Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Jumaat, Februari 13, 2009

MANUAL PELAKSANAAN MODUL UJIAN BULANAN PKSR BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH NEGERI JOHOR

1) Pelaksanaan PKSR Bahasa Arab di sekolah rendah.

a) Setiap guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Arab / Bahasa Arab Komunikasi di sekolah rendah diwajibkan untuk melaksanakan Ujian Penilaian Kendalian Sekolah Rendah (PKSR), samada dengan cara yang telah dicadangkan dalam buku panduan pelaksanaan j-QAF oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, ataupun dengan menggunakan kaedah modul ujian bulanan PKSR ini.

b) Secara ringkasnya Modul Ujian Bulanan PKSR Bahasa Arab Sekolah Rendah Negeri Johor ini adalah satu alternatif bagi guru Bahasa Arab sekolah rendah (negeri Johor khasnya) yang tidak mampu melaksanakan cara yang telah dilakukan sebelum ini.


2) Kandungan Kertas Modul Ujian PKSR Bahasa Arab.

Kertas Ujian Bulanan PKSR Bahasa Arab ini mengandungi 3 bahagian.

Bahagian A (penulisan) :

· Menguji kemahiran mendengar dan menulis murid (10 markah).

· Bahagian ini mempunyai dua soalan :

Soalan 1 : - Menguji kemahiran mendengar dan menulis (5 markah).

- Mengandungi 5 soalan.

- Satu markah diberikan untuk setiap jawapan yang betul.

Soalan 2 : - Menguji kemahiran mendengar dan menulis serta kefahaman murid

terhadap perkataan yang didengar (5 markah).

- Mengandungi 5 soalan.

- Satu markah diberikan untuk setiap jawapan yang betul.

· Sebagai cadangan untuk murid-murid yang lemah, guru boleh menulis pilihan jawapan kedua-dua soalan ini di papan tulis untuk memudahkan mereka menjawab.


Bahagian B (lisan) :

· Menguji kemahiran bertutur murid (10 markah).

· Bahagian ini mempunyai 5 soalan perbualan.

· Murid diberi dua markah penuh untuk setiap jawapan paling tepat yang diberikan oleh murid.


Bahagian C (lisan) : Menguji kemahiran membaca murid (10 markah).

· Bahagian ini mempunyai 5 ayat/perkataan yang perlu dibaca oleh murid.

· Dua markah penuh diberikan kepada murid yang boleh membaca dengan baik.

Jumlah keseluruhan markah Ujian Bulanan PKSR Bahasa Arab ini ialah 30 markah.


3) Cara melaksanakan ujian PKSR dengan menggunakan modul ini adalah seperti berikut :

a) Pengajaran dan Pembelajaran di kelas.

i) Guru masuk ke kelas dan mengajar seperti biasa.

ii) Sewaktu P&P berlangsung, guru tidak perlu memberi markah terus kepada murid melainkan menanda senarai murid-murid yang terlalu lemah.

iii) Tanda senarai murid lemah ini adalah untuk tindakan guru bagi membantu mereka mencapai objektif agar tidak terhimpun kelemahan mereka.

iv) Pemulihan ini boleh terus dilakukan di dalam kelas tanpa menunggu waktu lain.

b) Penilaian dan ujian akhir bulan / akhir tajuk.

i) Sebelum guru melaksanakan ujian bulanan PKSR dengan menggunakan modul ini, guru mestilah meneliti terlebih dahulu soalan contoh yang disediakan dalam buku modul ini.

ii) Sekiranya soalan-soalan tersebut menepati aras murid terbabit, bolehlah soalan tersebut terus di cetak dan digunakan.

iii) Namun sekiranya ia tidak sesuai dan tidak menepati aras murid terbabit, guru mestilah mengubah suai soalan agar ianya sesuai dengan aras murid dan seterusnya murid boleh menjawab dengan baik.

iv) Satu masa (30 / 60 minit dalam jadual) digunakan untuk melaksanakan ujian pada setiap sesuatu tajuk pelajaran.

v) Soalan Bahagian A (penulisan) perlu dilaksanakan di dalam kelas, diikuti dengan soalan Bahagian B dan C (lisan).

vi) Sekiranya soalan-soalan dari Bahagian B dan C tidak dapat disempurnakan di dalam kelas, guru boleh melaksanakan di luar jadual dengan memanggil murid-murid berkenaan secara bergilir-gilir ke meja guru di bilik guru / bilik j-QAF.

vii) Guru boleh memanggil murid-murid terbabit pada waktu-waktu mata pelajaran bukan kritikal seperti waktu muzik, pendidikan seni, atau mata pelajaran lain yang mempunyai jumlah waktu yang banyak seperti Bahasa Melayu dan sebagainya.

viii) Purata jumlah masa yang diperlukan oleh seorang murid untuk menjawab soalan Bahagian B dan C ialah tidak lebih dari 4 minit.

ix) Untuk melancarkan lagi perjalanan ujian lisan ini, guru boleh meminta bantuan daripada guru-guru j-QAF atau guru pendidikan Islam yang lain.

c) Penilaian setengah dan akhir tahun.

Untuk penilaian pada peperiksaan setengah dan akhir tahun, guru hanya perlu menyediakan soalan yang berjumlah 70 markah. Manakala baki lagi 30 markah bolehlah diambil dari ujian bulanan PKSR ini.

d) Hasil ujian dan borang pemarkahan.

i) Setelah guru lengkap melaksanakan ujian bulanan PKSR, markah yang dicatat guru pada kertas soalan murid perlulah direkodkan.

ii) Guru perlu mengisi borang markah seperti contoh yang disediakan di dalam buku modul ini.

iii) Borang hasil ujian tersebut mestilah diisi setiap bulan dan difailkan.

iv) Hasil ujian perlu dianalisa untuk diambil tindakan susulan terhadap murid-murid yang masih belum mencapai tahap yang telah ditentukan.

v) Untuk hasil ujian penilaian setengah dan akhir tahun, satu contoh borang yang berasingan juga telah disediakan di dalam buku modul ini yang perlu diisi oleh guru.

e) Penilaian sikap dan akhlak

i) Guru dimestikan untuk menilai sikap dan akhlak setiap murid di dalam kelasnya.

ii) Penilaian ini boleh dibuat daripada penilaian melalui pemerhatian yang diperolehi pada setiap kali guru masuk ke kelas.

iii) Penilaian ini mestilah dilakukan setiap bulan dan direkodkan dalam borang yang sama dengan borang ujian bulanan PKSR Bahasa Arab seperti yang disediakan di dalam buku modul ini.


JADUAL PELAKSANAAN UJIAN BULANAN PKSR BAHASA ARAB

DALAM SEBULAN

MASA

SATU BULAN PEMBELAJARAN

MINGGU 1

MINGGU 2

MINGGU 3

MINGGU 4

MINGGU 5

Masa 1

30 minit

Belajar

Seperti

Biasa

Belajar

Seperti

Biasa

Belajar

Seperti

Biasa

Belajar

Seperti

Biasa

Ujian

Bulanan

PKSR

Masa 2

30 minit

Luar Jadual

30 minit

X

X

X

X

Ujian Lisan*

* Ujian lisan dilakukan 30 minit atau lebih di luar jadual sekiranya 60 minit waktu di dalam jadual tidak mencukupi.

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu