Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Jumaat, Januari 30, 2009

Yum yum yum.. Syawarma!

Yum yum yum....
Tak tahu saya rupanya di Johor Bahru ni pun ada Syawarma Arabi! Sebelum ini fikir saya Syawarma Arabi hanya di Ampang sahaja.. Nampak gayanya bolehlah kembali menikmati makanan sewaktu zaman belajar di Jordan dulu tu selalu! Tidak hanya ketika cuti sekolah sahaja kalau pulang ke Selangor.

Bagi yang duduk di JB dan ingin menikmati Syawarma Arabi ni, boleh la ke Mat'am Banafe (muqabil Hotel New York). Harganya hanya RM8.

Mungkin ramai yang sudah tahu tentang Mat'am Banafe ni!, tapi bagi yang belum tahu atau yang baru tahu macam saya, apalagi! Hayya bil arabiyah! :)

Read More......

Sabtu, Januari 24, 2009

Praktikum j-QAF 2009

Selamat bercuti diucapkan kepada semua... Semoga cuti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Atas permintaan ramai especially 'DUSUN' di chat box, saya akan menulis beberapa tips untuk menjadi pelatih praktikum cemerlang. Namun apa yang akan saya tulis selepas ini nanti bukanlah bererti ianya sesuatu yang terbaik untutk dituruti, tetapi semuanya itu adalah pengalaman yang telah saya laksanakan dengan kemampuan yang saya ada untuk menjadi pelatih praktikum yang cemerlang pada ketika itu. Mana-mana yang boleh dijadikan panduan untuk anda menjalani praktikum ini, manfaatkanlah ia sebaiknya. Apa yang paling penting.. keinginan dan usaha.

Kita perlu ingat bahawa tugas-tugas kita dalam praktikum ini adalah satu latihan untuk kita menjadi seorang guru yang cemerlang selepas tamat tempoh praktikum ini nanti. Tujuan praktikum ini diadakan adalah untuk membentuk sikap dan profesionalisme kita sebagai seorang guru. Manfaatkanlah ia sebaiknya. Penilaian adalah perkara kedua selepasnya. Sekiranya anda tidak memandang aspek ini sebagai satu aspek yang penting, anda akan kerugian selama anda bertugas sebagai seorang guru tetap selepas ini nanti. Ini kerana praktikum perguruan hanya sekali sahaja seumur hidup anda. Sekiranya anda terlepas untuk menghayati tugas anda selama tempoh ini, anda tidak berpeluang untuk berbuat demikian lagi selepas ini. Percayalah...

Seperti biasa, niat adalah perkara pertama yang perlu kita titik beratkan. Sama seperti yang telah saya tulis dalam entri sebelum-sebelum ini. Niatlah kerana Allah.. Dan berniatlah untuk mencapai kecemerlangan.

Sikap & Personaliti.
Pastikan anda sentiasa mempunyai sikap dan personaliti yang menarik. Di sinilah anda akan berlatih menjadi seorang penjawat awam yang profesional. Pastikan penampilan anda sentiasa kemas dan menepati etika pemakaian penjawat awam selama mana anda berada dalam waktu bekerja.

Sentiasa bersikap dan berfikiran positif. Terima segala kepayahan dengan hati yang terbuka tanpa menolak atau merungut. Senyum adalah penawar kepayahan. Banyakkanlah senyum. Kerja anda akan menjadi mudah dan berhasil dengan hasil yang lebih baik. Ia memang sesuatu yang magik!

Buku Rancangan Mengajar.
Sememangnya siapa-siapa pun tidak dapat melupakan susahnya waktu penulisan buku rancangan mengajar untuk praktikum. Rancangan yang biasa ditulis suku muka surat untuk satu kelas pengajaran akan ditulis sepanjang 3 hingga 4 muka surat!

1. Penulisan mestilah jelas dan terperinci.
i) tulis butiran kelas dan pengajaran dengan lengkap
ii) tulis kandungan pengajaran dengan lengkap. Lukis sekiranya perlu.
iii) tulis objektif pengajaran mengikut aras yang rendah kepada yang tinggi
iv) tulis objektif pengajaran dengan sesuatu yang boleh diukur hasilnya nanti
v) tulis aktiviti pengajaran dengan jelas, ringkas dan padat
vi) tulis nilai murni yang akan diterapkan,
vii) tulis bahan bantu mengajar yang digunakan
viii) tulis kemahiran yang diterapkan
ix) pastikan pembahagian masa bersesuaian untuk melaksanakan aktiviti

2. Tulisan yang cantik dan senang dibaca akan membantu memudahkan buku itu disemak oleh pensyarah ketika pemantuannya nanti.

3. Kekemasan dan kebersihan. Buku rancangan mengajar haruslah bersih dan kemas. Tidak comot dan terlalu banyak kesalahan yang dipadam atau dipotong.

4. Lengkapkan buku rancangan mengajar anda dengan :
i) butiran diri
ii) falsafah pendidikan kebangsaan, falsafah sekolah, misi, moto dan takwim sekolah
iii) jadual waktu praktikum
iv) sukatan, huraian sukatan dan rancangan pengajaran tahunan untuk kelas yang diajar
v) senarai buku-buku teks dan buku rujukan guru dan murid
vi) senarai nama murid yang diajar
vii) latihan/lembaran kerja yang dilakukan ditampal pada rancangan yang ditulis
viii) salinan borang markah pemantauan ditampal di setiap rancangan yang dipantau
ix) dan sebagainya yang difikirkan sesuai dan perlu

Wallahu'alam

bersambung...

Read More......

Khamis, Januari 22, 2009

Temuduga.. satu pengalaman...

Alhamdulillah..
Begitu manis kenangan dan pengalaman temuduga Kursus Guru Bahasa Arab j-QAF di Oman 2009, yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung, Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, 21 Januari 2009 semalam.

Seramai 9 orang calon masing-masing 3 orang dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka telah hadir untuk ditemuduga. Semuanya hadir tepat pada masanya dengan riak wajah yang penuh keyakinan, semangat dan perasaan yang berkobar-kobar. Raut senyuman yang ramah menjadikan semua kesembilan orang peserta seolah-olah sudah lama saling mengenali sebelum ini. Bagi saya, dua tiga calon sudah biasa saya lihat di kursus-kursus dan mesyuarat-mesyuarat peringkat kebangsaan yang pernah saya hadiri ditahun-tahun sudah.

Proses temuduga semalam telah bermula tepat jam 9.15 pagi dengan dipengerusikan oleh Ustaz Saudi dari Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Tanpa diduga, setelah taklimat ringkas diberikan, semua calon diberikan ujian penulisan Bahasa Arab (makalah) berkenaan permasalahan yang berlaku dalam program j-QAF dan jalan penyelesaiannya, tidak kurang dari 100 patah perkataan. Masa yang diberikan adalah selama lebih kurang 15 minit. Rata-rata calon terkusat-kusat memikir tajuk penulisan memandangkan ujian penulisan ini tidak dimaklumkan sebelumnya. Tetapi, hasil dari perbualan dan perbincangan selepas ujian, rata-ratanya juga dapat menulis dengan baik dan lengkap. Maklumlah yang hadir ke temuduga ini bukanlah calang-calang orang!

Alhamdulillah, tanpa mengambil masa yang lama, saya dapat menulis tentang masalah yang pernah saya utarakan dalam blog ini. Masalah guru Bahasa Arab tidak mampu menghabiskan sukatan pelajaran bila tiba penghujung tahun dan jalan penyelesaiannya adalah permasalahan j-QAF yang telah saya tulis dalam ujian penulisan makalah saya semalam. Wallahu'alam, bagaimanalah penerimanaan penemuduga dan bagaimana pula dengan bentuk penulisan saya dari segi nahu dan sarafnya.

Proses kedua temuduga berjalan dengan ujian perbualan secara perseorangan. Peserta dipanggil seorang demi seorang sementara yang lain menunggu di bilik mesyuarat. Rata-ratanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk ditemubual. Namun, ada juga yang mencapai lebih dari 45 minit. Mungkin dialah agaknya calon yang paling layak untuk melaksanakan misi KPM ke Oman tu agaknya. :)

Pelbagai isu telah ditanya dalam Bahasa Arab dan juga Bahasa Melayu. Bermula dengan isu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di sekolah, hinggalah ke isu-isu yang berkaitan dengan PIPP, PPSMI, Palestin, wahabi, isu-isu j-QAF dan latar belakang pendidikan di luar negara.

Alhamdulillah, saya juga dapat menjawab semua persoalan yang dikemukakan. Cuma yang tinggal, mungkin point saya agak kurang kuat memandangkan saya sememangnya kurang membuat persediaan ditambah lagi saya adalah peserta ke dua dipanggil. Saya hanya bertawakal kepada Allah.

Seterusnya proses yang terakhir dalam temuduga semalam adalah ujian membaca makalah tanpa baris. Kami diminta untuk membaca makalah yang berkaitan dengan sambutan kemerdekaan di Malaysia, sumbangan pemuda dalam mencapai kemajuan negara dan wawasan 2020.

Rata-rata yang saya tanya, masing-masing termasuk saya menghadapi masalah untuk membaca makalah tersebut kerana perkataan yang digunakan banyak yang belum pernah ditemui dan agak sukar untuk menentukan baris. Ditambah lagi kami dilarang membaca dengan mematikan baris akhirnya. Memang ianya sesuatu yang agak memalukan apabila sebagai seseorang yang dicalonkan untuk ke Oman, tetapi terpisat-pisat membaca seperti budak baru pandai membaca.

Setelah tamat membaca makalah tersebut, kami diminta pula untuk menterjemahkan makalah yang dibaca itu tadi. Dan rata-rata di antara kami juga mengatakan, sewaktu membaca kami terlalu fokus kepada tanda bacaan sehingga kami terleka untuk memahamkan maksud perkataan-perkatan yang kami baca. Akhirnya, kami terpaksa membaca sekali lagi dalam hati dan membuat kesimpulan secara rumusan tentang apa yang kami telah baca.

Sememangnya temudga semalam telah memberi satu pengalaman yang berharga kepada kami, calon-calon Kursus Guru Bahasa Arab j-QAF di Oman pada tahun ini.

Saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk terpilih ke Oman. Walaubagaimanapun saya telah melakukan yang terbaik dan yang termampu saya lakukan semalam. Sekiranya saya tidak terpilih, saya tidak akan bersedih kerana sesungguhnya saya amat menyedari setakat mana kebolehan dan kemampuan yang saya ada. Dengan kelemahan-kelemahan tersebut, saya akan cuba untuk mengatasinya sedikit demi sedikit. Saya akan menyokong penuh calon lain yang akan terpilih itu nanti tanpa sebarang perasaan yang negatif. Saya bersyukur kerana telah terpilih sehingga ke tahap ini.

Namun, sekiranya saya yang terpilih (untuk ke Oman) nanti... saya akan lebih gigih mempersiapkan diri saya untuk menghadapi segala bentuk cabaran yang bakal saya hadapi. Peluang dan harapan yang telah terbentang dan telah diberikan kepada saya, tidak akan saya persia-siakan.

Walaubagaimanapun, terima kasih untuk semua. Terima kasih untuk bonda dan ayahanda, isteri tercinta, anak-anak dan sahabat-sahabat sekelian yang selalu mendoakan kejayaan saya.

Jazakumullahu khayra jazak...





Read More......

Isnin, Januari 19, 2009

Taklimat Pelatih j-QAF IPTI ambilan Jan 09

Alhamdulillah.. hari ini (19 Januari 2009) saya diundang oleh Tn. Hj. Hassan (Penyelaras j-QAF IPTI, Johor Bahru 2009) untuk memberikan taklimat berkenaan situasi guru-guru j-QAF di sekolah, sebagai pendedahan awal sebelum pelatih-pelatih tersebut melangkahkan kaki ke alam persekolahan pada 2 Februari nanti.

Jadual waktu yang padat membuatkan saya kurang persediaan untuk menyampaikan slot itu tadi. Di sekolah, tidak ada banyak masa kosong yang boleh saya gunakan untuk membuat persiapan. Lebih kurang setengah jam sebelum balik dari sekolah, saya baru berkesempatan mencatat beberapa perkara penting yang ingin saya kongsi dan ceritakan kepada pelatih-pelatih tersebut. Mujurlah sahabat JLU Nazihar ada memberikan beberapa point yang sangat membantu untuk saya utarakan dalam slot saya itu tadi.

Tiga aspek penting yang saya tekankan sebagai panduan pelatih-pelatih j-QAF sebelum melangkahkan kaki ke alam persekolahan adalah :
1. Persediaan mental dan fizikal
2. Tugas, suasana dan iklim persekolahan.
3. Tanggungjawab pelatih mengajar di kelas.

PERSEDIAAN MENTAL DAN FIZIKAL
Niat - Niatlah dengan ikhlas kerana Allah semata-mata, semoga amalan kita ini dikira sebagai ibadah yang tidak berpenghujung ganjarannya di sisi Allah SWT. Niat untuk berjaya dan cemerlang juga amat penting untuk menjadikannya sebagai wasilah bagi membentuk peribadi kita sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab membangunkan anak didiknya demi bangsa, negara dan agama. Tiada niat kerana Allah, kerja menjadi sia-sia. Tiada niat untuk berjaya, kerja semua serba tiada kesungguhan.

Syukur - Bersyukurlah kerana dikurniakan Allah peluang pekerjaan kepada kita dengan mudah. Kita tidak perlu bersusah payah mengusung fail ke sana-sini menagih kerja di zaman gawat seperti hari ini. Pekerjaan yang diperolehi sekarang patutlah disyukuri. Mudah-mudahan kita lebih menghargai jawatan yang sedang kita sandang sekarang ini.

Berfikiran positif - Mungkin bidang ini sesuatu yang baru untuk kita. Jika tidak pun, semestinya bidang ini sungguh banyak cabaran dan dugaan. Berbagai perkara baru yang perlu kita hadapi dan harungi. Sentiasalah berfikiran positif untuk menerima sesuatu yang baru bagi mencapai kemajuan hidup. Jadikan setiap kesusahan sebagai cabaran yang perlu kita sahuti. InsyaAllah, segalanya akan dapat dihadapi dengan mudah dan jaya.

Ilmu - Sebagai seorang pendidik. Ilmu mesti penuh di dada. Sebagai seorang guru agama yang berjaya, pelbagai ilmu mesti dikuasai. Kita tidak mahu lagi guru agama dipandang sebagai guru kampung yang hanya tahu mengajar alif ba dan ta. Bersiap sedialah dengan segala ilmu yang kita ada untuk dikongsi di sekolah nanti. Berani kedepan dan bersuara. Bukan hanya berpeluk tubuh dan mengecilkan diri melihat orang lain. Mudah-mudahan guru agama tidak dipandang kolot lagi oleh segelintir orang.

Ketrampilan - Jagalah personaliti kita sebagai pendidik dan guru agama. Sentiasa kemas dan menawan. Untuk menjadi seorang pendidik dan pendakwah, haruslah kita mudah didampingi. Berikan senyuman yang ikhlas sesama rakan sekerja dan murid-murid. Jadikan berjabat tangan dan memberi salam sebagai satu amalan yang patut dicontohi oleh semua orang. Senyuman kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah.

TUGAS, SUASANA DAN IKLIM PERSEKOLAHAN
Setiap sekolah mempunyai suasana dan iklim yang ada perbezaannya. Tugas juga adakalanya agak berbeza mengikut selera pentadbir di sesebuah sekolah tersebut. Janganlah panik dan cebat melatah. Sesuaikanlah diri dengan keadaan. Mungkin ia mengambil masa, tetapi bersabarlah.

Pandangan pertama - Hari pertama datang ke sekolah, datanglah seawal mungkin. Jumpa pihak pentadbiran sekolah. Berbincang dan berkenalan. Rendahkan diri dan berkatalah yang kita sedia untuk berkhidmat untuk membantu sekolah mencapai kecemerlangan. Mintalah ditegur dan ditunjuk ajar sekiranya kita tersilap dan tersalah. InsyaAllah, pandangan pertama pihak pentadbiran kepada anda akan positif dan seterusnya perjalanan anda di sekolah tersebut tidak akan menjadi sukar.

Suasana kerja yang menyeronokkan - Sebagai seorang guru j-QAF, sudah tentu sebuah bilik j-QAF telah disediakan di sekolah. Maka, janganlah kita berperap sahaja di bilik tersebut. Bercampur dan bergaullah dengan semua guru yang ada di sekolah. Berkenalan, berbual dan bermesra dengan mereka untuk mewujudkan satu suasana kerja yang menyeronokkan. Bertanyalah sekiranya kita tidak tahu atau tidak faham kepada guru-guru yang telah lama berada di sekolah.

Gred Jawatan - Jangan meninggi diri atau membeza-bezakan gred jawatan kita dengan guru-guru lama yang lebih rendah gred jawatannya. Sesungguhnya meskipun gred jawatan mereka lebih rendah, tetapi pengalaman mereka lebih banyak dari kita. Kebiasaannya mereka akan mudah terasa sekiranya kita membanding-bandingkan diri kita dengan mereka, lantas menimbulkan satu suasana kerja yang kurang menyeronokkan. Justeru, jangan biarkan situasi itu berlaku. Malah, cuba jadikan diri mereka merasa sentiasa diperlukan oleh kita untuk menunjuk ajar perkara-perkara yang kita tidak tahu.

Terima tugas - Seperi pengalaman-pengalaman yang biasa kita dengar, apabila kita masuk ke sekolah, mungkin ada sekumpulan atau sebilangan guru-guru lama membisikkan kepada kita, "Jangan tunjuk pandai sangat, nanti kau akan buat kerja ni tetap dan berpencen". Bagi saya, sebagai seorang pendidik, sikap sebegini tidak patut ada dalam diri kita. Saya tidak pandai melakonkan tidak pandai kepada perkara-perkara yang saya pandai. Lebih baik kita tonjolkan kebolehan kita supaya pihak pentadbiran dapat menilai prestasi kerja kita dengan baik. Lebih baik juga kita lakukan perkara yang kita pandai dan suka daripada kita ditugaskan sesuatu yang kita tidak pandai dan tidak suka. Namun sekiranya kita tetap diberikan tugas yang berat dan sukar, janganlah mudah mengatakan "Saya tidak boleh". Malah cubalah menjawab dengan, "Saya akan cuba". Itu lebih baik daripada kita terus menolak kerja tanpa mencubanya dahulu. Atau kita boleh katakan, "Saya tidak mahir tentang ini, tapi saya akan cuba dan saya perlukan seorang pembantu untuk membantu saya". Bukankah itu lebih baik!?

Masalah - Setiap hari kita mungkin akan menghadapi masalah. Sama ada ianya besar atau kecil, ia pasti ada. Rujuklah dengan guru-guru yang berpengalaman dalam menyelesaikannya. Sekiranya masalah tersebut ingin dirujuk kepada pentadbiran, sediakan beberapa cadangan yang munasabah untuk diajukan kepada pentadbir. Jangan menyerahkan masalah tersebut bulat-bulat kepada pihak pentadbiran. Sekiranya pandangan-pandangan kita tidak diterima, maka terimalah pandangan mereka dengan hati dan fikiran yang terbuka. Kerana mereka lebih memahami dan bertanggungjawab atas setiap apa yang berlaku di sekolah.

Gosip - Kumpulan guru bergosip sudah bukan satu perkara yang asing di sekolah-sekolah. Tetapi saya kurang kedengaran sikap tersebut ada dikalangan guru-guru di sekolah menengah. Justeru, saya menyeru kepada pelatih-pelatih j-QAF yang akan masuk ke sekolah-sekolah rendah supaya tidak terjebak dalam kumpulan-kumpulan terbabit. Bukan semua sekolah ada kumpulan-kumpulan begitu, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebagai guru agama, kita harus hindarkan diri dari terjebak ke dalam kumpulan tersebut dan sebolehnya cuba mengajak mereka untuk mengurangkan tabiat yang tidak baik itu.

Keberfungsian - Berfungsilah sebagai guru agama di sekolah. Guru agama juga sebagai pendakwah. Membetulkan mana-mana yang salah dan silap yang berlaku di sekolah. Ini bukanlah tugas yang mudah. Memerlukan kebijaksanaan dalam menyusun strategi untuk membetulkan kesilapan tersebut. Jangan terlalu keras menegur, namun jangan pula terlalu lembut hingga mereka tidak sedar bahawa itu satu teguran. Untuk menegur, perkara pertama yang perlu kita laksanakan ialah, berbuat baik dengan semua orang lebih-lebih lagi dengan pihak pentadbiran. Hubungan yang mesra dengan mereka membolehkan kata-kata kita boleh mempengaruhi sesuatu keputusan mereka yang lebih baik sekiranya ianya bercanggah dengan kehendak agama kita. Namun, sekiranya hubungan kita sentiasa dibayangi dengan perselisihan dan percanggahan, siapa pun tidak dapat menerima teguran kita.

TUGAS MENGAJAR
Bersedialah dengan ilmu yang ada dalam bidang yang kita ceburi.

Mengajarlah dengan penuh semangat dan minat. Mengajar dengan cara yang boleh menarik minat murid untuk belajar. Suara yang jelas dan terang memudahkan murid faham apa yang kita ajarkan kepada mereka. Gunakanlah kepelbagain teknik dan bahan-bahan bantu mengajar yang ada atau dicipta untuk menambah keseronokan murid ketika belajar. Gunakan bersama-sama dengan murid agar pembelajaran dua hala dapat berlaku.

Prihatin terhadap semua murid kita yang ada di kelas. Murid yang terlalu aktif, buatlah satu aktiviti pembelajaran yang aktif untuk mereka. Manakala murid yang pasif, perlu dibimbing dan diperhatikan dengan lebih kerap supaya mereka dapat sama belajar dalam aras yang sama dengan murid-murid lain.

Masuklah ke kelas tepat pada waktunya. Bagi guru GPI j-QAF, janganlah masuk lewat ke kelas sehingga guru-guru lain telah memulakan set induksi mereka. Model Khatam al-Quran merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara kolaboratif dan koperatif. Buatlah bersama-sama.

Ajarlah mengikut sukatan, huraiannya dan rancangannya seperti yang telah disediakan.

Untuk guru bahasa Arab, ajarlah dengan menggunakan semaksima mungkin penggunaan bahasa Arab di kelas. Kerana 60 minit seminggu itulah sahaja peluang yang mereka ada untuk mendengar kalimah-kalimah bahasa Arab. Pengajaran bahasa Arab menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu bahasa Arab, akan menjadikan murid lebih memahami pengajaran yang kita lakukan. Ia bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan usaha yang berterusan. Cubalah sendiri...

Wallahu'alam.

Selamat datang ke alam persekolahan
Selamat datang ke alam j-QAF
Selamat maju jaya

Read More......

Sabtu, Januari 17, 2009

RPT BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH


Untuk makluman semua

guru bahasa Arab sekolah rendah,
Rancangan Pengajaran Tahunan
Bahasa Arab Sekolah Rendah
boleh dimuat turun di laman sesawang
Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
Sila klik pautan berikut ;

RPT Bahasa Arab SR JPNJ

Read More......

Jumaat, Januari 16, 2009

Temuduga.. doakan...

Hari ini benar-benar satu kejutan..

Sebelum pulang dari sekolah, Ust. Ahmad Zakuan (Pegawai Khas Bahasa Arab JPN Johor) menelefon minta saya hadir ke pejabatnya pada sebelah petang. Kebetulan saya memang tidak ada apa-apa jadual pada petang ini, dan memang juga sudah berniat untuk bertemu dengannya bagi mendapatkan pandangan beberapa perkara tentang tajuk slot saya di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim untuk pelatih-pelatih j-QAF yang baru ambilan Januari 2009, pada hari Isnin ini. Jadi selesai solat jumaat, saya pulang sebentar ke rumah, dan keluar semula ke jabatan untuk bertemu dengan Ust. Zakuan seperti yang dijanjikan.

Khabarnya di dalam telefon ada sepucuk surat untuk saya. Apabila ditanya surat apa, jawabnya hanya surat-surat biasa untuk saya. Walaupun dalam hati saya cuba mengiyakan bahawa surat itu hanya surat biasa yang mungkin watikah JLU untuk tahun 2009, tapi jauh di sudut hati, mungkin surat panggilan kursus atau mesyuarat ke mana-mana yang perlu saya hadiri seperti tahun-tahun lepas. Tengoklah nanti surat apa.

Kerana SPI ada meeting tergempar, Ust. Zakuan perlu segera. Sesampainya saya di mejanya, tanpa berkata panjang, Ust. Zakuan terus menghulurkan surat seperti yang di atas, yang terus membuatkan saya tersenyum kelat.
"Allahu Akbar... surat interview nak pergi Oman ke..? sah sah la saya tak lepas nanti.." :(

Hakikatnya saya masih tidak berapa yakin untuk bersama-sama dengan kumpulan guru-guru j-QAF terpilih untuk ke Oman bagi melaksanakan satu misi penting dalam Pendidikan Agama Islam di Malaysia. Namun kepercayaan yang telah diberikan oleh JPN tidak harus saya sia-siakan.

Surat tersebut di atas yang bertarikh 14 Januari 2009 sebenarnya ditujukan kepada ketua-ketua Sektor Pendidikan Islam di semua Jabatan Pelajaran Negeri. Itu adalah salinan yang Ust. Zakuan berikan pada saya untuk bersedia menghadapi temuduga tersebut kerana tarikhnya telah amat hampir iaitu pada 21 Januari 2009 (hari RABU depan) di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. Surat susulan dari JPN untuk saya ke sekolah akan menyusul kemudian. Sekiranya saya tidak diberitahu seawal hari ini, sudah tentu saya tidak punya banyak masa untuk bersedia menghadapi temuduga tersebut.

Di dalam surat tersebut, menyatakan setiap negeri perlu menghantar 3 orang calon untuk ditemuduga. Namun, hanya seorang sahaja yang akan terpilih untuk menyertai misi tersebut sekiranya berjaya dalam temuduga ini nanti. Dan saya adalah orang pertama yang dipilih oleh jabatan diikuti dengan JLU Bahasa Arab Negeri Johor yang lain, Ust. Nazihar Sisak. Seorang lagi calon dari Negeri Johor belum diketahui lagi siapa orangnya.

Apapun, saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk terpilih ke misi tersebut. Memandangkan saya bukan anak Negeri Johor, mungkin Ust. Nazihar lebih layak. Ditambah lagi dengan kemahirannya dalam bidang Nahu dan Sorof, memang tidak dapat dinafikan lagi, beliau memang pakar.

Apapun, saya akan bersiap sedia juga untuk menghadapi cabaran ini. Seandainya saya terpilih, saya akan menjadikan ini sebagai satu cabaran yang besar untuk diri saya setakat ini. Saya perlu menyahut cabaran tersebut. Namun, seandainya pula saya tidak terpilih saya tidak akan berkecil hati. Malah saya merasa amat bangga dan bersyukur sehingga terpilih untuk ditemuduga. Persediaan ini juga sebenarnya akan membantu saya meningkatkan tahap profesionalisme saya sebagai guru bahasa Arab di sekolah dan sebagai jurulatih utama negeri Johor.

Read More......

Khamis, Januari 15, 2009

Praktikum Bermula

Sudah hampir tamat minggu kedua persekolahan sesi 2009 ni. Bererti, sudah hampir genap dua minggu juga kita semua telah kembali meneruskan perjuangan sebagai pendidik. Alhamdulillah... Allah masih memberi kita peluang untuk terus menabur bakti kepada bangsa, agama dan negara.

Namun di sana, guru-guru pelatih j-QAF ambilan Januari 2008 mungkin sedang berdebar-debar apabila bermulanya tempoh praktikum selama 3 hingga 4 bulan. Hmm.. kenangan saya sewaktu praktikum dulu kembali mengimbau ingatan apabila hampir setiap hari ada saja yang menghantar sms, email dan tak kurang juga yang terus bertelefon meminta tips dan panduan untuk menjadi calon praktikum yang cemerlang.

Hmm.. Entahlah! Kecemerlangan yang telah saya kecapi sebagai pelatih j-QAF cemerlang keseluruhan di IPTI, Johor Bahru hampir 3 tahun yang lalu itu adalah hasil kesungguhan, iltizam, komitmen dan doa semua. Alhamdulillah...

Kecemerlangan itu sebenarnya bagi saya perlu ada dalam hati. Semangat! Dan keinginan untuk menjadi cemerlang. Dengan itu, usaha kita akan terarah kepada kecemerlangan yang kita impikan.

Tidak dinafikan, ada juga sesetengah pelatih guru yang tidak ingin cemerlang. Baginya biarlah tak dapat cemerlang praktikum pun tak apa. Yang penting lulus sudah memadai.

Pendapat saya, kecemerlangan itu bukan matlamat utama kita. Yang paling penting adalah kesungguhan kita untuk menjadi seorang pendidik, pembimbing dan penunjuk cara yang berjaya! Berjaya mendidik anak murid kita. Berjaya membimbing dan menunjuk cara yang betul dan berkesan kepada semua anak-anak didik kita. Matlamatnya adalah untuk menjadikan anak-anak murid kita itu seorang insan yang berjaya, berguna dan berjasa kepada diri mereka sendiri, keluarga mereka, agama, bangsa dan negara.

Maka, bermula dari sinilah segala-galanya akan terbentuk. Dalam tempoh praktikum inilah kita akan mula membentuk sikap dan profesionalisme kita sebagai guru dan pendidik yang cemerlang dalam mendidik dan membentuk anak-anak murid kita.

Sekiranya kita sering ambil mudah dan tidak berusaha meningkatkan tahap profesionalisme kita sebagai pendidik, bayangkanlah nasib anak-anak bangsa kita yang akan menanggung risiko apabila menerima sesuatu didikan dan pelajaran yang tidak ada kesungguhan dari guru-guru mereka.

Wallahu'alam

Read More......

Rabu, Januari 14, 2009

Bab 1, Tahun 5


Seronok juga mengajar tentang jam dalam bab pertama tahun 5 ni. Dari tahun 1 sampai tahun 4, pelajaran ini belum lagi pernah didedahkan. Jadi, murid-murid juga menunjukkan minat yang agak luar biasa. Ditambah lagi dengan menggunakan bahan-bahan bantu seperti jam besar dan jam kecil, sememangnya akan menarik minat mereka untuk mempelajari dan memahami kaedah melihat jam dalam bahasa arab. Gunakan bersama-sama dengan murid agar mereka lebih merasai keseronokannya.

Contoh : (untuk latihan pengukuhan berbentuk permainan/kuiz)
1. Pecahkan murid kepada beberapa kumpulan kecil.
2. Setiap kumpulan diberikan satu jam.
3. Guru menyebut sesuatu jam dalam bahasa arab (contoh pukul 5 suku dalam bahasa arab).
4. Setiap kumpulan akan cuba memahami jam berapa yang disebutkan oleh guru dan memutarkan jarum jam yang telah diberikan kepada mereka.
5. Setelah tempoh 5 saat diberikan tamat, semua kumpulan akan mengakat jam mereka untuk diperiksa oleh guru.



Read More......

Sabtu, Januari 03, 2009

Penyediaan Buku Rekod Mengajar

SESI PERSEKOLAHAN BERMULA

Seperti biasa, bila memasuki sesi tahun persekolahan yang baru, semua guru akan sibuk melengkapkan segala maklumat dalam buku rekod mengajar yang baru.

Bagi yang kreatif, berbagai cara dilakukan untuk menampakan buku rekodnya kelihatan cantik dan menarik disamping kemas dan tersusun. Namun, ada juga sebilangan guru-guru yang menyediakan buku rekod mengajarnya sekadar kemas tetapi lengkap dan berinfo. Dan ada juga yang seperti melepaskan batuk di tangga. Namun sangat sedikit sekali kita dapat melihat buku rekod mengajar yang cantik, menarik, kemas, tersusun, lengkap dan berinfo.

RECORD BOOK - sejarah diri sendiri

Saya teringat sewaktu saya mula-mula minggu pertama menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di SMK Taman Daya 3 Johor Bahru pada awal tahun 2004, sebelum memasuki j-QAF. Ketika itu saya pernah ditegur oleh pengetua kerana tidak menyediakan rekod pengajaran sebelum masuk ke kelas. Sebaliknya saya menulis buku rekod pengajaran selepas tamat sesuatu pengajaran di kelas. Bila tindakan saya itu dipersoalkan oleh pengetua, saya memberi alasan bahawa suatu penulisan tentang peristiwa yang telah berlaku akan dinamakan rekod. Manakala suatu penulisan tentang peristiwa yang belum berlaku itu pula dinamakan rancangan. So, bila buku rekod biru itu diberi nama REKOD PENGAJARAN, sudah tentu ianya akan ditulis selepas pengajaran.

Begitu jahilnya saya ketika itu tentang peranan dan tugas guru ketika itu. Memang masa itu saya tidak pernah belajar bagaimana untuk menjadi guru. Minggu pertama menjadi guru sandaran tidak terlatih adalah sesuatu yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Bukan sahaja tidak tahu tentang rekod pengajaran, malah tidak pandai untuk berkata-kata di hadapan ratusan murid di perhimpunan.

ISU

Pelbagai isu yang boleh kita dengar yang melibatkan buku rekod penyediaan mengajar ni daripada guru-guru dipelbagai sekolah. Lain padang lain belalang. Lain sekolah, lain pula cara penyediaan buku rekodnya.

ISU 1 : Penggunaan pen.
Memandangkan buku rekod mengajar ini adalah dokumen rasmi kerajaan, yang merupakan juga lesen besar untuk seseorang itu menjadi seorang guru yang layak mengajar di kelas, maka penggunaan pen yang paling sesuai adalah dengan menggunakan pen mata bola bewarna hitam. Hanya satu warna sahaja yang sesuai digunakan.

Namun terdapat juga dikalangan guru-guru kita yang menggunakan pelbagai warna pen seperti biru, merah dan hijau. Tidak kurang juga ada yang menggunakan pensil-pensil warna untuk mencantikkan tulisan dalam buku rekodnya. Bagi saya ini amat tidak bersesuaian dengan taraf buku tersebut sebagai dokumen rasmi kerajaan.

Sekiranya tulisan guru dirasakan agak kurang menarik dan sukar difahami, guru boleh menggunakan alatan teknologi semasa untuk penulisan buku rekod mengajarnya. Mencetak dan menampalnya di dalam buku rekod bukanlah menjadi satu kesalahan dalam penyediaan buku rekod. Ini dinyatakan dalam pekeliling ikhtisas 3/1999 : Penyediaan Buku Rekod Mengajar. Namun cara ini perlu mendapat kebenaran dan persetujuan daripada pengetua atau guru besar sebelum ianya dilaksanakan.

ISU 2 : Hiasan yang berlebihan.
Biasanya hiasan pada buku rekod ini dapat kita lihat pada buku-buku rekod guru perempuan dan guru-guru yang terlalu kreatif. Antara hiasan yang agak keterlaluan adalah dengan menampal renda-renda di sekeliling buku. Pernah saya terdengar komen seorang pemantau buku rekod mengajar yang menyatakan, "kenapa kad pengenalan kita tu tak de orang letak renda-renda? Inikan dokumen rasmi. Renda-renda yang keterlaluan itu sepatutnya tidak perlu".

Hiasan berbentuk lukisan dalam buku rekod pengajaran yang tiada kena mengena langsung dengan isi pengajaran (semata-mata hiasan) juga tidak sepatutnya ada dalam buku rekod mengajar. Sebagai contoh lukisan awan yang melingkari tajuk. Ini menjadikan seolah-olah dokumen rasmi kerajaan tersebut seperti buku latihan murid atau buku nota yang perlu kepada hiasan tambahan untuk menarik minat apabila ianya di baca semula.

ISU 3 : Pembalut buku.
Ada sesetengah sekolah yang tidak membenarkan buku rekod mengajar guru dibalut dengan pembalut hadiah atau apa-apa kertas bagi tujuan mencantikkannya sehingga menutup penuh kulit asal buku tersebut. Pembalut yang paling sesuai untuk membalut buku rekod mengajar ini adalah pembalut sedia ada yang bewarna jernih atau transparent.

SP, HSP & RPT

Sukatan Pelajaran (SP), Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) & Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) adalah perkara penting yang perlu ada dalam buku rekod mengajar guru. Namun begitu, tidak dinafikan ramai dikalangan guru-guru tidak begitu faham dan keliru tentang ketiga-tiga perkara tersebut.

Sukatan Pelajaran (SP)
SP meliputi semua tajuk dan semua tahun aliran untuk satu-satu mata pelajaran.
Guru pelu menyediakan SATU sahaja SP untuk satu mata pelajaran (dari tahun 1 hingga 6)
Contoh : Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5 dan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk tahun 1 dan 2.
Maka saya perlu menyediakan satu naskhah SP Bahasa Arab dan satu naskhah SP Pendidikan Islam. Jumlah SP : 2 SP sahaja.

Huraian Sukatan Pelajaran (HSP)
HSP merupakan huraian tajuk sesuatu tahun aliran.
Guru perlu menyediakan HSP sesuatu mata pelajaran mengikut bilangan aliran yang di ajar.
Contoh ; Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5 dan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk tahun 1 dan 2.
HSP yang perlu saya sediakan adalah HSP Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5, dan HSP Pendidikan Islam tahun 1 dan 2. Jumlah HSP : 5

Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT)
RPT merupakan perancangan pengajaran mata pelajaran yang disusun mengikut perancangan melalui minggu 1 hingga 36.
Guru perlu menyediakan RPT seperti mana guru menyediakan HSP.
Contoh ; Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5 dan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk tahun 1 dan 2.
RPT yang perlu saya sediakan adalah RPT Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5, dan RPT Pendidikan Islam tahun 1 dan 2. Jumlah RPT : 5

MAKLUMAT TAMBAHAN

Beberapa maklumat tambahan boleh disertakan di dalam buku rekod mengajar untuk menjadikan buku rekod tersebut lebih lengkap dan berinfo. Antara maklumat tambahan tersebut adalah :

1. Misi, visi, falsafah dan moto sekolah di tampal di awal buku.
2. Senarai nama murid yang diajar di tampal di ruangan RPT.
3. Senarai buku teks dan buku rujukan yang digunakan guru dalam pengajaran juga boleh ditampal di ruangan RPT.
4. Senarai markah TOV murid.
5. dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

JANGAN LUPA

Jangan lupa untuk sentiasa mengemaskini pada setiap minggu 2 perkara di bahagian akhir buku rekod.

1. Aktiviti Guru
2. Pertemuan dan Perbincangan Profesional

Untuk diawal tahun ni, antara yang kita boleh tulis di ruangan aktiviti adalah gotong royong mengemas bilik darjah, bilik-bilik khas mahupun persekitaran sekolah. Manakala di ruangan pertemuan dan perbincangan profesional pula sudah tentulah mesyuarat-mesyuarat pengurusan 2009 yang sudah tentu kita telah sama-sama hadiri, rata-ratanya seminggu sebelum sesi persekolahan bermula, selain kursus-kursus.

Itulah serba sedikit yang saya tahu dan boleh dituliskan untuk tajuk penyediaan buku rekod mengajar ni. Dilain masa, insyaAllah saya akan cuba pula berkongsi maklumat tentang cara penulisan buku rekod khasnya untuk mata pelajaran Bahasa Arab.

Read More......

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu