Paparan dalam blog ini amat sesuai dengan menggunakan Google Chrome. Klik untuk muat turun mudah.

.

.

Sabtu, September 20, 2008

Maafkan Saya Kerana Tidak Hadir...

Kepada pihak pentadbiran, guru-guru dan kakitangan SK Taman Suria, saya memohon maaf kerana tidak hadir ke Majlis Berbuka Puasa di sekolah pada hari semalam, jumaat (19 September 2008 / 19 Ramadhan 1429H).

Sebenarnya, saya agak kurang berminat untuk menyertai majlis-majlis berbuka puasa dalam bulan Ramadhan. Pengalaman lalu, cukup membuatkan saya beringat apabila saya menghadiri majlis-majlis seumpama itu dalam bulan ini, peratusan untuk menghadirkan diri berjemaah terawih di masjid pula sudah semakin menurun. Peratusan untuk beribadat malam itu juga semakin susut!

PENGALAMAN TAHUN LEPAS

Tahun lepas majlis seumpama ini juga diadakan di sekolah dalam bulan puasa. Bezanya tahun lepas dan tahun ini ialah, solat terawih berjemaah dimasukkan dalam tentatif program. Namun tahun ini atas permintaan saya dan dibincangkan dalam mesyuarat ahli Panitia Pendidikan Islam, keputusannya sepakat bahawa acara solat terawih itu perlu dimansuhkan dalam majlis seumpama itu. Majlis berbuka hari semalam akan berakhir pada jam 8 malam iaitu sebelum waktu Isyak. Guru-guru boleh pulang dan berjemaah sendiri di rumah atau di masjid. (Namun.., berapa ramaikah?)

Keputusan memansuhkan acara solat terawih tersebut dibuat berdasarkan sambutan guru-guru yang tidak langsung berminat untuk menyertainya pada tahun lepas dan tahun sebelumnya. Sewaktu berbuka dan solat Maghrib pada waktu tu, surau SKTS penuh dengan guru-guru, kakitangan dan juga ajk PIBG. Namun selepas berbuka dan tiba untuk solat isyak dan terawih, yang tinggal hanya dua orang ustaz dan seorang guru sains dan muzik. Dan bakinya dalam 5 atau 6 orang lagi adalah ajk PIBG. Saf perempuan pula yang tinggal hanya ustazah-ustazah dan dua tiga orang ajk PIBG. Aduh, Alangkah sedihnya!

Namun saya yang dilantik menjadi imam terawih pada waktu tu terus mengimami solat terawih sehingga selesai witir. Sesudah witir saya pun menjemput ajk-ajk PIBG yang setia bersama bersolat terawih ke kantin untuk moreh. Sememangnya acara moreh ada ditulis di dalam tentatif program. Ketika itu tekak saya juga terasa kering dan perit setelah selesai menjadi iman terawih dan witir. Memang mengharapkan sangat titisan-titisan air sejuk dapat membasahi tekak yang kering ni.

Malangnya setiba kami di kantin, sudah tidak ada apa lagi yang boleh dimakan atau diminum. Kesemuanya telah dibungkus oleh guru-guru yang tidak menyertai solat terawih dan pulang ke rumah. Terasa malu pada ajk PIBG yang ada. Dan terasa sedih juga dengan tindakan ajk yang menyelaraskan program. Bagaimana makanan untuk moreh sudah habis dibungkus oleh orang yang tidak bersolat terawih bersama kami di sekolah? Kami pun terus pulang ke rumah masing-masing, dan saya juga harus bersabar sehingga sampai di rumah untuk membasahi tekak yang kering sedari tadi.

Memang sedih dengan keadaan masa tu. Oleh kerana itu, saya sendiri yang mencadangkan di dalam mesyuarat Panitia Agama, agar majlis seumpama itu tidak perlu diadakan lagi di sekolah.

TARBIYAH RAMADHAN

Sebab kedua mengapa saya tidak hadir ke majlis berbuka semalam adalah kerana pengisiannya kosong! Tidak salah kalau saya katakan ianya lebih bersifat kepada pesta makan sewaktu berbuka di bulan Ramadhan.

Cuba kita lihat senarai menu yang saya terima untuk juadah Majlis Berbuka Puasa di sekolah hari semalam :

1. Soto
2. Nasi Kerabu
3. Nasi Dagang
4. Laksa Penang
5. Roti Jala dan Kuah Kari
6. Kuih-muih (4, 5 jenis)
7. Minuman (2, 3 jenis)
8. Pencuci mulut dan sebagainya.

Cuba kita lihat pula aktiviti pengisian untuk tarbiyah Ramadhan yang boleh memberi manfaat yang banyak kepada kita dibulan yang mulia ni :
1. -
2. -
.....

Kosong!.. Tiada.. Itulah pada awalnya. Namun minggu lepas, saya juga yang mencadangkan dalam mesyuarat tergempar ahli Panitia Pendidikan Islam berkenaan khatam, supaya dibuat tadarrus guru-guru dan khatam sekali dalam majlis berbuka puasa tersebut. Walaupun kita ada tadarrus bersama murid, tidak salah kalau kita bertadarrus sesama guru juga! Bukankah kita dituntut memperbanyakkan bacaan al-Quran! Apalah salahnya kalau dimulakan majlis seawal selepas asar atau pukul 5 petang. Bahagikan kumpulan dan juzuk, kita khatam sama-sama. Sekurang-kurangnya adalah juga pengisian tarbiyah Ramdhan dalam majlis tersebut. Dan alhamdulillah.. pada awalnya cadangan saya itu diterima baik.

Namun, dua tiga hari sebelum majlis semalam, kedengaran sok sek sok sek guru-guru mengatakan mereka tak boleh nak bertadarus sebab sibuk memasak. Memandangkan majlis berbuka puasa tersebut bukanlah catering atau tempahan makanan dari restoran, tetapi guru-guru sendiri yang memasak di sekolah, maka sudah tentu guru-guru akan sibuk menyediakan juadah berbuka! So, macammana dengan tadarrusnya?

Maka tercetuslah pula idea dari yang lain supaya tadarrus tersebut hanya sekadar tadarrus tanpa majlis khatam al-Quran. Ok lah tu dari tak ada pengisian langsung..! Tapi saya tak pasti sejauh mana berjalannya tadarrus semalam. Harap-harap ok lah! Tahun depan saya joint.

Akhirnya...,

Sekali lagi saya memohon ribuan maaf kepada semua ajk, guru-guru dan kakitangan sekolah kerana tidak hadir ke majlis tersebut semalam. Bagi saya, majlis itu sangat baik kerana dapat mengeratkan tali silaturrahim dikalangan kita dan keluarga. Tapi bagi saya juga, adalah lebih baik sekiranya majlis tersebut bersederhana dalam hidangan, tetapi berlebihan dalam pengisian tarbiyah Ramadhan.

Memandangkan malam tadi bermulanya 10 malam terakhir Ramadhan, saya dan isteri telah berjanji untuk sama-sama menggandakan ibadah di malam 10 terakhir ini. Manalah tahu sekiranya ini merupakan Ramadhan terakhir kami. Biarlah kami berbuka di rumah dengan juadah ala kadar seperti hari-hari yang lain dalam Ramadhan ni. Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. Sememangnya kami lebih berjimat dalam berbelanja waktu berbuka tahun ni. Ke Bazar Ramadhan pun tak habis RM10. Itupun bukan setiap hari ke bazar.

HARAPAN SAYA,

Semoga pada tahun-tahun yang akan datang, majlis seumpama ini dapat diadakan dengan lebih baik lagi. Bukan hanya berfokus kepada juadah makanan sewaktu berbuka, tetapi fokuslah kepada tarbiyah diri di bulan Ramdhan ini. Yang mana aktiviti tarbiyah Ramadhan itu janganlah hanya dihadiri oleh guru-guru agama sahaja yang sudah sepatutnya mempunyai tarbiyah diri yang lebih baik dari guru-guru yang bukan mengajar subjek agama. Waktu inilah keberfungsian guru agama sebagai pendakwah perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah.

Bulan Ramadhan hanya setahun sekali. Hanya 30 hari dan 30 malam sahaja kita berpeluang untuk merebut dan mengumpul pahala dengan sebanyak-banyaknya. Gunakanlah peluang yang Allah kurniakan ini dengan sebaiknya.

Sekiranya kita hanya fokus kepada makanan, maka kita akan malas beribadah. Dan mungkin yang lebih baik sedikit, fokus kepada program mengeratkan tali silaturrahim, kita masih berpeluang melakukannya di bulan-bulan yang lain. Bulan Syawal juga bakal menjelang. Sememangnya bulan itulah waktu sebaiknya kita gunakan untuk aktiviti-aktiviti yang seumpamanya.

Bulan Ramadhan, bulan yang Allah lebarkan peluang untuk kita lebih mengukuhkan hablum minAllah (pertalian kita dengan Allah). dan bulan Syawal nanti, kita gunakan pula peluang yang dikurniakanNYA untuk lebih mengeratkan pula hablum minanNaas (pertalian sesama manusia).

Wallahu'alam.

Salam kemaafan.
Mior Syazril bin Mohamed Sapawi
Guru Bahasa Arab SKTS.

0 comments:

Updated blog

 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Blog Mior Syazril @ MIORjQAF © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu