Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Khamis, April 16, 2009

Travelog Oman 2009 - episod 4: Cabaran Bermula

21 MAC 2009 - SABTU
"Assalamu'alaikum, ana Idris Abd Rahim, Bahagian pendidikan Islam ingin memaklumkan anda terpilih untuk kursus ke Oman. Kita dijadualkan berkumpul di Concorde Inn pada 1 April dan bertolak ke Oman pada 2 April. Sila buat passport dan akan dikumpulkan pada hari selasa dan rabu di pusat-pusat yang akan dimaklumkan kemudian. Terima kasih. Segala kesulitan amat dikesali"

Secara tidak rasminya keputusan temuduga ke Oman telah saya ketahui dan saya telah berjaya dipilih.

Debaran semakin kuat melihat cabaran semakin besar dalam tugas saya. Perancangan segera perlu dibuat kerana tempoh persediaan sebelum berangkat hanya beberapa hari sahaja lagi. Walauapapun, syukur mempunyai isteri yang boleh bersabar dengan keputusan mengejut ini dan bersedia mengambil alih tugas-tugas saya di rumah semasa ketiadaan saya nanti.

24 MAC 2009 - SELASA
IMIGRESEN BAHAGIAN PASSPORT, PEKAN RABU JOHOR BAHRU
3 kali dalam sehari saya berulang alik ke pejabat imigresen ni. Tujuannya adalah untuk menghidupkan passport saya yang telah luput tarikh sahnya sejak Mei 2003 lagi. Bererti lebih 5 tahun passport antarabangsa saya itu menjadi jeruk kering dalam laci katil di rumah.

Berpandukan kata-kata rakan sekerja di sekolah, passport tersebut tidak boleh dihidupkan kembali kerana dibiarkan tanpa dibaharui melebihi 5 tahun lamanya, dan saya perlu membuat permohonan baru. Tanpa berfikir panjang, saya terus ke pejabat imigresen. Proses permohonan berjalan lancar pada awalnya bermula dari mengambil gambar baru, mengambil borang dan mengisinya serta mengambil nombor giliran kerana semuanya diurus oleh orang-orang yang berada di sekitar kaunter tersebut. Tips diberikan sebagai upah kerna membantu melancarkan proses permulaan itu.

Bila tiba nombor giliran saya dipanggil, masalah baru menjelma. Pegawai imigresen mengesan saya telah mempunyai passport antarabangsa dan beliau meminta saya menyerahkan passport berkenaan. Beliau berkata saya tidak perlu memohon nombor passport baru kerana nombor passport lama saya masih boleh digunakan. Sekiranya saya tidak menyerahkan passport lama tersebut, saya perlu membuat laporan polis dan surat akuan sumpah mengatakan passport itu telah hilang. Aduh.. leceh la macam tu!

Saya bergegas kembali ke rumah yang jauhnya lebih kurang 30km dari pejabat imigresen tersebut. Terus mengambil passport lama tanpa perlu mencarinya kerana selama ini memang ianya selamat di situ. Setelah kembali ke pejabat imigresen tersebut, saya tidak perlu mengambil nombor giliran yang baru kerana itulah yang telah dijanjikan oleh pegawai yang menguruskan saya pada mulanya tadi. Dalam tempoh 15 minit sahaja permohonan pembaharuan passport saya selesai. Saya diminta membayar RM300 dan datang semula untuk menuntut passport yang baru dua jam dari waktu pembayaran iaitu pada jam 5 petang. Alahai.. lamanya! Saya terus kembali ke rumah, dan pada jam 4.55, passport antarabangsa saya yang baru telah berjaya berada dalam genggaman. :)

25  MAC 2009 - RABU
Mesej pertama dari Ustaz Ideris "Sila serahkan passport kepada pegawai jabatan yang akan hadir berkursus di BPI pada.. "

Mesej ke dua, "Harap maklum bahawa tarikh rombongan ke Oman di tunda kepada 15 Mei...."

Mesej ke tiga, "Maaf, rombongan kursus di Oman di tunda kepada 15 April..."

Saya hanya berkata di dalam hati... "Manusia merancang...." :)

27 MAC 2009 - JUMAAT
Saya menyerahkan passport antarabangsa saya kepada Ustaz Zakuan yang sedang menguruskan kursus bahasa Arab sekolah menengah di Hotel GoodHope Skudai. Passport saya itu akan dikirim ke BPI melalui Ustaz Ngisa dari JPNJ yang akan bermesyuarat di BPI.

Di sini pada malam itu, Ustaz Zakuan telah menceritakan buat kali pertama tentang isu pertikaian pemilihan saya ke Oman oleh individu tertentu. Sedih juga mendengarnya dan hampir melumpuhkan semangat saya. Namun, kepercayaan pada diri sendiri atas apa yang telah diputuskan disamping dorongan semangat yang tidak putus-putus dari Ustaz Zakuan, saya perlu mengabaikan sahaja berita sedih itu dan terus memberikan tumpuan kepada persediaan untuk menghadapi kursus ke Oman ini.

31 MAC 2009 - SELASA 18:31
"Ass...kum. Sila serahkan esok kpd BPI melalui PP b.arab JPN masing-masing pspot asal & salinan , 2 gmbar visa umrah, kad pngesahan sntikan vaksin, salinan kp & srt brnak dan RM190. Dari ustaz Khairiel moktar, JPN Melaka."

Alamak! Passport dah serah. Tak sempat photostat pun.

1 APRIL 2009 - RABU
Saya berusaha melengkapkan permintaan yang diperlukan seperti dalam pesanan ringkas dari Ustaz Khairiel malam tadi. Selepas pulang dari sekolah, saya terus mengambil gambar visa umrah di kedai Giant depan sekolah. Kelakar juga bila terpaksa ambil gambar tiga kali untuk tujuan itu. Kali pertama backgroundnya biru sedangkan gambar visa umrah perlu berlatar belakangkan putih. Kali kedua latarnya sudah betul tetapi baju saya pula yang warna putih dan mencacatkan gambar. Akhir sekali saya diminta memakai blazer untuk memisahkan warna baju saya dan warna latar.

Setelah itu, dari satu klinik ke satu klinik saya menyinggah semata-mata untuk membuat suntikan vaksin sepertimana yang diminta. Namun 3 klinik yang saya pergi semuanya mengatakan bahawa suntikan vaksin perlu di buat di Hospital Sultanah Aminah.

Saya terus menuju ke Hospital Sultanah Aminah dan petugas kaunter di sana memberitahu saya bahawa suntikan vaksin ke luar negara hanya dilakukan pada setiap hari selasa. Passport antarabangsa diperlukan untuk membolehkan suntikan vaksin dilakukan terhadap saya. Saya pulang ke rumah dengan perasaan hampa.

Saya juga terpaksa menelefon Ustaz Zakuan untuk meminta beliau memberitahu Ustaz Ngisa agar passport saya tidak diserahkan ke BPI dahulu kerana saya memerlukannya untuk membolehkan saya membuat vaksin di hospital. Minta passport saya itu dikembalikan kepada saya.

6 APRIL 2009 - ISNIN 16:00
Satu panggilan telefon dari Ustaz Ideris meminta supaya semua dokumen saya perlu ada padanya sebelum pukul 9:30 pagi esok (Selasa, 7 April), atau tiada wakil ke Oman dari Johor.

Allahu Akbar... Esok saya baru nak buat suntikan vaksin di hospital! Bagaimana boleh saya siapkan segalanya dan menyerahkan sebelum pukul 9:30 pagi esok di Putrajaya? Ustaz Ideris meminta saya supaya bergerak ke Kuala Lumpur sekarang sementara masih berkesempatan ke mana-mana klinik di sana yang banyak menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin ke luar negara.

Saya mati akal. Tiada tempat lain untuk mengadu selain Ustaz Zakuan, dan beliau meminta saya supaya berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut apa cara pun daripada terlepas peluang menyertai kursus ini. Beliau juga mencadangkan saya ke beberapa klinik namun semuanya yang saya pergi tidak menawarkan perkhidmatan tersebut. Masalah bertambah rumit bila passport saya yang diperlukan untuk suntikan vaksin itu masih berada di tangan Ustaz Ngisa yang sedang bertugas di Pontian.

Setelah berpakat dengan Ustaz Ngisa untuk berjumpa di kediaman saya, saya terus beredar dari satu klinik ke satu klinik mencari ubat vaksin yang boleh disuntik ke badan saya. Akhirnya saya berjaya menemukannya setelah keluar masuk sebanyak 6 klinik sebelumnya. Saya terpaksa menempah vaksin itu memandangkan passport masih belum berada di tangan saya.

18:30, maka selesailah urusan yang merumitkan saya sepanjang hari itu setelah bertemu dengan Ustaz Ngisa dan passport saya kembali ke tangan saya. Bayaran kepada klinik sebanyak RM120 dikenakan untuk suntikan vaksin tersebut. Tak mengapalah, asalkan semuanya selesai.

19:30 hari yang sama juga, selepas solat maghrib saya terus memandu sendirian ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Ustaz Ideris. Saya bertekad untuk menyerahkan semua dokumen tersebut kepada beliau pada malam itu juga tanpa menunggu sebelum pukul 9:30 pagi esok. Jikalau saya berkemampuan, saya akan pulang semula ke Johor Bahru pada malam itu juga tanpa perlu mengambil cuti rehat khas (CRK) pada keesokkan harinya.

22:00, saya selamat tiba di perkarangan rumah Ustaz Ideris di Balakong setelah hampir 10 kali saya menelefonnya bertanyakan alamat dan panduan jalan ke rumahnya.

00:00,  Lebih kurang sejam saya bersembang dengan Ustaz Ideris berkenaan rombongan ke Oman ini. Perbualan kami juga termasuk isu pertikaian pemilihan saya yang saya bangkitkan sendiri malam itu. Bukan apa, sekadar ingin tahu dan kepastian. Akhirnya saya berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, dan memang benar tidak ada siapa-siapa pun yang bersalah selain orang pertama yang mencetuskan khabar angin itu. Sebelum saya meninggalkan perkarangan rumah Ustaz Ideris setelah semua dokumen saya lengkap dan diserahkan kepada beliau beserta bayaran RM190, saya dimaklumkan juga bahawa tarikh rombongan ke Oman bukanlah 15 April seperti yang diberitahu sebelumya, tetapi di tunda kali yang terakhir ke tarikh 22 April

Setelah bergerak dari situ, niat saya untuk bermalam di rumah kakak di Ampang bertukar dan beralih ke rumah sahabat baik saya (Norhan) di Bukit Saujana Putera. Keesokkan harinya, saya terpaksa juga memohon CRK memandangkan badan saya terlalu lemah untuk memandu pulang ke Johor Bahru dan sampai ke sekolah sebelum jam 7 pagi. Kebetulan pula hari berikutnya (8 April) adalah hari cuti umum bagi negeri Johor bersempena sambutan keputeraan Sultan Johor. Saya mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung bertemu ayah bonda di Karak, Pahang.

10 APRIL 2009 - JUMAAT
Surat rasmi dari BPI berkenaan kursus bahasa Arab ke Oman ini telah saya terima melalui fax sekolah. Dengan itu secara rasminya saya memang dipilih untuk menyertai kursus ini.

11 APRIL 2009 - SABTU
Mesej dari Ustaz Ideris :
"Assalam,,Umrah adalah aktiviti tidak rasmi dan tidak ditaja dan perlu d biayai sendiri lebih kurang (tiket 1000,visa 200,penginapan 300,makan 250,pengangkutan 200 untuk 20/5 hingga 25/5). Tlg bank-in rm1000 utk urusan tiket dlm acc. Maybank:ideris abd rahim(160072348579) Proses visa tlh dbuat atas ptimbangan penyertaan keseluruhan peserta. Plz reply utk confirmation.Maaf atas sgl kesulitan yg dihadapi, sbrg masalah tlg bgtau."

14 APRIL 2009 - SELASA
Bertalu-talu panggilan dan pesanan telefon serta pesanan Yahoo Messenger yang saya terima untuk mengucapkan selamat jalan kepada saya. Kasihan, ramai yang tidak tahu bahawa tarikh perjalanan telah ditunda. :) Apapun saya menghargai semua perhatian sahabat-sahabat kepada saya. You are the best!

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu