Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Jumaat, Februari 20, 2009

skSURIAfm

Walaupun skSURIA.fm telah hampir berusia setahun pada 3.3.2009 ni, tapi ini merupakan kali ke2 saya bertugas sebagai penyiar/DJ di radio rasmi sekolah saya ini. Kali pertama saya bersiaran secara live ketika pelancaran radio skSURIA.fm ini tahun lepas. Selainnya saya hanya bertugas dibelakang tabir sebagai technician utk software yang digunakan dan memuat turunkan lagu-lagu yang bersesuaian untuk diperdengarkan kepada murid di sekolah.

Pada tahun 2009 ini, memandangkan tenaga guru untuk kelab media sekolah ini sudah berkurangan selepas ramai guru-gurunya berpindah, saya terpaksa juga tercebur sebagai penyiar rancangan dalam skSURIA.fm mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Hari ini, saya telah berkongsi dengan pendengar-pendengar tentang kelebihan-kelebihan yang ada dalam hari Jumaat dan kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang membaca yasin.

Untuk makluman, skSURIA.fm akan terus mengorak langkah sekiranya semua usaha berjalan lancar untuk menjadikan skSURIA.fm antara stesen radio online yang akan bergabung tenaga dengan fuhyoofm. Mudah-mudahan segalanya akan menjadi kenyataan.



Read More......

Rabu, Februari 18, 2009

Praktikum j-QAF 2009 (bah. akhir)

Saya mohon maaf kepada pembaca blog saya yang mengikuti siri panduan praktikum j-QAF 2009, kerana agak lama juga saya tidak menyambung penulisan saya berkenaan siri panduan tersebut, dan mungkin ini adalah siri terakhir (buat kali ini) bagi tajuk Praktikum j-QAF 2009.

Bagi yang belum pernah mengikutinya dari siri pertama, saya telah menyediakan link siri berkenaan dari siri pertama sehingga siri yang terakhir ini di ruangan Pengalaman & Panduan Praktikum MIORjqaf di ruangan bewarna oren, di bahagian tepi blog ini.

Harapan saya agar dengan penulisan saya yang tidak seberapa ini, dapat membantu sedikit sebanyak kepada pelatih-pelatih praktikum j-QAF (khasnya pelatih praktikum bahasa Arab) dalam meniti hari sebagai pelatih praktikum bagi tahun ini. Semoga usaha kecil saya ini dinilai oleh Allah sebagai satu ibadah dalam mencari keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

...

HASILAN

Adalah menjadi satu kelebihan bagi seorang pelatih praktikum (j-QAF khasnya) untuk menghasilkan suatu inovatif sebagai sokongan kepada komitmen dan minat pelatih terhadap bidang pendidikan.

Pengalaman saya ketika praktikum 2006, saya telah menghasilkan satu CD audio yang memuatkan 15 lagu Bahasa Arab yang terdapat di dalam buku teks tahun 1 dan 2 (buku teks lama). 10 lagu untuk tahun 1 dan 5 lagu untuk tahun 2. (Saya telah memuat naikkan 15 lagu tersebut di ruangan muat turun, di dalam blog ini)

Kesemua lagu-lagu tersebut telah dinyanyikan dan dirakamkan oleh saya sendiri. Adunan rentak muzik dan suara yang sederhana menjadikan lagu-lagu yang saya rakamkan dengan menggunakan perisian "N-Track Studio", mesra didengari dan boleh dituruti oleh murid-murid di kelas.

Penghasilan lagu tersebut pada awalnya hanyalah untuk kegunaan saya sendiri ketika praktikum. Lagu-lagu itu digunakan untuk menambah keceriaan murid ketika mereka belajar bahasa Arab di kelas. Walaubagaimanapun, ketika saya membawa dan memperdengarkannya kepada rakan-rakan sekelas di maktab pada ketika itu, ramai yang menyokong dan memberi semangat kepada saya untuk menjual atau memasarkan rakaman lagu-lagu bahasa Arab tersebut kepada mereka. Maka, bermula dari situlah, suara saya telah terjual kepada ramai guru bahasa Arab seluruh Malaysia sehingga ke Sabah dan Serawak.

Selang beberapa bulan, saya telah dihubungi oleh 3 syarikat bumiputera di Kuala Lumpur untuk membeli produk yang telah saya hasilkan itu. Mereka telah mendengar rakaman suara tersebut dan berminat untuk mengkomersilkannya. Namun atas beberapa masalah, saya tidak bersetuju dengan tawaran dan kontrak yang diberikan dan akhirnya saya dengan rela hati mengizinkan kepada sesiapa sahaja untuk meng'copy' cd tersebut tanpa halangan. Mudah-mudahan dengan perkongsian tersebut, saya mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, dengan pengahasilan suatu bahan bantu mengajar yang menarik dan inovatif, dan dapat pula dikongsikan bersama-sama guru-guru yang lain adalah sesuatu yang sungguh baik dan sangat membantu pelatih-pelatih j-QAF dalam mencapai kecemerlangan praktikum. Usaha yang terhasil itu dinilai sebagai minat yang mendalam dalam bidang yang diceburi selain komitmen terhadap apa yang sedang diusahakan iaitu praktikum.

Apa yang telah saya hasilkan telah direkodkan dalam portfolio dan diterangkan kepada pensyarah pembimbing dan pentadbir. Hasilan itu telah mendapat pujian dan sangat membantu saya untuk menjadi pelatih j-QAF cemerlang pada ketika itu.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang berkata bahawa bukan semua orang boleh menyanyi atau menghasilkan seperti apa yang telah saya hasilkan itu. Kemahiran dalam bidang komputer amat menuntut seseorang itu untuk mengasilkan bahan seumpamanya. Namun saya percaya dewasa ini lebih ramai lagi pelatih-pelatih jQAF yang amat mahir dalam bidang ICT atau sebagainya, dan amat berkemampuan untuk menghasilkan bahan yang lebih baik dari apa yang telah saya hasilkan.

Penghasilan bukanlah tertumpu kepada bahan bantu mengajar seperti yang saya telah hasilkan sahaja. Mungkin sebagai contoh di zaman blogger ini, seorang pelatih jQAF boleh menghasilkan satu blog pembelajaran yang baik dan berkesan untuk kegunaan dan pembelajaran bahasa Arab terhadap murid-murid samada di sekolah, di rumah atau di mana sahaja.

Wallahu'alam.

Read More......

Sabtu, Februari 14, 2009

Best 104 - Sensasi Selatan & skSURIA.fm

Hari ini merupakan hari sekolah ganti bagi sekolah-sekolah yang telah bercuti pada hari jumaat minggu perayaan tahun baru cina yang lalu. Sekolah saya juga termasuk dalam sekolah-sekolah yang terlibat dalam cuti tersebut meskipun 100% murid kami adalah berbangsa melayu.

Mengikut jadual jumaat sudah tentunya murid-murid dan guru akan pulang awal dari sekolah. Maka masa yang terluang ini memberi kesempatan untuk saya dan 5 orang guru sekolah saya yang lain (ahli kelab media sekolah) untuk memenuhi undangan juruhebah-juruhebah radio BEST104 ke Studio FuhyooFM di bawah Fitrah Media Enterprise yang didokong sepenuhnya oleh mereka.

Untuk pengetahuan, dua orang DJ BEST104 (DJ HBO dan DJ SENJA) begitu rapat dengan kami sejak tertubuhnya radio sekolah kami yang diberi nama skSURIA.fm. 3 Mac ini, genaplah setahun radio sekolah kami bersiaran setiap hari persekolahan pada jam 7:00 - 7:15 pagi dan 10:00 - 10:15 pagi. Mereka berdua dan beberapa orang yang lain banyak membantu kami dalam memberi tunjuk ajar dan pendedahan berkenaan broadcasting atau sistem penyiaran. Sehingga radio sekolah kami telah mencapai objektifnya iaitu berhibur dan belajar.

Namun sesuatu yang baru mungkin akan muncul tidak lama lagi....

Fitrah Media Enterprise dengan produk terbaru mereka (online radio/internet radio) FuhyooFM telah menawarkan kepada saya satu slot berkenaan j-QAF dan Bahasa Arab yang akan saya kendalikan sendiri nanti dengan bantuan mereka.

SATU PERKARA BARU YANG MENARIK!!!

Setakat ini kita masih belum ada satu saluran yang memperdengarkan / membincangkan tentang j-QAF dan Bahasa Arab, mahupun apa-apa mata pelajaran yang lain di sekolah. Sekira semuanya berjalan lancar, projek ini akan menjadi siaran radio pertama yang akan membicangkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan pendidikan dan kurikulum di sekolah khasnya j-QAF.

Setakat ini, saya belum lagi berbincang dengan pihak jabatan berkenaan perkara ini. Seandainya tiada sebarang masalah, saya akan menerima tawaran tersebut untuk menjadi juruhebah sambilan bagi slot j-QAF dan Bahasa Arab di fuhyooFM online radio.

MUDAH

Setelah mendengar segala tunjuk ajar dari mereka, pelaksanaanya amat mudah dan tidak akan mengganggu masa dan tugas kita sebagai seorang guru di sekolah. Online radio boleh dilakukan samada di konti mahupun di rumah atau di sekolah. Online radio juga boleh dilakukan secara live mahupun rakaman. Dengan penggunaan perisian yang tertentu, pelaksanaannya bagai memetik di hujung jari...

Sesiapa yang berminat untuk bersama-sama saya dalam usaha ini, amatlah dialu-alukan... Jom!

Sila layari laman sesawang fuhyooFM di www.fitrahmedia.webs.com

Read More......

Jumaat, Februari 13, 2009

MANUAL PELAKSANAAN MODUL UJIAN BULANAN PKSR BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH NEGERI JOHOR

1) Pelaksanaan PKSR Bahasa Arab di sekolah rendah.

a) Setiap guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Arab / Bahasa Arab Komunikasi di sekolah rendah diwajibkan untuk melaksanakan Ujian Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR), samada dengan cara yang telah dicadangkan dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, ataupun dengan menggunakan kaedah modul ujian bulanan PKSR ini.

b) Secara ringkasnya Modul Ujian Bulanan PKSR Bahasa Arab Sekolah Rendah Negeri Johor ini adalah satu alternatif bagi guru Bahasa Arab sekolah rendah (negeri Johor khasnya) yang tidak mampu melaksanakan cara yang telah dilakukan sebelum ini.


2) Kandungan Kertas Modul Ujian PKSR Bahasa Arab.

Kertas Ujian Bulanan PKSR Bahasa Arab ini mengandungi 3 bahagian.

Bahagian A (penulisan) :

· Menguji kemahiran mendengar dan menulis murid (10 markah).

· Bahagian ini mempunyai dua soalan :

Soalan 1 : - Menguji kemahiran mendengar dan menulis (5 markah).

- Mengandungi 5 soalan.

- Satu markah diberikan untuk setiap jawapan yang betul.

Soalan 2 : - Menguji kemahiran mendengar dan menulis serta kefahaman murid

terhadap perkataan yang didengar (5 markah).

- Mengandungi 5 soalan.

- Satu markah diberikan untuk setiap jawapan yang betul.

· Sebagai cadangan untuk murid-murid yang lemah, guru boleh menulis pilihan jawapan kedua-dua soalan ini di papan tulis untuk memudahkan mereka menjawab.


Bahagian B (lisan) :

· Menguji kemahiran bertutur murid (10 markah).

· Bahagian ini mempunyai 5 soalan perbualan.

· Murid diberi dua markah penuh untuk setiap jawapan paling tepat yang diberikan oleh murid.


Bahagian C (lisan) : Menguji kemahiran membaca murid (10 markah).

· Bahagian ini mempunyai 5 ayat/perkataan yang perlu dibaca oleh murid.

· Dua markah penuh diberikan kepada murid yang boleh membaca dengan baik.

Jumlah keseluruhan markah Ujian Bulanan PKSR Bahasa Arab ini ialah 30 markah.


3) Cara melaksanakan ujian PKSR dengan menggunakan modul ini adalah seperti berikut :

a) Pengajaran dan Pembelajaran di kelas.

i) Guru masuk ke kelas dan mengajar seperti biasa.

ii) Sewaktu P&P berlangsung, guru tidak perlu memberi markah terus kepada murid melainkan menanda senarai murid-murid yang terlalu lemah.

iii) Tanda senarai murid lemah ini adalah untuk tindakan guru bagi membantu mereka mencapai objektif agar tidak terhimpun kelemahan mereka.

iv) Pemulihan ini boleh terus dilakukan di dalam kelas tanpa menunggu waktu lain.

b) Penilaian dan ujian akhir bulan / akhir tajuk.

i) Sebelum guru melaksanakan ujian bulanan PKSR dengan menggunakan modul ini, guru mestilah meneliti terlebih dahulu soalan contoh yang disediakan dalam buku modul ini.

ii) Sekiranya soalan-soalan tersebut menepati aras murid terbabit, bolehlah soalan tersebut terus di cetak dan digunakan.

iii) Namun sekiranya ia tidak sesuai dan tidak menepati aras murid terbabit, guru mestilah mengubah suai soalan agar ianya sesuai dengan aras murid dan seterusnya murid boleh menjawab dengan baik.

iv) Satu masa (30 / 60 minit dalam jadual) digunakan untuk melaksanakan ujian pada setiap sesuatu tajuk pelajaran.

v) Soalan Bahagian A (penulisan) perlu dilaksanakan di dalam kelas, diikuti dengan soalan Bahagian B dan C (lisan).

vi) Sekiranya soalan-soalan dari Bahagian B dan C tidak dapat disempurnakan di dalam kelas, guru boleh melaksanakan di luar jadual dengan memanggil murid-murid berkenaan secara bergilir-gilir ke meja guru di bilik guru / bilik j-QAF.

vii) Guru boleh memanggil murid-murid terbabit pada waktu-waktu mata pelajaran bukan kritikal seperti waktu muzik, pendidikan seni, atau mata pelajaran lain yang mempunyai jumlah waktu yang banyak seperti Bahasa Melayu dan sebagainya.

viii) Purata jumlah masa yang diperlukan oleh seorang murid untuk menjawab soalan Bahagian B dan C ialah tidak lebih dari 4 minit.

ix) Untuk melancarkan lagi perjalanan ujian lisan ini, guru boleh meminta bantuan daripada guru-guru j-QAF atau guru pendidikan Islam yang lain.

c) Penilaian setengah dan akhir tahun.

Untuk penilaian pada peperiksaan setengah dan akhir tahun, guru hanya perlu menyediakan soalan yang berjumlah 70 markah. Manakala baki lagi 30 markah bolehlah diambil dari ujian bulanan PKSR ini.

d) Hasil ujian dan borang pemarkahan.

i) Setelah guru lengkap melaksanakan ujian bulanan PKSR, markah yang dicatat guru pada kertas soalan murid perlulah direkodkan.

ii) Guru perlu mengisi borang markah seperti contoh yang disediakan di dalam buku modul ini.

iii) Borang hasil ujian tersebut mestilah diisi setiap bulan dan difailkan.

iv) Hasil ujian perlu dianalisa untuk diambil tindakan susulan terhadap murid-murid yang masih belum mencapai tahap yang telah ditentukan.

v) Untuk hasil ujian penilaian setengah dan akhir tahun, satu contoh borang yang berasingan juga telah disediakan di dalam buku modul ini yang perlu diisi oleh guru.

e) Penilaian sikap dan akhlak

i) Guru dimestikan untuk menilai sikap dan akhlak setiap murid di dalam kelasnya.

ii) Penilaian ini boleh dibuat daripada penilaian melalui pemerhatian yang diperolehi pada setiap kali guru masuk ke kelas.

iii) Penilaian ini mestilah dilakukan setiap bulan dan direkodkan dalam borang yang sama dengan borang ujian bulanan PKSR Bahasa Arab seperti yang disediakan di dalam buku modul ini.


JADUAL PELAKSANAAN UJIAN BULANAN PKSR BAHASA ARAB

DALAM SEBULAN

MASA

SATU BULAN PEMBELAJARAN

MINGGU 1

MINGGU 2

MINGGU 3

MINGGU 4

MINGGU 5

Masa 1

30 minit

Belajar

Seperti

Biasa

Belajar

Seperti

Biasa

Belajar

Seperti

Biasa

Belajar

Seperti

Biasa

Ujian

Bulanan

PKSR

Masa 2

30 minit

Luar Jadual

30 minit

X

X

X

X

Ujian Lisan*

* Ujian lisan dilakukan 30 minit atau lebih di luar jadual sekiranya 60 minit waktu di dalam jadual tidak mencukupi.

Read More......

Khamis, Februari 12, 2009

Muhammad Fateh bin Nazihar


Inilah dia Muhammad Fateh, putera kepada JLU Bahasa Arab Negeri Johor Ust. Nazihar bin Sisak

“Wahai Tuhanku, kurniakanlah bagiku daripada sisiMu suatu keturunan yang baik (bertaqwa), sesungguhnya Engkau amat mendengar permohonan ini” (Ali-Imran:38)

"Ya Allah, panjangkanlah umur anak ini, terangilah hatinya, teguhkanlah imannya, bagusilah amal perbuatannya, lapangkan rezkinya, dekatkanlah ia menuju kebaikan, jauhkanlah ia dari keburukan"

"Ya Allah, kabulkanlah doa ini, agar anak-anak kami menjadi anak yang soleh dan soleha, yang senantiasa taat kepadaMu dan berbakti kepada kedua orang tuanya"

Amin ya rabbal ‘Alamin


.......

TAHNIAH UNTUK USTAZ NAZIHAR & ZAUJAH

Read More......

Isnin, Februari 09, 2009

Praktikum j-QAF 2009 (Bah. 3)

Bertemu lagi dalam siri panduan praktikum untuk guru-guru j-QAF khasnya guru Bahasa Arab j-QAF yang sedang menjalani tempoh praktikum sekarang ini.

Harapan saya, sedikit sebanyak apa yang telah saya tuliskan di sini sebelum ini dapat membantu guru-guru sekalian dalam membuat persediaan penyeliaan praktikum oleh penilai-penilai praktikum samada ianya guru pembimbing mahupun pensyarah pembimbing untuk menjadi pelatih praktikum cemerlang, mudah-mudahan.

PENGAJARAN & PEMBELAJARAN DI KELAS

Kali ini saya akan memberi beberapa tips atau pengalaman saya sewaktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) saya diselia oleh penilai-penilai praktikum. Mana-mana cara atau langkah yang akan saya berikan nanti, bolehlah dituruti sekiranya pelatih bersetuju, berkemampuan dan bersesuaian dengan iklim pengajaran pelatih-pelatih di sekolah masing-masing.

1. Buku Persediaan Mengajar yang lengkap.
- Buku persediaan mengajar haruslah telah ditulis dengan lengkap untuk subjek yang akan dinilai oleh penilai.
- Seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, pelatih praktikum boleh menampal lembaran kerja atau lembaran aktiviti bertulis yang akan diberikan kepada murid di dalam buku persediaan mengajar tersebut.

2. Berfikiran dan bersikap positif.
- Pastikan sebelum kelas bermula, pelatih dapat menarik nafas sedalam-dalamnya untuk merehatkan sedikit otak yang mungkin menghadapi sedikit tekanan ketika itu.
- Pelatih mesti bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi segala kemungkinan gangguan yang tidak dijangka ketika penyeliaan sedang berlangsung. Samada gangguan tersebut datang dari diri sendiri, murid-murid, bahan mengajar yang digunakan, dari penilai, mahupun dari persekitaran kelas atau sekolah. Jangan panik menghadapi kemungkinan gangguan, malah urusilah ia dengan tenang, waras dan profesional.
- Pelatih praktikum juga mestilah menerima segala bentuk teguran dari penilai dengan positif dan berjanji untuk mencuba mengubah keadaan tersebut kepada yang lebih baik pada masa yang akan datang.

3. Bahan Bantu Mengajar
- Pelatih semestinya menggunakan banyak bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan inovatif untuk menjadikan pengajaran lebih ceria dan menarik.
- Tidak dihadkan bilangan penggunaan bahan bantu mengajar tersebut. Pelatih boleh membawa seberapa banyak yang boleh untuk dijadikan bahan bantu mengajar ketika di kelas, asalkan ianya tidak menjadi gangguan ketika proses P&P sedang berlangsung. Apalah guna sekiranya bahan bantu mengajar yang banyak, tetapi tidak berfungsi atau bermasalah sehingga mengganggu kelancaran proses pengajaran tersebut. Biarlah ianya berpatutan dan mudah digunakan.
- Sebagai contoh, saya pernah membawa 13 bahan bantu mengajar di kelas. Bahan-bahan tersebut adalah kebanyakkannya benda-benda maujud yang mudah didapati dan mudah digunakan ketika proses P&P sedang berlangsung. Saya telah menggunakan setiap bahagian dalam P&P saya dengan bahan-bahan bantu yang dibawa tanpa mengganggu kelancaran proses pengajaran saya.

Sebagai contohnya saya mengajar tajuk nombor 1-10 dalam bahasa arab. Sewaktu set induksi berlangsung saya menggunakan radio dan cd sebagai bahan untuk murid-murid dan saya menyanyi bersama-sama. Di samping itu, saya juga memaparkan carta lirik lagu yang dinyanyikan tadi. Sambil menyanyi, saya juga memegang gambar-gambar yang bersesuaian dengan lirik lagu tersebut.

Perlu diingatkan, sekiranya guru melakukan aktiviti nyanyian dalam P&P, guru sendiri hendaklah menyanyi bersama-sama dengan murid dengan tanpa segan dan malu. Gerakan atau tarian yang bersesuaian mungkin boleh dilakukan untuk menambah keselesaan dan keseronokkan murid untuk belajar selepas itu.

Apabila masuk ke langkah pertama, saya menggunakan kaedah ICT untuk memaparkan perisian yang bersesuaian dengan tajuk pelajaran. Pengajaran berlangsung antara saya dan murid dalam kaedah dua hala. Soal dan jawab, teknik ulangan mesti digunakan. Sewaktu itu, kad-kad yang bersesuaian juga boleh digunakan untuk membantu murid-murid menjawab soalan atau mengulang perkataan yang diajarkan.

Apabila masuk langkah kedua, kita boleh gunakan benda-benda maujud yang ada di sekeliling murid untuk membantu pengajaran kita. Sebagai contoh dalam pengajaran nombor ini tadi, guru boleh menyuruh murid-murid membilang, mengutip atau menyusun benda-benda yang bersesuaian yang ada disekeliling mereka untuk lebih meninggalkan kesan kepada mereka terhadap apa yang mereka pelajari ketika itu. Dua tiga bahan boleh digunakan untuk proses seperti ini.

Langkah ketiga, guru boleh menyediakan permainan yang bersesuaian untuk menguji tahap ingatan dan pemahaman murid. Sebagai contoh, saya menggunakan permainan roda impian yang mana putarannya telah saya set dalam komputera riba saya. Setiap putaran roda tersebut akan menunjukkan kepada nombor yang berbeza untuk menjadikan murid-murid dapat menjawab soalan kepada semua nombor yang dipelajarinya. Permainan ini agak ringkas dan boleh disusuli dengan permainan dam ular yang ada juga terdapat padanya nombor-nombor yang dipelajari samada pada papan dam tersebut yang ditampal di papan tulis, mahupun pada buah dadu yang digunakan untuk menggerakkan buah.

Satu ingatan saya kepada pelatih-pelatih bahawa penggunaan bahan bantu mengajar mestilah sama-sama dirasai oleh murid-murid. Ertinya, semua murid mesti terlibat dalam pembelajaran tersebut dengan menggunakan bahan-bahan bantu yang pelbagai itu.

Akhirnya, selepas aktiviti latihan dan pengukuhan, saya menutup pengajaran saya hari itu dengan menyanyi sekali lagi bersama murid-murid lagu yang bersesuaian dengan tajuk yang dipelajarinya pada hari tersebut. Tetapi pada kali ini, saya tidak lagi menggunakan radio dan cd, tetapi saya menggunakan alat-alatan muzik yang mudah seperti kompang, kastenet, tamborin mahupun kerincing. Saya meminta sebahagian daripada murid menyanyi dan sebahagiannya lagi menggunakan alatan-alatan muzik tersebut dengan mengira nombor ketukan yang perlu diketuk seperti yang dipelajarinya tadi.

Pengajaran dan pembelajaran murid-murid menjadi seronok, ceria dan berjaya... mudah-mudahan..

4. Sensitif
- Sewaktu proses P&P sedang berlangsung, guru mestilah sensitif dan peka terhadap semua murid yang ada di dalam kelas.
- Guru perlu melihat sekiranya terdapat murid-murid yang mengantuk, tidak menunjukkan minat belajar mahupun yang sakit. Guru perlu bertindak dengan bijak untuk menangani masalah ini sekiranya terjadi.
- Guru perlu bergerak ke seluruh kelas walaupun sehingga ke sebelah atau belakang penilai. Tidak perlu rasa malu, bimbang atau takut untuk menghampiri meja penilai sekiranya di situ terdapat anak murid yang perlu kita perhatikan.
- Guru tidak boleh hanya berlegar di bahagian depan kelas ataupun di bahagian tepi kelas sahaja.

5. Pembelajaran 2 hala yang menarik minat murid.
- Sewaktu proses P&P sedang berlangsung, keadaan murid tidak semestinya harus diam tanpa berkata-kata.
- Guru mestilah mewujudkan pembelajaran dua hala di antara guru dan murid-murid.
- Tidak menjadi masalah sekiranya kelas tersebut agak bising, tetapi hendaklah keadaannya menunjukkan pembelajaran yang menarik dan terkawal, bukan bising yang keterlaluan dan tidak terkawal.

6. Kata-kata pujian.
- Guru harus melontarkan kata-kata pujian kepada murid-murid yang dapat menjawab soalan dengan baik.
- Guru-guru juga boleh meminta murid-murid yang lain memberi tepukan kepada rakannya yang dapat menjawab soalan dengan betul.
- Kata-kata pujian itu hendaklah bersifat positif dan menaikkan semangat murid tersebut mahupun murid-murid yang lain.

7. Penerapan nilai murni.
- Terapkanlah nilai-nilai murni sewaktu pengajaran kita di kelas. kerana tugas kita bukan hanya mengajar, tetapi apa yang lebih penting mendidik mereka.
- Penerapan nilai murni boleh diterapkan mengikut keadaan semasa ketika itu atau kesesuaian tajuk yang sedang diajar oleh guru.
- Persediaan untuk penerapan nilai-nilai murni penting dan perlu ditulis di dalam rancangan pengajaran guru.

8. Kelas yang kondusif.
- Sebelum penyeliaan berlangsung, pelatih perlu memastikan kelas yang akan diselia nanti dalam keadaan yang bersih dan kondusif.
- Bersih daripada kekotoran di lantai, di meja mahupun di bahagian-bahagian kelas yang lain seperti papan tulis, tingkap dan dinding. Kelas yang kotor dan tidak bersih akan mengganggu pembelajaran yang berkesan.
- Kondusif membawa maksud kepada keadaan yang membantu persediaan murid untuk belajar. Seperti mempunyai meja dan kerusi yang elok untuk digunakan selain bahan-bahan yang terdapat di dalam kelas yang boleh membantu pembelajaran murid di kelas seperti ruangan mata pelajaran yang diajar atau bahan-bahan bantu yang ditampal atau digantung di dalam kelas.

9. Sikap guru.
- Guru perlu menunjukkan sikap yang positif kepada murid-murid.
- Sebagai contoh, bertutur dengan bahasa yang sesuai dan sopan.
- Selain itu tindakan guru juga mestilah menunjukkan guru seorang yang boleh dicontohi seperti pembersih. Sebagai contoh, jangan sesekali guru memadam tulisan di papan tulis dengan menggunakan tangan. Sikap ini akan menunjukkan guru adalah seorang yang pengotor kerana sanggup membiarkan tangan guru menjadi kotor untuk memadam tulisan di papan tulis tanpa menggunakan pemadam yang telah disediakan.
- Guru juga perlu menunjukkan sikap yang mengambil berat dan penyayang terhadap murid untuk menjadikan guru seorang yang disayangi oleh murid-murid, seterusnya akan menjadikan subjek yang diajar oleh guru sebagai subjek yang paling diminati.

10. Lain-lain
Selain dari perkara-perkara di atas, pelatih praktikum juga perlu memerhatikan perkara ini ketika pelatih diselia di kelas;
- berpakaian kemas dan bersih serta mematuhi etika pemakaian penjawat awam/guru. Sebagai persediaan, guru perlu menyediakan sapu tangan di poket untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku di kelas.
-bersuara jelas dan kuat agar murid dapat mendengar dengan baik.
- mematikan telefon bimbit agar pengajaran tidak terganggu.
- menyediakan tempat / meja untuk penilai duduk dan menilai pengajaran anda.
- meletakkan portfolio praktikum dan buku rancangan mengajar yang lengkap di meja penilai tersebut beserta dengan sukatan pelajaran, huraiannya dan rancangannya.

Wallahu'alam..

Selamat Maju Jaya.

Read More......

Selasa, Februari 03, 2009

Praktikum j-QAF 2009 (Bah. 2)

Hari ini merupakan hari lapor diri bagi guru-guru j-QAF baru di Negeri Johor. Mungkin juga di seluruh Malaysia!.. Ahlan wa sahlan sekali lagi kepada guru-guru j-QAF ambilan Januari 2009.

Setelah saya menulis sebelum ini serba sedikit (yang saya tahu) berkenaan penulisan buku rekod dalam menghadapi atau persediaan sebagai guru praktikum cemerlang (khasnya j-QAF), ingin saya menyentuh pula berkenaan penyediaan portfolio guru-guru praktikum.

Portfolio adalah salah satu perkara yang penting dan akan dinilai sepenuhnya semasa guru-guru pelatih menjalani praktikum. Antara perkara yang perlu diperhatikan adalah ;

1. Pengisian portfolio (mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan)
2. Lengkap
3. Tersusun
4. Kreatif
5. Mesra Pembaca
6. Sentiasa dikemaskini
7. Sentiasa disahkan

Selain itu, perkara-perkara ini boleh juga di perhatikan seperti ;

1. Muka depan yang menarik (tetapi tidak berserabut)
2. Biodata yang lengkap
3. Pembahagian (partiotion) dalam fail yang mudah untuk dibuka
4. Isi kandungan yang terperinci
5. Borang rekod penyeliaan/pemantauan/perbincangan dengan pensyarah/guru pembimbing
6. Borang-borang penyeliaan pensyarah dan guru pembimbing (borang kosong) disediakan secukupnya
7. Borang-borang kehadiran pelatih ke sekolah lengkap dan disahkan oleh pentadbir
8. Borang-borang interpersonal dan intrapersonal penuh, lengkap dan disahkan
9. Sisipan-sisipan kelas relif di tampal dengan kemas
10. Salinan lampiran kertas soalan ujian atau lembaran kerja
11. Edaran-edaran yang diperolehi selama menjalani tempoh praktikum dilampirkan dibahagian lampiran
dan sebagainya...

pst.. (memandangkan portfolio saya telah digunakan oleh orang yang seterusnya sebagai rujukan mereka untuk praktikum kali ini, saya hanya menulis apa yang saya teringat (yang telah saya lakukan dalam portfolio saya yang lalu).

Penulisan Jurnal

Tidak ketinggalan penulisan jurnal juga merupakan salah satu bahagian yang amat penting dalam portfolio bagi seorang pelatih praktikum. Penulisan ini akan menggambarkan sikap seseorang pelatih tersebut terhadap tugas dan tanggungjawabnya.

Tulislah jurnal yang berkisar tentang tugas dan tanggungjawab utama anda sebagai seorang pendidik di sekolah atau di kelas. Tulislah dengan ikhlas dan jujur. Permasalahan yang timbul atau peristiwa yang difokuskan, bisikan hati, persepsi dan falsafah diri terhadap isu yang dibangkitkan, kesedaran atau kefahaman baru, cadangan memperbaiki keadaan dan tindakan masa akan datang. Semua ini perlu dihurai dan ditulis dengan ringkas, jelas dan mudah difahami.

Perkara-perkara sensitif yang menyentuh peribadi seseorang perlulah dielakkan dari ditulis. Sebolehnya elakkan dari menulis nama seseorang dalam penulisan jurnal. Ini untuk mengelak terus dari sesuatu isu atau masalah baru akan timbul sekiranya penulisan kita itu bakal menyentuh sensitiviti nama yang ditulis, ataupun orang yang lain.

Peraturan-peraturan sekolah dan dasar-dasar kerajaan yang sedang dilaksanakan di sekolah juga perlulah dihindar dari dikritik atau dipersoalkan dalam penulisan jurnal kita. Apalagi isu-isu negara dan politik juga langsung tidak sesuai untuk dikaitkan secara langsung atau tidak dalam penulisan jurnal praktikum tersebut.

Wallahu'alam...

bersambung (P&P di kelas)...

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu