berminat untuk dipersembahkan pula dalam majlis ulang tahun persatuan kebajian itu pada tahun ini di Kuala Lumpur.

Perjalanan kami dari sekolah bermula jam 11 pada pagi jumaat 6 MAC. Kami diminta sampai ke Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak seawal mungkin untuk raptai majlis. Namun guru besar tidak membenarkan kami bertolak lebih awal dari waktu tersebut kerana menyalahi syarat yang telah diberikan oleh Pengarah Pelajaran Johor iaitu P&P murid yang terlibat tidak boleh terganggu. Saya juga setuju dengan hal demikian.

Perjalanan yang memakan masa hampir 6 jam untuk sampai ke tempat majlis tidak terasa terlalu lama. Keseronokan 14 orang murid-murid yang terpilih dapat dikongsi dengan guru-guru yang mengiringi iaitu saya, Ustazah Endok Makernu dan Ustazah Siti Fadilah. Sepanjang perjalanan kami tidak henti-henti berbual.

Kami sampai di dewan tersebut apabila jam menunjukkan lebih kurang pukul 4.30 petang. Ketibaan kami di sambut oleh salah seorang staff dato' yang sebelum ini sering berurusan dengan saya iaitu En. Izad. Beliau memperkenalkan kami kepada dato' yang ketika itu sedang sibuk membuat pemeriksaan terakhir untuk majlis sebenar pada malam tersebut yang akan bermula pada jam 8 malam.

Setelah bersalam-salaman, dato' menghulurkan sampul putih kepada 14 orang ahli kumpulan De Syams yang berisi wang berjumlah RM50 seorang. Itu merupakan sumbangan atau saguhati dato' kepada ahli kumpulan De Syams yang sudi membuat persembahan pada malam itu nanti.

Setelah membuat sedikit raptai, kami terus ke tempat penginapan iaitu di Nomad SuCasa, Jalan Ampang. Penginapan berupa appartment mewah bertaraf 4 atau 5 bintang itu sememangnya menambah keseronokan murid-murid saya ketika itu. Murid-murid di tempatkan 3 atau 4 orang sebilik manakala guru pula seorang sebilik. Penginapan di situ amat selesa dan menyeronokkan. Terima kasih kepada dato'.

Jam 8.00 malam, semua murid-murid telah disiapkan dengan pakaian persembahan yang diuruskan oleh Ustazah Siti Fadilah dan Ustazah Endok sejak jam 6.30 petang lagi. Kami bergerak ke dewan majlis dengan menaiki bas yang kami naiki sejak dari Johor Bahru itu lagi. Tiba di dewan, saya terus menguruskan makan malam murid yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Setelah itu, kami terus bersiap sedia di belakang pentas menanti giliran persembahan kami dipanggil pengacara majlis.

Sungguh ramai tetamu pada malam itu. Dewan yang begitu luas sehingga boleh memuatkan hampir ribuan undangan itu penuh dengan tetamu yang berpakaian arab. Tema pakaian pada malam itu adalah pakaian arab. Saya tidak mengetahuinya, kerana itu saya hanya memakai baju batik pada malam itu. Saya diberitahu bahawa Tetamu Kehormat pada malam itu adalah Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 11. Timbalan Perdana Menteri Yaman juga turut hadir memeriahkan majlis selain duta-duta daripada negara-negara arab. Tetamu-tetamunya juga ramai dikalangan orang yang berbangsa arab dan berketurunan arab.

Kumpulan De Syam telah membuat persembahan pada jam 10.30 malam setelah hampir 2 jam menunggu giliran di belakang pentas. Banyak persembahan lagu-lagu arab yang disampaikan oleh penyanyi-penyanyi arab dengan diiringi oleh pemuzik-pemuzik arab. Bila mendengar lagu-lagu tersebut, saya terimbau kenangan sewaktu mendengar lagu-lagu seumpamanya ketika majlis-majlis kenduri kahwin di Jordan ketika saya di sana dahulu. Memang memekakkan telinga dan irama badwinya amat membosankan halwa pendengaran saya. Namun apakan daya, malam itu kami semua terpaksa mendengarnya walaupun tidak menyukainya. Namun begitu, terdapat juga persembahan-persembahan yang lain seperti tarian gelek arab dari kanak-kanak kecil yang berumur 6 atau 7 tahun. Amat mencuit hati melihat keletah mereka. Malangnya kami hanya dapat mengintai persembahan tersebut hanya dari tirai tepi pentas memandangkan terlalu ramai tetamu yang sedang menikmati hidangan di meja-meja di dalam dewan tersebut. Kami langsung tidak berpeluang menjengah ke dalam dewan merasai kehangatan majlis malam itu.

Selesai sahaja persembahan, saya terus menelefon pemandu bas dan kami pulang ke hotel sebelum majlis itu tamat.

Keesokkan harinya (Sabtu), kami tidak ada apa-apa lagi yang perlu disumbangkan kepada persatuan tersebut yang mengundang kami. Saya dan ustazah-ustazah merancang membawa murid-murid ke KLCC dan ke Petrosains. Tetapi malangnya di antara kami tiada siapa pun yang pernah pergi ke sana. Daripada tercari-cari dan bakal sesat, lebih baik kami buat keputusan pergi ke tempat lain. Setelah berbincang, kami bakal ke Zoo Negara setelah menikmati sarapan pagi di hotel.

Sebelum kami berangkat meninggalkan hotel, dato' sampai untuk mengucapkan terima kasih dan selamat pulang kepada kami. Dikesempatan itu juga, dato' sempat menghulurkan sampul coklat kepada saya dan ustazah-ustazah yang berisi nota seratus seorang sebagai terima kasihnya kepada kami. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada dato' kerana telah memberi pengalaman yang berharga kepada kami dan murid-murid kami. Saya mencongak-congak, dato' berhabis hampir RM5 ribu juga untuk kami. Mungkin lebih! Tetapi persembahan De Syams tidak pun sampai 9 minit. Bertuahnya kumpulan De Syams.

Perjalanan pulang ke Johor Bahru disulami dengan tempat-tempat persinggahan seperti Zoo Negara, Butik Coklat di Jalan Imbi dan Dataran Pahlawan di Banda Hilir, Melaka. Keseronokan jelas terpancar di raut wajah ahli kumpulan De Syams. Mereka begitu gembira dapat berjalan-jalan sepanjang perjalanan pulang ke Johor Bahru itu.

Kami selamat sampai ke perkarangan Sekolah Kebangsaan Taman Suria pada jam 8.30 malam. Ramai ibu bapa telah sedia menanti untuk menjemput anak masing-masing.

Kumpulan De Syams




Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu