Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Isnin, April 27, 2009

Travelog Oman - episod 10 : Penerbangan

24 APRIL 2009
DUBAI INTERNATIONAL AIRPORT



Walaupun ini bukan kali pertama saya pernah sampai ke sini, tetapi sememangnya ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ini. Sewaktu belajar dahulu, saya hanya duduk diam di dalam kapal terbang sewaktu ianya transit selama sejam di sini.



Tidak kurang hebatnya lapangan terbang Dubai ini berbanding KLIA milik kita. Besar, cantik dan canggih itulah yang dapat saya katakan untuk lapangan terbang ini.


Lebih kurang pukul 6.30 pagi waktu Malaysia dan 2.30 pagi waktu Dubai, kami selamat mendarat di sana. 6 jam penerbangan agak memenatkan kerana ianya waktu tidur bagi kita rakyat Malaysia. Selama 6 jam penerbangan tersebut, tidur kami sering diganggu dengan hidangan makanan dan minuman oleh anak-anak kapal yang bertugas. Seperti diduga, layanan mereka (MAS) sememangnya kelas pertama.



kelihatan penumpang-penumpang yang transit sedang tidur di ruangan yang disediakan.


Di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, satu peristiwa memenatkan telah berlaku kepada kami. Semuanya terjadi kerana tersalah faham arahan ketika kami berpusing-pusing mencari kaunter boarding pass untuk menaiki Oman Air untuk terus ke Oman. Hampir sejam juga kami berpusing-pusing di sana sebelum menemui kaunter tersebut. Sedangkan sebenarnya kami telahpun melalui di hadapannya sewaktu mula-mula keluar dari kapal terbang MAS tadi.



Tidak ada masalah yang timbul sewaktu kami di sana. Setelah selesai urusan boarding pass Oman Air, kami masih berkesempatan meninjau-ninjau kedai bebas cukai yang begitu banyak sekali di samping menunaikan solat Subuh di sana. Kemudahan free wireless internet juga dapat mengisi kekosongan waktu sementara menanti waktu penerbangan. Namun perkara yang menjadi 'fobia' bagi kami iaitu boarding checking tetap berlaku lagi. Kali ini ia lebih dashat apabila kami semua terpaksa menanggalkan blazzer, kasut dan tali pinggang untuk melalui pintu pemeriksaan keselamatan. Setelah semuanya selesai, lebih kurang pukul 6 pagi waktu Dubai, kami semua selamat berada di perut kapal terbang Oman Air.


Di hadapan deretan kedai bebas cukai



Penumpang yang tidak ramai dalam penerbangan Oman Air hari itu mengizinkan kami untuk memilih tempat duduk yang kami suka. Hampir kesemua penumpang duduk bersendirian di tepi tingkap untuk mengambil peluang melihat pemandangan dari atas di tempat orang apabila kapal terbang itu terbang nanti. Saya juga begitu. Namun disebabkan cuaca yang begitu buruk pada pagi itu, kapal terbang terpaksa ditunda sehingga hampir 2 jam dari jadual penerbangan sebenar. Kabus tebal menyebabkan menara kawalan dan pemandu kapal terbang terpaksa membuat keputusan untuk menangguhkan penerbangan. Begitulah seperti yang dijelaskan. Selama hampir dua jam tersebut kami kebosanan duduk di dalam kapal terbang tanpa berbuat apa-apa. Akhirnya sarapan pagi dihidangkan oleh anak-anak kapal mereka bagi memenuhi masa yang terbuang begitu sahaja.





Sedang kami asyik menikmati sarapan pagi yang agak luar biasa makanannya, tiba-tiba kapal terbang tersebut bergerak dan bersedia untuk berlepas. Makanan kami semua terpaksa dikutip oleh pramugara dan pramugari Oman Air untuk keselamatan ketika pesawat berlepas. Kelam kabut saya melihat mereka bekerja kerana mereka tidak punya banyak masa untuk melakukannya. Juru terbang terpaksa mengambil peluang untuk berlepas ketika itu juga sebelum ianya terpaksa di tunda lebih lama. Mujur saya sempat menghabiskan makanan tersebut kecuali air kotak yang saya boleh menyimpannya sendiri. Penerbangan yang memakan masa 45 minit itu hanya dihidangi dengan air mineral dan biskut kerana sarapan pagi telah dihidangkan lebih awal sewaktu belum berlepas tadi.


Lebih kurang pada jam 9 pagi, kami telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Qabus, Oman dengan disambut oleh pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Oman dan kementerian pelajaran Oman.


Ahlan wa sahlan ila Ummaaaannn....

3 comments:

salam..jazakallah ustaz..ana rase macam ana pun ikut ke sana nie.. mmg teringin sgt nak lihat negara orang...insya ALLAH ada rezeki dapat la kot.. dengan cerita2 ustaz nie..makin berkobar2 semangat ana.. takde wakil muslimat ke ustaz..? mudah2an rombongan2 akan datang boleh bagi peluang pada muslimat pulak..he3..

Terima kasih..
Memang niat saya juga nak ajak sahabat-sahabat merasai apa yang saya rasa. Kita berkongsi pengalaman dan perasaan. Boleh kan!?

Untuk kali ini memang tidak ada peserta wanita pun yang menyertai. Dan atas permintaan Kementerian Pelajaran Sultanah Oman, agar untuk kursus-kursus yang akan datang diadakan juga peserta untuk wanita. Doa-doalah ye!

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu